Wednesday, November 16, 2011

Berkenaan Pilihan Raya, Saham dan Daging


A Kadir Jasin

BARU-baru ini, ketika memberi seminar mengenai pemberitaan ekonomi, seorang peserta bertanya adakah benar harga saham akan naik apabila pilihan raya umum (PRU) diadakan.
Saya jawab, ia dan tidak. Banyak faktor mempengaruhi harga di pasaran saham. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran saham dunia banyak ditekan oleh ketidaktentuan ekonomi Amerika, Eropah dan Jepun.
Dulu, menang ada aliran ke arah itu. Apabila PRU hendak diadakan, saham beberapa buah syarikat yang diswastakan dan dikaitkan dengan parti-parti politik pemerintah akan naik.
Ada orang berkata, harga saham mereka naik kerana pelabur yakin parti pemerintah akan menang lagi. Ada pula yang berkata, harga saham ditolak naik kerana pemiliknya hendak mencari wang untuk derma pilihan raya.
Menjelang PRU 2004, apabila Barisan Nasional dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi (Tun), memang benar harga saham beberapa buah syarikat, khasnya yang ada kaitan dengan ahli keluarga atau kawan-kawan beliau, naik.
Tetapi, sukar untuk meramalkan kali ini kerana pasaran saham teruk dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi Eropah di mana beberapa buah negara menghadapi kemungkinan muflis.
GLC Susah Main Di Pasaran
Lagipun, sekarang tidak banyak lagi syarikat milik individu Bumiputera yang boleh dikaitkan dengan parti-parti pemerintah pusat. Banyak sudah dimiliknegarakan semula selepas krisis mata wang Asia 1997/98 dan diubah menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Saya rasa, sukarlah sikit bagi GLC hendak “bermain” di pasaran saham bagi mencari wang untuk derma politik. Ada tidak ada pun adalah syarikat-syarikat milik agensi tertentu, seperti Felda, yang mungkin boleh membuat tawaran permulaan awam – initial public offering – bagi menambah modal.
Julai lepas, Felda membuat IPO bernilai RM821 juta untuk anak syarikatnya, Malayan Sugar Maufacturing Berhad yang dibelinya daripada “Raja Gula” Robert Kuok.

Ura-Ura Mengenai Felda

Bulan lalu, muncul ramalan mengatakan Felda akan membuat IPO lagi - kali ini ke atas cabang komersialnya seperti Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan Felda Holdings Bhd.

Kalau ini terjadi, menanglah akan wujud bilangan saham yang banyak di pasaran dan sesiapa pun yang mendapat tawaran langsung ala “pink form” boleh membuat keuntungan modal dengan segara. IPO MSM amat berjaya.

Felda berpotensi menjadi syarikat perladangan tersenarai yang paling besar di dunia kalau IPO yang diura-urakan itu memasukkan ladang sebagai salah satu asetnya.
Soalnya, adakah mampu Kerajaan menjustifikasikan langkah itu dan bolehkah ia dilakukan sebelum PRU yang diura-urakan awal tahun hadapan?
“Punters” Tetap Main Di Pasaran
Apa pun, spekulator atau “punters” akan buat apa saja yang mereka jangka boleh memberikan pulangan cepat dan besar.
Itulah yang nampaknya sedang berlaku dengan sebuah syarikat perkayuan yang tidak dikenali di Bursa Malaysia bernama Harvest Court Industries Bhd.
Menurut laporan media massa baru dan lama, harga sahamnya meningkat daripada 8 sen pada 13 Oktober kepada RM2.14 pada 14 November.
Ini memaksa Bursa mengisytiharkan saham itu sebagai 'designated securities' dan menggantung dagangannya.
Menurut laporan lagi, Harvest Court sudah beberapa tahun bergelut dengan prestasi kewangan yang lemah dan pernah diisytiharkan syarikat bawah pengawasan PN17 oleh Bursa Malaysia kerana ketidakselarian keadaan kewangannya.

Tetapi, pada 28 Oktober, pengumuman dibuat yang syarikat itu telah melantik Mohd Nazifuddin bin Mohd Najib, anak nombor dua Perdana Menteri, dan rakan kongsinya, Raymond Chan, sebagai ahli lembaga pengarah.

Dengan sekelip mata, Harvest Court menjadi “darling” - buah hati - pasaran saham.

Menurut laporan 8 November akhbar perdagangan The Edge Financial Daily, Mohd Nazifuddin, pada 4 November telah membeli 2 juta hingga 3 juta atau 1.7 peratus saham syarikat itu manakala Chan dikatakan membeli 13.83 peratus.

Siapa pun yang membeli saham syarikat itu pada harga rendah tentu sudah membuat keuntungan modal (capital gain) yang sangat besar sekarang kalau dia menjual saham pegangannya. 

Inilah kesan spekulasi. Pemain pasaran tentu meramalkan yang sesuatu yang positif akan berlaku kepada syarikat itu kalau tidak masakan anak seorang kenamaan hendak membeli sahamnya dan dilantik menjadi ahli lembaga pengarah.

Perkembangan ini mengingatkan saya kepada kenaikan besar harga saham ECM Libra menjelang PRU 2004, bagaimana ia bergabung dengan syarikat milik kerajaan, Anevue Capital, pada tahun 2006, bagaimana Khairy Jamaluddin menjadi pemegang sahamnya, bagaimana dakwaan “insider trading” dilemparkan dan akhir beliau menjual semula saham miliknya (kononnya) dengan mengalami kerugian. Kontroversi itu masih dibincangkan sampai hari ini.

Itulah cerita pasaran saham dan perniagaan yang melibatkan orang kenamaan atau duit negara/duit rakyat macam National Feedlot Corporation yang babitkan ahli-ahli keluarga Menteri Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil.

NFC adalah antara projek berimpak tinggi, yang mengikut laman web rasminya, akan menjadi pemangkin menaikkan kecukupan daging negara kepada 40 peratus menjelang tahun lalu (2010). Sebaliknya ia menjadi bahan kritikan Laporan Juruaudit Negara 2010.

Wallahualam.