Tuesday, February 28, 2012

Mahkamah Tinggi dengar kes bantah TOL Lynas

Helmi Ibrahim,




(Penduduk Balok dan Kuantan berkumpul di perkarangan kompleks mahkamah Jalan Duta bagi menyokong tindakan terhadap Lynas)
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Lebih 100 orang penduduk Balok, Kuantan berkumpul di Mahkamah Tinggi Jalan Duta untuk menyaksikan sebutan kes Semakan Kehakiman berhubung pemberian lesen TOL kepada Lynas.

Afidavit di failkan oleh 10 plaintif dari Balok dan Kuantan menuntut supaya pemberian lesen ini ditarik balik.

Kes akan di sebut pada pukul 9 pagi ini di Mahkamah Tinggi.

Pada Jumaat lepas, seramai 10 wakil penduduk berada antara tiga ke 10 kilometer dari kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, memfailkan permohonan semakan penghakiman ke atas lesen operasi sementara Lynas yang diluluskan 30 Januari lalu.

Mereka terdiri daripada Zakaria Abdullah, Ramli @ Kamaluddin Awang, Ab Sani Ahmad, Mohd Rasid Hamzah, Mansor Bedu, Ali Akbar Othman, Hashim Bin Awang, R. Nadarajan, Pang Chee Kian dan Tuw Yin Lan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap agensi berkaitan yang dipertanggungjawabkan kerajaan.

Mereka memohon perintah penggantungan iaitu menghalang Lynas daripada memulakan operasi sehingga semakan kehakiman tersebut dilupuskan yang difailkan melalui syarikat guaman Kanesalingam & Co.

Tiga pihak terlibat, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Alam Sekitar dan Lynas Corporation dinamakan sebagai responden dalam kes berkenaan.

Semakan kehakiman tersebut dilakukan kerana penduduk dan pihaknya tidak berpuas hati dengan kerajaan yang telah memberi lesen operasi sementara kepada Lynas.


Afidavit tersebut turut disokong afidavit pakar kimia dan sains material, Dr Lee Chee Hong.