Monday, February 13, 2012

NCR: Orang Asal Tambanuo jawab Peguam Besar Sabah

James Ait,
Kenyataan Datuk Roderic Fernandez, Peguam Besar Negeri Sabah pada Jumaat lalu bahawa peruntukan Tanah Anak Negeri (NCR) di dalam Ordinan Tanah Sabah (SLO), kononnya  tidak ada NCR selepas tahun 1930, merupakan serangan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Barisan Nasional dan UMNO terhadap hak dan martabat Tambanuo di Sabah.
Siapa pun juga penggubal Ordinan Tanah Sabah dan apa juga peruntukan-peruntukan yang digunapakai dalam usaha untuk menghapuskan Hak Asasi Tambanuo di Sabah, ianya tidak mampu menidakkan keujudan dan mengurangkan sedikit pun martabat dan kesejahteraan Tambanuo di Sabah yang diiktiraf oleh masyarakat dan kuasa antarabangsa.

Artikel 24 hingga 31 bahagian 6 Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Hak Orang Asal (UNDRIP) adalah suatu penghormatan dan pengiktirafan Badan Dunia terhadap Orang Asal termasuk Tambanuo di Sabah dan Sarawak.

Malaysia, di bawah kuasa kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO berusaha menafikan kuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di wilayah Sabah dan Sarawak. Kerajaan Malaysia lupa bahawa tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak wujud.

Kerajaan Malaysia pimpinan UMNO juga pura-pura tidak sedar bahawa 95% hasil petroleum Sabah ke Malaya dan puluhan billion ringgit cukai daripada Sabah di hantar ke Malaya setiap tahun untuk memelihara Malaya. Kerajaan Malaysia pimpinan UMNO tidak sedar bahawa 95% hasil petroleum Sabah dan puluhan billion ringgit cukai Sabah, telah memajukan wilayah Malaya.

Hari ini masyarakat Tambanuo sedang berhadapan dengan penindasan kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO Malaya yang kita pelihara tidak kurang daripada empat puluh tahun. Mereka tidak tahu berterima kasih langsung. Itulah sebab malapetaka politik sering menimpa mereka sekarang.

Masyarakat Tambanuo Sabah hanya ada dua pilihan. Masyarakat Tambanuo perlu bersatu dalam pilihanraya yang hampir tiba berjuang dalam satu parti STAR untuk menghalau UMNO dari Sabah. UMNO telah menggugat kesejahteraan dan keharmonian Orang Asal di Sabah.

Sesuai dengan pengiktirafan dan penghormatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap Orang Asal, masyarakat Tambanuo berhak untuk memilih melaksanakan Artikel-artikel 32 hingga 36 Bahagian 7 Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Hak Orang Asal. Sudah tentu Orang Asal berhak mendapat perlindungan keselamatan daripada badan dunia itu.

Penindasan kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO Malaya dan kegagalan persyarikatan Malaysia terhadap rakan kongsi Sabah dan Sarawak, seolah-olah memberi Tambanuo ruang untuk memilih melaksanakan pemerintahan sendiri dan melaksanakan Undang-undang Asal Orang Asal di Sabah.

Sekian.

Artikel di atas adalah kenyataan media penulis selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Star, Sabah chapter, pemimpin masyarakat Tambanuo Kinabatangan.