Hishammuddin: Tahan Senator Australia tiada unsur politik
Beliau berkata, langkah itu sesuatu yang biasa yang turut dilalui oleh rakyat Malaysia yang ke luar negara.
"Saya difahamkan oleh Ketua Pengarah Imigresen pagi tadi, beliau masih ditahan. Ini isu imigresen, dan ini perkara biasa rakyat Malaysia juga melalui perkara yang sama dan tidak dibenarkan masuk. Tidak ada yang istimewa pada dia ( Xenophon).
"Penahanan ini juga tiada unsur politik. Saya percaya penahanan itu mengikut undang-undang," katanya selepas berucap pada Majlis Jelajah Anak Malaysia dekat sini pagi tadi.
Menurut beliau, spekulasi yg mengatakan penahanan Xenophon adalah kerana beliau dianggap musuh negara adalah tidak benar.
"Tidak perlu buat spekulasi. Ini perkara biasa jangan putar belitkan keadaan.
"Kita ambil tindakan mengikut undang-undang. Pihak imigresen akan selesaikan perkara ini," katanya.
Xenophon telah dihalang daripada memasuki negara ini oleh Jabatan Imigresen.
Ibrahim Yaakob, Ketua Staf Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Xenophon. berada di LCCT untuk proses penghantaran pulang ke Australia.
“Beliau adalah salah seorang delegasi dari Australia yang datang ke Malaysia untuk membuat kajian mengenai proses pilihan raya.
“Mereka datang dengan inisiatif dan perbelanjaan sendiri,” katanya.
Xenophon merupakan salah seorang daripada delegasi antarabangsa yang terlibat dalam memantau perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tahun lalu.