Thursday, October 6, 2011

Usahkan royalti, hasil minyak tidak dimaklum

Salmah Mat Husain   
KOTA BHARU, 5 Okt: Kelantan bukan sahaja tidak pernah mendapat sebarang hasil royalti minyak dan gas yang telah dituntut oleh kerajaan negeri daripada Petronas sebelum ini, malah 32 telaga minyak dan gas dari Bumi dan Suria yang telah mengeluarkan hasil mutakhir ini juga turut disembunyikan.
Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum, Datuk Husam Musa, berkata, gas dan minyak yang telah dikeluarkan dari 24 daripada 32 telaga masing-masing di Bumi dan Suria,  tidak pernah dimaklumkan pada kerajaan negeri.
“Jangankan ingin membayar royalti pada kerajaan negeri yang dituntut sebelum ini, malah hasil pengeluaran mutakhir ini juga tidak pernah dimaklumkan.
“Tindakan ini amat tidak bermoral kerana telah mencuri hasil kekayaan kerajaan negeri,” ujarnya yang juga anggota exco kerajaan negeri selepas mesyuarat exco hari ini.
Beliau seterusnya berkata sebagaimana hasil yang telah diperolehi dari telaga-telaga minyak dan gas yang lain, dari Bumi (16) dan Suria (16) juga adalah milik kerajaan negeri.
Sambungnya, kedudukannya yang paling hampir dari Kelantan hanya memakan masa selama 35 minit melalui udara cukup membuktikan ianya berada dalam kawasan perairan Kelantan.
“Rakyat perlu mengetahui perkara ini dan rakyat juga perlu mengetahui Petronas dan kerajaan menafikan lagi hak mereka dan kerajaan negeri.
“Rakyat juga perlu tahu tindakan tidak bermoral kerajaan negeri masih berlaku sehingga kini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap bayaran yang serupa turut dibayar pada kerajaan negeri sebagaimana kerajaan Terengganu yang telah mendapat hasilnya sebanyak RM936 juta dari bayaran enam bulan pertama tahun ini.

Sisters in Islam tegas bantah hudud, dakwa tidak adil kepada wanita



KUALA LUMPUR, 5 Okt — Pertubuhan bukan kerajaan Sisters in Islam (SIS) kekal dengan pendiriannya menentang pelaksanaan hukum hudud di Malaysia atas alasan ia tidak akan membawa keadilan kepada kaum wanita.
Pengarah Eksekutif SIS Ratna Osman berkata, pihaknya kekal dengan pendirian yang diputuskan sejak 1993 itu - pada tahun kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS meluluskan enakmen bagi menguatkuasakan perundangan itu.
Terengganu membawa enakmen yang sama 10 tahun kemudian.
Bagaimanapun pelaksanaan terbantut ekoran sekatan pusat atas alasan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.
Kata beliau, SIS menentang perundangan itu kerana ia akan menafikan hak kaum wanita selain bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar jaminan berperlembagaan yang diperuntukkan.
“SIS percaya bahawa masyarakat perlu dikawal selia selari dengan prinsip kesaksamaan, keadilan dan maruah, dan bukannya menerusi penghakisannya dengan hukuman-hukuman kejam dan keras,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Jelas beliau, hukum hudud mendiskriminasikan kaum wanita kerana beban pembuktikan, misalnya dalam kes rogol, terletak pada bahu mangsa.
“Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu (Hudud dan Qisas) 2002 mengatakan bahawa di bawah Seksyen 9, seorang wanita yang membuat laporan dia telah dirogol boleh dituduh qazaf dan dikenakan sebatan sebanyak 80 kali jika dia gagal menyediakan bukti. “Meskipun pindaan telah dibuat untuk membenarkan bukti situasi, masih wujud kekeliruan,” katanya sambil menambah, “sebagai contoh, pihak mana yang perlu menyediakan bukti iaitu polis atau mangsa?”
“Pindaan tidak mencukupi dan keseluruhan undang-undang ini kekal sesuatu yang tidak adil,” kata beliau.
Beliau menambah, di bawah enakmen Kelantan pula, seorang wanita yang mengandung atau melahirkan anak disebabkan kejadian rogol, dianggap telah melakukan zina meskipun dia merupakan mangsa dirogol.
“Ketidakupayaan menyediakan empat saksi lelaki akan berakhir dengan (andaian) telah melakukan zina sedangkan perogol pula bebas,” kata Ratna.
Sambil menegaskan seorang wanita tidak boleh menjadi saksi, kata beliau, mereka dari kepercayaan yang lain pun tidak boleh menjadi saksi.
“Sebenarnya tiga per empat penduduk Malaysia tidak layak menjadi saksi,” katanya lagi.
Justeru kata beliau, enakmen-enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu melanggar prinsip hak asasi manusia dan keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.
“Ia memperuntukkan hukuman yang dilihat kejam, tidak perikemanusiaan dan mengaibkan,” katanya lagi.
Oleh itu kata beliau, SIS mahu menekankan pendiriannya bahawa undang-undang hudud tidak berperlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan di negara ini.
“Ia melanggar prinsip-prinsip universal hak asasi manusia dan diskriminasi ke atas kaum wanita,” katanya lagi.

Beri Kelantan peluang ‘uji’ hudud, Mufti Perak nasihat Putrajaya


Harussani menyaran agar Kelantan dibenar melaksanakan hudud sebagai ujian keberkesanan. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 6 Okt — Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan pentadbiran Najib agar membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan sebagai satu “percubaan” selepas kerajaan pusat terus dengan pendiriannya menyekat langkah sedemikian atas alasan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Menurut Mufti Perak, Putrajaya perlu memberi peluang kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melaksanakan hudud memandangkan undang-undang jenayah syariah Islam itu sudah digubal pada 1993.
“Kerajaan pusat perlu beri peluang kepada Kelantan untuk laksanakan hudud, Nik Aziz juga kata sudah bersedia... saya setuju dan sokong, cuma dari segi prosedur pelaksanaan perlu lengkap, lagipun nanti kalau kerajaan pusat tak benarkan nanti orang marah.
“Benarkan Kelantan laksanakan hudud, hudud bukan perkara senang nak dilaksanakan kerana banyak perkara perlu dipatuhi... benarkan sebagai percubaan untuk kita yang lihat bagaimana ia dilaksanakan dan kadar jenayah di Kelantan selepas ia dilaksanakan kemudian baru kita nilai,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Harussani yang sebelum ini berusaha mewujudkan kerjasama politik antara PAS dan Umno, khususnya sejak selepas pilihan raya umum 2008 menegaskan, hukum hudud adalah tuntutan Islam dan ia perlu dilaksanakan sekiranya sudah bersedia.
“Kita nak kurangkan kadar jenayah, sekarang kalau kita lihat kalau merompak hukuman disebat dan dipenjara, jual dadah juga sama, tapi adakah mereka sudah insaf tapi kalau kudung tangan sudah pasti mereka akan berfikir dua kali... Islam laksana hudud, saya setuju,” katanya.
Beliau juga berkata, hukum hudud hanya dilaksanakan ke atas umat Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau sekiranya ia dilaksanakan.
“Bukan Islam tiada kena mengena dalam hukum agama Islam, ia tidak akan dikenakan kepada bukan Islam,” katanya.
Ditanya mengenai hukum hudud tiada dalam sistem perundangan negara, Harussani berkata “hal undang-undang saya tidak tahu, saya tak mahu cakap tapi saya setuju dilaksanakan hudud.”
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini menegaskan untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.
Beliau turut meletakkan harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.
Selain itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS serius dalam melaksanakan undang-undang hudud dan mengakui orang bukan Islam termasuk DAP mempunyai hak untuk bersuara menyatakan pendirian masing-masing dalam perkara itu.
Pada 24 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.
Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS pada 1994.
Najib berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.
Katanya, kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip “Maqasid Syariah” iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.
Ekoran satu kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa hari sebelum respons Najib itu, Nik Aziz memohon Najib agar menarik balik surat 1994 dan membenarkan kerajaan negerinya melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.

Tiada Saksi?

Tiada saksi, polis langgar SOP dilepaskan
Pihak polis telah mengenal pasti anggotanya pada perhimpunan BERSIH 2.0, 9 Julai lalu  didakwa menggunakan kekerasan yang berlebihan dalam usaha cuba menyuraikan penunjuk perasaan itu.

ipd kl bersih 090711 ku chin wahKetika dihubungi semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Ku Chin Wah berkata laporan polis telah dibuat ke atas anggota itu - yang didapati memakai bandana (kain tutup muka) semasa perhimpunan itu - tetapi tiada pendakwaan akan dilakukan.

"Perkara ini telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan tiada tindakan selanjutnya boleh diambil terhadapnya kerana ketiadaan saksi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang menyatakan "menyerang atau menggunakan kekerasan yang berlebihan kecuali diprovokasi secara serius” adalah suatu kesalahan.

Di bawah undang-undang ini, pesalah boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 ringgit atau kedua-duanya sekali.
masked policeman assault 051011Walau bagaimanapun, pegawai yang ingkar itu akan tertakluk kepada tindakan tatatertib kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menyuraikan orang ramai.

Berikutan perhimpunan itu, gambar-gambar dan video berhubung penyalahgunaan kuasa polis  membanjiri internet, terutamanya pada laman web rangkaian sosial popular Facebook.

Antara gambar yang dirakamkan menunjukkan seorang anggota polis yang memegang sepasang gari dalam genggaman beliau dengan mukanya ditutup dengan sehelai sapu tangan yang besar, atau bandana.
Menurut beberapa pengguna Facebook, polis bertopeng yang digambarkan itu juga tidak mempunyai nama atau nombor keanggotaannya yang disulam pada pakaian seragamnya.

Video yang dimuat-naik di laman web perkongsian video YouTube kemudian menunjukkan ‘apa yang kelihatan seperti orang yang sama’ menumbuk dua peserta perhimpunan sebanyak dua kali di bahagian perut mereka.

Lelaki itu dilihat menyerang mangsanya tanpa berlaku sebarang provokasi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan individu itu adalah orang yang sama yang dirujuk oleh Ku.

Malaysiakini juga tidak dapat memastikan sam ada individu berkenaan adalah orang yang sama yang akan menghadapi tindakan disiplin seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam berhubung kejadian di Hospital Tung Shin.

bersih rally 090711 police shooting into tung shin hospitalIsnin lalu, siasatan dalaman Kementerian Kesihatan telah mengesahkan bahawa pihak polis telah melanggar garis panduan operasi polis (SOP) ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam, berkata anggota polis yang melanggar dan mengengkari peraturan yang ditetapkan itu akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib polis.

Laporan itu juga mengesahkan bahawa meriam air dan bom asap polis telah ditembak ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat meletak kenderaan bertingkat dan pintu masuk utama Hospital Tung Shin.

1Malaysia:Antara DVD Cetak Rompak dan Kertas Penghakiman


'Penghakiman plagiat' babitkan isu hak cipta
 Hafiz Yatim
Hakim kanan Mahkamah Rayuan yang dituduh memplagiat penghakiman seorang hakim Singapura, ironinya berbuat demikian dalam kes pelanggaran hak cipta.

NONEIni didedahkan oleh peguam veteran Karpal Singh, yang semalam memfailkan notis kepada Dewan Rakyat untuk mengemukakan usul bagi merujuk hakim berkenaan ke tribunal kehakiman dengan sokongan hampir 60 ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Ia agak ganjil, saya diberitahu, hakim yang dihormati itu memilih untuk memplagiat penghakiman bekas hakim Singapura GP Selvam berhubung isu hak cipta," kata Karpal sambil terbahak.

"Saya juga difahamkan tindakan itu telah mencetuskan kemarahan di kalangan hakim-hakim di  Singapura dan Malaysia. Saya juga difahamkan Ketua Hakim Singapura telah menulis kepada CJ kita untuk membuat aduan mengenai perkara berkenaan."

Karpal berkata demikian kepada Malaysiakini semasa permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengeluarkan sebahagian daripada penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan yang dianggap bersifat menghina dan merendah-rendahkan ahli politik dan peguamnya  berhubung perbicaraan liwat II di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Mengulas isu yang sama, Anwar yang juga ketua pembangkang dan ketua umum PKR berkata tindakan itu menunjukkan bahawa sesetengah hakim di negara ini tidak mempunyai integriti.

Nama Hakim Mahkamah Rayuan itu tidak disiarkan sehingga beliau bersedia dan sanggup  memberikan jawapan terhadap dakwaan itu.

azlanSemalam, Karpal mengemukakan usul itu mengikut Perintah-Perintah Tetap 27 yang dibaca bersama dengan 36 (8) dan Perkara 127 perlembagaan persekutuan, yang mahu dibenatngkannya di Dewan Rakyat.

Menurut Karpal yang juga pengerusi DAP, beliau sendiri telah menulis kepada hakim kanan itu pada 22 Ogos lalu dan memberi beliau masa selama tujuh hari untuk menjawab dakwaan berkenaan.

Karpal kemudiannya menulis sepucuk lagi surat pada 29 September lalu dan memberitahu hakim itu bahawa sekiranya tiada jawapan diberikan beliau akan mengandaikan ia sebagai pengakuan salah laku.

Speaker mempunyai tempoh tujuh hari untuk memutuskan sama ada untuk menerima usul itu  sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Hakim yang dituduh memplagiat itu pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Tinggi di Johor Baru.

Wednesday, October 5, 2011

Cerita Dulu-dulu(2)

Cerita Tandas Dalam Dua Era


A Kadir Jasin
KALAU cerita bersunat atau, macam kata pembahas Hanezam, masuk jawi, zaman dulu kala asing kepada generasi Dasar Ekonomi Baru, bayangkan pula cerita buang air besar.
Buang air kecil, tak payah ceritalah. Di mana ada belukar atau semak, di situlah kita lakukan. Lelaki perempuan sama saja. Yang berbeza, sejenis berdiri, sejenis lagi bercangkung. Daripada situlah agaknya datang ungkapan, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
Tapi memang pun kita kencing berlari iaitu sewaktu dikejar  kerbau atau lembu jantan tengah mengawan, dihambat orang gila dan anjing gila. Dulu, di kampung ada ramai orang gila dan banyak anjing gila – rabid dogs. Sekarang anjing liar banyak di pekan-pekan manakala kampung-kampung pula dicerobohi babi hutan.
Zaman saya kanak-kanak dulu, ramai orang kampung pelihara kerbau dan lembu sabung. Haiwan “macho” ini cukup garang. Semua hendak dikejar dan ditanduknya. Ada pun yang kena tanduk sampai mati.
Jadi, bila kita buang air kecil tepi belukar, kita kena berhati-hati dan bersedia untuk lari lintang pukang bila kerbau atau lembu pelaga muncul. Itu belum diambil kira tebuan tanah dan penyengat.
Kalau kena sengat di tangan atau dahi bolehlah sapu minyak cap kapak atau minyak geliga. Tapi kalau yang kena sengat itu senjata sulit kita, pilihlah antara sakit kena toksin penyengat atau panas minyak cap kapak.
Yang rumit ialah buang air besar. Sebab buang air besar ambil masa dan banyak anggota sulit yang terdedah, kita kenalah lebih berhati-hati pilih tempat.
Masa itu mana ada tandas tetap. Hanya bila Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Rancangan Pembangunan Luar Bandar dan beri subsidi tandas curah barulah kita bina tandas kekal dan sempurna.
Pada zaman pra-Rancangan Pembangunan Luar Bandar, kita sahut panggilan alam semula jadi di tebing sungai, di atas jambatan buluh, di pangkal pokok, di dalam hutan mengkuang dan di atas batas bendang.
Selain berjaga-jaga takut ada orang nampak, kita kena berhati-hati takut dipatuk ular, digigit pacat dan diserbu ayam yang kelaparan. Dulu itulah antara sumber makanan utama ayam.
Sekarang ayam dah jadi ayam ponen, ayam pondan dan ayam darai. Dah naik tocang sebab makan makanan import – jagung dari Thailand, gandum dari Australia dan kacang soya dari Brazil. Harga mahal tapi daging tak sedap macam ayam lepas bebas – free ranging chicken – zaman dulu kala yang makan makanan asli dan organik.
Di kampung pun dah ramai yang pakai “flush toilet” dalam rumah. Dulu jijik guna tandas duduk. Sekarang tandas cangkung tak “cool” lagi. Sebenarnya tandas duduk berguna. Tunggulah bila dah tua --  bila lutut, tumit dan punggung dah tak kuat lagi.
Akhir kalam, terima kasih dan didoakan keampunan untuk roh Tun Abdul Razak kerana memperkenalkan Rancangan Pembangunan Luar Bandar dan memberikan subsidi tandas curah. Benda kecil tapi faedahnya besar.

Cerita Dulu-dulu(1)

Lagi Macam-Macam Ada: Bersunat Vs Ayam Jantan


A Kadir Jasin
BILA saya muncul di TV al-Hijrah baru-baru ini, pengacara mudanya, antara lain, merumuskan agar kita jangan memandang ke belakang lagi. Kita hanya memandang ke hadapan.
Dalam perbincangan panel mengenai cadangan pemansuhan ISA itu, saya membahasakan diri saya haiwan purba yang tidak pupus – the living dinosaur.
Jadi saya sarankan kepada beliau supaya membuang semua cermin pandang belakang keretanya dan cuba pandu dengan tidak ada rear view mirror. Sejarah ada cermin pandang belakang kehidupan dan tamadun manusia.
Kalau kita buta sejarah, samalah dengan memandu tanpa cermin pandang belakang. Tapi kalau kita asyik tengok cermin pandang belakang masa memandu, kita boleh langgar pokok atau jatuh sungai.
Jadi dalam posting kali ini, saya hendak ajak pembaca tengok cermin pandang belakang sebab saya baru baca balik buku Tingkatan Enam Rendah saya (tahun 1967) bertajuk “Adat Isti’adat Melayu” karangan Syed Alwi Bin Syed Sheikh Al-Hadi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dalam buku itu, ada macam-macam adat istiadat serta amalan orang Melayu yang diceritakan. Antara yang saya, sebagai dinosaur, boleh fahami betul-betul ialah adat istiadat bersunat. Pada zaman saya, ia berupa adat istiadat meriah bagi orang dewasa dan sangat-sangat menakutkan bagi yang akan disunatkan.
Tak ada doktor. Tak ada bius. Tak ada oksigen. Tak ada ubat. Yang ada tok mudim, pisau cukur sepanjang enam inci, batang pisang dan abu dapur. Untuk kebaskan badan supaya tak sakit sangat, kita berendam dalam telaga sepanjang pagi. Lepas itu dipakaikan kain sarung dan diusung atas bahu untuk disunatkan.
Lepas disunatkan, kita duduk terkangkang atas abu dapur yang tadah darah kita.  Abu dapur digunakan sebab ia kering dan bersih. Kita buat “dressing” sendiri guna kertas alas kotak rokok. Ada tak ada ubat hanyalah iodin.
Tiga minggu tak sembuh lagi. Silap-silap, kata orang Kedah, meliau – septik. Yang paling seksa bila saudara mara perempuan yang sudah tua selak untuk tengok dah baik atau belum. Itu tak masuk lagi upacara dilagakan dengan ayam jantan. Malu tak terkira.
Mengenai adat istiadat bersunat, Syed Alwi, antara lain,  menulis: “Kemudian maka budak itu pun di-dudokkan berchelapak di-atas batang pisang, dan to’ mudim itu pun dengan pantas menyunatkan dia, dan sa-habis sahaja di-chantas-nya maka dengan chepat to’ mudim itu mengambil bapak ayam itu dan di-acu2kan-nya kepala bapak ayam itu kepada kemaluan budak itu dan jika nampak kembang tengkok ayam itu tatkala di-acu2kan maka yang demikian itu konon, menandakan budak itu garang dan akan berbini banyak.”
Saya tak dilagakan dengan ayam jantan semasa bersunat, tapi bila sudah hampir sembuh, dengan ihsan abang-abang sepupu yang suka melawak. Kita malu tak terkira, mereka gelak terdekah-dekah. Syukur, segala-galanya berjalan lancar.
Hari ini, bagi ramai orang Melayu, bersunat bukan istiadat lagi. Ia tidak lebih daripada pembedahan kecil yang selesai dalam setengah jam. Malah dua orang cucu saya disunatkan sebaik saja lahir.
Nak lagakan dengan ayam jantan pun dah susah. Nak cari ayam jantan yang jaguh bukan mudah, kena cari Wak Jawa yang bela ayam sabung untuk judi haram di kongsi. Silap-silap kena cekup polis.
Sekarang banyak ayam jantan dah jadi ayam “ponen” atau ayam "darai" sebab kena suntik hormon ayam betina. Badan besar, kukuh nyaring tapi kena hambat ayam betina lari lintang pukang. Lagipun, ayam betina tak perlukan ayam jantan untuk bertelur, cuma telur yang tidak disenyawakan oleh ayam jantan tak menetas. Wallahualam.
Nota kaki: 1. Syed Alwi menulis permata ilmu itu pada tahun 1959 dan DBP menerbitkannya pada tahun 1960. 2. A hen does not need a rooster to lay an egg. Hens ovulate regularly, regardless of whether there is contact with a male or not. Most grocery store eggs come from hens that have never seen a rooster.

Antara "Dajal" Dan Laut Dalam

A Kadir Jasin
DALAM bahasa Inggeris ada satu ungkapan yang berbunyi “between the devil and the deep blue sea”. Diterjemahkan literal ke bahasa Melayu ia bererti di antara dajal dan laut dalam yang biru warnanya.
Ia merujuk kepada dua pilihan saya sama besar ancamannya. Ungkapan ini tidak asing kepada kepemimpinan politik dan orang ramai yang berpendidikan Inggeris, tetapi mungkin dianggap kasar atau kesat oleh yang tidak biasa dengannya.
Dalam konteks pilihan raya umum yang akan datang, apakah ini pilihan yang ada kepada kita?
Boleh jadi kerana tanggapan umum terhadap orang politik begitu negatif maka jarang mereka mengaitkan orang politik dengan laut dalam yang biru airnya.
Mereka lebih kerap mengaitkan politik dan orang politik dengan dajal. Maka diciptakan pula frasa yang berbunyi “it’s better the devil know than the devil you don’t” – lebih baik dajal yang kita kenali dengan yang tidak kita kenali.
Di Barat yang kini menjadi “kiblat” politik ramai Melayu dan bukan Melayu liberal, mereka sangat tidak menyukai dan jarang sekali mempercayai orang politik. Jadi, jolokan “devil” itu kerap dirujukkan kepada mereka.
Hatta seorang pembesar politik yang dikagumi kerana kehebatan tindak tanduk dan tipu-helahnya pun dikaitkan juga dengan dajal. Dia dikatakan “devilishly clever” – cerdik macam dajal.
  
Pilihan Dalam PRU Akan Datang
Jadi, menjelang PRU akan datang, apakah pilihan yang ada kepada pemilih di Malaysia – adakah di antara dajal dan laut dalam yang biru warnanya atau antara dajal yang mereka kenal dengan yang tidak mereka kenal?
Minta dijauhkan Allah, pilihan yang akan dikemukakan kepada kita nanti hendaknya bukanlah dajal sebaliknya insan-insan yang boleh kita panggil pemimpin.
Barisan Nasional/Perikatan telah menguasai politik Malaysia (Malaya) sejak Pilihan Raya Dewan Perundangan Malaya tahun 1955. Di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat pula, hanya Pas mempunyai rekod yang lama mentadbir negeri. DAP dan PKR baru pada tahun 2008 berkongsi memerintah negeri.
BN menjadi sangat lemah ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Beliau menang besar pada PRU 2004 dan kalah teruk pada PRU 2008.
Abdullah menjadi mangsa liberalisasi politik yang tidak terancang dan pembawa-larian pentadbirannya oleh beberapa kerat “insider” yang digelar Budak-Budak Tingkat Empat. Mereka terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan pegawai-pegawai peribadi beliau.
Mohd Najib Abdul Razak naik menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009 apabila Abdullah dihambat keluar oleh gabungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Naib Presiden kanan Umno masa itu, Muhyiddin Mohd Yassin.
Atas sebab itu, Mohd Najib terpaksa berhati-hati apabila berurusan dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin yang kini timbalan beliau merangkap Timbalan Presiden Umno.
Abdullah cuba menjadikan “Islam Hadhari” wadah perjuangannya dan jatuh tersungkur. Hari ini, Islam Hadhari hampir-hampir tidak disebut lagi.
Mohd Najib mempunyai jauh lebih banyak gagasan dan slogan. Daripada 1Malaysia kepada rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Pemandu, KPI, NKRA dan pada malam menjelang Hari Malaysia 16 September lalu, memperkenalkan pula “cool factor” dengan mencadangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) serta beberapa akta polok yang lain.
Banyak pihak menyindir dan menyelar retorik beliau, tetapi kerana kepandaian beliau dan “handlers” beliau memperkenalkan satu demi satu penjenamaan, rakyat jelata keliru dan akhirnya lupa janji-janji yang belum ditunaikan atau gagal pelaksanaannya sebaliknya gembira dengan janji-janji baru yang diperkenalkan satu demi satu.

Injit-Injit Semut Mohd Najib

Ada kalanya beliau memaksa pembangkang menari mengikut rentak beliau dan ada masanya rentak tarian beliau sama dengan rentak pembangkang.
Apabila beliau menguar-uarkan “package” liberalisasi politik yang termasuk pemansuhan AKDN, rentak beliau sama dengan rentak pembangkang sekian lama berkempen menghapuskan Akta itu.
Tetapi, pokok pangkalnya Mohd Najib, Umno dan BN akan diadili mengikut kriteria yang lebih asas dan fundamental seperti prestasi ekonomi, kenaikan kos sara hidup, pengangguran, kadar jenayah dan isu-isu harian.
Pemansuhan AKDN mungkin mempopularkan Perdana Menteri di kalangan pengundi minoriti Cina dan India, tetapi akan menimbulkan masalah di kalangan pengundi majoriti Melayu yang selama lebih 40 menjadi penyokong kuat ISA.
Jentera BN meramalkan prestasi baik pada PRU akan datang, termasuk menawan semula Selangor. Kalau keyakinan ini ada asasnya, ia bukanlah kerana BN telah menjadi lebih kuat, tetapi kerana PR menjadi lebih lemah.
Perkembangan dalam parti-parti PR dan di antara mereka memberi gambaran wujudnya masalah ideologi, dasar dan pendekatan yang luas.
Tarik tali antara Pas dan DAP mengenai Negara Islam/Hukum Hudud lawan sekularisme tidak membantu memperkukuhkan PR manakala isu kesinambungan kepemimpinan terumbang ambil akibat kes mahkamah ketua mereka, Anwar Ibrahim.
Keceloparan Timbalan Presiden baru Pas, Mohamad Sabu, membantu Umno kerana ramai anggota pasukan bersenjata dan perasanya marah kepada Pas. Undi pos polis dan tentera sudah dalam tangan BN.
Tetapi dengan mencadangkan pemansuhan ISA, Mohd Najib mungkin melukakan perasaan kelompok yang sama yang mengorbankan nyawa dan jasad mempertahankan negara daripada keganasan komunis dan pelampau-pelampau lain.
Duit Senjata Mohd Najib
Senjata utama Perdana Menteri adalah memberikan peruntukan khas kepada kelompok-kelompok tertentu yang menguasai peti undi.
Ini boleh beliau lakukan dengan mudah kerana beliau menyimpan banyak peruntukan belanjawan di JPM dan Kementerian Kewangan yang kedua-duanya beliau kawal.
Manakala senjata pembangkang pula adalah  kejayaan mereka memaksa Kerajaan menari dengan rentak dan irama mereka.


Antara senjata tajam yang berjaya mereka gunakan adalah tujuk perasaan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Akibat kecelaruan Kerajaan menangani tunjuk perasaan itu, PR yang bersekongkol dengan Bersih, mendapat faedah di luar jangkaan.
Walaupun Kerajaan menafikannya, tetapi majoriti berpendapat tunjuk perasaan itu telah memaksa Kerajaan bertindak balas dengan menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai reformasi pilihan raya.
Pembangkang juga mempunyai bukti yang kuat bagi mendakwa yang kerana tekanan merekalah, Mohd Najib bertindak balas dengan mengemukakan pemansuhan AKDN dan beberapa akta lagi yang selama ini mereka tentang.
Bergantung kepada bila Kerajaan membentangkan rang undang-undang pemansuhan AKDN, Pembangkang terpaksa menyokongnya, tetapi mereka belum tentu akan menyokong rang undang-undang bagi mewujudkan dua akta keselamatan baru bagi menggantikan AKDN.
Bukanlah kemenangan bagi pembangkang kalau satu akta dimansuhkan, tetapi diganti oleh dua akta baru.
Melainkan BN memperoleh semula kelebihan suara dua pertiga di Dewan Rakyat dalam PRU akan datang, ia terpaksa meminta bantuan PR bagi meluluskan  dua rang undang-undang keselamatan itu. Ini bermakna, rang undang-undang itu perlu didrafkan sebagai rang undang-undang dua pihak yang membabitkan BN dan PR.
Pendek kata, walaupun kita tidak mahu pilihan kita dalam PRU akan datang menjadi “Pilihan Hobson” iaitu pilihan antara dua dajal  --  dajal yang kita kenal dengan dajal yang kita tidak kenal --  kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa yang akan menentunya adalah parti-parti yang bertanding.
Merekalah yang akan menentukan sama ada calon-calon yang mereka kemukakan dan manifesto yang mereka tawarkan cukup bersih untuk secara sahih mencampak jauh unsur-unsur dajal yang kita takuti itu atau mereka akan mengemukakan watak-watak dan piagam yang sama.
Wallahualam.

Hutang negara kini mencecah RM437 bilion- Anwar

(Oleh: Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan hutang negara kini mencecah RM437 bilion berdasarkan Laporan Bank Negara yang dikeluarkan baru-baru ini.
“Laporan Bank Negara Malaysia bertarikh 30 september 2011 menyatakan angka hutang negara setakat suku ke 2 tahun ini menunjukkan hutang negara mencecah RM437 bilion,” kata Anwar pada pembentangan belanjawan Pakatan Rakyat 2012 di parlimen hari ini.
Menurutnya, jika unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5 peratus, maka kadar keberhutangan negara kini mencecah 53 peratus dari KDNK negara.
Kadar itu, katanya, jauh lebih tinggi berbanding pada 2007 iaitu sebanyak 42 peratus dari KDNK negara.
“Kadar hutang isi rumah pula mencecah RM577 bilion iaitu 77 peratus dari KDNK berbanding pada 1997 hanya 33 peratus dari KDNK.
“Maknanya di bawah menteri kewangan yang secara kebetulan semuanya perdana menteri sebelum 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih hingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun,’ katanya.
Keadaan itu, kata Anwar, diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara.
“Defisit negara diunjurkan mencecah 6 peratus bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2 peratus seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh,” kata Anwar.
Ketika membentangkan belanjawan alternatif Pakatan Rakyat di parlimen hari ini, Anwar berkata ia bertujuan untuk membantu rakyat mengharungi hidup yang semakin terhimpit.
Pakatan memperuntukkan RM220 bilion dalam belanjawan berkenaan melibatkan penjimatan  sebanyak RM4 bilion dari perbelanjaan kerajaan BN.
Ia menumpukan usaha  mengurangkan defisit kepada 4.4 peratus berbanding kadar 6 peratus daripada KDNK tahun ini.

Cincin RM24 juta tidak diikrar keluar semula- Chegu Bard

(Oleh: Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mempersoalkan apakah tujuan sebenar cincin RM24 juta yang dikaitkan dengan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dibawa keluar selepas masuk ke negara ini.
Menurutnya, sekiranya berlian itu dibawa  untuk tujuan pameran dan dibawa keluar semula, ia perlu diikrar atau menggunakan borang khas oleh Jabatan Kastam di Raja Malaysia (KDRM).
“Kalau masuk untuk pameran seharusnya prosedur borang berbeza iaitu borang carnet atau seharusnya perlu diikrarkan dalam borang itu barang untuk pameran dan akan keluar semula,” katanya kepada keadilan daily.com.
Beliau mengulas pengesahan Jabatan Kastam di Raja Malaysia berhubung kemasukan cincin berkenaan, seperti yang dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapan bertulisnya di parlimen hari ini.
Bagaimanapun, ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng itu, Nazri berkata berlian itu dihantar kembali kepada syarikat pengeluar cincin berkenaan, selepas beberapa hari memasuki negara ini.
Mengulas lanjut, Chegu Bard berkata, sejurus selepas mendedahkan maklumat tersebut di blognya pada 8 Julai 2011, blogger upahan Umno menjawab kononnya cincin itu dibawa masuk ke Malaysia untuk pameran sulit.
“Mereka turut menyiarkan salinan borang. Namun banyak keraguan antaranya pindaan tanpa pengesahan dan tanda tangan pegawai kastam di lokasi, tetapi ditandatangani pegawai yang bertugas di bahagian latihan pusat,” kata beliau.
Menurutnya lagi, beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 13 Julai lalu, yang membawa siasatan terhadap seorang pegawai syarikat kargo bernama A Krishnan, namun ia terhenti begitu sahaja.
“Tindakan SPRM lepaskan laporan ini cukup untuk buktikan dokumen saya betul dan sah,” kata Chegu Bard.
Badrul berkata, bekas anggota Parti Keadilan Nasional, Anuar Shaari yang kini menyertai Umno, sebelum ini turut mengakui berlian itu dibeli oleh besan kepada Najib dan Rosmah di Kazakhstan, Maira Nazarbayev.
“Bagaimana pula dengan Anuar Shaari yang muncul dan kata dalam media yang cincin itu dibawa masuk oleh Maira (besan) Rosmah yang gambar (menunjukkan) seolah itu hadiah,” kata Badrul.