Tuesday, December 20, 2011

Lagi Pemikiran Abang Mat Sabu....

Kemenangan Islam akan sampai

Mohamad Sabu


Sejak dari kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia sehinggalah penjajahan sepenuhnya terhadap bumi Islam, jatuhnya kerajaan Uthmaniyah pada 1924, kemuncak segala penghinaan terhadap orang Islam apabila tiga tempat suci orang Islam dikuasai secara direct atau indirect oleh Yahudi dan Nasara yang bersifat mustakbirin.

Makkah dan Madinah dikuasai oleh Lawrence of Arabia dan proksinya.  Dan Inggeris menguasai Baitulmaqdis 1917 diikuti dengan Yahudi menguasai sepenuhnya pada tahun 1967.  Umat Islam kehilangan arah, kehilangan tamadun dan kehilangan arah tuju berada di bawah penjajah begitu lama di antara 100 tahun sehingga 400 tahun berada di bawah penjajahan.

Gerakan berjuang untuk mencapai kemerdekaan berterusan sehinggalah pada tahun 1940-an negara orang Islam mula mencapai kemerdekaan.  Antaranya Indonesia, Pakistan, negara-negara utara Afrika, Malaya 1957 dan negara-negara Timur Tengah yang lain sehinggalah pada tahun 1960-an hampir kesemua (belum kesemua) wilayah orang Islam dibebaskan daripada penjajahan.

Tahun 1990-an pula terbebasnya negara-negara CIS daripada penjajahan Soviet seperti Kazakhstan,Turmenistan, Azerbaijan dan Uzbekistan.

Secara umumnya umat Islam yang mencapai kemerdekaan gagal menunjukkan prestasi yang baik sama ada dalam bidang melaksanakan hukum syariat atau mewujudkan masyarakat yang adil.  Good governance yang mempunyai penyeimbangan taraf sosial tidak berlaku di dunia Islam.

Bahkan negara orang Islam yang mencapai kemerdekaan beralih daripda diktator Barat atau Timur kepada diktator anak tempatan.  Sama ada ia berlaku di Indonesia, di Malaysia, di negara-negara Timur Tengah paling ketara sama ada di Iraq, Syria, Iran, Libya, Mesir, Yaman dan sebagainya.

Pada abad 15 Hijrah ini golongan yang berjuang di atas dasar Islam mula mengambil tempat membebaskan satu negara ke satu negara daripada cengkaman nasionalis sekular atau nasionalis kapitalis yang menguasai dunia Islam.  Para ulama telah bangun membebaskan Iran daripada cengkaman rejim Shah yang disokong Amerika.  Kemudian munculnya gerakan Islam yang begitu hebat bertarung dengan Israel setelah negara Arab enggan mengalah dengan Israel.

Munculnya gerakan Hamas, Hizbullah jihad bertarung secara berdepan dengan Zionis Israel yang disokong Amerika.

Kebelakangan ini berlaku "Arab Spring" di mana rakyat bangun untuk menolak pemerintah diktator melalui perarakan jalan raya kerana di negara mereka hampir tidak ada demokrasi seperti yang berlaku di Tunisia, Yaman dan Mesir serta negara lain di Timur Tengah.

Kemudian pilihan raya agak bebas dikendalikan oleh kerajaan-kerajaan sementara.

Alhamdulillah, buat masa ini parti yang berdasarkan Islam mula mencapai kemenangan seperti yang berlaku di Maghribi, Tunisia, Mesir yang keputusannya diketuai minggu ini apabila Ikhwanul Muslimin dan golongan Salafi menguasai majoriti Parlimen Mesir.

Kita yakin juga bahawa di Malaysia parti Islam akan dipilih oleh rakyat dan mengetuai pembaharuan di Malaysia dalam pilihan raya akan datang.  Di atas susun atur yang dibuat selama ini berkoalisi dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat serta rakan-rakan NGO lain saya berkeyakinan penuh PAS akan tertonjol menjadi parti pilihan rakyat yang terkuat selepas pilihan raya akan datang.

Kita yakin penuh segala sangkaan buruk kepada PAS akan tenggelam selepas ini seperti sangkaan mengatakan kekuatan PAS di Kelantan hanya bergantung kepada Mursyidul Am semata-mata.

Kita yakin perkara ini akan berubah sebab kekuatannya bergantung kepada umat dan Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat  (gambar kanan) sebagai ketua di negeri Kelantan itu.

Tuduhan yang mengatakan beberapa orang EXCO Kelantan kurang berfungsi juga akan tenggelam dengan kebangkitan atau kemunculan golongan Islam yan akan buat pembaharuan dalam pilihan raya akan datang.

Kemenangan dipertahankan dan merebak ke seluruh Malaysia.  Begitulah juga keadaan di Kedah, kita yakin penuh siapa sahaja yang muncul memimpin hatta Menteri Besar yang ada sekarang kita yakin penuh PAS dan rakan mereka akan mencapai kemenangan yang besar dalam pilihan raya akan datang.

Perubahan pada abad ini serta kepercayaan yang diberikan umat Islam di seluruh dunia akan melahirkan satu perubahan tekad.  Tuduhan selama ini, PAS serupa dengan UMNO jika ambil alih kuasa, saya yakin tidak akan berlaku.

Ada juga tuduhan yang mengatakan beberapa pemimpin membuat "claim" tidak betul.  Itu semua telah disanggah oleh mahkamah dan ia tidak berlaku.  Dan good governance akan muncul sama ada di peringkat negeri atau peringkat Parlimen.

Insya-Allah Putrajaya akan dibebaskan daripada cengkaman UMNO pada PRU13.  Dunia Islam yang ketinggalan dalam good governance, antirasuah selama ini puluhan atau ratusan tahun pun akan dilihat perubahan di seluruh dunia Islam sama ada di Timur Tengah atau di sebelah sini.  Dan serentak kita lihat keruntuhan sistem ekonomi Barat sekarang ini.

Dengan perubahan ini kita berharap akan berlaku satu pembaharuan melahirkan semula tamadun Islam yuang akan menggantikan kelemahan kehampaan manusia kepada umat Islam yang berlaku ratusan tahun selama ini.  Inilah cabaran yang akan kita hadapi menjelang PRU13.  Dan selepas memperolehi kuasa nanti parti Islam akan muncul menjadi pilihan ummah.

Islam dan bukan Islam bersama rakan-rakannya yang lain, KeADILan dan DAP untuk melahirkan good governance telus, berakauntibiliti yang gagal ditunjukkan BN yang mana laporan audit tahun ini paling teruk menunjukkan penyelewengan.  Indeks rasuah menurun lagi 4.9 kepada 4.8, negara Malaysia daripada tempat ke-56 jatuh lagi kepada 60 melalui pemerintahan mereka.

Inilah harapan kita dan saya kepada ahli PAS supaya mereka yakin dengan perjuangan dan masa depan parti Islam.

*Tulisan Mohamad Sabu (gambar kiri), Timbalan Presiden PAS ini disiarkan dalam Harakah, edisi 12-15 Disember 2011.