Saturday, May 26, 2012

Hikmah Kejadian 11 September!!!

Dari Bikini Ke Purdah Kerana Peristiwa 11 Sept ...



GADIS itu dulunya seorang aktres yang cantik, model, pelatih fitness dan seorang aktivis hak asasi. Dia membesar dalam masyarakat Barat yang bebas bersosial, mendedahkan aurat dan anti Islam.m. Hidayah Allah Maha Luas menyapa hati yang sering gundah gelisah ini. Hati menyambut cinta Allah yang bernama Islam.
Lantas konflik jiwa yang sering menjadi teman selama ini mula menyisih dari kehidupannya. Betapa hebatnya benih bermutu bernama Hidayah@aqidah Islam itu sehingga ia mampu menyerlahkan perwatakan berbeza seorang gadis Barat. Itulah dia Sara Bokker.
Sara meninggalkan dunia yang gelap sebelum ini menuju cahaya yang indah. Sara mula mengenal penciptanya, objektif manusia dihidupkan dan ke mana akhirnya dia akan kembali. Semua itu mengubah dirinya yang dulu begitu aib mendedahkan batang tubuhnya kepada umum, sekarang dia memilih hijab para mukminah di zaman Nabi SAW yakni 'purdah'

Peningkatan amalan yang sangat membanggakan dan mendapat restu serta sokongan suami tercinta. Sara tidak berhenti setakat dirinya menikmati hidup yang semakin ceria, bahkan turut memperjuangkan Islam, menyedarkan wanita lain agar menutup aurat, memerangi dakyah musuh-musuh Islam dalam hal etika pakaian Islam, perwatakan sebenar gadis Islam yang perlu dipelihara secara konsisten agar tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak agar mereka hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Beliau sekarang adalah Pengarah Komunikasi di The March for Justice, salah seorang pengasas Global Sisters Network dan Produser Shock and Awe Gallery. Pengalaman beliau telah dicatat di www dot marchforjustice dot com yang telah diterjemahkan oleh Zain A Ghani. Terima kasih dari Weblog Ibnu Hasyim kepada beliau, syukran, al-hamdulillah!

Ku Tinggalkan berbikini..

Sebagai anak Amerika yang lahir di kota besar Amerika Syarikat, aku membesar seperti gadis-gadis lain yang terbiasa dengan kehidupan glamour kota besar. Kemudian aku berpindah ke Florida, di pantai Selatan Miami, sebuah tempat popular untuk mencari kehidupan glamour. Tentulah ketika itu aku juga melakukan apa-apa yang sering dilakukan oleh gadis-gadis Barat.

Aku hanya prihatin pada penampilan fizikal dan daya tarikanku serta mengukur nilai reputasiku berdasarkan banyaknya perhatian orang lain padaku. Aku bersukan secara rutin hingga menjadi pelatih peribadi di sebuah perumahan mewah di pinggir laut. Aku menjadi pengunjung setia pantai yang “suka mempamerkan tubuh” serta berjaya mencapai taraf hidup yang penuh bergaya dan ada kelas.

Tahun demi tahun berlalu, kufahami bahawa ukuran nilai kepuasan diri dan kebahagiaanku terletak pada semakin tinggi aku menggunakan daya tarik kewanitaanku. Saat itu, aku benar-benar menjadi hamba fesyen-fesyen terkini. Sesungguhnya aku telah ‘menjadi tawanan’ kepada kehendakku sendiri. Di celah-celah kekosongan hidup antara kepuasan diri dan gaya hidup yang makin melebar, maka aku mencari perlindungan dengan sebuah pelarian.

Aku mengambil arak dan pesta-pesta, mengikuti meditasi, menjadi aktivis, belajar kepercayaan-kepercayaan lain dengan tujuan agar di celah-celah kekosongan itu terisi dengan pelbagai aktiviti. Namun, akhirnya aku sedar bahawa semua itu bagaikan ubat pelali sahaja, yang mana sakitnya kembali berulang dibandingkan pengubatan yang benar-benar berkesan.

Kemudian berlaku peristiwa 11 September 2001. Sebagai saksi atas serangan berterusan terhadap Islam, pada nilai-nilai dan budaya Islam serta wujudnya pengisytiharan negatif mengenai “Perang Salib Baru”, aku terpanggil untuk mula memerhati satu ajaran bernama Islam.

Ketika itu aku mengaitkan semua yang berbau Islam dengan wanita-wanita yang berbaju seperti “khemah”, tukang pukul isteri, harem dan dunia pengganas. Sebagai aktivis pembebasan wanita dan seorang yang mahukan dunia yang lebih baik untuk semua, jalanku bertembung dengan jalan aktivis lainnya yang telah memimpin reformasi dan keadilan untuk semua tanpa pilih bulu.

Setelah itu, aku turut bergabung di dalam kempen sahabat-sahabat baruku yang ketika itu, salah satunya adalah reformasi pilihanraya dan hak-hak awam. Sekarang kegiatan harianku sangat berbeza. Daripada mendukung keadilan secara “berpilih”, aku belajar bahawa yang ideal seperti keadilan, kebebasan dan penghargaan benar-benar bermakna dan bersifat universal.

Untuk pertama kalinya, aku insaf, sesungguhnya semua orang dicipta Allah adalah setaraf. Namun yang paling penting, aku belajar bahawa hanya perlu keyakinan untuk melihat dunia yang satu dan untuk melihat penyatuan dan ciptaan.

Bertemu al-Quran

Suatu hari, aku membelek sebuah buku yang dianggap negatif di Barat, al-Quran yang suci. Baru tadi aku tertarik pada gaya dan pendekatan al-Quran. Kemudian minatku tambah mendalam pada pandangannya tentang kewujudan makhluk, kehidupan, penciptaan dan hubungan antara Pencipta dan ciptaanNya.
Aku rasa al-Quran dapat menjadi sumber pembuka wawasan dan pengetahuan untuk hati dan jiwa tanpa perlu penterjemah atau paderi.

Akhirnya aku sampai kepada masa yang sangat penting yang mengubah kehidupanku seterusnya. Pemahaman aktivis yang baru kurasakan untuk kepuasan diri baru-baru ini, jelas tidak bermakna apa-apa dibandingkan dengan keyakinan yang disebut Islam, yang membawa aku hidup damai sebagai muslim yang bermanfaat.

Bahagia dengan Hijab

Aku membeli sehelai gaun panjang yang cantik dan penutup kepala, mirip gaya pakaian muslimah. Dengannya aku berjalan di jalan dan kawasan tetangga yang sama, yang mana beberapa hari sebelumnya aku masih mengenakan seluar pendek, bikini atau gaya pakaian Barat yang berkelas.

Walaupun masyarakat, wajah dan gedung-gedung semuanya tetap sama, ada satu perkara yang sangat berbeza, kerana untuk pertama kalinya, aku berasa suatu kedamaian yang sangat berbeza berbanding yang dahulu. Aku merasa seolah-olah semua rantai telah terputus dan akhirnya aku benar-benar merasa bebas. Sangat menyenangkan, kadang-kadang sedikit lucu melihat wajah hairan sesetengah orang terhadap penampilan baruku.

Tiba-tiba sahaja beban itu terangkat dari bahuku. Aku tidak lagi menghabiskan masaku untuk berbelanja, membeli kosmetik, ke salon dan melatih diri untuk penampilanku. Akhirnya aku bebas. Dari semua tempat itu, aku menemui Islam tepat di pusat dari tempat yang disebut orang sebagai “pusat skandal di bumi”, yang membuatkan semua itu menjadikannya penuh cinta dan istimewa.

Walaupun bahagia dengan hijab, aku menjadi ingin tahu mengenai niqab (purdah/cadar) kerana melihat ramai muslimah yang mengenakannya. Aku bertanya suamiku yang juga Muslim, yang berkahwin denganku setelah aku menjadi Muslimah, adakah aku boleh mengenakan niqab atau cukup dengan hijabku sekarang yang sudah kukenakan?

Dengan selamba suamiku mengatakan dia percaya bahawa hijab adalah satu kewajiban, namun tidak dengan niqab. Ketika itu, hijabku terdiri dari penutup kepala yang menutup seluruh rambutku kecuali wajah dan gaun hitam panjang yang longgar. Ia disebut abaya (jubah) yang menutupi tubuh dari leher hingga kaki.

Memakai purdah
Satu setengah tahun berlalu, aku memberitahu suamiku bahawa aku mahu memakai purdah. Alasanku kali ini ialah aku merasa lebih “menyenangkan” Allah Yang Maha Mencipta, dan akan meningkatkan rasa damai dalam diri bila berpakaian lebih tertutup. Dia menyokong keputusanku dan membawaku membeli “isdaal”, sejenis gaun hitam longgar yang menutup dari kepala hingga kaki dan niqab yang menutup seluruh kepalaku termasuk wajah kecuali mata.

Cabaran Hijab dan Niqab

Tidak lama kemudian, media mula menyiarkan berita tentang ahli politik, pembesar gereja, pendokong kebebasan, aktivis Hak Asasi Manusia (HAM) palsu yang berkali-kali mengkritik pedas tentang hijab, apatah lagi niqab. Bagi orang lain ia kelihatan sangat kejam terhadap wanita. Juga dianggap gangguan dalam pergaulan dan baru-baru ini seorang pegawai Mesir mengatakan bahawa perkara itu sebagai “tanda-tanda kemunduran”.
Aku melihat kenyataan itu sangat munafik . Beberapa pemerintah dan kumpulan pembela HAM palsu yang tergesa-gesa cuba membela hak wanita, sedangkan pemerintah beberapa negara lain memaksa penggunaan peraturan berpakaian tertentu bagi wanita. Meskipun begitu “Pejuang Kebebasan” memandang dari posisi lain ketika wanita kehilangan hak-haknya untuk berkerja dan belajar hanya kerana memilih menggunakan haknya mengenakan hijab atau niqab.
Namun sekarang, berlaku banyak halangan terhadap wanita yang mengenakan hijab atau niqab untuk keluar berkerja dan mendapatkan pendidikan di sekolah dan universiti. Ia bukan hanya di bawah rejim kuku besi seperti di Tunisia, Morocco dan Mesir tetapi juga di negara-negara demokrasi seperti Perancis, Belanda dan Inggeris.

Memperjuangkan Hak Wanita

Ketika ini, aku masih seorang aktivis wanita, tetapi kali ini sebagai aktivis Muslimah, yang menyeru para Muslimah untuk mengambil tanggungjawab mereka memberi sokongan setakat mampu kepada suami agar menjadi Muslim yang baik, membesarkan anak-anak mereka agar menjadi Muslim yang jujur dan bertanggungjawab. Sehingga mungkin akan menjadi cahaya kepada kemanusiaan.

Untuk menyebarkan kebaikan dan menjauhkan kejahatan, untuk berbincang tentang kebenaran dan kebajikan serta melawan semua kemungkaran. Aku berasa patut memperjuangkan hak-hak kita untuk mengenakan niqan atau hijab demi menyenangkan Yang Maha Mencipta, apapun yang kita pilih. Penting juga berkongsi pengalaman memakai niqab atau hijab kepada kawan wanita yang mungkin belum pernah berpeluang untuk memahami kenapa perlunya mengenakan niqab atau hijab bagi kita dan rasional kita, sehingga dengan penuh cinta kita memeluknya.

Sebahagian besar wanita yang kuketahui mengenakan niqab adalah muallaf Barat. Sebahagian dari mereka belum berkahwin. Yang lain mengenakan niqab tanpa sokongan penuh dari keluarga mahupun masyarakat sekelilingnya. Apa yang kita perlu fahami ialah mengenakan purdah adalah pilihan peribadi dan tidak seorang pun boleh menyerah atas pilihan peribadinya sendiri.
Mahu atau tidak, kaum wanita dihujani dengan gaya “berpakaian minima sehingga tanpa pakaian langsung” secara virtual dalam setiap bentuk komunikasi di manapun di dunia ini. Sebagai seorang bekas non-muslim, aku menuntut hak-hak wanita untuk sama-sama mengetahui mengenai hijab, kebaikan-kebaikannya, kedamaian dan kebahagiaan yang dibawanya ke dalam kehidupan wanita, seperti yang telah terjadi padaku.

 

Dulu Bikini, Sekarang Niqabi 

Dulu, bikini merupakan lambang kebebasanku, yang hakikatnya membebaskan aku dari aqidahku dan sebagai manusia normal. Tiada apa-apa yang lebih menggembirakan aku kerana menanggalkan bikiniku di pantai dan gaya hidup Barat yang gemerlapan itu untuk hidup damai dengan Penciptaku, serta menikmati hidup di antara teman-teman sesama manusia sebagai peribadi yang layak menerimanya.

Hal itu merupakan alasanku untuk memilih memakai niqab dan bersedia mati membela hakku yang tidak mungkin dicabut untuk memakainya.
(IH/DM dll)