A Kadir Jasin
SIAPA rugi apabila kerajaan flip flop mengenai pertukaran saham (share swap) yang melibatkan pemilik utama MAS dan AirAsia?
Kesatuan sekerja dan persatuan kakitangan MAS tentu gembira. Mereka menentang urus niaga itu. Pengurusan MAS pun mungkin gembira. Mereka tidak perlu lagi ambil kira pendapat rakan kongsi mereka.
Pengasas bersama AirAsia (baru), Tony Fernandez tidak berkata dia gembira. Dia berkata dia lega.
Bagi saya, inilah flip flop rasmi era Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak yang sangat negatif kesannya.
Kalau (Tun) Abdullah Ahmad Badawi flip flop mengenai Jambatan Bengkok, beliau ubah fikiran ke atas projek zaman (Tun) Dr Mahathir Mohamad.
Tetapi apabila Mohd Najib flip-flop ke atas pertukaran saham MAS-AirAsia, beliau flip-flop ke atas rancangan beliau sendiri.
Macam mana kerajaan boleh melaksanakan share swap antara MAS dan AirAsia tanpa berunding atau mengambil kira sentimen kesatuan sekerja dan persatuan kakitangan MAS adalah di luar kemampuan saya memikirkannya.
Apakah kerajaan tidak sedar bahawa kesatuan sekerja dan persatuan kakitangan MAS berpengaruh dan ada ciri-ciri militan yang tersembunyi?Menjawab soalan di Dewan Rakyat, Mohd Najib berkata usaha menggabungkan kekuatan MAS-AirAsia gagal kerana penentangan kakitangan MAS.
Nampak jelas yang kakitangan MAS tidak dibawa berunding. Nampak terang yang pemerintah gagal memahami kekuatan dan keazaman kesatuan dan persatuan kakitangan MAS.
Indonesia Pangkalan Rantau AirAsia
Sejak itu, beberapa orang anggota pengurusan kanan MAS telah meletakkan jawatan atau tidak memanjangkan kontrak perkhidmatan. Diberitakan yang beberapa orang daripada mereka akan menyertai AirAsia.MAS pula telah meminjam RM2.5 bilion dari pasaran kewangan melalui Sijil Kewangan Islam atau, dalam bahasa Arab, Sukuk bagi membiayai operasinya. Jumlah itu hampir bersamaan dengan kerugian MAS bagi tahun 2011.
AirAsia pula nampaknya telah mempercepatkan rancangan menjadikan Jakarta sebagai hab serantau yang sekali gus merendahkan taraf Kuala Lumpur sebagai pangkalan utamanya.
AirAsia mengelakkan Malaysia sebagai ibu pejabat korporat, tetapi menjadikan Indonesia sebagai pusat operasi Asean.
Sama ada dia merajuk kerana flip flop kerajaan Malaysia atau dia komited kepada potensi Indonesia sebagai gergasi ekonomi masa depan, pengasas bersama AirAsia (baru), Tony Fernandes akan “berhijrah” ke Jakarta untuk mengetuai operasi Indonesia.
Pada 18 Jun, AirAsia mengumumkan pelantikan Aireen Omar sebagai peneraju operasi tempatan AirAsia bagi menggantikan Fernandes.
Fernandes dan rakan kongsinya, Kamarudin Meranun, memuji Aireen sebagai orang belakang tabir yang berjaya mengelak AirAsia daripada mengalami masalah teruk ketika krisis kewangan akibat kenaikan harga minyak tidak lama dulu.
AirAsia mempunyai rancangan yang menarik untuk Indonesia. Antaranya, ia akan menjual sahamnya melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) pada suku pertama tahun hadapan. Ia sudah pun melakukan IPO untuk anak syarikatnya di Thailand.
Kesan Kepada KLIA
Adalah amat menarik melihat sama ada AirAsia akan memindahkan sebahagian kapal terbangnya dari Kuala Lumpur ke Jakarta atau akan menggunakan pesawat baru yang dipesan daripada Airbus Industries, Perancis.AirAsia ada 62 buah kapal terbang jenis Airbus A320 di Malaysia, 24 di Thailand dan 19 di Indonesia. Kumpulan AirAsia ada dalam pesanan 77 buah Airbus A320-200 dan 200 buah Airbus A320-Neo. Manakala penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X mempunyai 11 kapal terbang – sembilan Airbus A330 dan dua A340.
Perkembangan terbaru ini memberi cabaran tambahan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang sedang membina terminal tambang murah berharga lebih RM2.5 bilion di KLIA kerana AirAsia adalah pengguna utamanya.
Pada masa yang sama, adalah baik bagi AirAsia berhati-hati dalam usaha niaganya di Indonesia kerana negara itu masih dalam proses mengemaskinikan undang-undang dan peraturan pelaburan asingnya. Hal ini sudah pun menjejas pelaburan asing dalam sektor perbankan.
Kesimpulannya, flip flop yang berlaku ke atas pertukaran saham MAS-AirAsia boleh merugikan industri penerbangan Malaysia kalau pemilihan Jakarta sebagai hab Asean oleh AirAsia akan mengurangkan penggunaan KLIA dan lapangan-lapangan terbang lain di negara kita.
Pelabur akan pergi ke mana peluang dan layanan lebih baik, apatah lagi jika wujud faktor tolakan (push factor) di negara mereka sendiri. Wallahualam