Monday, March 4, 2013

Misuari dakwa 'mereka ke Sabah selepas janji Najib'

Harakahdaily,
MANILA: Menurut laporan Manila Buletin Publishing Corporation (mb.com.ph), pengasas MNLF Nur Misuari mendakwa tentera Sulu ke Sabah selepas mendengar janji dari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut laporan bertarikh 21 Februari  2013 bertajuk "Don’t Harm Sultan’s Men, Nur Warns Malaysia", Misuari berkata, ketika beliau di Jolo, Sulu  beliau terdengar bahawa adik kepada Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram telah merentas lautan kerana mereka telah dijanjikan untuk ditempatkan di Sabah.

Oleh itu, Misuari merayu Najib untuk bertindak dengan cermat dalam menghadapi pemberontak Filipina yang kini telah membunuh lapan anggota polis Malaysia di Sabah dalam pertempuran berdarah di Lahad Datu dan juga Semporna.
Misuari   juga mendakwa Agbimuddin mungkin ke Sabah untuk menunjukkan ketidaksabaran terhadap tuntutan mereka.

(Gambar Esmail Kiram 11 dengan Najib dalam satu majlis...dari facebook Esmail D. Kiram 11)


"Perkara ini perlu diselia oleh mereka yang lebih tenang," beliau berkata, sambil menambah ia adalah lebih baik menunggu pilihanraya umum April ini untuk melihat siapa menjadi Perdana Menteri.

Misuari juga memberikan amaran kepada Malaysia untuk menyelesaikan pertempuran di Sabah dengan aman.

Jika tidak, pasukannya akan memberikan bantuan kepada Kiram, ugut Misuari (gambar).

Laporan penuh artikel yang ditulis oleh Edd K.Usman boleh dibaca di sini.

http://www.mb.com.ph/articles/394999/don-t-harm-sultan-s-men-nur-warns-malaysia#.UTN41nySDDE

Penafian Misuari


Sementara itu media yang sama melaporkan, Sabtu lepas ketika bercakap di Davao City, Nur Misuari menafikan penglibatan beliau dengan apa yang berlaku di Sabah sekarang.

Misuari menafikan penglibatan ini ketika pertemuan lewat malam dengan Timbalan Datuk Bandar Davao City, Rodrigo Duterte di Hotel Royal Mandaya Sabtu, 2 Mac lepas.

"Mereka mendakwa saya memberikan semangat," kata Misuari disamping mendakwa beliau memberikan bantuan kewangan kepada kumpulan Kiram ini.

“Saya bersama isteri hampir sebulan di Afrika, Malayo kami," kata Misuari semasa pertemuan tersebut.

Lagipun, katanya, dia tidak mempunyai wang untuk membantu mereka. "Di mana saya nak dapatkan wang itu membantu mereka," tambahnya.