Tuesday, December 6, 2011

Pemikiran Abang Mat...Syabas!

Integriti: Barat dan puak kiri lebih ke depan berbanding dunia Islam sekarang, Mat Sabu

Lim Hong Siang 

 
Mengambil contoh bagaimana negara Barat seperti Sweden mencatat indeks rasuah terendah di dunia, dan bagaimana pimpinan golongan kiri menampilkan cara hidup yang sederhana, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu meluahkan kebimbangannya terhadap pemerintahan dunia Islam mutakhir ini, yang dilihat ketinggalan dalam penekanan kepada soal integriti.

Lebih dikenali dengan Mat Sabu (gambar kiri), beliau berkongsi pengamatannya bahawa pemerintahan Nabi Muhammad SAW tidak dijelmakan dalam dunia Islam pada hari ini.  "Kita lihat negara-negara orang Islam secara umum, tidak dapat dijadikan modal sandaran dalam bentuk hak asasi, keadilan sosial, yang dijelmakan sebelum ini," katanya.

Secara terus-terang, beliau menyatakan bahawa Pakistan dan Arab Saudi tidak boleh dijadikan contoh keadilan sosial, melihat kepada jurang kaya-miskin yang ketara dalam masyarakat tersebut, meskipun kedua-dua negeri ini melaksanakan Hudud. Beliau berkongsi pengamatan di depan lampu trafik sendiri, dari kereta mewah, kereta biasa, beca, sehinggalah orang yang menjunjung besi - cukup untuk memberikan gambaran sejauh manakah masalah kaya-miskin dalam masyarakat itu.  Malah, Mat Sabu menambah, pendedahan harta milikan pemimpin negara Islam yang digulingkan kebelakangan ini, "tidak langsung menggambarkan keadilan sosial wujud di negara-negaranya."

"Ertinya, kalau ditumpukan pelaksanaan Syariat itu semata-mata, (dan) tidak dilihat keadilan sosial, kebimbangan saya PAS akan pergi ke arah langkah itu, ke arah model itu!" katanya dalam satu dialog yang berjudul "PRU 13: Malaysia Ke Arah Negara Berintegriti", melibatkan kira-kira 30 orang di Shah Village Hotel, pada 3 Disember 2011.

Mat Sabu mendakwa Pakatan Rakyat kini berada di ambang kuasa.  Senario terkini merangkumi dua unsur, susun kerja Pakatan Rakyat yang mantap, dan kemeluatan rakyat terhadap UMNO-Barisan Nasional yang terlalu lama berkuasa.  "Penolakan kepada benda yang lama ini sudah jadi lumrah," katanya, merujuk kepada kesilapan UMNO-BN yang semakin tertunggak dan gagal diperbaiki dalam tempoh pemerintahan yang lama.

Beliau yakin, pemerintah boleh digulingkan apabila kemarahan rakyat memuncak, tanpa perlunya revolusi yang dipimpin oleh ketua.  "Bukan kita hebat, tetapi rakyat meluat (dengan pemerintah)," demikianlah kata-katanya ketika meramalkan kejatuhan UMNO-BN, disusuli dengan peringatan, "Tetapi bila menang nanti, pengisian ke arah mana itu cukup penting!"

"PAS ganti UMNO"

Bagaimanapun, Mat Sabu berkongsi kekecewaan dan keresahan dirinya, ketika mengupas senario politik selepas PRU 12 pada 8 Mac 2008.  Pakatan Rakyat berjaya memerintah di empat negeri (tidak termasuk kerajaan negeri Perak yang dirampas kuasanya oleh BN pada tahun 2009), dengan kerajaan negeri Kedah dan Kelantan didominasi PAS.  Namun demikian, pemerintahan DAP lebih menampilkan integriti berbanding PAS, menurut penilaian Mat Sabu.

Apa yang membimbangkan beliau, "kecenderungan anak Islam untuk menyertai DAP terlalu tinggi", antaranya kerana tertarik dengan kewibawaan integriti yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar kiri) dalam pemerintahannya, kata Mat Sabu.  Beliau menjelaskan, meskipun secara peribadinya Nik Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan melahirkan integriti contoh dalam mendapat kuasa, namun ia tidak diterjemahkan dalam bentuk umum, iaitu EXCO-EXCO dan pemerintah di Kelantan.

"Oleh itu, kalau kita tidak berani melahirkan pemerintah yang berintegriti bila kita berkuasa nanti, kita bimbang PAS betul-betul ganti UMNO," sindirnya berlapik ke atas slogan "PAS ganti UMNO", sebelum meneruskan, "Unsur ganti UMNO itu memang ada sekarang, di atas sifat 'hak saya untuk dapat itu'..."

Mat Sabu menyelar tindak-tanduk sesetengah wakil rakyat PAS, yang didakwanya membuat "claim tipu".  Malah, soal integriti tidak dipandang berat, sebagaimana yang diamatinya melalui pergaulan dengan beberapa pimpinan dalam parti.  Beliau mengkritik sikap sesetengah orang, "Selalu disebut, pemerintahan kita, mana ada tangkapan rasuah?  Law lain, integriti lain.  Kita bawa kereta lari 180 km sejam, tak ada polis tak kena tahan.  Ertinya, kalau kita mencuri, masa itu tak ada polis, tak kena tahan.  Tapi integriti datang daripada sifat dalaman."

Beliau menganggap integriti ini lebih berjaya dijelmakan oleh pemerintahan Barat, sungguhpun terdapat kerosakan lain yang dibawa Barat di sebaliknya.  Beliau sempat memetik Rached Ghannouchi, pemimpin gerakan Islam Ennahda yang kembali ke Tunisia, ketika ditanya apakah model negara yang ingin diteladani sebagai negara kebajikan, setelah menang dalam pilihan raya baru-baru ini, Rached memilih Sweden sebagai jawapannya.

Mat Sabu mengulas bagaimana negara seperti Sweden, Demmark menduduki ranking teratas, sebagai negara yang bebas daripada rasuah, sedangkan negara Islam gagal melonjakkan diri dalam senarai teratas.  Beliau sempat mengusik Malaysia, yang jatuh ranking-nya ke tangga 60, berbanding ke-56 daripada 178 negara tahun lalu.  "Kita boleh ketawa sebab Malaysia sekarang ditadbir BN, tetapi apakah indeks itu akan berkurang bila kita ambil alih kuasa?" persoalnya.

Ambil khazanah negara untuk parti

"Ini yang berlegar di kepala saya apabila kita mencapai kuasa nanti.  Apakah kita boleh jelmakan Islam yang dijelmakan Nabi, atau kita jelmakan pemerintahan baru yang mengganti UMNO?"

Mat Sabu mengisahkan bagaimana Nabi Muhammad SAW berdakwah dalam keadaan tidak berkuasa, hanya mampu menarik kira-kira 300 orang pengikut dalam 13 tahun; namun angka ini melonjak kepada lebih suku juta, apabila Nabi berdakwah dalam keadaan berkuasa untuk lapan tahun.  Penambahan ini kerana jelmaan Islam dalam pemerintahan Nabi seperti keadilan sosial meyakinkan orang ramai.

Beliau kemudian mempersoalkan, mengapa tiada satu pun markas dibina di Kedah, selepas hampir empat tahun PAS mengambil-alih kerajaan negeri itu?  Ahli PAS mula henti derma, kerana mereka sedang memerhati untuk tujuan apa PAS mengambil alih kuasa.  Beliau memberi amaran, "Bila kita guna khazanah negara untuk parti, kita ambil alih tempat UMNO!"

Mat Sabu tidak menyelindung ketidaksenangan dirinya, apabila Kedah dan Kelantan ketinggalan berbanding Selangor, yang meluluskan usul mendesak pemansuhan ISA, Enakmen Kebebasan Maklumat dan sebagainya.  Beliau menyelar sikap sesetengah pemimpin yang menganggap lebih baik tidak usik undang-undang yang sedia ada seperti ISA, kerana mungkin diperlukan apabila berkuasa kelak.

"Pembebasan demokrasi," tegasnya, seandainya gagal dikotai, maka memang PAS ganti UMNO.  Secara jujur Mat Sabu mengakui, tiada jaminan daripadanya bahawa keadaan lebih baik apabila Pakatan Rakyat mengambil alih daripada Barisan Nasional, namun rakyat mesti diberi hak untuk menghukum pemerintah apabila berlaku penyelewengan.

Sepanjang pemerhatiannya, pemikiran liberal dan sosialis muncul kembali sejak kebelakangan ini, dan diminati semula.  "Kalau kita tidak dapat melahirkan integriti yang hebat ini, saya nampak golongan kiri akan mendahului," dakwanya, mengambil contoh bagaimana Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nasir Hashim mempamerkan cara hidup yang sederhana meskipun mungkin lemah dalam bidang yang lain.  Jeyakumar Deveraj, mengisytiharkan hartanya selepas menjadi wakil rakyat - yang mana langkah ini kurang diminati pimpinan PAS ketika Mat Sabu membangkitkannya dalam mesyuarat.

"Kalau kita nak Islam berada di atas, dan peranannya, soal integriti ini hendaklah menjadi tajuk utama," tekannya.

A.Samad Said: Idola orang muda

Mat Sabu turut mengambil nama A.Samad Said sebagai contoh, mengulas bagaimana Sasterawan Negara dengan usia dan keadaannya yang sebegitu, mampu disanjung sebagai idola orang muda.  "....Dia boleh memperhambakan dirinya untuk kemanusiaan, keinsanan.  Kenapa tidak berlaku begitu di kalangan ulama kita?  Ini yang saya merungut itu!"

Sambil berkata dirinya tidak berniat untuk memperlekeh, beliau melontarkan kemungkinan ulama seperti Harun Din, untuk memimpin satu himpunan besar-besaran menentang penyelewengan dan penipuan yang berterusan dalam pilihan raya.  Kata-katanya menggelakkan, ditanya pula mengapa hadirin ketawa.  "Impossible (mustahil)!" demikianlah jawapan yang diterimanya daripada hadirin.

"Orang melihat orang yang ada integriti itu ada pada A.Samad Said (gambar kiri)," dakwanya.  Mat Sabu mengingatkan, "kemenangan Parti Islam hanya kemenangan sementara," seandainya gagal melahirkan integriti dalam pemerintahan.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.