Amat bodohlah kalau ditipu 'syaitan yang dikenali'
|
- Tuan Guru Hj.Abdul Hadi Awang
|
|
ULASAN Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya
aku pernah menyaksikan satu persefahaman di rumah Abdullah bin Jud'aan,
sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya." (
Al-Sirah Al-Nabawiyyah, Ibn Kathir)
Peristiwa
bersejarah ini berlaku di masa jahiliah, ketika Rasulullah SAW belum
dilantik menjadi rasul dalam usia dua puluhan. Apabila bapa-bapa saudara
baginda membawanya menyertai pertemuan khusus di kalangan pemimpin
utama Mekah.
Rasulullah SAW diizinkan menyertai perjumpaan khas
itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi diakui
kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.
Peristiwa
ini berlaku apabila seorang pengunjung Mekah daripada Qabilah Zubaid
Yaman yang berniaga, dizalimi seorang bangsawan Mekah bernama Al ‘Aas
bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada
rakan-rakan dan kenalannya, kerana kedudukan bangsawan si zalim itu.
Lalu
mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan
rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Mekah dan keamanannya
sudah tidak ada lagi.
Apabila seruannya didengari para pemimpin
Mekah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka
diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud'aan dengan
membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half al-Fudul bagi
menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.
Rasulullah
SAW bersabda tersebut di atas dengan huraiannya: "Kalaulah persefahaman
ini diajak sekarang, ketika berada dalam Islam pun nescaya aku menerima
dan menyertainya."
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
"Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman,
maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya."
(Riwayat Ibn Majah)
Di atas konsep inilah maka Rasulullah SAW
menerima persefahaman tersebut, walaupun mereka itu daripada kalangan
pemimpin jahiliah.
Kerjasama politik berpandukan nasBanyak
perkara baik daripada amalan zaman jahiliah dan kalangan yang
berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan
utusan daripada negara luar termasuk negara musuh, perlindungan
keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa
dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam.
Rasulullah SAW juga menyatakan sempadan dengan sabdanya yang bermaksud:
"Orang
Islam itu hendaklah bertanggungjawab atas segala syarat yang mereka
tetapkan, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan
yang haram." (Riwayat Al-Bukhari dan selainnya)
PAS adalah parti
Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut
undang-undang tubuhnya (perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh
Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan
langkah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh
disamakan dengan Umno.
Begitu juga hubungan PAS dengan DAP dan
kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan di antara komponen
BN yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada al-Quran dan
Sunah, Ijmak Ulama dan Qias.
Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan
tahaluf (kerjasama) yang berpandukan nas tersebut di atas. Pakatan adalah muafakat politik dalam konsep
tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum fikah politik Islam.
Bekerjasama
dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran
negara yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti amalan demokrasi yang
tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh
dengan penyelewengan, masyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan
dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral
yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.
Umno yang
mewakili Melayu-Islam dalam BN mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya.
Sangat malang bagi sesiapa yang tidak membezakan antara Islam dan
Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam.
Islam
pernah memperkasakan Arab. Dan Arab tumbang setelah menjadikan Islam
hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki
kekayaan melimpah ruah.
Begitulah maknanya, tegakkan Islam
bersama PAS, Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu
bersama Umno, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya
sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk
pada kotak yang berjenamakan ubat gatal.
Tak halang ahli DAP minum arak, tapi...Cukuplah
menegakkan Islam ala-Umno yang bergantung dengan politik wang, pangkat
dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi
penyakit yang memakan diri laksana pemelihara hantu yang menjadikan
tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.
Melayu
yang perkasa bersama Umno, hanya sekadar bertempik menghunus keris
taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang
menyerah diri kepada penjajah dahulu dan mewarisi kemerdekaan yang
diletak di atas dulang emas dan menerimanya dengan melalui hamparan
permaidani dan taburan bunga.
Sejarah tetap tidak boleh
dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang
penjajah walaupun disembunyikan di bawah tikar yang hina.
PAS
ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah
diharamkan silih berganti. PAS tetap istiqamah dengan Islamnya
menyatakan Islam adil terhadap semua manusia.
Bukan hanya Arab
dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat
Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan
tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh (bertoleransi)
mengikut batas-batas Allah.
PAS pernah bersama Umno di tahun
70-an dan menubuhkan BN bersama Umno dan rakan-rakannya. Penyertaannya
dengan keputusan muktamar khas supaya teguh membawa mesej Islam secara
tahaluf siyasi.
Ketika bersama Umno, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk
ahli parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama Umno.
Kemudian
PAS dihalau keluar daripada BN pada 1978 dan selepas itu kerajaan PAS
Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh
Umno dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihan raya
khas selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita
Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan Umno.
Maka
PAS tidak perlu berkiblat ke arah Umno dan berimam mengikut arah
kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang
ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS
memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.
PAS pernah mengadakan
tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada Umno. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.
Parti
ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah
yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim
sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan
tahaluf siyasi bersama Parti Keadilan Nasional (PKN) yang juga berpecah daripada Umno. Kemudian diiikuti pula
tahaluf siyasi dengan DAP.
Hudud: Umno ibarat ayam jantanPAS
mengucapkan terima kasih kepada Umno dan media yang menjadi khadamnya,
kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang PAS akan
menjadi parti melukut ditepi gantang.
Percayalah orang
Melayu-Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama-sama dengan PAS
selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam
perlembagaannnya, seperti Melayu bersama Umno sehingga tidak bermaya di
Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain.
Kaum lain di kalangan
bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan
gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama
berada dalam Umno atau bersekongkol bersamanya.
Di sepanjang kerjasama PAS dalam
tahaluf siyasi tidak
pernah rugi. Walaupun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjasama PAS
dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan
kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.
Pengaruh PAS
dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan
institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga
hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam
Pakatan sekiranya berjaya.
Kerjasama PAS bersama Angkatan
Perpaduan Ummah pada 1990-an berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini.
Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat
berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal
kerana ditumbangkan dengan zalim.
Tahun 2008 pula berjaya menawan
lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan
Perak. Manakala Selangor dipimpin PKR dan DAP memimpin Pulau Pinang.
Walaupun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah senario
tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.
Kerjasama
tahaluf siyasi mutakhir
ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam
terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu
beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.
Sehingga
akhirnya mendedahkan kepura-puraan Umno berjuang menegakkan hukum hudud
laksana ayam jantan kokok berderai ada hal ekornya bergelumang tahi
sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya Umnolah penghalang besar kepada
perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa di peringkat negeri dan pusat.
Ketahuilah
bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan
pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting juga ialah ijtihad dengan
istiqamah di tengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini
dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras
kepada semua amalannya.
Berguru dengan media yang berniaga dengan politikKelantan
adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun
1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990. Sehingga kini PAS menjadi
penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan,
perkhidamatan awam, keselamatan dan ekonomi.
Diikuti pula
Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004
dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan
di negeri-negeri ini maka secara automatik menjadi sasaran Umno bagi
melemah dan menjatuhkannya atas nama Melayu dan Islam. Paling malang
menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep
demokrasi dan federalisme.
Mengepung media dan menyusahkan
pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti
petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini
tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau
Pinang bawah parti Gerakan sebelum BN dan Sabah bawah PBS. Inilah
hakikat Umno dengan Melayu dan Islam anutannya.
Kepada semua
pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami
dengan semua pengalaman yang tersebut dan hilangkan khurafat beriman
kepada Umno.
Kepada ahli dan penyokong PAS, saya nasihatkan
supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya
belajar melalui media yang berniaga dengan politik.
PAS tetap
berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah.
Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah
mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjemaah jangan
berseorang diri dan memencilkan diri.
Pesanan Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang memencilkan diri daripada jemaah akan ditawan syaitan,
laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada
kawanannya."
Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.