Wednesday, February 16, 2011

Ada Perebutan Kawasan dalam PR?

Hayat sesuatu parti politik atau pertubuhan bukan sahaja bergantung kepada karisma seorang ketua atau pemimpin, tetapi banyak bergantung kepada sejauh mana keyakinan serta komitmen ahli bawahan dan penyokong! Tanpa keyakinan yang tinggi terhadap sesebuah organisasi, tentang matlamat dan halatuju, pertubuhan itu tidak akan sampai ke mana walaupun mereka mempunyai pemimpin yang amat berkarisma. Sebab ketua dan pimpinan boleh bertukar samada kerana kematian, sakit atau melompat ke parti lain. Tapi ahli dan penyokong yang ikhlas ke atas perjuangan tidak akan lari, dan mereka inilah yang menentukan hidup mati sesebuah pertubuhan atau parti.
Sebab itu sesebuah organisasi perlu mentarbiah ahli-ahlinya sepanjang masa supaya tidak berlaku “hilang maklumat”, “maklumat salah” dan kejujuran pimpinan dapat dinilai secara telus oleh ahli dan penyokong. Hilang maklumat dan maklumat salah yang diterima oleh ahli dan penyokong menyebabkan mereka kehilangan keyakinan terhadap pimpinan dan organisasi.
Lihat sahaja apa yang berlaku ke atas parti HAMIM, BERJASA, Semangat 46, USNO, BERJAYA, dan lain-lain yang seangkatannya. Semuanya pupus. Semuanya akibat nafsu serakah amarah terhadap individu atau berlakunya penyerapan ke atas parti sedia ada yang lebih dominan. Tidak ada matlamat dan arahtuju yang jelas dalam organisasi.
Keadaan ini dapat dilihat dalam PKR. Jika tidak berhati-hati dan dibuat reformasi dalaman kita takut ianya akan berkubur. Adalah menjadi suatu sejarah yang tragik akibat 3 orang wakil rakyat DUN Perak mengishtihar menjadi bebas yang menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Tidak lain ini adalah akibat tidak adanya tarbiah organisasi ke atas calon wakil rakyat dan ahli-ahli yang menyebabkan sekelip mata sebuah kerajaan Perak jatuh ke tangan BN. Berpinar anak mata dengan suapan material berbanding organisasi dan pengundi yang memberi mandat kepada mereka. Ini menjadi tauladan yang amat besar untuk difikir oleh pimpinan PKR terutama dalam menghadapi PRU13 nanti. Jangan mendabik dada  mendapatkan seberapa banyak kawasan untuk ditandingi, tetapi kualiti calonnya hendaklah juga diambil kira. Jangan termasuk lubang ular ke dua kali. Dengarlah keluhan dan pendapat ahli serta penyokong. Mereka ini tidak meminta bahkan banyak member jika pimpinan berjalan lurus dan ikhlas.