RABAT, Maghribi 20 Feb. - Maghribi negara terbaru di Afrika utara menyertai protes antikerajan hari ini apabila beribu-ribu penduduk negara ini mengadakan perhimpunan secara besar-besaran di seluruh negara untuk menuntut Raja Mohammed melepaskan sebahagian kuasanya kepada sebuah kerajaan baru yang dipilih rakyat dan menjadikan sistem kehakiman lebih bebas.
Protes jalanan itu, dilancarkan oleh Gerakan Perubahan 20 Februari yang telah menarik 19,000 peminat di Facebook setelah mendapat inspirasi daripada pemberontakan di Mesir dan Tunisia. Mereka juga menuntut Mohammed supaya memecat kerajaan campuran dan membubarkan Parlimen.
Di YEMEN, Penyokong Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh cuba menyuraikan demonstrasi oleh penentang kerajaan, hari ini dan turut melepaskan tembakan semasa kekacauan yang sudah masuk hari kesembilan di negara itu.
Seramai 50 penyokong kerajaan cuba mengganggu protes melibatkan lebih 1,000 penunjuk perasaan anti-Saleh yang berhimpun di luar Universiti Sanaa dengan melaungkan slogan 'berambus Ali'.
Seorang penyokong Saleh melepaskan tembakan dengan raifal penggempur tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan penyokong Presiden itu beredar tidak lama kemudian, sementara demonstrasi diteruskan.
Kedua-dua kem melepaskan tembakan dalam protes di luar universiti itu semalam, kali pertama senjata api dilapor digunakan oleh penunjuk perasaan.
Di Bahrain, beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berkhemah di Dataran Manama malam tadi, dan keadaan kembali tenang menjelang rundingan hari ini antara pembangkang dengan Putera Mahkota Syeikh Salman bin Hamad al-Khalifa.
Puak pembangkang di negara Teluk itu dijangka mengemukakan tuntutan kepada Salman, yang ditugaskan oleh bapanya, Raja Hamad al-Khalifa untuk mengetuai dialog peringkat kebangsaan berikutan kekacauan selama beberapa hari di negara itu, yang telah meragut enam nyawa.
Atas arahan Putera Mahkota itu, askar dan kereta berperisai diundurkan dari Dataran Manama, yang diambil alih oleh pasukan keselamatan pada Khamis lalu selepas polis pencegah rusuhan menyerang penunjuk perasaan, menyebabkan empat orang maut dan 231 lagi cedera.
Di Algeria, polis pencegah rusuhan bertempur dengan penunjuk perasaan yang cuba berhimpun di tengah Algiers semalam, menyebabkan beberapa orang cedera termasuk seorang ahli Parlimen pembangkang.
Tahar Besbas, anggota Parlimen daripada Perhimpunan untuk Kebudayaan dan Demokrasi, dipukul di perut oleh seorang anggota polis dan kepalanya terhantuk di kaki lima apabila beliau terjatuh.
Kira-kira 200 penunjuk perasaan masuk ke Dataran 1 Mei di tengah Algiers dan melaungkan slogan 'Algeria bebas dan demokratik' dan 'rakyat menuntut kejatuhan rejim', sementara polis menyekat jalan-jalan sisi dengan kereta berperisai. - Reuters/AFP