DiISAkan sebab konspirasi politik
10 Jun 2012
Abdul Samad Ismail dituduh menggunakan New Straits Times dan Berita Harian sebagai media propaganda untuk kolumnis, Abdullah dan politik berhaluan kiri. Bagi mereka yang benok maknanya komunisme. Samad waktu itu adalah Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times yang dilihat amat berminat pada politik selain daripada jurnalisme. “Tiga Abdul” dipandang ambitious atau bercita-cita tinggi. Siapa yang tidak ada ambisi mahu kaya, berkuasa, ingin kahwin gadis/ wanita lawa?
2. Selepas Tun Razak kembali ke Rahmatullah secara mengejut ketika usianya muda (54 tahun) pada 14 Januari 1976, “Tiga Abdul” diISAkan kononnya kami “ejen komunis” yang berpengaruh dalam pentadbiran dan kerajaan.
Sebenarnya kerana konspirasi politik melibatkan agensi rahsia beberapa negara termasuk Singapura dengan pentadbiran Hussein Onn dan Menteri Dalam Negeri Ghazali Shafie atau Ghulam untuk menahan kemaraan kami dalam dunia politik dan media. Lee Kuan Yew dan bekas Presiden Singapura S R Nathan dalam memoir masingmasing telah mengesahkan perkara ini. Sebelum kolumnis ditahan dia Timbalan Menteri Sains dan Alam Sekitar ditukar daripada Timbalan Menteri yang tunggal di Jabatan Perdana Menteri beberapa bulan selepas Tun Razak tiada lagi. Kolumnis juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.
Abdullah Majid, Timbalan Menteri Buruh. Samad telah diISAkan lebih awal beberapa bulan sebelum Abdullah dan kolumnis (kami ditahan awal November 1976) untuk membolehkan Samad yang kena dan makan ugut menuduh Abdullah dan kolumnis sebagai “ejennya” dalam kerajaan. Samad sendiri kononnya Utusan Khas Parti Komunis Malaya (PKM).
Dalam memoirnya juga dalam ceramah di seluruh dunia Chin Peng, Setiausaha Agung PKM, tidak sekalipun menyebut Samad.
“So much for the legend” tegas Speaking.
3. Kalaulah Tun Razak panjang umur sejarah bangsa Melayu, Malaysia dan sejarah kolumnis sendiri berlainan. Qada dan Qadar. Kata Speaking, “Takdirullah - God’s decision”.
Andainya kami manusia biasa masakan seteru kami yang ghairah berkuasa ketika itu akan menahan kami?
4. Kolumnis baru berusia 38 tahun, beristeri dan mempunyai tiga anak yang kecil ketika ditahan. Mulai bertugas sebagai Setiausaha Politik dan Media Tun Razak tatkala berumur 25 tahun apabila kolumnis kembali daripada kursus politik selama dua tahun di Amerika hinggalah Tun Razak meninggal dunia.
Memegang jawatan dalam bidang yang sama, perbedaannya dengan designasi dan pangkat lebih tinggi. Kerana kedudukan kolumnis dalam “lingkaran kecil dan eksklusif” itu maka ramailah “admirers” kagum dan menghormati kolumnis. Lebih ramai lagi yang “envy” maknanya hasad dengki dengan kejayaan kolumnis. Mereka yang kolumnis tolong, ada yang berterima kasih, ada setelah berjaya mendapatkan apa yang diidamkan menafikan peranan kolumnis. Tak apa asal janganlah pula memusuhi dan memfitnah kolumnis dan rakan-rakannya. Itu adat dunia dari mula lagi. Ada yang kenang budi. Ramai yang seperti menolong anjing yang tersepit.
Mereka yang tidak dapat sesuatu menuduh kolumnis penyebabnya. Sebenarnya ada yang dapat atau tidak dapat, berjaya atau tidak berjaya tidak ada kena-mengena dengan kolumnis. Ada juga dalam banyak hal sebab campur tangan kolumnis. Yang buruk kolumnis dapat najis, yang baik orang lain dapat pujian. Apa pun, ramai “tali barut” itu tidak ke mana-mana dalam kerjaya mereka, ada juga beberapa kerat walaupun perbuatan buruk mereka naik.
Kebanyakan berkesudahan jadi pendendam hingga mati.
Kolumnis harap Tuhan ampuni dosa mereka membuat tuduhan palsu dan menganiayai sesama ahli parti dan sengsarakan melalui ISA pemimpin parti lawan.
5. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang berusia 52 tahun itu telah ditukar menjadi Security Offences “Special Measures” Act of 2012 atau ringkasnya SOA. Satu kejayaan Perdana Menteri Najib Tun Razak meliberalisasikan undangundang keselamatan negara, penahanan politik tanpa bicara.
Kita harus puji Najib dan Peguam Negara yang keras mahu ISA berwajah baru walaupun ditentang hebat oleh pihak tertentu dan berpengaruh di belakang tabir. Namun jangan leka - skop kuasa SOA terus luas. Apa pun kita harus gembira Menteri Dalam Negeri kini tidak boleh lagi bermaharajalela menahan siapa saja sesuka hatinya. Kuasa menahan masih ada tetapi dikurangkan daripada 60 hari kepada 28 hari sahaja dan kalau mahu melanjutkan tempoh tahanan politik (tapol) dia mesti dibicarakan terlebih dahulu. SOA mempunyai lebih banyak legal safeguards.
Berwaspada walaupun SOA mempunyai elemen positif - seorang tidak lagi boleh ditahan kerana ideologi atau kegiatan politiknya. Sungguhpun kuasa mutlak menangkap kawan dan lawan serta pesaing Menteri Dalam Negeri dihapuskan, bidang kuasanya masih banyak lagi.
6. Kolumnis dan rakanrakannya dibebaskan Perdana Menteri baru Dr Mahathir Mohamad seperti ikrarnya kepada kolumnis dua minggu selepas dia mengangkat sumpah pertengahan Julai 1981. Beberapa bulan sebelum itu, Abdullah dan Samad dibebaskan dengan syarat manakala kolumnis dan Kassim Ahmad, Ketua Umum Parti Sosialis Malaya dan penulis terkenal dan dua dozen tapol lain telah dibebaskan tanpa syarat. Cerita peribadi kolumnis seronok: ditahan sebagai tapol selama lima tahun, dibuang kerja sebagai ketua editor pada 2003, dan semenjak itu dia penganggur dan merana.
Sepanjang hidup kolumnis - seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak dan Dr Mahathir dan diharap Najib begitu juga - kolumnis sentiasa berjuang agar dasar dan corak negara kita berlunaskan pada hakikat Pribumi komuniti terbesar di Malaysia dan orang lain mesti prihatin dan menerima kebenaran itu. Pribumi pula harus sedar dan menerima kenyataan bahawa masyarakat Malaysia adalah majmuk. Kedua-dua pihak mesti realistik menerima kenyataan politik dan landskap baru pasca 2008.
7. Dalam landskap politik sekarang Melayu berpecahbelah, bersengketa bagai tiada hari esok. Cina bersatu-padu bagai isi dan kuku. Pada kolumnis isu terbesar sekarang ialah persaingan hebat keterlaluan yang berpotensi memusnahkan antara Melayu sesama Melayu, Islam sesama Islam - antara Umno dan Pas. Sebab apa ni?
Dalam majlis makan tengah malam Rabu lalu tiga Cina dan dua Melayu (kolumnis dan seorang usahawan rakan sekolah) selain berbincang bisnes kami tidak dapat mengelakkan politik dan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Berita baik kelima-lima percaya Umno/BN akan menang.
Persoalannya berapa besar/kecil majoritinya. Ketiga-tiga Cina sepakat DAP akan menjelma sebagai parti dominan dalam Pakatan Rakyat (memenangi antara 30 - 40 kerusi Parlimen), Pas antara 20 - 30 kerusi, PKR jumlahnya terkecil 10 - 15 kerusi.
DAP, tegas Cina yang pragmatik itu hanya kuat dalam kawasan Parlimen Cina di Semenanjung dan Sarawak sahaja. Manakala Umno/BN kekuatannya menyeluruh kecuali Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
ISA dikenang dan semua gembira ia tiada lagi... SOA walaupun tidak ideal lebih lembut. Undangundang Homeland Security Amerika Syarikat lebih ketat, teruk dan tidak demokratik tetapi tegas Washington, undangundang itu diperlukan untuk ketenteraman dan keselamatan ibu demokrasi dunia itu.
8. Seperti mentor kolumnis (Tun Razak), kolumnis berharap Najib seperti bapanya percaya bahawa tanpa economic equality ataupun economic equity tidak akan lahir satu bangsa Malaysia tulen. Najib telah menunjukkan ketegasannya mereformasikan ISA dan diganti oleh SOA. Iltizam politik yang sama harus berlaku pada economic equity. Ini crucial.
“There must be an assurance of economic equity and social justice - mesti ada keadilan dalam ekonomi dan sosial”.
Zam: Kesilapan besar Tunku dan Dr Mahathir
9 Jun 2012
Wartawan veteran dan bekas Menteri Penerangan itu berkata, tindakan Tunku Abdul Rahman membawa masuk Singapura ke dalam Malaysia pada 1963, yang mana turut sama membawa bersamanya dasar 'Malaysian Malaysia' telah memberikan kesan kepada negara.
Singapura keluar dari Malaysia dua tahun kemudian.
Dalam pada itu, Zainuddin juga mendakwa Dr Mahathir membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim juga satu kesilapan kerana tindakannya yang dikatakan memporak-perandakan perpaduan bangsa.
"Ramai antara kita tidak menyedari, dua pemimpin Agung dari Kedah, Tunku Abdul Rahman dan Dr. Mahathir telah membuat dua kesilapan besar yang menjadi masalah kepada negara ini hingga sekarang.
"Tunku membawa masuk Singapura ke dalam Malaysia yang mana turut sama membawa bersamanya Malaysian Malaysia sementara Dr. Mahathir membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudianya telah memporakperandakan perpaduan bangsa," katanya lagi.
Dr Mahathir memecat Anwar pada September 1998. Ketika dipecat, Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
"Di sebalik kesilapan Tunku dan Dr Mahathir mempunyai terlalu banyak tugu-tugu jasa yang mereka bina bagi melindungi kelemahan mereka," kata beliau yang dipetik dari entri blognya.
Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam juga berkata, "tercatit sebagai sejarah mulia, dengan sokongan kuat seorang nasionalis rakyat, Allahyarham Tun Ghafar Baba, Dr Mahathir dengan berani menunjukkan kuasa rakyat bila maruah mereka mula terjejas dengan mengingatkan raja-raja tentang Raja Berperlembagaan demi untuk mengikis feudalisme."
Beliau yang turut memuatkan kenyataan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang pertama berkata, walaupun berketurunan diraja, beliau tetap menyedari kuasa rakyat yang disebutkan dalam tulisannya.
"Ketika itu beliau berada dalam krisis dengan Sultan Selangor dan juga dengan abangnya Sultan Kedah. Saya akan mendedahkannya dalam ruangan Z fail di blog ini," katanya.
Zainuddin yang mula aktif sebagai blogger menggunakan moto 'Setiakawan Demi Warisan, Kemanusiaan dan Kerukunan' memaparkan tiga ruang utama pendedahan maklumat untuk dikongsi dengan rakyat sepanjang penglibatan beliau sebagai wartawan sehinggalah menjadi seorang menteri Kabinet.
Antara ruangnya Z fail, Pintas dan cerita Zam merupakan rangkuman daripada pengalaman kewartawanan yang dilalui yang telah diterbitkan dalam bentuk buku pada tahun 1980 bertajuk 'Pertama dan Terakhir'.