(R-Sabah...kembalikan hak Sabah)
KOTA KINABALU: Sekumpulan rakyat Sabah di sini menyifatkan tindakan kerajaan Persekutuan mengambil sebahagian besar hasil petroleum dari Sabah sebagai menyalahi undang-undang.
Malah perkara itu juga menyalahi persefahaman dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Jurucakap kumpulan terbabit, Zainnal Ajamain berkata, hasil petroleum tersebut sepatutnya menjadi milik sepenuhnya rakyat Sabah.
"Petroleum 100 peratus dimiliki rakyat di Sabah, ia harus diberikan kembali dan biarkan mereka membuat keputusan untuk berapa banyak harus diberikan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya pada satu kenyatan di sini.
Semalam Zainnal yang juga seorang ahli perniagaan bersama rakan-rakan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi mengisytiharkan perjanjian antara kerajaan Sabah dan Petronas sebagai tidak sah dan terbatal.
Kumpulan terbabit yang menggelarkan diri sebagai R Sabah terdiri Lahirul Latigu, Mohd Julpikar AbMijan, Joseph Wilfred, Duli @ Dullie Mari dan Michael Peter Govind @ Mick Goviind.
Zainnal berkata, tuntutan itu selaras dengan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Tuaran baru-baru ini yang menyebut haram memindahkan kekayaan sesebuah negeri kalau masih ada rakyat miskin.
Katanya juga langkah tersebut dilakukan terhadap kerajaan Persekutuan kerana menafikan negeri pengeluar minyak daripada menikmati kekayaan anugerah Tuhan.
Kata beliau juga perjanjian yang ditandatangani 37 tahun lalu disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan apabila hak negeri dinafikan.
Baru-baru ini Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa mengumumkan kerajaan negeri mahu merundingkan semula Perjanjian Petroleum yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1976.
Pada perjanjian tersebut kerajaan negeri diberikan 5 peratus daripada nilai minyak yang dijumpai di tepi dan pesisir pantai Sabah, manakala 95 peratus diambil kerajaan Persekutuan.
Sebelum itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjanjikan rakyat Sabah akan mendapat royalti minyak sebanyak 20 peratus sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menerajui Putrajaya.
Zainnal berkata, kerajaan negeri dan pembangkang tidak mempunyai hak untuk menentukan kuantum royalti kepada Sabah.
Difahamkan permohonan pengisytiharan serupa juga akan difailkan di Kelantan, Terengganu dan Sarawak.
Zainnal juga memberitahu beliau dan R Sabah akan menghadiri perhimpunan pada 2 Oktober ini di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan menyertai konvoi ke Istana Kehakiman di Putrajaya pada 3 Oktober.