Salam Jumaat
Alhamdulillah, kita bertemu lagi dengan penghulunya segala hari. Hari
yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang - orang yang beriman bagi
menambahkan saham akhirat mereka. Pada hari ini ganjaran amalan
kebajikan seseorang akan dibalas dengan berganda sebagaimana dinyatakan
oleh Sayyidina Abu Hurairah RA yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabarani
bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: " Ganjaran bagi segala kebajikan digandakan pada hari Jumaat".
Makhluk Allah selain Bani Adam juga tidak ketinggalan menunggu dan
bergembira dengan kedatangan hari yang mulia ini. Hujjatul Islam Imam
al-Ghazali rahimahullah menyebut bahawa Ka`ab al-Ahbar RA menyatakan
bahawa haiwan dan mergastua apabila bertemu antara sesama mereka pada
hari Jumaat akan mengucapkan "Salam, Salam hari yang baik."
Hari ini juga adalah hari di mana segala amalan kita di mana amalan kita
ditunjukkan kepada Baginda Nabi SAW sebagaimana dinyatakan dalam hadits
"tu'radhul a'maal" yang masyhur, yang menyatakan:-
Segala
amalan dibentangkan kepada Allah pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis.
Dan dibentangkan kepada para Nabi dan para ibubapa pada hari Jumaat,
maka mereka bergembira dengan (melihat) segala kebaikan mereka yang
hidup tersebut dan bertambah bercahaya wajah-wajah mereka serta
bersinar-sinar. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu
menyakiti orang-orang mati kamu (yakni dengan melakukan dosa dan maksiat
yang menyebabkan kesedihan kepada si mati).
Hari ini juga adalah hari ucapan shalawat kita kepada Junjungan Nabi SAW
akan dipersembahkan terus kepada baginda, sebagaimana dinyatakan dalam
banyak hadits, antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi bahawa
Junjungan Nabi SAW bersabda: "Perbanyakkanlah bersholawat ke
atasku pada setiap hari Jumaat, kerana shalawat umatku dibentangkan /
dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang
banyak bershalawat ke atasku, jadilah mereka orang yang paling hampir
kedudukannya denganku."
Marilah kita rebut peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya. Basahkan
lidah dengan ucapan shalawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Moga
ungkapan shalawat kecintaan tersebut meresap ke hati sanubari kita dan
menumbuhkan pohon - pohon mahabbah yang sejati kepada Baginda Nabi SAW.
Ingat senantiasa bahawa sesiapa yang kasihkan sesuatu atau seseorang,
pasti dia akan banyak menyebut dan mengingatinya. Ingat juga bahawa
seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihinya.
اللهم صل على النبي الهاشمي
سيدنا محمد و على آله و صحبه
و سلم تسليما