Lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke kawasan Empangan Bakun selepas menghadiri majlis perkahwinan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud pada 15 Januari 2011 agak mengecewakan kaum asli yang menaruh harapan tinggi terhadap kedatangan beliau.
Sebelum ini, khabar angin tersebar bahawa Najib mungkin akan turun sendiri ke kawasan tersebut untuk menyelesaikan isu pampasan lantaran rumah dan tanah mereka yang ditenggelami air. Namun, Najib tidak menyentuh isu tersebut dalam lawatannya kali ini, dan ia dijangka bakal mengundang kesan negatif untuk Barisan Nasional di kawasan DUN Belaga.
Selain itu, menurut penduduk tempatan, kira-kira 2000 orang yang hadir menerima wang tunai RM10 masing-masing, malah orang asli yang membawa orang ke Rumah Belun mendapat RM100. Bagaimanapun, bukan semua orang menerima wang tersebut.
Menurut laporan Bernama, Najib merasmikan pembukaan klinik Kesihatan Belaga yang berharga RM46 juta, malah mengumumkan beberapa projek pembangunan, termasuk pembinaan bandar Belaga/Jalan Bakun di bawah projek Jiwa Murni.
"Kerajaan pusat akan memperuntukkan sejumlah RM62 juta bagi jalan sepanjang 35 kilometer yang memang benar-benar diperlukan yang akan mula dibina menjelang bulan depan."
Satu lagi projek ialah bekalan air bernilai RM35 juta bagi bandar Belaga sendiri yang kini di dalam proses pelaksanaan dan akan siap menjelang Oktober 2012," kata Najib, yang juga mengumumkan pembinaan sebuah jambatan keluli pasang siap bernilai RM2.7 juta bagi menyeberangi Sungai Linau di Lusong Laku yang juga akan dijalankan oleh pasukan tentera melalui Projek Jiwa Murni.
Najib tidak sentuh isu pampasan
Miku Loyang yang tinggal di Balui Liko amat kecewa apabila Najib tidak menyentuh isu pampasan kepada orang asli yang dipaksa pindah ke Sungai Asap lantaran pembinaan Empangan Bakun, ketika lawatan beliau ke situ. "Kami rasa dia memancing undi saja," katanya.
Ketika dihubungi MerdekaReview, Miku Loyang (gambar kiri) berkata, sesetengah kaum asli tidak berpuas hati dengan Najib. Secara peribadi, mereka menganggap Najib sekadar menabur janji kosong, dan mereka tidak ingin menyokong BN pada pilihan raya akan datang.
Tetapi, Miku Loyang menambah, penduduk di situ agak miskin. Apabila parti pemerintah datang dengan wang ketika pilihan raya, tekad mereka akan menjadi lemah, dan mengundi BN. Oleh itu, agak sukar untuk meramal pola pengundian pada ketika itu.
Bekas penerbit Galeri Mandarin Nasional, Chou Z Lam yang tiba di Belaga untuk rakaman dokumentarinya selepas Najib meninggalkan situ, memberitahu MerdekaReview bahawa penduduk tempatan yang menaruh harapan tinggi terhadap kedatangan Najib amat kecewa selepas isu pampasan tidak diungkit.
Selain itu, Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri akan menanggung kos pembinaan 15 buah rumah panjang yang berjumlah RM8.2 juta. "Pada hakikatnya, pengumuman ini bukan apa yang dikatakan khabar baik, kerana penduduk di situ tidak berniat untuk menanggung kos itu pun," Kata Chou Z Lam.
Ketika ditanya sama ada lawatan Najib ke Belaga akan meredakan ketidakpuasan penduduk asli tempatan, Chou Z Lam (gambar kanan) menganggap situasinya bertambah buruk sebaliknya. "Mereka menaruh harapan yang sangat tinggi. Kebanyakan mereka datang dengan harapan mendapat cek secara terus dan memasukkannya dalam bank pada hari keesokan. Kedatangan Najib mungkin mengundang kesan sebaliknya."
Bagaimanapun, aktivis sosial Ong Boon Keong yang juga berada di situ gagal meramal impak yang dibawa berikutan lawatan Najib. Ong Boon Keong menganggap perpecahan politik di situ agak jelas, mereka yang menyokong BN akan terus menyokong BN, tetapi tidak ramai mereka yang menolak BN.
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.