Najib menongkah arus!
Cadangan untuk mengawal internet sejak zaman Mahathir Mohamad bukan lagi sekadar omong-omong, apabila tersebarnya khabar bahawa pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) yang bertujuan untuk memperluaskan kuasa Menteri Dalam Negeri agar memasukkan cakarnya ke ruang internet, bakal dibentangkan semasa persidangan parlimen pada Mac tahun ini. Mengikut kebiasaan kerajaan Barisan Nasional, kandungan penuh pindaan akta hanya akan terdedah ketika bacaan pertama dalam parlimen, dan kemudian memasuki peringkat bacaan ketiga untuk diluluskan dalam masa yang singkat. Namun, menurut laporan agensi berita rasmi kerajaan,Bernama, kandungan pindaan adalah perluasan definisi penerbitan di dalam PPPA, supaya meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian. Jelas, pindaan ini seolah-olah satu "undang-undang internet". Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila kerajaan Najib mahu mengawal media internet. Ia bukan sahaja bertitik tolak dari perkiraan politik Najib, tetapi juga dasar tradisional UMNO-BN yang tidak bertoleransi dengan media yang berbeza pendapat. Sebelum mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengeluh bahawa keterabaian BN terhadap pengaruh internet menjadi punca kegagalan dalam PRU ke-12, Najib sudah dihantui "internet". Misalnya, kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya pada tahun 2006, pendedahan Anwar Ibrahim yang mengaitkan kes pembunuhan ini dengan pembelian kapal selam oleh Kementerian Pertahanan, dan kes Najib menghantar pesanan ringkas (sms) kepada peguambela tertuduh ketiga Razak Baginda - Najib diberi perlindungan oleh media tradisional dengan menutup nama beliau daripada didedahkan dalam liputan berita. Najib hanya terpaksa untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan kepadanya apabila media internet memberi liputan yang cukup terperinci dalam isu tersebut. Untuk UMNO-BN, "tiada penapisan internet" bukanlah janji yang tulus ikhlas dari hati. Pengkaji media, Chang Teck Peng mendapati mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad tidak memasukkan janji "Malaysia will ensure no censorship of the Internet" dalam Bill of Guarantees-nya ketika merasmikan Koridor Raya Multimedia (MSC) di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 1996. Janji tersebut hanya ditambah ketika Mahathir Mohamd berucap di depan orang Amerika Syarikat pada 14 Januari 1997 di California, AS. Ia menjelaskan bahawa janji kononnya "tiada penapisan internet" ini adalah untuk mengambil hati "kapitalis Barat" semata-matanya, yang untuk puluhan tahun dikritik sebagai "berniat jahat". Apa yang disasarkan adalah wang dollar Amerika yang boleh digunakan untuk menyempurnakan satu lagi "tugu" dalam kerjaya politik Mahathir. Bukan sahaja janji "tiada penapisan internet" itu tidak ikhlas, malah juga cakap tak serupa bikin. Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, hinggalah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang jelas termaktub peruntukan bahawa ia tidak boleh digunakan untuk menapis kandungan internet), juga boleh menyekat dan menghukum pengendali laman web dan pengguna internet yang dianggap melanggar peraturan dari kaca mata kerajaan. Sejak Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009, langkah-langkah yang tidak mesra kepada internet datang berturutan. Bermula dengan halangan terhadap wartawanMerdekaReview untuk membuat liputan di sidang medianya ketika mengumumkan barisan kabinetnya, sehinggalah siasatan klip video "demonstrasi kepala lembu" diMalaysiakini. Jikalau benar pindaan PPPA memperluaskan definisi "penerbitan" kepada internet, maka kemungkinan besar kerajaan akan mewajibkan media internet untuk memperbaharui permit setiap tahun, sebagaimana yang diwajibkan kepada media cetak sekarang. Tindakan ini adalah langkah untuk menginstitusikan kawalan internet. Kawalan ketat kerajaan terhadap media cetak telah menjadikan media cetak sebagai lidah propaganda mereka, lantas menjejaskan kredibiliti media tradisional, sehingga memerlukan kenyataan daripada Najib untuk membela mereka. Namun, pembelaan Najib menonjolkan/membuktikan kehambaan media tradisional sebaliknya. Kerajaan Najib kini secara sistematik mencabuli autonomi media internet, dengan harapan menjinakkan media internet sebagaimana ia menjinakkan media tradisional. Namun, seandainya media tradisional yang sentiasa merungut kerana terpaksa bersaing dengan media internet di atas gelanggang yang tidak sama rata (media internet tidak dibelenggu PPPA) hanya berdiam diri, malah bergembira dengan perkembangan ini, maka ia hanya menunjukkan kejahilan diri mereka yang tidak berpandangan jauh. Sikap media internet yang enggan akur kepada sekatan yang digariskan kerajaan, agak tidak menyenangkan media tradisional, sehingga media tradisional mengambil sikap yang kurang mesra terhadap media internet, malah pernah menyuarakan bahawa adalah tidak adil seandainya kerajaan tidak mengawal internet. Namun, apa yang menjadi "titik buta" media tradisional adalah, pendedahan media internet terhadap pencabulan ke atas media tradisional telah memberi tekanan kepada kerajaan agar tidak mengambil tindakan terhadap media tradisional sewenang-wenangnya. Kedua, usaha media internet untuk menerokai ruang kebebasan dan memacu pendemokrasian juga memanfaatkan media tradisional. Pendek kata, kemahuan Najib untuk menginstitusikan kawalan terhadap media internet adalah malapetaka buat seluruh rakyat, malah, ia juga langkah yang menongkah arus. Walaupun negara jiran kita, Singapura mempunyai sistem untuk mengawal internet, tetapi AIMS (Advisory Council on the Impact of New Media on Society) yang ditubuhkan di Singapura telah mengemukakan laporan berjudulEngaging New Media - Challenging Old Assumptions, mencadangkan agar kerajaan melonggarkan ruang untuk media baru secara beransur-ansur, malah menggantikan kawalan dengan pendidikan. Jika kerajaan terpaksa mengawal sekalipun, ia perlu mengumumkan sebab-sebab kawalan tersebut. Malaysia yang mana situasi kebebasan bersuara dan hak asasi yang sedikit lebih baik daripada Singapura kini berundur ke belakang. Mungkin ini sahaja kemampuan Najib yang bangkit dalam kerjaya politik berpayungkan pengaruh bapanya. *Lidah pengarang MerdekaReview, diterjemah dari teks asal. |