Guan Eng menang saman fitnah ke atas Utusan
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mendapati akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bersalah kerana memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung berita yang bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng’ yang diterbitkan pada 20 Disember tahun lalu.Sehubungan itu, Utusan diarahkan membayar pampasan RM200,000 kepada setiausaha agung DAP itu dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos.
Utusan telah menuduh Lim sebagai seorang ‘rasis’ dan ‘anti-Melayu’ dalam artikel yang disiarkan sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat bulan lalu berdasarkan ucapanya yang bertema 'A People's Government for the Real Malaysians' pada 19 Disember lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk GV Varughese semasa penghakimannya menggariskan tujuh para yang Utusan dikatakan telah memfitnah Lim.
Beliau juga sempat memberi ucapan ringkas mengenai "kewartawanan bertanggungjawab” dan mengingatkan pemberita supaya melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan mengesahkan kenyataan yang diterima jika tidak mahu dikenakan dakwaan memfitnah.
Pada sidang media di luar mahkamah, Lim berkata Utusan memang mahu memfitnah dirinya dan DAP.
Katanya, akhbar milik Umno itu mempersalahkan dirinya dan kerajaan negeri yang diterajui DAP kerana mengusir penduduk kampung dan merobohkan rumah mereka di Kampung Jalan Pokok Asam dan Kampung Genting di Balik Pulau, sedangkan pertikaian sebenar adalah antara pemaju dan penduduk.
"Saya berpendapat jika Utusan adalah media yang bertanggungjawab, ia mesti bertaubat, tetapi saya tidak yakin mereka akan berbuat demikian,” kata Lim.
"Saya fikir mereka akan membanyar pampasan itu dan terus memfitnah saya dan DAP.”