Thursday, June 7, 2012

DAP dari sudut pandang seorang Islamis

 Dr.Maszlee Malik, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, adalah pakar dalam bidang politik moen dunia Islam.  Beliau memperolehi ijazah sarjana muda di Jordan, ijazah sarjana dari Universiti Malaya dan doktor falsafah PhD dari University Durham, UK.  Wartawan Roketkini Hafiz Zainuddin dan Iza Suraiya telah menemu bual tentang Islam, Melayu dan DAP.
 
Apa pandangan Dr mengenai DAP dalam suasana sekarang?
 
Mana-mana parti pun mengalami evolusi, contohnya PAS hari ini tidak sama dengan PAS pada 90-an, dan PAS 90-an pula tak sama dengan PAS sebelum tahun 1979 iaitu sebelum kepimpinan ulama.  Dan sebelum kepimpinan ulama pun zaman Dato' Asri Muda tak sama dengan zaman Dr.Burhanuddin al-Helmy.  Dalam UMNO pun begitu juga, begitu juga dengan PKR sebelum Anwar dibebaskan dengan selepas dibebaskan.  Seluruh dunia, mana-mana parti akan mengalami perubahan.
 
Pada pendapat saya, DAP selepas 2008 nampak banyak perubahan drastik.  Cuma bagi orang luar, pertama kita terpaksa berlawan dengan prejudis. Keduanya ialah propaganda oleh BN, ketiganya dengan tingkah laku pimpinan-pimpinan DAP yang tidak mewakili parti dalam tindakan mereka.  Orang Melayu contohnya, prejudis lebih mudah… tak payah kaji, tak payah pening kepala dan sebagainya.
 
Adakah perjuangan DAP yang berideologi demokrasi sosial yang meliputi keadilan sejagat boleh dianggap sebagai sebahagian dari konsep perjuangan Islam itu sendiri?
 
Mungkin kita tidak kata begitu tetapi ada di antara perjuangan tersebut yang tidak bersalahan dengan Islam sebab hukum asal penglibatan politik dalam Islam adalah bersifat "harus".  Halal, kecuali perbuatan itu (berpolitik) bertentangan dengan syariat…. Saya melihat, perjuangan DAP tidak bersalahan dengan Islam tetapi mengatakan segala-galanya (dalam DAP) adalah Islam, itu tidak lagilah, perlu perbincangan lanjut.
 
Contohnya kalau pun saya mengatakan bahawa agama saya lebih benar dari agama A atau B, tetapi itu bukan bermaksud saya kena mendiskriminasi A atau B.  Atau perlu bermusuhan atau boleh menzalimi mereka.  Itu konsep umum dalam muamalat iaitu keadilan, amanah dan ehsan.
 
Bagaimana dengan prejudis yang mengatakan menyertai DAP itu tidak sesuai dengan Islam kerana menjadikan orang bukan Islam sebagai pemimpin?
 
Perkara ini perlu kita faham.  Dalam persoalan ini, adakah pemimpin itu pimpinan tertinggi?  Atau pimpinan agama?  Atau pimpinan sebagai wakil untuk perjuangkan hak-hak bersama?  Kalau memilih pemimpin untuk perjuangkan hak bersama, tidak ada salahnya.  Melainkan memilih pemimpin bukan Islam sebagai pemimpin agama dan pemimpin "tertinggi".  Di Malaysia pemimpin tertinggi kita ialah Yang di-Pertuan Agong.  Perkara ini isu sentimen yang perlu ditangani.
 
Walau bagaimanapun, masih ramai kalangan ulama yang tidak membezakan apa itu wakil untuk perjuangkan hak bersama, pemimpin tertinggi dan pemimpin agama.  Untuk melantik pemimpin yang bukan Islam, pertama dia tidak boleh memusuhi Islam, keduanya perjuangannya tidak bertentangan dengan syariah.  Semasa kerajaan Islam Andalusia, ada sahaja menteri dan wakil-wakil yang dilantik di kalangan bukan Islam.
 
Apakah Dr merasakan perjuangan DAP yang berlandaskan demokrasi sosial sesuai untuk semua rakyat Malaysia?
 
Begini, di dalam melihat kepada ideologi perjuangan (DAP), jika kita ikut kaedah konvensional "Islamis", isme-isme ini tidak diterima.  Tetapi, Islamis generasi baru atau demokrat Islamis seperi Ganushi dan sebagainya, dia kena lihat mengikut kes.
 
Maksudnya, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.  Contohnya dalam ideologi demokrasi sosial, saya mungkin tidak bersetuju dengan konsep sosialis, tetapi kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dan sebagai demokrat kita juga memperjuangkan hak setiap pihak untuk menyuarakan idea mereka.  Yang kita tidak mahu adalah paksaan terhadap ideologi.
 
Sama ada sesuai atau tidak ia ditentukan oleh kecenderungan individu, hatta kalau kita lihat dalam sebuah negara komunis pun ramai saja yang rasa ideologi komunis tidak sesuai.  Di Amerika pun ramai juga geng-geng komunis.  Dalam kerangka politik demokrasi bukan bermaksud sesuai untuk semua tetapi setiap pihak berhak untuk bersuara dan mengemukakan idea mereka dan bagi demokrat, kita memperjuangkan hak setiap orang untuk diberikan hak mereka untuk bebas menyuarakan idea.  Begitu juga pihak yang menyuarakan idea perlu bersedia untuk menerima kritikan, bangkangan atau pun penolakan terhadap apa yang mereka bawa.
 
Adakah Dr merasakan kemasukan kalangan Melayu ke dalam DAP bukan sesuatu yang bersifat sementara dan ianya satu perkembangan yang baik?
 
Saya rasa, kemasukan orang Melayu satu hal tetapi kita perlukan kepimpinan yang berkarisma.  Mungkin ada tapi belum nampak.  Perlu ada kepimpinan yang berkarisma dari kalangan orang Melayu yang dilihat mewakili Melayu Islam.
 
Saya yakin kalaulah kata pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP itu berasaskan meritokrasi, kita punya ramai orang Melayu yang mempunyai merit tapi orang Melayu tak perlu takut bersainglah.  Banyak saja orang Melayu yang berjaya di luar dan di dalam negara.  Mengapa tidak dalam DAP yang lebih kecil?
 
Jika kita meneliti situasi sekarang, apa yang berlaku ke atas DAP seperti perkauman dan sentimen agama yang dimainkan UMNO-BN telah menakutkan orang Melayu terhadap DAP. Pandangan Dr?
 
Saya rasa, isu ketakutan orang Melayu ini benda "real", ini realiti.  Pada saya the way foward ialah pihak media terutamanya mainstream media perlu beri ruang kepada semua untuk mengemukakan idea dan membela diri mereka.  Apa yang diperlukan ialah kebebasan media dan jurnalisme yang beretika.  Jadi setiap pihak boleh kemukakan idea, mempertahankan idea mereka dan juga membela diri mereka di dalam ruang awam.
 
Contohnya DAP sendiri yang orang berprasangka (buruk) terhadapnya, maka bagi peluang kepada DAP buat dokumentari mengenai parti untuk ditayangkan. Beri peluang untuk berdebat dan mempertahankan. Dan yang lebih penting kadang-kadang saya lihat sikap orang Melayu itu sendiri kena diubah, iaitu perlu lebih (berfikiran) kritikal. Itu masalah utama sebenarnya.
 
Bila datang sesuatu perkara, kita biasanya terus terima atau terus tolak. Kurang untuk kita bertanya "apa" dan "kenapa" kemudian "so what".  Mungkin kita kata "apa?" kemudian kurang bertanya "kenapa".  Orang Melayu bila dia mula bertanya "kenapa", itu kira dah upgrade dah tu…(ketawa)
 
Untuk politik baru, kita kena pergi kepada "so what".  Faktor "so what" itu yang kita hilang dan kita kena tanamkan ke dalam masyarakat kita.  Orang Melayu bukan tidak berfikiran kritikal tetapi berfikiran kritikal dalam masyarat Melayu tidak dibudayakan.
 
Dengan adanya PAS dan PKR, kerajaan UMNO-BN menuduh mereka memecahbelahkan orang Melayu.  Apabila orang Melayu semakin terbuka dan mendampingi DAP pula, ia dimomokkan dengan perpecahan Melayu yang semakin parah. Pandangan Dr?
 
Kenapa kita tak lihat bahawa orang Melayu semakin mendominasi politik!?  Dahlah ada dua parti, dalam PKR pun dia (Melayu) dominasi, sekarang dalam DAP pun semakin mendapat tempat di hati orang Melayu.  Dan kalau MIC dan MCA buka keahlian pun, orang Melayu akan masuk juga.  Bagi saya ia merupakan perkara natural sebab komposisi orang Melayu dan Bumiputera adalah lebih ramai dari kaum lain.
 
Saya tidak kata perpercahan tidak wujud.  Perpecahan orang Melayu memang wujud semenjak zaman Hang Tuah lagi.  Persoalannya bagaimana kita nak menangani apa yang dinamakan sebagai "perbezaan pendapat".  Benda tu (perpecahan) benda normal sebab kita manusia.
 
Persoalannya, apakah yang dinamakan perpecahan itu jikalau apa yang dimaksudkan ialah "UMNO semakin semakin hilang dokongan orang Melayu dan orang Melayu pergi mendokong parti selain bukan UMNO", adakah itu perpecahan?  Bagi saya itu bukan perpecahan.  Itu bermaksud, susutnya sokongan orang Melayu terhadap UMNO, jadi UMNO perlu kreatif dengan cara gentlemen meyakinkan semula orang Melayu dan bukan dengan memainkan gendang perpecahan.
 
Mampukah UMNO melakukan reformasi?  Jika mampu, mungkinkah Dr akan bersama UMNO?
 
Keluarga saya keluarga UMNO, datuk nenek saya antara pejuang UMNO; orang Johor menentang Malayan Union.  Bapa saya sehingga meninggal duni dia masih ahli UMNO walaupun di ketika itu sudah tidak menyokong UMNO lagi.  Ibu saya sudah meningglakan UMNO tetapi kemudian dia tidak menjadi ahli mana-mana parti.
 
Bagi saya, sebagai ahli akademik, kita mempunyai kecenderungan kita masing-masing. Cuma, selepas kepulangan saya dari UK, saya belum nampak lagi mana-mana parti yang menepati aspirasi saya untuk saya dokongi.
 
Apa aspirasi Dr?
 
Itu yang menarik.  Politik di Malaysia masih bertunjangkan politik identiti.  Kita lebih nak pergi kepada politik idea.  Walaupun parti seperti Gerakan, DAP, PSM adalah parti yang bertunjangkan idea, tetapi, kerangka politik Malaysia itu tidak menyuburkan mereka untuk membawa idea dan mereka kadang-kadang terheret sama. Bukan salah mereka.
 
Sebagai orang akademik, lebih baik saya ambil peluang untuk mendidik masyarakat bagai mana mencapai ke arah politik idea.  Jadi, kalau saya sudah mengambil sikap partisan, maka saya rasa saya akan menggagalkan usaha yang saya lakukan.
 
Cuma, dalam mendidik masyarkat kita perlu "vokal", jadi bila kita vokal, seringkali orang kaitkan ia dengan pembangkang, itu tak betul.  Kita perlu wujudkan bahawa sikap vokal perlu ada kepada semua.  Sikap kritikal juga perlu ada kepada semua, begitu juga sikap analitikal, bukan hanya dalam pembangkang hatta dalam UMNO sendiri.
 
Ada penyokong UMNO-BN menuduh Dr cendurung kepada pembangkang, benarkah begitu?
 
Satu masalah persepsi dalam UMNO ini, kalau kritik dia (UMNO) itu dikata pembangkang.  Saya agak berasa bebas kalau saya kritik pembangkang, pembangkang tak pula kata saya UMNO.  Ada juga saya kritik PAS, begitu juga PKR dan DAP dalam sesetengah isu.  Kritikan saya dalam PAS mungkin berkaitan isu-isu konservatisme segelintir ahli atau pimpinan PAS.  Di dalam DAP, ada beberapa kenyataan-kenyataan mungkin kurang menyenangkan yang tidak menjaga sensitiviti, mungkin sekarang dah berubah, wallahualam saya tak tahu…dalam PKR pula kita nampak lebih tertumpu kepada satu keluarga atau kelompok yang membentuk PKR itu sendiri.  Mungkin, semua itu akan berubah, tak ada orang yang akan kekal.
 
Jadi bagi saya bila kita mengkritik, kita berdasarkan apa yang kita yakini dan bukan untuk kita asosiasikan.  Dan dalam perkara ini kita nampak pembangkang agak rasional; bila apabila dikritik dia tidak kata kita UMNO.  Saya mengharapkan peluang untuk ahli akademik untuk bersuara tanpa mereka dilabel.
 
Semasa wacana "Melayu, Islam dan DAP" anjuran Roketkini di Shah Alam pada 1 April lalu, Dr menyentuh kemungkinan kemasukan golongan "Islamis" dalam DAP. Apakah Dr merasakan DAP sebagai sebuah parti sekular perlu "bermain" dengan agama?
 
Ada dua isu di situ. Pertama; isu takrifan sekular dan keduanya isu berkaitan penglibatan golongan Islamis atau pun golongan agama.  Kalau takrifan sekular seperti yang dikatakan oleh Zairil (yakni Zairil Khir Johari yang mewakili DAP dalam wacana tempoh hari), sekular tu bukan yang menentang agama tetapi lebih kepada bahawa agama tidak digunakan sebagai alat diskriminasi dalam pentadbiran.
 
Bagi sesetengah orang mungkin tak ada masalah tetapi perkataan "sekular" itu sendiri bagi kebanyakan Islamis ia sebagai benda yang taboo.  Jadi, itu sebagai salah satu kekangan untuk golongan "Islamis" masuk.  Pada saya mungkin tak ada masalah tapi ia perlu diperbincangkan lagi adakah sesuai gunakan perkataan "sekular" atau ada perkataan lain yang lebih sesuai misalnya perkataan "neutral", "profesional", tetapi kalau sekular konotasinya orang boleh tafsir pelbagai.
 
Keduanya isu penglibatan Islamis; Islamis tidak semestinya mereka yang ingin mengembangkan faham agama dalam DAP.  Tak, bukan itu tetapi sebenarnya Islamis yang berfikiran moderat dan demokrat dan boleh memilih bahawa DAP adalah satu platform, mereka memperjuangkan communalities iaitu perkara yang boleh disepakati berkaitan isu pentadbiran, isu ekonomi.
 
Jika istilah "sekular" dianggap taboo, perlukah label "Islamis" itu digunakan?
 
Oh ya, kerana mereka mempunyai aspirasi Islam.  Muslim satu hal, Islamis satu hal. Mungkin saja ada Muslim yang sekular, mungkin saja ada Muslim yang komunis, tetapi kalau Islamis ini dia merujuk kepada ideologi Islamis itu sendiri.
 
Islamis ini dikaitkan dengan orang yang mengamalkan Islam.  Bagi setengah pihak ia secara fundemental.  Maksudnya bukan hanya sekadar sembahyang dalam kehidupan malah ia diterjemahkan kepada identiti mereka, di dalam perkataan yang digunakan, di dalam budaya, di dalam cara mereka berfikir, dia ada kerangka-kerangkanya.
 
Macam baru-baru ini saya ada berbincang dalam satu kumpulan untuk menggerakkan filem Islam di Malaysia.  Jadi gabungan golongan akademik so called ahli agama ni dengan penggiat filem yang mempercayai di sana adanya genre filem Islam.  Ini Islamis hatta dalam budaya pun mereka ada kerangka dia sendiri.
 
Jadi sejauh mana golongan Islamis ni boleh bergerak di dalam kerangka DAP di atas dasar communalities tetapi dalam satu waktu, kekal dengan identiti mereka dan beramal dengan apa yang mereka percayai dan cuba berbincang untuk meyakinkan orang dengan identiti mereka atau pun menjual idea mereka.
 
Adakah ideologi demokrasi sosial DAP tak bertentangan dengan idea Islamis?
 
Setakat ini demokrasi itu, sikap demokrat dalam DAP sepatutnya mengalu-alukan kehadiran idea yang pelbagai seperti mana kalau kita lihat dalam UMNO pernah mengalu-alukan golongan Islamis seperti Anwar dengan ABIMnya, dalam PKR wujudnya kalangan Islamis tetapi bukan dalam blok seperti Dr Nor Manuty, Fuziah Salleh dari JIM dan Mustafa Kamil Ayub.  Jadi mereka ini Islamis.
 
Jadi sejauh mana politik ideologi demokrat yang dipegang oleh DAP membenarkan adanya kepelbagaian dan wujudnya perbincangan atau pertandingan idea.  Pertandingan tidak semestinya ada menang ada kalah, kadang-kadang seri.  Tapi yang penting communalities itu disepakati.
 
Sekarang ni saya lihat, kalaulah ada, bukan seorang bukan dua orang individu, tetapi kelompok Islamis yang boleh melihat peluang ruang dalam DAP untuk mereka isi berdasarkan communalities, ia akan membentuk satu suasana politik baru di Malaysia.  Secara tak langsung ia memperkukuhkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam dan memberikan satu sinar baru bahawa umat Islam adalah umat yang tidak takut kepada idea.
 
Tapi kita boleh engage, kita boleh bincang dan benda ni bukan baru.  Kalau kita tengok Islamis di Mesir sebelum revolusi, Ikhwanul Muslimin pernah sertai Parti Wafd. Juga Islamis di tempat lain, mereka yang tak ada peluang untuk tubuh parti di atas identiti agama, mereka bergiat dalam parti-parti kebanyakan sosialis.  Macam di Turki agak berbeza, mereka, golongan Islamis membentuk satu parti yang sekular dan rakan kongsi mereka bukan di kalangan golongan Islamis.  Tidak ada masalah dan mereka boleh bawa ekonomi Turki dan Islam sekarang ni lebih bebas di Turki berbanding sebelum ni walhal mereka membawa banner sekular.
 
Dr rasa demokrasi sosial baik untuk Malaysia?
 
Saya tak pasti sama ada demokrasi sosial sekarang ini versi rigid kerana DAP sendiri telah berubah dan menerima pasaran bebas yang biasanya ini lebih kepada pentadbiran Jerman yang punya ideologi social market.  Adakah itu yang dimaksudkan demokrasi sosial yang dipegang DAP sebab saya melihat ya memang ada unsur sosialisme dalam DAP tetapi ia tidaklah dalam keadaan sosialisme puritan.  Kalau puritannya sudah ada parti sosialis, sosial demokrasi itu pun ada pelbagai genrenya.  Adakah dia mazhab New Labour, adakah ia bermazhab Scandinavian welfare state atau pun bermazhab social market Jerman atau bagaimana.
 
Mungkin dalam kerangka menjinakkan kapitalisme?
 
Ikut trend sekarang semua ideologi bergerak ke tengah, persoalannya versi mana? Kalau New Labour, ia bergerak dari the traditional lefties labour towards the right di bawah Tony Blair.  Bagi golongan liberal, ia bergerak daripada kanan, kapitalis yang totok itu kepada tengah yang dinamakan centre right.
 
Situasi Dr di mana?
 
Islam berada di tengah, saya bersama Islam. (ketawa)
 
Harapan Dr kepada DAP?
 
Saya berharap akan ada kelompok Islamis yang berani untuk bersama di atas dasar communalities bagi mencorakkan politik baru Malaysia dengan kemasukan dalam DAP. Tapi persoalannya siapa?
 
Mungkin Dr sendiri?
 
Saya tak pasti (ketawa) sebab saya tekankan saya sebagai ahli akademik perlu kekal sebagai neutral sebab target nak mendidik masyarakat…
 
Adakah keputusan (Naib Pengerusi DAP) Tunku Aziz keluar parti memberi kesan kepada sokongan Melayu terhadp DAP?
 
Tunku Aziz mewakili orang Melayu ke? Itu yang kita kata DAP perlukan "pemimpin yang karismatik"…
 
*Dipetik dari Roketkini. (http://roketkini.com/2012/06/01/dap-dari-sudut-pandang-seorang-islamis/)