Thursday, August 2, 2012

PKR umum ubah dasar penghantaran barang melalui kapal untuk turunkan harga barang di Malaysia Timur

Oleh Clara Chooi
Malaysianinsider
PETALING JAYA, 2 Ogos — Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini berjanji akan menghapuskan polisi kabotaj yang memerlukan barang hanya dihantar oleh kapal tempatan untuk menjadikan harga kereta dan barangan lain lebih murah di Sabah dan Sarawak.
Dasar kabotaj negara dianggap sebagai kontroversi dan sering dianggap sebagai punca kenaikan harga barang di Malaysia Timur.
Langkah baru PKR dilihat sebagai dasar Pakatan Rakyat untuk memenangi dua negeri yang telah dianggap sebagai 'kubu kuat' untuk Barisan Nasional (BN).
Ketua umum parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam kenyataan medianya hari ini, dasar yang diperkenalkan pada tahun 1980an itu “tidak ekonomik” dan perlu diubah sepenuhnya.
“Jika kita perlu ambil barang dari Hong Kong, kenapa perlu ke Pelabuhan Kelang dahulu? Ini tidak masuk akal.
“Ini langsung tidak ekonomik kecuali kepada para kroni yang berniat hanya mahu memperkayakan golongan tertentu dengan menaikkan harga barang di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.
Dia juga berkata Pakatan Rakyat mencadangkan harga kereta diturunkan dengan menghapuskan duti eksais dan melihat semula dasar Permit Yang Dibenarkan (AP) untuk memastikan Sabah dan Sarawak dapat menikmati harga yang lebih murah.
Ahli politik dan ketua masyarakat di Sabah dan Sarawak sudah lama menentang dasar kabotaj, dengan mengatakan ini tidak perlu dilakukan untuk mengelakkan jurang ekonomi antara Malaysia Timur dan Semenanjung.
Dalam tahun 1980an semua barangan yang dihantar perlu dihantar dengan kapal Malaysia yang menyebabkan kenaikan harga barang dan meningkatkan kos di Malaysia Timur.