Monday, August 19, 2013

ASAL MUASSAL DOA TOLAK BALA

Nungkup Tangan

Telah menjadi amalan di tempat kawey untuk membaca doa tolak bala` sebagai doa terakhir selepas sholat dengan didahului surah al-Fatihah. Doa yang biasanya digunakan adalah doa yang berwasilahkan surah al-Fatihah dan dalam doa yang masyhur tersebut diserulah Allah dengan seruan "Ya Daafi`al Bala`" - "Wahai Tuhan Yang Menolak / Menghindar / Menghilang Segala Bala` Bencana", sambil tok imam dan para jemaah menterbalikkan tapak tangan mereka dengan menjadikan batin atau perut tapak tangan ke bawah dan belakangnya ke atas, dalam bahasa lain, menelangkupkan tapak tangan sebagai kebalikan menadahnya, atau dalam bahasa kampung ese "nungkup tangan".  Sejak dahulu begitulah yang diamalkan orang kat tempat kawey, hok awam maupun hok alim, semua dok buat lagu tu, tak dak pulak sesiapa yang menyanggahnya apatah lagi menyalahkannya, hinggalah zaman bebaru ni bila ada beberapa asatizah yang terlebih "pandai" mula membid`ahkan perbuatan tersebut.

Sebenarnya, hukum menelangkup tapak tangan telah dijelaskan oleh para ulama kita. Rata-rata ulama mazhab kita asy-Syafi`iyyah menghukumkannya sebagai SUNNAT jika doa yang dipanjatkan itu bertujuan memohon agar segala bala` bencana, musibah, wabak penyakit dan seumpamanya dihindarkan atau diangkat. Perkara ini mereka sandarkan kepada beberapa nas, antaranya kepada hadits istisqa` yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahullah daripada `Abd bin Humaid yang meriwayatkan daripada al-Hasan bin Musa daripada Hammad bin Salamah daripada Tsabit daripada Sayyidina Anas bin Malik RA yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW ketika beristisqa (yakni memohon agar hujan diturunkan supaya hilang kemarau yang melanda) baginda mengisyaratkan yakni menjadikan belakang kedua tapak tangan baginda yang mulia ke langit.

Imam an-Nawawi rahimahullah dalam Syarah Muslim ketika mensyarahkan hadits tersebut pada kitab shalah al-istisqa`  menyatakan, antara lain:-

" Telah berpendapat sekumpulan daripada sahabat - sahabat kami (yakni para ulama Syafi`iyyah) dan selain mereka (yakni ulama daripada mazhab lain) bahawa adalah SUNNAT bagi seseorang, dalam setiap doa yang memohon diangkat bala` bencana seperti kemarau dan seumpamanya, untuk mengangkat kedua tangannya dan menjadikan belakang kedua tapak tangannya ke langit; Jika berdoa untuk memohon sesuatu hajat dan menghasilkannya, dijadikan perut kedua tapak tangannya ke langit (yakni kedua tapak tangan ditadah ke langit). Hadits ini menjadi hujah bagi perkara ini."

Pernyataan Imam an-Nawawi ini telah diikut dan dinukil tanpa sebarang bantahan oleh para ulama lain, antaranya oleh Amirul Mu'minin fil hadits, Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah, dalam karya beliau yang masyhur, "Fathul Bari syarh Shahih al-Bukhari", juzuk ke-2, halaman 657.

Lain-lain muhadditsin, termasuklah yang jadi sanjungan dan rujukan kaum muda(h)" seperti Syaukani dan Shan`aani rahimahumullah turut memberikan komentar yang serupa apabila mensyarahkan hadits tersebut. Imam Shan`aani @ Muhammad bin Ismail ash-Shan`aani, dalam karyanya "Subulus Salam", jilid 2, halaman 171 menyatakan:- 
" Daripada Anas RA bahawasanya Junjungan Nabi SAW pernah beristisqa dengan baginda mengisyaratkan yakni menjadikan belakang kedua tapak tangan baginda ke langit", hadits riwayat Imam Muslim. Hadits ini menjadi dalil bahawa ketika seseorang menghendaki dengan doanya untuk mengangkat bala`(yakni menolak bala`), maka hendaklah dia mengangkat kedua tangannya dan menjadikan belakang kedua tapak tangannya ke langit. Dan jika dia berdoa memohon sesuatu dan menghasilkannya, dijadikan kedua perut tapak tangannya ke langit. Dan telah warid perkara ini dengan jelas dalam hadits Khallad bin as-Saaib daripada ayahandanya yang bahawasanya Junjungan Nabi SAW apabila berdoa memohon sesuatu menjadikan perut kedua tapak tangan baginda menadah ke langit dan apabila memohon perlindungan baginda menjadikan belakang keduanya ke langit. Jika pun warid hadits Sayyidina Ibnu `Abbas RA yang dhaif menyatakan: "Mohonlah kepada Allah dengan segala perut tapak tangan kamu dan jangan memohon kepadaNya dengan belakangnya", ia boleh dihimpunkan pemahamannya dengan riwayat di atas kerana hadits Sayyidina Ibnu `Abbas RA ini merujuk kepada doa yang memohon terhasilnya sesuatu permintaan dan bukannya untuk menolak bala. Dan telah mentafsir (sebahagian ulama) akan firman Allah ta`ala: "....dan sentiasalah berdoa kepada Kami dengan penuh harapan (raghaban) serta gerun takut (rahaban) ....." [surah al-Anbiya`: 90], bahawa ar-raghab adalah dengan perut-perut (tapak tangan), yakni berdoa dengan menadah tapak-tapak tangan ke langit dan ar-rahab adalah (berdoa) dengan belakang - belakang (tapak tangan), yakni menelangkupkan tapak-tapak tangan.
Habib `Alawi bin `Abbas al-Maliki rahimahullah dan Syaikh Hasan bin Sulaiman an-Nuri rahimahullah dalam karya bersama mereka "Ibaanatul Ahkaam", juzuk ke 2, halaman 132 - 133 turut menyatakan sebagai berikut:-
" Sunnat bagi seseorang dalam setiap doa yang memohon diangkat bala` @ doa tolak bala` seperti kemarau dan seumpamanya untuk mengangkat kedua tangannya dan menjadikan kedua tapak tangannya ke langit sebagai tanda atau isyarat semoga segala kepayahan dan ketandusan berubah menjadi kelapangan dan kemakmuran. Manakala dalam setiap doa bagi menghasilkan kebaikan (yakni permohonan kebajikan dan keselamatan umpamanya) dijadikan perut kedua tapak tangannya ke langit sebagaimana dinyatakan dalam hadis yang Junjungan Nabi SAW bersabda: "Jika kamu memohon sesuatu kepada Allah, maka pohonlah kepadaNya dengan menadah perut - perut tapak tangan kamu, dan janganlah kamu meminta kepadaNya dengan belakang-belakangnya."
Maka ketahuilah olehmu, wahai sesiapa yang mencari faham, bahawasanya masalah menelangkupkan tapak tangan ketika doa tolak bala` adalah SUNNAT hukumnya menurut majoriti ulama. Namun, kita tidaklah menafikan bahawa ada segelintir ulama antaranya Syaikh Ibnu Taimiyyah al-Harrani dan pendokong - pendokongnya mempunyai pendapat yang lain kerana mereka mentafsirkan hadits istisqa` Sayyidina Anas RA tersebut hanya sebagai menyatakan kesungguhan perbuatan Junjungan Nabi SAW dalam mengangkat tangan baginda. Setiap pihak berhak untuk beramal dengan apa yang diyakininya tanpa perlu mencemoh amalan pihak lain. Maka hendaklah pihak yang enggan menelangkupkan tangannya ketika doa tolak bala`, tidak atau berhenti menuduh saudaranya yang melakukan amalan tersebut ketika doa tolak bala` sebagai berbuat bid`ah dan sebagainya. Sesungguhnya pihak yang melakukannya juga mempunyai hujah dan sandaran mereka. Berlapang dadalah dan jagalah hati dan lidah kalian dari menyakiti sesama kaum muslimin.

ASAL MUASSAL TASMI'

Kisah Tasmi'

Rasanya kita semua sudah sedia maklum akan kisah Sayyidina `Umar RA dengan asal muasal pensyariatan azan bagi sholat fardhu yang lima. Kali ini dinukilkan pula kisah hubungan pensyariatan ucapan tasmi` dengan seorang lagi tokoh sahabat yang paling utama, iaitu Sayyidina Abu Bakar RA. Kisah ini dinukilkan dari karya ulama besar Syaikh `Abdullah asy-Syarqawi rahimahullah, ulama bermazhab Syafie yang dilahirkan pada tahun 1150H dan wafat sekitar tahun 1226H. Beliau adalah Syaikhul Azhar yang ke-12. Selain kealimannya, beliau juga terkenal dengan keberaniannya sebagai seorang mujahid yang memimpin jihad menentang penjajahan Perancis ke atas bumi Mesir. 
Syaikh asy-Syarqawi rahimahullah dalam "Hasyiah asy-Syarqawi 'ala Tuhfatith Thullaab" pada halaman 205 karya tersebut, Syaikh Syarqawi rahimahullah meriwayatkan sebagai berikut:-
Bahawa hikmah pada pensyariatan ucapan tasmi` ini (yakni ucapan sami`aAllahu li man hamidah) adalah kerana Sayyidina Abu Bakar RA yang tidak pernah sekali pun luput sholat berjemaah berimamkan Junjungan Nabi SAW telah terlewat pada satu hari, ketika waktu sholat Asar, untuk hadir ke masjid. Sayyidina Abu Bakar mengira bahawa dia akan terluput berjemaah dengan Rasulullah SAW. Maka gundahlah hatinya lalu dengan berlari-lari anak beliau bergegas menuju ke masjid. Peristiwa ini berlaku sebelum datang tegahan untuk berlari-lari anak untuk pergi ke masjid. Setiba di masjid, Sayyidina Abu Bakar mendapati bahawa Junjungan Rasulullah SAW sedang bertakbir untuk rukuk. Lalu Sayyidina Abu Bakar mengucapkan hamdalah : "Alhamdulillah", lalu bertakbir dan mengikut Junjungan SAW rukuk. Maka turunlah malaikat Jibril AS kepada Junjungan Nabi SAW yang sedang rukuk seraya berkata: "Wahai Muhammad, Allah telah mendengar orang yang memujiNya, maka ucapkanlah "sami`a Allahu liman hamidah". Lalu Junjungan Nabi SAW ketika bangkit dari rukuk baginda mengucapkan ucapan tasmi` tersebut. Sebelum peristiwa ini, adalah Junjungan Nabi SAW bertakbir sebelum rukuk dan bertakbir juga ketika bangkit dari rukuk. Oleh itu, pertukaran daripada takbir kepada tasmi` ketika bangkit dari rukuk menjadi sunnah sejak peristiwa tersebut berkat perbuatan Sayyidina Abu Bakar RA.
Jika kita telusuri sirah Junjungan Nabi SAW dan para sabahat baginda, nescaya kita dapati banyak lagi cerita di mana amalan atau perbuatan yang dilakukan oleh seseorang sahabat dipandang baik oleh Junjungan Nabi SAW, bahkan ianya menjadi sebab bagi melahirkan satu sunnah. Di antara kisah - kisah tersebut adalah seperti kisah sholat sunnat wudhu yang dilakukan oleh Sayyidina Bilal RA, kisah sholat sunat sebelum dibunuh yang dilakukan oleh Sayyidina Khubaib RA dan kisah kelakuan masbuk yang dilakukan oleh Sayyidina Mu`adz RA. Sesungguhnya Junjungan Nabi SAW adalah makhluk Allah yang paling mulia dan bukanlah akhlak baginda untuk dengan sewenang - wenangnya menyesatkan setiap perbuatan yang baik yang dilakukan oleh seseorang. Dalam kisah - kisah tersebut tak dak pulak riwayat yang Junjungan Nabi SAW bersabda kepada mereka, terjemah dalam loghat Kedah: "Awat hangpa buat lagu tu ? Hangpa nak buat bid`ah kaaa?" Allahumma sholli wa sallim `alaihi wa `ala aalihi wa ashhabih.

MARILAH KITA BERAMAL (6)

Salam Jumaat

Alhamdulillah, kita bertemu lagi dengan penghulunya segala hari. Hari yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang - orang yang beriman bagi menambahkan saham akhirat mereka. Pada hari ini ganjaran amalan kebajikan seseorang akan dibalas dengan berganda sebagaimana dinyatakan oleh Sayyidina Abu Hurairah RA yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabarani bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: " Ganjaran bagi segala kebajikan digandakan pada hari Jumaat". Makhluk Allah selain Bani Adam juga tidak ketinggalan menunggu dan bergembira dengan kedatangan hari yang mulia ini. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullah menyebut bahawa Ka`ab al-Ahbar RA menyatakan bahawa haiwan dan mergastua apabila bertemu antara sesama mereka pada hari Jumaat akan mengucapkan "Salam, Salam hari yang baik."
Hari ini juga adalah hari di mana segala amalan kita di mana amalan kita ditunjukkan kepada Baginda Nabi SAW sebagaimana dinyatakan dalam hadits "tu'radhul a'maal" yang masyhur, yang menyatakan:-


Segala amalan dibentangkan kepada Allah pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis. Dan dibentangkan kepada para Nabi dan para ibubapa pada hari Jumaat, maka mereka bergembira dengan (melihat) segala kebaikan mereka yang hidup tersebut dan bertambah bercahaya wajah-wajah mereka serta bersinar-sinar. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu menyakiti orang-orang mati kamu (yakni dengan melakukan dosa dan maksiat yang menyebabkan kesedihan kepada si mati).
Hari ini juga adalah hari ucapan shalawat kita kepada Junjungan Nabi SAW akan dipersembahkan terus kepada baginda, sebagaimana dinyatakan dalam banyak hadits, antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Perbanyakkanlah bersholawat ke atasku pada setiap hari Jumaat, kerana shalawat umatku dibentangkan / dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang banyak bershalawat ke atasku, jadilah mereka orang yang paling hampir kedudukannya denganku."
Marilah kita rebut peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya. Basahkan lidah dengan ucapan shalawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Moga ungkapan shalawat kecintaan tersebut meresap ke hati sanubari kita dan menumbuhkan pohon - pohon mahabbah yang sejati kepada Baginda Nabi SAW. Ingat senantiasa bahawa sesiapa yang kasihkan sesuatu atau seseorang, pasti dia akan banyak menyebut dan mengingatinya. Ingat juga bahawa seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihinya.

اللهم صل على النبي الهاشمي
سيدنا محمد و على آله و صحبه
و سلم تسليما

MENGENALI ULAMAK NUSANTARA (1)

Syaikh Suhaimi Ulama Besar Dunia Melayu

Ketika ese tengah mengemas kutub khanah, ese terjumpa sesalinan kertaskerja yang dikarang oleh almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd. Shaghir rahimahullah yang ese perolehi daripada beliau suatu ketika dahulu. Kertas kerja tersebut telah sekian lama ada dalam simpanan ese, namun baru sat tadi sompek den telek. Ianya adalah kertas kerja yang telah dibentangkan oleh almarhum pada 29 Mei 2005 / 20 Rabi`ul Akhir 1426 sempena memperingati 100 tahun kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani rahimahullah. Di bawah tajuk "Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad al-Fathani Dengan Ulama` Selangor", beliau menyentuh sedikit mengenai Sayyidisy Syaikh Muhammad as-Suhaimi rahimahullah yang ingin ese kongsikan di sini. Mudah-mudahan ada faedahnya, lebih-lebih lagi setelah nama ulama ini sedikit sebanyak telah tercalar akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak - pihak tertentu seperti Jemaah al-Arqam yang telah diharamkan. Pada halaman 18 - 21, almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir menulis sebagai berikut:-
SYEIKH MUHAMMAD AS-SUHAIMI
Nama sebenar ialah Syeikh Muhammad bin `Abdullah al-Wanasabaniyi (Wonosobo). Nama yang sangat dikenali ialah Syeikh Muhammad Suhaimi atau Syeikh Suhaimi saja. Nama lengkap ulama keturunan Nabi Muhammad SAW ini tidak perlu saya bicarakan lagi kerana telah lengkap disebut dalam buku "Manakib asy-Syeikh as-Sayyid Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi" yang ditulis oleh anak beliau Syeikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi. Syeikh Muhammad Suhaimi dilahirkan di Kota Sudagaran, Wonosobo, Jawa Tengah, 1259H / 1843M, wafat di Kampung Teluk Pulai, Klang, Selangor, 21 Rejab 1343H / 15 Januari 1925M. Mendapat pendidikan awal di Pondok Pesantren Termas, Pacitan, Banyumas, Jawa Tengah. Pondok Pesantren Termas memang telah melahirkan ulama yang sangat terkenal, di antara mereka yang sangat menonjol ialah Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi, ulama besar dalam Mazhab Syafi`ie yang telah membahas ilmu hadits yang cukup mendalam. Ayah beliau ini bernama Kiyahi Haji `Abdullah bin `Abdul Mannan at-Tarmasi juga seorang ulama besar. Memperhatikan tahun kelahiran Syeikh Muhammad Suhaimi (1259H / 1843M) dan kewafatan Kiyahi Haji `Abdullah bin `Abdul Mannan Termas (wafat di Makkah, 1314H / 1896M) kedua-dua ulama yang tersebut seangkatan. Dipercayai kedua-dua mereka telah belajar kepada seorang ulama besar, yang dipercayai pengasas Pondok Pesantren Termas. Beliau ialah Kiyahi Haji `Abdul Mannan bin `Abdullah bin Ahmad Termas (wafat Syawal 1282H / 1865M).
Walau pun Syeikh Muhammad Suhaimi yang lahir tahun 1259H / 1843M, yang bererti beliau lebih tua dari Syeikh Ahmad al-Fathani yang lahir tahun 1272H / 1856M, namun kedua-duanya belajar kepada ulama-ulama di Makkah yang masyhur pada zaman itu. Ulama-ulama itu ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (Mufti Makkah), Saiyid Abu Bakar Bakri Syatha, Syeikh Nawawi al-Bantani, Saiyid `Abdullah az-Zawawi dan lain-lain. Syeikh Ahmad al-Fathani belajar kepada ulama - ulama bangsa Arab tersebut ketika masih dalam usia belasan hingga dua puluhan tahun, sebelum beliau pergi ke Mesir. Beliau ke Mesir sekitar tahun 1292H / 1875M dan pulang ke Makkah sekitar tahun 1300H / 1882M. Oleh sebab Syeikh Muhammad Suhaimi berada di Makkah juga sekitar tahun 1300H / 1882M, maka dapat diambil kesimpulan tentu ada hubungan antara kedua-dua ulama itu. Pada tahun 1300H / 1882M itu pula Syeikh Ahmad al-Fathani telah aktif mengajar di Masjid al-Haram dan pelbagai aktiviti lainnya.
Mengenai Syeikh Muhammad Suhaimi saya masukkan ke dalam kertas kerja ini hanyalah sebagai pengenalan ringkas saja kerana beliau juga telah berjasa dalam penyebaran Islam di dalam kerajaan Selangor terutama di Klang. Sebenarnya peranan beliau jauh lebih luas daripada itu, kerana namanya juga termasyhur di Singapura, Jawa dan Bangkok dalam lingkungan orang - orang Jawa di sana. Rasanya saya tidak perlu mengungkapkan kisah-kisah "keramat" (karamah) yang telah digambarkan dalam manaqib beliau, tetapi di sini saya lebih mengemukakan yang lebih bercorak fakta yang tidak dapat ditolak. Dengan memperkenalkan beberapa buah karangan beliau yang sangat tinggi nilai keilmuan Islam yang terkandung di dalamnya bererti mengembalikan nama Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai seorang ulama besar dunia Melayu yang pernah dinodai namanya oleh pihak-pihak tertentu yang buta sejarah dan tidak bertanggungjawab. Karangan-karangan Syeikh Muhammad Suhaimi semuanya ditulis dalam bahasa Arab, senarainya adalah sebagai berikut:-
  1. الفتوحة  الإلهية في بيان كيفية الطريقة الغزالية , diselesaikan Zohor, hari Rabu, tahun 1312H. Kandungan membicarakan Thariqat al-Ghazaliyah, iaitu thariqat yang dibangsakan kepada Imam al-Ghazali. Pada muqaddimah penulis menyebut bahawa beliau adalah murid Syeikh Nawawi (al-Bantani) pada bahagian akhir yang mengajar thariqat ini ialah Syeikh Muhammad Ismail bin Muhammad Salim. Semua perbicaraan dilengkapi dengan hadits. Cetakan kedua, tanpa nama percetakan, tanpa tarikh, dicetak di Singapura.
  2. المعدن الأسرار جليلة الإعتبار , diselesaikan di Singapura, pada waktu `Ashar, hari Isnin, 20 Rejab tahun 1312H. Kandungan pada muqaddimah penulis menyebut nama lengkapnya, dan dinyatakan negeri asalnya Wonosobo. Keseluruhan kandungan terdiri dari tujuh belas Bab dan satu Khatimah. Bab Yang Pertama Mengenai Fadhilat al-Quran. Bab Yang Kedua Mengenai Orang Yang Meringan-ringankan al-Quran. Bab Yang Ketiga Fadhilat لقد جآءكم (Dua Ayat Akhir Surah at-Taubah). Bab Yang Keempat Fadhilat Doa Nabi Yunus. Bab Yang Kelima Fadhilat Ayat al-Kursi. Bab Yang Keenam Fadhilat Surah al-Ikhlas. Bab Yang Ketujuh Tentang Membenci Shahabat Nabi SAW. Bab Yang Kedelapan Tentang Sayyidina Abu Bakar Shiddiq RA. Bab Yang Kesembilan Tentang Sayyidina `Umar RA. Bab Yang Kesepuluh Tentang Kelebihan Shahabat. Bab Yang Kesebelas Tentang Sayyidina `Utsman RA. Bab Yang Kedua belas Tentang Kelebihan Tiga Khulafa` ar-Rasyidin. Bab Yang Ketigabelas Tentang Sayyidina `Ali RA. Bab Yang Keempatbelas Tentang Sepuluh Shahabat Yang Masuk Syurga. Bab Yang Kelimabelas Tentang Imam Mahdi. Bab Yang Keenambelas Tentang Tanda - Tanda Keluar Imam Mahdi. Bab Yang Ketujuhbelas Tentang Keluar Masih ad-Dajjal. Khatimah Tentang Hikayat Iblis Bertemu Rasulullah SAW. Semua perbicaraan adalah berdasarkan hadits. Cetakan kedua, tanpa nama percetakan, tanpa tarikh, dicetak di Singapura.
  3. رسالة القدسية في معرفة صفات الله بدلائل القرانية , diselesaikan Zohor, hari Ahad, 28 Jumadits Tsani 1317H. Kandungan membicarakan `aqidah. Dicetak di atas batu cetak Haji Muhammad Amin, Singapura, Kampung Melayu, pada bulan Rabi`ul Akhir 1319H.
  4. كتاب الدلالة في تحرير ادلة القبلة و الأهلة , diselesaikan di Singapura, hari Sabtu, 20 Rabi`ul Awwal 1319H. Kandungan membicarakan ilmu falak dan hisab. Dicetak di atas batu cetak Haji Muhammad Amin, Singapura, Kampung Melayu, pada bulan Rabi`ul Akhir 1319H.
Inilah sekelumit yang telah ditulis oleh almarhum TG Haji Wan Shaghir. Selain karya-karya tersebut, Syaikh Suhaimi juga mempunyai karya mengenai kisah mi'raj Junjungan Nabi SAW berjodol "Nafahatul `Anbariyyah fi Qissati Mi'raji Khairil Bariyyah `alaihi afdhalus shalaah wa azkat tahiyyah" dan sebuah kitab mengenai kelebihan membaca mawlid Junjungan Nabi SAW dengan jodol "an-Nafahatul Miskiyyah fi fadhilati qiraati mawlidi Khairil Bariyyah `alaihi afdhalus shalaah wa azkat tahiyyah". Menurut keterangan ahli keluarga beliau, ada lagi kitab - kitab karangan beliau yang masih dalam bentuk manuskrip belum bercetak. Ternyata bahawa Kiyai Agung Muhammad bin `Abdullah as-Suhaimi adalah seorang ulama besar yang mempunyai jasa dalam penyebaran dakwah dan ilmu Islam di rantau kita...... al-Fatihah.

MARILAH KITA BERAMAL (5)

Faedah Dari Sa`adatud Darain


Doa di atas ini dengan sedikit perbezaan pada shighahnya telah lama diamalkan masyarakat kita, baik orang awam maupun para ulama kita. Amalan ini bukanlah perkara yang dibuat-buat oleh ulama Jawi kita sahaja, menurut keterangan al-`Alim al-`Allaamah al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam karyanya "Sa`aadatud Daarain" halaman 627 amalan doa di atas adalah antara faedah yang mujarrab untuk mencegah wabak sebagaimana dinukilkan oleh Syaikh Ahmad Syatha al-Makki rahimahullah daripada beberapa ulama yang kepercayaan (tsiqah) antaranya daripada ayahandanya sendiri iaitu Syaikh Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah, pengarang "I`aanatuth Thalibin" yang masyhur, dan daripada Mufti Syafi`i Makkah ketika itu, al-Habib Husain al-Habsyi rahimahullah.
Ikhwah dan sekalian ahli negeri-negeri rantau Nusantara ini seharusnya mengetahui dan bersyukur bahawa amalan - amalan yang dahulunya dominan diamalkan di Hejaz dan tanah-tanah suci telah diwarisi oleh kita di rantau ini, walaupun amalan-amalan tersebut telah dipinggirkan di tempat - tempat tersebut akibat penjajahan puak Wahhabi dari padang pasir Nejd. Antara amalan yang masih menjadi amalan umat kita di rantau ini adalah wirid-wirid selepas sholat berdasarkan kepada amalan Junjungan Nabi SAW sebagaimana diamalkan di kota suci Madinah yang terkenal sebagai "al-Awrad al-Madaniyyah al-Qusyasyiah". Maka hendaklah kita menjaga warisan ini dengan sungguh-sungguh, terlebih lagi waktu kita ini telah ada talibarut puak Wahhabi ini yang cuba membid`ahkan dan menyesatkan amalan - amalan ini. Sempena hari yang mulia ini, marilah kita bertekad untuk menjaga dan mengamalkan amalan-amalan ini dan marilah kita sama-sama membakulsampahkan pendapat dan pandangan puak Wahabi @ Kaum Muda(h) @ Salafi yang salah pi.

MARILAH KITA BERAMAL (4)

Jom Puasa 6

Apabila tiba lebaran, antara nikmat yang dianugerahkan kepada kita di Malaysia, meja-meja makan kita penuh dengan hidangan yang berbagai jenis rupa. Maka nafsu makan yang selama sebulan cuba dikekang dengan berpuasa pun kembali bergelora. Namun jika kita kembali berpuasa, ianya sedikit sebanyak akan dapat melemahkan gelojak nafsu makan tersebut. Oleh itu, Junjungan Nabi SAW menganjurkan sebagai tuntutan sunnat untuk kita kembali berpuasa dalam bulan Syawwal selama 6 hari dengan ganjaran yang sungguh lumayan. Betapa tidak, dalam suasana nafsu makan yang sedang bergelojak, kita kekang dan kawal dengan berpuasa. Dengan melaksanakan puasa sunnat enam hari ini kita dijanjikan dengan ganjaran pahala seumpama berpuasa sepanjang tahun. Sungguh luar biasa dan agung ganjaran yang dijanjikan ini. Maka kenapa ye, masih ada yang segan-segan, malu-malu, malas-malas, untuk mengambil kelebihan ini. 
Sesungguhnya ibadah puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal ini adalah antara kemurahan Allah SWT ke atas umat ini. Amalan ini adalah salah satu cara yang ditunjukkan oleh Junjungan Nabi Muhammad SAW bagi umat baginda yang dhoif ini untuk meraih ganjaran puasa sepanjang tahun. Tak mampu rasanya kalau kita nak berpuasa sepanjang tahun, minus hari-hari yang diharamkan berpuasa. Puasa yang hok sebulan tu pun, ada yang kantoi, tok sah nak cakap puasa setahun. Oleh itu, janganlah kita yang dhoif ini menyombong diri dan bersikap bongkak menolak hadiah sebesar ini. Puasa 6 ini afdhalnya dilakukan berturut-turut selama 6 hari dalam bulan Syawwal menurut mazhab Syafi`i dan Hanbali, manakala menurut mazhab Hanafi dan Maliki yang afdhal adalah ianya dibuat secara berpisah-pisah dan tidak berturut-turut. Ini adalah segi afdhaliyyahnya sahaja, samada dibuat berturut-turut atau berpisah-pisah tetap dihukumkan sunnat dan diberi ganjaran sebagaimana dijanjikan dengan syarat kabul diterima Allah SWT. Marilah kita melaksanakan amalan sunnat ini, mudah-mudahan dapat menambah bekalan kita untuk kehidupan akhirat yang lebih bahagia.

MARILAH KITA BERAMAL (3)

Ziarah Makam Rasulullah SAW

Para ulama kita, Ahlus Sunnah wal Jama`ah, menghukumkan bahawa menziarahi makam Kekasih Allah, Junjungan Nabi Muhammad SAW adalah sunnat yang amat dituntut, sunnat muakkad, bagi segala umat baginda di mana jua mereka berada dan tidaklah ia tertakluk hanya kepada orang yang mengerjakan haji atau umrah sahaja, sedangkan bagi para hujjaj dan mu'tamirun berlebih-lebihlah lagi tuntutannya. Hanya "ulama" yang ilmunya mungkin lebih besar daripada akalnya sahaja yang menghukumkan "haram" bermusafir untuk menziarahi makam Junjungan SAW. Ulama kita menegaskan bahawa apabila kita ziarah ke Madinah, tujuan utama dan pertama kita adalah menziarahi Junjungan Nabi SAW yang bersemayam di sana, dengan disertakan juga niat menziarahi masjid baginda yang mulia. Pendapat yang menyatakan bahawa ziarah ke Madinah adalah untuk menziarahi masjid baginda SAW, manakala ziarah ke makam baginda hanyalah rentetan dari ziarah masjid tersebut adalah pendapat keliru yang terhasil daripada salah faham seorang ulama Kurdi mengenai sepotong hadits.

Pendokong dan pengkagum ulama Kurdi ini telah sedaya upaya cuba memenangkan pendapat imam mereka sehingga sanggup melakukan jenayah ilmiah dengan mengubah kitab-kitab karangan ulama yang muktabar dengan menggantikan anjuran berziarah ke kubur/makam Junjungan Nabi SAW kepada ziarah ke masjid Nabi SAW agar sesuai dengan pandangan idola mereka. Kita menyaksikan bagaimana puak - puak ini merubah karya-karya Imam an-Nawawi antaranya kitab "al-Adzkar" dengan menggantikan kalimah "kubur" Rasulullah yang digunakan oleh Imam an-Nawawi dengan perkataan "masjid". Inilah pekerjaan bangsat dan biadab mereka, moga Allah memberikan balasan yang setimpal atas pengkhianatan mereka ini. Imam an-Nawawi sebagai seorang ulama besar Ahlus Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafi`i amat menganjurkan amalan menziarahi kubur atau makam Junjungan Nabi SAW. Hal ini beliau nyatakan dalam karya-karya beliau, antaranya dalam "al-Iidhaah fi Manaasikil Hajj wal `Umrah", beliau menulis bab yang ke-6 sebagai "fi ziyaarati qabri Sayyidina wa Mawlana Rasulillah shallaAllahu `alaihi wa sallam wa syarrafa wa karrama wa `adhzdhzama wa maa yata`allaqu bi dzalika (tentang ziarah kubur Sayyidina wa Mawlana Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam wa syarrafa wa karrama wa `adhzdhzama dan perkara - perkara yang berkaitan dengannya). Antara yang dinyatakan oleh beliau, rahimahullah, pada halaman 447 adalah sebagai berikut:-
Yang Pertama: Apabila para jemaah haji dan umrah meninggalkan Kota Makkah, maka hendaklah mereka menuju ke kota Rasulullah SAW untuk menziarahi turbah baginda SAW (Imam an-Nawawi menggunakan kalimah "turbah" yang difahami sebagai "kubur atau makam", adalah tidak tepat jika ianya diterjemah sebagai "tanah" sebagaimana terjemahan sesetengah ustaz yang ese harapkan ianya hanya kesilapan terjemahan sahaja tanpa ada niat lain yang tersembunyi padanya). Maka sesungguhnya ianya adalah satu amalan yang terpenting bagi bertaqarrub kepada Allah dan suatu usaha yang akan menghasilkan sebaik-baik kejayaan. Dan telah diriwayatkan oleh al-Bazzar dan ad-Daaraquthni dengan keduanya bersanad kepada Sayyidina Ibnu `Umar radhiyaAllahu `anhuma yang berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang menziarahi kuburku, pasti baginya syafaatku."

Yang Kedua: Mustahab bagi penziarah (yakni orang yang menziarahi makam Junjungan SAW tadi) untuk berniat beserta dengan niatnya menziarahi baginda SAW akan niat bertaqarrub kepada Allah dengan bermusafir ke masjid baginda SAW dan sembahyang di dalamnya.
 Allahu ... Allah, kan jelas di sana bahawa niat yang utama dan pertama adalah menziarahi Junjungan Nabi SAW yang bersemayam di makam baginda di sana, kemudian disertakan juga dengan niat menziarahi masjid baginda SAW. Apa susah beno ke nak memahami perkataan Imam an-Nawawi tersebut. Makanya janganlah terpengaruh dengan tindakan kurang adab @ biadap sesetengah pihak yang lebih mengutamakan masjid Junjungan Nabi SAW berbandingkan diri baginda SAW yang bersemayam di sana. Sungguh apabila kita menziarahi makam Junjungan SAW yang kita ziarahi itu adalah Junjungan Nabi SAW kerana para nabi itu tetap hidup dalam kubur-kubur mereka dengan kehidupan barzakh yang sempurna.

MARILAH BERAMAL (2)

Pesan Quthub Tanah Jawa

" Tidak ada yang menyebabkan manusia rugi kecuali keengganan mereka mengkaji buku - buku sejarah kehidupan kaum shalihin dan berkiblat pada buku - buku moden dengan pola fikir yang serba meringankan. Wahai saudara-saudaraku, ikutilah jalan salafush shalihin, sebab mereka adalah orang - orang yang ikhlas beramal. Ketahuilah, salaf kita tidak menyukai ilmu kecuali yang dapat membuahkan amal shalih. Aku teringat pada suatu untaian mutiara nasihat Habib Ahmad bin Hasan al-`Aththas yang mengatakan: " Ilmu adalah alat, meskipun ilmu itu baik, ia hanyalah alat, bukan tujuan (matlamat). Makanya, ilmu harus diiringi adab, akhlak dan niat yang shalih. Ilmu sedemikianlah yang dapat menghantarkan seseorang kepada maqam-maqam yang tinggi. "

MARILAH KITA BERAMAL (1)

Bershalawatlah

"Orang yang tidak mampu memperbanyak berpuasa dan melakukan sholat malam (yakni sholat-sholat sunnat pada waktu malam) hendaknya menyibukkan diri dengan bersholawat ke hadrat Junjungan Rasulullah s.a.w. Seandainya sepanjang hidup, engkau melakukan seluruh amal ketaatan, lalu Allah memberikan satu sholawat sahaja atasmu, tentu satu sholawat tersebut lebih berat dari semua amal ketaatan yang engkau lakukan selama tempoh tersebut. Sebab engkau bersholawat sesuai dengan kapasiti kemampuanmu, sedangkan sholawat daripada Allah adalah sesuai dengan sifat rububiyah (ketuhanan)-Nya. Ini baru satu sholawat, maka bagaimana pula jika Allah membalasmu dengan sepuluh sholawat bagi satu sholawatmu ke hadrat Junjungan s.a.w. seperti keterangan hadits ? Menurut Sayyidina Abu Hurairah r.a., Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang bersholawat atasku sekali, Allah akan bersholawat ke atasnya sepuluh kali." Betapa indahnya hidup ini jika engkau isikan dengan taat kepada Allah, dengan sentiasa berzikir kepadaNya dan sibuk bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. di setiap waktu disertai hati yang ikhlas, jiwa yang tulus, niat yang baik dan perasaan cinta kepada Junjungan Rasulullah s.a.w." 
- kalam Syaikh Ibnu `Athoillah as-Sakandari rahimullah

Monday, July 22, 2013

2 Peristiwa Menarik, Loo Jo Yee Pilih Islam

 

MUNGKIN ada di antara anda di sini sudah mengenali dengan nama ini, namun jika sebaliknya ada satu kisah yang menarik dikongsikan oleh gadis ini. 
Pertama kali admin melihat beliau secara dekat apabila menghadiri sebuah majlis yang diadakan di bangunan SUK Selangor tahun lalu. Sempat mendengar kisah beliau secara langsung dan ia cukup memberikan kita satu inspirasi diri. Jom ikuti kisah beliau di bawah ini.

Beliau tiada nama Islam kerana sekarang seseorang muallaf sudah tak perlukan tukar nama dengan nama Islam, dan hanya perlu ber ‘binti’ kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa, maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.

Beliau telah masuk Islam ketika masih berusia 17 tahun, disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula 18 tahun sahaja. Jadi, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan. Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.

Yang pertama adalah, beliau mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Oleh itu, mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam untuk masuk agama Kristian.

Namun untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji al-quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam. Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam. Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar.

Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca al-quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

Peristiwa kedua yang membawa hidayah kedua beliau adalah ketika beliau menghidap mendapat penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda.

Rakan-rakan Islam Jo Yee telah banyak ‘encourage’ beliau untuk cuba berdoa kepada Allah taala. Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah. Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah taala dan pada waktu itu juga, beliau mengucap 2 kalimah syahadah. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Loo Jo Yee berasa hiba kerana beliau berasa telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga tersasar di jalan Allah. Banyak dugaan yang beliau terima selepas bergelar muallaf, hingga dipulaukan rakan-rakan sendiri dan keluarga tercinta. 

Beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri.

Melayukini.net: Islam tidak pernah memaksa seseorang itu untuk memeluk agama Islam, malah Islam juga bersedia untuk dikaji oleh orang kafir sendiri. Alhamdulillah, bagi kita yang dilahirkan sebagai orang Islam sepatutnya lebih bersykur kerana ia adalah antara nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada kita semua. Semoga kita sentiasa berada dalam keredhaan Allah SWT.

(Diangkat dari Melayukini.net)