Thursday, February 10, 2011

Parlimen MESIR dikepung



Gelagat beberapa penunjuk perasaan antikerajaan yang menanjat pokok sambil mengibarkan bendera Mesir di sebelah poster Presiden Hosni Mubarak di Dataran Tahrir, Kaherah, kelmarin. - REUTERS


KAHERAH 9 Feb. - Beratus-ratus penunjuk perasaan bertindak mengepung bangunan Parlimen Mesir di sini hari ini sebagai sebahagian daripada kempen mereka untuk menggulingkan Presiden Hosni Mubarak yang telah memerintah selama 30 tahun.
Tiada sebarang keganasan berlaku kerana penunjuk perasaan hanya melancarkan 'mogok duduk' bagi mengepung Dewan Rendah di bangunan itu, seperti yang dilakukan oleh penunjuk perasaan lain di Dataran Tahrir, walaupun bangunan itu dikawal pasukan tentera dengan dibantu kenderaan perisai.
Penunjuk perasaan terus memperhebatkan kempen mereka hari ini yang masuk hari ke-16, setelah ia reda seketika pada minggu lalu.
Parlimen Mesir kini dikuasai parti pemerintah, Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang dipimpin Mubarak dan membuat peraturan menentukan siapa yang boleh bertanding dalam pilihan raya. Amalan itu ditentang oleh penunjuk perasaan yang mereka sifatkan sebagai sikap autokratik rejim itu.
"Kami datang untuk menghalang anggota NDP memasuki bangunan Parlimen. Kami akan kekal di sini sehingga tuntutan kami dilayan atau kami akan mati di sini," kata seorang penunjuk perasaan, Mohammed Abdullah, 25, semasa kumpulan itu melaungkan slogan anti-Mubarak dan mengibarkan bendera Mesir.
Sementara itu, Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman menyifatkan desakan penunjuk perasaan supaya Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai perbuatan biadab yang bercanggah dengan budaya masyarakat negara ini.
Namun, penunjuk perasaan hari ini terus bertahan di Dataran Tahrir yang menjadi pusat demonstrasi antikerajaan sejak lebih dua minggu lalu.
"Perkataan 'berambus' yang dilaung-laungkan oleh sesetengah penunjuk perasaan adalah bertentangan dengan etika masyarakat Mesir kerana orang Mesir menghormati orang tua dan Presiden mereka," kata Suleiman kepada sekumpulan pengarang akhbar, semalam.
Beliau juga menganggap perkataan itu sebagai satu penghinaan bukan sahaja kepada Presiden tetapi kepada seluruh rakyat Mesir. - Agensi