Pagi masih awal. Sekumpulan demonstran sedang membuat senaman ringan. Ada yang masih lena tidur, dingin diselimuti hawa pagi. Pihak tentera bertukar giliran mengawal keadaan. Khemah-khemah besar kelihatan merata-rata. Dataran Tahrir telah menjadi tempat tinggal bagi sebahagian besar warga. Begitulah fenomena di Kaherah sekarang ini. Rakyat Mesir sedang menunggu era kegemilangan mereka.
Sejak bermulanya revolusi lebih kurang tiga minggu lalu, ekonomi Mesir telah lumpuh. Kedai-kedai, pejabat dan perusahaan telah ditutup. Sebahagian besar pekerja sibuk membuat kerja baru mereka kepada negara; menurunkan pemimpin melalui jalan raya! Kerajaan Mesir mahu "krisis ini dihentikan segera". Rakyat sudah tidak peduli malah makin seronok berdemonstrasi. Demonstrasi adalah pesta demokrasi. Seorang teman saya melawak. Beliau berkata bahawa demonstrasi di Mesir ini sudah menjadi sebuah budaya yang dilihat cool dan hip. Walaupun protes ini telah mengorbankan sekitar 300 orang, rakyat Mesir sama sekali tidak gentar malah semakin berani dan bersemangat. Perjuangan untuk membebaskan negara dari cengkaman kukubesi harus diteruskan! Ruang untuk terus berkuasa semakin suntuk buat regim Hosni Mubarak. Kerajaan Mesir melalui Timbalan Presidennya Omar Sulaiman cuba berkompromi dengan para demonstran tetapi menemui jalan buntu. Malah, lebih ramai rakyat dan kesatuan-kesatuan pekerja turun ke jalan raya bersama yang lain. Mereka terdiri dari pekerja-pekerja sektor elektrik, mekanikal, keretapi, pekerja bas, pekerja kilang tekstil, tidak terkecuali para doktor dan sebagainya. Menurut agensi berita AP, kehadiran semakin ramai demonstator ke jalan raya adalah disebabkan mereka "termotivasi" dengan maklumat terkini yang menyatakan jumlah harta terkumpul keluarga Mubarak! Mubarak dipercayai manusia paling kaya di dunia. Menurut laporan The Guardian; harta keluarga diktator itu bernilai sekitar USD70 billion! Sekiranya di Malaysia; orang Melayulah yang paling suka pemimpinnya kaya walaupun dia hidup melarat. Katanya "...asal Melayu tak apa..." Hosni cuba rasuah kakitangan awam Untuk meredakan kebangkitan rakyat, Hosni Mubarak (gambar bawah) dilihat cuba merasuah sebahagian kakitangan awam dan pesara tentera dengan menawarkan kenaikan bayaran dan gaji sebanyak 15% bermula April ini. Malangnya, tawaran ini tidak mendapat tempat di hati. Apalah sangat 15% dengan kesengsaraan yang dihadapi rakyat selama ini. Rakyat Mesir telah sedar. Pemerintahan kuku besi Mubarak selama 30 tahun bukanlah suatu jangka masa yang pendek.
Telah lama kebebasan bersuara disekat. Ramai pejuang dan aktivis ditangkap dan dibunuh. Ramai rakyat Mesir yang menderita akibat kemiskinan dan tekanan hidup. Pengangguran mencatatkan kadar sehingga 30%. Apakah semua ini adalah sebab rakyat malas bekerja? Apakah ramai rakyat Mesir menderita kerana sumpah Tutankhamun ribuan tahun dahulu? Tidak. Ini semua berlaku akibat rasuah, salahguna kuasa dan "bad governance". Rasuah bermaharajalela di Mesir. Sama halnya yang berlaku di Tunisia, Yaman dan negara-negara Arab yang lain. Duit negara dibazirkan dan diselewengkan sewenang-wenangnya. Berbilion-bilion dolar telah masuk ke poket pemimpin tertentu. Semakin hari semakin ramai rakyat mesir berhimpun di Dataran Tahrir. Jalan-jalan di sekitar Kaherah-Iskandariah dipenuhi dengan lautan manusia yang terus bangkit mendesak regim Mubarak supaya berundur. Penganut Islam dan Kristian bersatu bergandingan tangan. Malah, sejak akhir-akhir ini, anggota tentera dan polis kelihatan sangat akrab dengan demonstrator. Ini merupakan isyarat kepada regim Mubarak agar turun segera! Demonstrasi solidariti di Malaysia Sebagai sokongan kepada Revolusi Sungai Nill ini; Jumaat lalu, Kuala Lumpur disaksikan dengan perhimpunan solidariti yang berarak dari masjid As-Syakirin KLCC ke kedutaan AS. Perhimpunan ini lebih disertai lebih kurang 7000 demonstrator yang terdiri dari rakyat Malaysia dan rakyat Mesir sendiri. Walaupun ini merupakan sebuah demonstrasi aman, kerajaan Malaysia begitu serius menangani demonstrasi ini (malah demonstrasi-demonstrasi lain). Aksi Polis memukul, sepak dan meludah demonstran tidak kurang sama dengan apa yang berlaku di Mesir bahkan Israel. Sebagai negara dunia ketiga yang sedang membangun dengan pesat, kerajaan sepatutnya bertindak matang dalam menghadapi situasi sebegini. Demonstrasi aman merupakan sebuah hak dalam sesebuah negara demokrasi.
Apa yang berlaku di Mesir sepatutnya menjadi pengajaran kepada seluruh kerajaan yang ada di dunia. Rakyat Mesir telah keluar dari ketakutan yang menghantui diri mereka selama ini. Ugutan pihak kerajaan sama sekali tidak mematahkan semangat mereka untuk terus teguh mendesak regim Mubarak berundur. Saya masih ingat ketika zaman reformasi 1998. Masa itu saya baru berumur 17 tahun. Pada waktu itu, kadar penggunaan internet agak terhad. Kebanyakan maklumat yang sampai ke tangan adalah melalui fotostat, kaset-kaset dan VCD. Dan sekarang, situasi telah jauh berbeza (sangat jauh); segalanya diketahui melalui internet dengan mudah dan pantas di manapun kita berada. Rakyat Malaysia tahu apa yang sedang berlaku. Kerajaan Malaysia perlu sedar bahawa saat ini adalah saat kritikal bagi rakyat dalam menghadapi masalah ketidaktentuan ekonomi. Rakyat sedaya upaya berjuang untuk kehidupan mereka yang lebih baik. Apakah ertinya jika saat kritikal ini tidak dikongsi? Kerajaan perlu tahu bahawa bukan semua rakyat bekerja sebagai kakitangan awam yang boleh dikatakan berada pada skala kehidupan yang berbeza. Malah ramai rakan-rakan saya yang menjawat jawatan sebagai pekerja kontrak dan sambilan di sektor kerajaan telah tidak disambung kontrak mereka. Apakah makna semua ini? Ya. Kerajaan bertindak begini mungkin sebagai langkah berjimat cermat (kononnya). Dalam situasi ekonomi dunia yang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, saya hairan mengapa kerajaan boleh menamatkan kontrak sebahagian penjawat awam dan berbelanja jutaan ringgit untuk perkara yang membazir? Saya merujuk kepada pendedahan pemimpin pembangkang bahawa pembelian enam kapal tentera laut oleh Kementerian Pertahanan di mana pihak kementerian bersedia membayar RM6 bilion untuk kapal-kapal tersebut. Pada masa yang sama; rakyat mempersoalkan mengapakah pembelian itu 870% lebih mahal dari bayaran negara lain untuk kapal yang sama? Apa yang telah berlaku sebenarnya? Duit rakyat keluar begitu sahaja dengan mudah. Takkan kita sudah lupa, kerajaan Malaysia dilihat sangat membazir dengan melantik APCO sebagai syarikat perundingan antarabangsa dengan membayar lebih RM76 juta setahun. Isu ini telahpun mendapat liputan meluas. Tak perlulah saya menjelaskan lagi. Ini tidak lagi mengambil kira projek-projek kerajaan yang lain. Bagaimana pula dengan pendedahan oleh Anwar Ibrahim mengenai "skandal" yang melibatkan RM888 billion yang lesap dalam tempoh sembilan tahun? Selain itu, rakyat juga persoalkan di mana datangnya peruntukan untuk FLOM dan mengapa peruntukan untuk ubahsuai Seri Perdana sehingga RM65 juta? Duit negara dilihat keluar dengan mudah. Kerajaan mungkin akan berkata bahawa ia adalah satu "pelaburan" untuk masa akan datang. Saya yakin rakyat tahu. Semuanya terang lagi bersuluh. Kita tidak mahu segala penyelewengan ini mengundang kemusnahan untuk Malaysia. Malah kita sebagai rakyatlah yang menanggung beban perbelanjaan oleh kerajaan. Harga petrol naik beberapa kali dalam satu jangka masa yang dekat. Kenaikan ini disertai dengan kenaikan harga makanan dan barang keperluan yang lain. Kasihan melihat rakyat terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah menanggung kesan kenaikan ini. Apabila kadar jenayah semakin berleluasa, apabila tekanan hidup semakin dirasai, apabila rasuah dianggap perkara biasa, apabila pemimpin korup dianggap bersih. Apakah semua ini merupakan petanda kejatuhan sesebuah negara? Bukan salah kalau Jebat derhaka lagi. Kita berdoa agar Malaysia akan terus aman dan makmur. Kita mahu kekayaan negara dapat dirasai oleh seluruh rakyat. Kita tidak mahu ekonomi Malaysia lumpuh seperti apa yang berlaku di Mesir. *Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas. |
Saturday, February 12, 2011
Bukan Sumpah Tutankhamun, Bukan Salah Jebat Derhaka
Label:
Pemikiran