Sunday, February 6, 2011

 Dr Mahathir seorang yang bijak - Nik Aziz



Harakahdaily   
KOTA BHARU, 3 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan
Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui Tun
Dr Mahathir Mohamad seorang yang bijak dan
mencadangkan kebijakasanaan beliau itu diguna-
kan untuk Islam.

"Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum
terlambat marilah sama-sama berfikir untuk
menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh
Allah SWT," kata Nik Aziz dalam satu tulisan
khasnya bertajuk "Isu Nasionalisme : Jawapan
Saya Untuk Tun Mahathir."

Beliau menjawab serangan Mahathir kepada beliau
ekoran keengganan Nik Aziz turut menyerang Menteri
Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang meminta umat
Islam mengurangkan keislaman mereka.

"Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari
dengan irama yang gendangnya dipalu oleh Umno.
Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan
Yew seperti pimpinan Umno. Padahal, apa yang
berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada
apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew," kata Nik Aziz
dalam tulisannya itu.

Berikut adalah tulisan Nik Aziz sepenuhnya.


Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir


Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang
nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan
berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah
dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan
yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia
keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan
hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap
kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-
malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi
mempunyai kuasa ke atasnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi
saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh
UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal,
apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan
Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir
bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme.
Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan
apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar
sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan
berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.

Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang
diamanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun
pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah
tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah
sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan
diri kepada Allah SWT.  Justeru, manusia dihidupkan untuk
diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang
terbaik amalannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah
mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk
menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di
antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan
Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun,
(bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk
menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup
menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika
syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.

Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah
UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya?
Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh?

Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu
merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968
sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu
Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan
amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu.
Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang
membawa kepada penubuhan Semangat 46.

Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun
1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan
Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah
disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku
di kalangan masyarakat manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari
kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat
kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". –
(Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan
lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW
datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya.

Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar
melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang
bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya
apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu.
Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada
tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya
kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?

Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan
yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan
oleh bekas  wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad
yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik
ini kalau bukan UMNO?
Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak
api permusuhan lama  jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta
sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja
oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya
pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang
Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?

Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali
bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang
sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?  Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO
kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan
dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan
dengan Menteri Besar.

Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di
Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di
Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta  menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan
(JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai
orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana
seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika
hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.

Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka
Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai
Masjid Dhirar.

Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah
agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata
bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya
jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun
bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.

Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya
digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama
berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya
agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan
menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)


HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011