Kenapa saya perlu bercakap dengan awak?, soal Perdana Menteri Turki.

Akhbar
harian Turki, Zaman melaporkan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan
enggan berbicara dengan Naib Presiden Mohamed ElBaradei dari Mesir
apabila beliau menawarkan diri untuk mengadakan rundingan dengan Turki.
Sebaliknya Erdogan menempelak ElBaradei dengan mengatakan beliau
bukan dilantik ke jawatan itu secara sah tetapi pelantikannya adalah
hasil dari rampasan kuasa tentera.
Kata Erdogan, beliau menerima sepucuk surat dari ElBaradei memohon
diadakan perbualan telefon berikutan kritikan keras beliau terhadap
rampasan kuasa oleh pasukan tentera di Mesir.
“Kenapa saya perlu bercakap dengan awak? Awak bukan (naib presiden)
yang dilantik. Awak seorang naib presiden yang dilantik hasil dari
kudeta tentera,” kata Erdogan merujuk kepada ElBaradei pada satu majlis
di Ankara.
ElBaradei, bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa
(IAEA), dilantik sebagai naib presiden Mesir untuk hubungan luar selepas
tentera mengguling Presiden Dr Mohamed Morsi pada 3 Julai lalu dan
mengisytiharkan ketua hakim mahkamah perlembagaan, Adli Mansour sebagai
presiden sementara.
Sikap Erdogan ini berbeza dengan sikap kebanyakan pemimpin Arab yang
lain yang merestui tindakan tentera Mesir menggulingkan Morsi dari parti
Ikhwanul Muslimin. Para pemimpin negara Arab, terutama Arab Saudi,
Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan Jordan menyatakan sokongan secara
terang-terangan menyokong tindakan tentera Mesir itu.
Malahan bantuan kewangan berjumlah ratusan juta dolar dari
negara-negara tersebut datang mencurah-curah bagi menandakan sokongan
mereka. Negara-negara Arab ini jugalah yang menyemarakkan api peperangan
saudara di Syria dengan membiayai para pemberontak di negara itu.
Dengan berselindung di sebalik imej Islam, mereka inilah yang
sebenarnya bekerja untuk Amerika Syarikat dan Israel bagi
mengucar-kacirkan rantau Afrika Utara dan Timur Tengah demi kepentingan
kedudukan mereka untuk terus menerajui kerajaan dan merampok harta
kekayaan milik negara.
Kestabilan politik Mesir dan hasrat kerajaan pimpinan Morsi untuk
melaksanakan syariat Islam menjadi ancaman terbesar kepada negara haram
Israel. Maka sebab itu, apabila kerajaan Morsi ditumbangkan maka arahan
pertama dari Israel ialah agar tentera Mesir merobohkan terowong bawah
tanah ke Gaza dan menutup pintu Rafah.
Terowong bawah tanah ini merupakan urat nadi atau ‘nyawa’ bagi para
penduduk Gaza untuk berhubung dengan dunia luar kerana melalui
terowong-terowong ini segala bentuk bantuan terutama keperluan makanan
disalurkan.
Tindakan jahat, khianat
Tindakan tentera meroboh dan menutup terowong-terowong ini adalah
satu tindakan jahat dan khianat terhadap umat Islam dan rakyatnya
sendiri serta sekali gus penduduk Palestin di Gaza terkurung dan
terpenjara dalam negara mereka sendiri.
Dalam pada itu, tentera Mesir akan terus menangkap dan menahan para
pemimpin Ikhwan dan para penyokongnya sehingga kebangkitan rakyat di
negara itu dihampuskan atau kembali reda. Mereka melakukan kekejaman ini
untuk memenuhi nafsu tuan-tuan mereka, Amerika dan Israel.
Tetapi rakyat Mesir yang memilih Ikhwan Muslimin untuk menerajui
kerajaan melalui pilihan raya baru-baru ini dalam sistem demokrasi yang
adil terus menganjurkan demonstrasi secara besar-besaran agar kerajaan
tentera mengembalikan kuasa kepada Morsi.
Penggulingan Morsi melalui kudeta tentera merupakan satu contoh di
mana sistem demokrasi diperkotak-katikkan dan hanya menjadi alat untuk
Barat dan Amerika untuk menguasai dunia Islam yang kaya dengan minyak
itu.
Jika sistem demokrasi itu tidak memihak dan menguntungkan mereka maka
mereka akan berusaha untuk menggulingkan kerajaan pilihan rakyat. Dalam
kes Mesir, kononnya Morsi tidak pandai mentadbir pada hal beliau hanya
setahun menjadi presiden.
Rampasan kuasa tentera juga pernah berlaku di Algeria apabila pilihan
raya presiden itu memihak kepada parti Islam FIS di mana Ali Benhaj
dipilih sebagai presiden dan dengan bantuan Perancis kerajaan pilihan
rakyat itu digulingkan.
Erdogan mungkin satu-satunya pemimpin Arab yang tinggal, selain
Mahmud Ahmedinejad dari Iran yang berbangsa Parsi, yang secara berani
dan lantang mengkritik dan menentang Barat dan sekutu-sekutunya.
Keberanian Erdogan jelas kita lihat apabila beliau menempelak
Presiden Israel, Simon Peres dalam satu forum ekonomi di Geneva
berhubung tindakan tentera Israel menyerang kapal Flotila yang membawa
bantuan kemanusiaan untuk para penduduk Palestin dan Gaza.
Di samping mengkritik ElBaradei, Erdogan juga mengkritik Barat
sebagai tidak mempunyai pendirian dan harga diri untuk mengecam apa yang
berlaku di Mesir.
Sudah tentu kita mahu melihat lebih ramai lagi para pemimpin Arab
untuk terus tampil dan dengan berani mempertahankan kedaulatan dan
maruah negara-negara masing-masing dari terus dihina dan dihinjak-hinjak
oleh kuasa Barat dan sekutunya.