Wednesday, February 16, 2011

BATALKAN KP DAN KERAKYATAN PATI





















                    Oleh: MAIL MATHEW
NAIB PRESIDEN Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah menggesa Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin agar segera menyelesaikan isu tertunggak projek pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana selagi tidak diselesaikan secara mutlak, ia merupakan ‘ibu segala masalah jenayah’ di Sabah; malah akan menjadi lebih parah jika keadaan sedemikian berterusan.
Lagi pun tegas Jimmy, masalah tersebut sudah menjangkau lebih 20 tahun berterusan begitu sahaja, namun pihak terbabit seperti KDN sekadar mampu ‘menyibuk’ terutama sekali bila Pilihanraya umum semakin hampir, tetapi hasilnya kosong kerana tidak ada keseriusan tindakan dilakukan. Apa yang jelas aksi pihak terbabit boleh diibaratkan sebagai ‘lips service’ semata-mata.
“Segala-galanya ibarat bola penyelesaian kepada masalah Sabah ada di tangan Hisyamuddin kerana beliau boleh melakukannya pada bila-bila masa sahaja jika benar-benar ikhlas dan telus untuk membantu menyelesaikan masalah yang menghantui rakyat Sabah lebih 20 tahun lalu. Apa lagi bukti lain yang perlu diminta Hisyam, sedangkan Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran), Wilfred Mojilip Bumburing telah serahkan memorandum berhubung projek pemberian kad pengenalan dan kerakyatan kepada PATI sebagai bukti dakwaan itu,” tegas Jimmy.
Tegas Jimmy lagi, tindakan Bumburing menggesa Kerajaan Pusat khususnya KDN supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja untuk menyelesaikan masalah imigran di Sabah, merupakan suatu langkah terbaik yang wajar disambut dengan baik dan bukan menolak; sebaliknya harus mengambilkira pelbagai aspek, khususnya dari segi kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah.
Beliau mengambil contoh apa yang berlaku baru-baru ini, apabila seorang peniaga warga Filipina, Datu Akjan Datu Ali Muhammad yang mempunyai dua kerakyatan menabalkan dirinya menjadi pewaris Kesultanan Sulu; tetapi dalam masa yang sama memiliki kerakyatan di Filipina dan mempunyai Kad Pengenalan Malaysia.
Tindakan Akjan itu, seolah-olah mempersendakan undang-undang yang sedia ada di negara ini dengan begitu mudah baginya mendapatkan Kad Pengenalan sedangkan Akjan mendakwa beliau adalah rakyat Filipina dan pewaris kepada Sultan Sulu.
“Disebabkan kelemahan kerajaan pusat, khususnya KDN menjadikan pemilikan Kad Pengenalan dan kerakyatan negara ini boleh diperolehi dengan jalan mudah, malah selepas Datu Akjan mengistiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, sudah tentu rakyat Filipina yang memiliki Kad Pengenalan yang jumlahnya ratusan ribu akan mengikrarkan ketaatan diri mereka kepada Akjan dan selepas itu apa akan terjadi kepada keselamatan di Sabah?” tanya Jimmy.
Mungkin juga masih belum terlambat tambah Jimmy, jika Hishamuddin mengubah haluan terhadap keputusannya sebelum ini dan membatalkan sahaja pengeluaran Kad Pengenalan dan kerakyatan kepada PATI berkuatkuasa serta merta.
“Mungkin itulah satu-satunya jalan penyelesaian masalah tersebut sebelum ia menjadi parah. Hishamuddin merupakan sandaran bagi penyelesaian mutlak terhadap segala galanya. Jika Hishamuddin masih berkeras juga maka sudah tentu rakyat akan menyalahkan beliau sebagai dalang penyiksaan kepada rakyat di bumi Sabah sepanjang hayat,” jelas Jimmy.
(sabahkini.net)

KONSEP PAYUNG ATAU KONSEP BOHONG?





















                Saudara Pengarang,
SETELAH terbaca berita mengenai pasangan kekasih yang dirompak oleh tiga lelaki bertopeng di Bandar Grandview pada Hari Valentine, iaitu dua hari lalu, berita berkaitan Couple Robbed Of Handbag In Sandakan, saya ingin memberikan gambaran yang lebih jelas apa yang sebenarnya berlaku.
Setahu saya, sebelum pasangan kekasih ini dirompak, dua orang lagi rakan saya yang hampir-hampir menjadi mangsa kerana difahamkan pada hari yang sama juga, kira-kira jam sembilan malam, semasa mereka mahu melalui hadapan Kedai Celcom Bandar Grandview, mereka mendapati ada tiga orang lelaki yang duduk di kaki lima dalam keadaan meragukan dan mencurigakan.
Tiba-tiba sahaja tiga orang lelaki itu meluru ke arah mereka. Mujur kereta mereka terletak berhampiran, jadi sempat untuk mereka memasuki kereta, namun salah seorang daripada perompak tersebut cuba untuk membuka pintu kereta mereka dengan cuba memecahkan cermin dengan kepala tali pinggangnya.
Dalam keadaan terkejut dan hampir trauma, dua rakan saya yang hampir menjadi mangsa tersebut dengan pantas memecut laju kereta mereka dari tempat kejadian menuju ke Balai Polis yang berhampiran untuk meminta tolong, tetapi apabila sampai di Balai Polis tersebut, mereka diberitahu oleh seorang polis wanita bahawa mereka perlu ke Balai Polis yang terletak di Pusat Bandar untuk membuat laporan polis.
Pada masa itu, rakan saya menelefon 999 untuk meminta polis peronda untuk pergi ke tempat kejadian kerana yakin perompak tersebut masih berada di tempat kejadian atau berhampiran, namun tiada tindakan diambil. Difahamkan kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam dan hanya pukul 10 malam barulah kereta peronda polis baru tiba di tempat kejadian. Apakah kereta peronda ini datang dari Beluran?
Semasa di Balai Polis pusat Bandar, mereka terpaksa menunggu hampir satu jam sebelum laporan mereka dilayan. Ketika mereka hendak meninggalkan balai polis, lebih kurang jam 11 malam, datanglah sepasang kekasih yang dinyatakan dalam surat khabar yang dirompak setelah menjamu selera di X.O Restaurant.
Jika pihak polis dapat mengambil inisiatif dan bertindak segera setelah dimaklumkan kepada polis, saya percaya pasangan kekasih tersebut mungkin tidak akan dirompak.
Selain itu, sebagai pembayar cukai yang membayar gaji polis, saya turut kesal kerana dengan sikap sambil lewa polis kerana difahamkan tiga orang perompak tersebut, yang diyakini PATI, sebelum ini telah cuba merompak seorang perempuan dekat dengan Restoran Heng Loong di Pasaraya, Batu 4 semasa Perayaan tahun Baru Cina dengan modus operasi yang sama; iatu menggunakan kepala talipinggang untuk memecahkan cermin kereta, namun gagal kerana perempuan tersebut sempat membunyikan hon dan menarik perhatian orang ramai dan menakutkan perompak tersebut sehingga mereka melarikan diri.
Apakah pihak polis Sandakan begitu sukar menangkap tiga orang perompak @ PATI tersebut yang hanya bersenjata kepala talipinggang? Sudah 12 hari perayaan Tahun Baru Cina berlalu, tetapi perompak berkenaan belum dapat dikesan?
Apakah Polis Sandakan menunggu sehingga ada yang mati atau menjadi mangsa keganasan perompak berkenaan baru mahu bertindak?
Kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, janganlah jadi ahli politik yang berputar lidah dan mula berbohong dengan memberi janji palsu kepada orang awam melalui kenyataan beliau dalam The Borneo Post yang menyatakan dalam berita Borneo Post bertajuk Konsep ‘Payung’ Untuk Tingkat Kehadiran Polis Di Tempat Awam.
Namun sehingga ke hari ini kami tidak nampak pun Konsep tersebut diamalkan di Bandar Grandview ataupun di Pusat Bandar ataupun di Sandakan, sebaliknya hanya ‘Konsep Bohong’ yang berleluasa!
Sekian, terima kasih,
WARGA SANDAKAN YANG KETAKUTAN
(sabahkini.net)

MANA YB BN DAPAT DUIT MAIN JUDI?






















Saudara Pengarang,
MERUJUK kepada isu GRO itu saya amat setuju, tetapi saya mohon agar Sabahkini.net membuat siasatan rapi kerana banyak Adun dan Ahli Parlimen masih bermain ‘slot machine’ di beberapa ‘Club’ di Kota Kinabalu.
Mereka boleh bermain judi terytama mesin slot lebih 8 jam sehari. Saya juga hairan bagaimana mereka boleh memperolehi wang yang begiti banyak untuk berjudi kerana berdasarkan elaun dan gaji mereka hanya sekitar RM10,000 sehingga RM20,000 sebulan.
Ramai wartawan di Sabah tahu akan hal ini tetepi mereka berdiam diri dan tidak melaporkan kegiatan jalang YB-YB ini dan akhirnya mereka juga menjadi kaki jackpot dan mesin slot ketika mengintip YB mereka berjudi.
Persoalannya, siapa yang membenarkan ‘Club Jackpot’ menjalankan perniagaan melebihi masa yang ditetapkan. Apakah pihak penguatkuasa DBKK tidak tahu atau sudah berpakat demi mengaut keuntungan untuk diri sendiri?
Mengikut undang-undang Islam, judi atau seangkatan dengannya adalah HARAM di sisi Islam, tetapi kenapa majoriti YB Islam bermain judi di Kelab Eksklusif tanpa diserbu oleh pihak penguatkuasa JHEAINS dan JAKIM? Mungkinkah mereka berpakat?
Kelab-kelab Eksklusif ini turut menawarkan cabutan bertuah untuk menggalakkan orang ramai berjudi jika mereka mendapat Joker 7 dan banyak kaedah lain. Semua poster Cabutan Bertuah akan diturunkan segera jika ada makluman orang dalam penguatkuasa bahawa ada pemeriksaan mengejut.
Kelab Judi Eksklusif berkenaan kononnya diwajib ‘memuntah balik’ antara 10 hingga 20 peratus pendapatan mereka kepada pelanggan tetapi benarkan mereka memuntah balik peratusan tersebut?
Lebih dasyhat lagi, Kelab Judi Eksklusif ini menjadi ‘Syurga Along’ yang memberi pinjaman khas untuk kaki judi termasuk beberapa YB yang terpaksa melakukan amalan rasuah untuk menutup hutang judi dengan Along. Pegawai kerajaan juga tidak terkecuali menghabiskan gaji mereka dan berhutang dengan along terutama di Sadong Jaya, Kota Kinabalu.
Mengikut tinjauan kami, Kelab Eksklusif di Sabah dikuasai oleh dua kumpulan iaitu KL Group dan Sabah Group. KL Group diketuai oleh MR. LIM, lelaki bercermin mata, berperut boroi dan memandu kereta mewah.
Berikut Hasil Tinjauan Kami di Kota Kinabalu, kami menemui 17 Kelab Judi Eksklusif iaitu;
-Kawasan Sadong Jaya ada dua kelab
-Sepanjang Jalan penampang ada tujuh kelab.
-Di Putatan satu kelab
-Kawasan Damai ada dua kelab
-Jalan ke Beverly, Bundusan ada dua kelab.
-Inanam hingga Kolombong ada tiga kelab
Beranikah Sabahkini.net membuat siasatan dan membenarkan komen di Sabahkini.net kerana kami amat berharap agar Sabahkini.net boleh membantu orang kita, kerana kami juga telah menjadi mangsa, cuma malu untuk dihebahkan. Kami sudah insaf dan berazam untuk memerangi kelab judi yang DIHALALKAN oleh kerajaan untuk beroperasi atas nama Kelab Eksklusif sedangkan kegiatan kelab berkenaan 101 peratus Kasino atau Judi Jackpot atau Mesin Kuda!
Mana Unit D7 PDRM yang dipertanggung jawabkan memantau, melumpuhkan dan memastikan Sabah bebas daripada kegiatan tidak bermoral? Kawan kami ada merakam kegiatan seorang YB UMNO sedang bermain Jackpot dan bersedia memberikan rakaman tersebut kepada Sabahkini.net untuk disiarkan di SabahkiniTV.
Salam Hormat,
MANGSA JUDI
(sabahkini.net)

Pelatih PLKN meninggal dunia akibat kecuaian

Akibat kelalaian dan sikap sambil lewa pihak hospital seorang pelatih PLKN meninggal dunia.
KOTA KINABALU:  Seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Wawasan Ovai, Papar dekat sini meninggal dunia pagi kelmarin didakwa akibat kelalaian dan sikap sambil lewa pihak hospital yang merawatnya.
Mohd Zulhaili Noraihan, 18, berasal dari Melaka dan kini menetap bersama keluarganya di Cheras, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi kelmarin (Feb 15) di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini selepas dikatakan menerima rawatan di Hospital Papar.
“Zuhaili mula demam sejak minggu lepas dan pergi meminta rawatan di pusat perubatan kem sebelum diberikan ubat demam.
“Bagaimanapun, demam dia (Zuhaili) bertambah teruk pada Jumaat minggu lepas dan telah pergi ke pusat perubatan untuk kali kedua lalu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan oleh petugas pusat perubatan kem,” menurut sumber dari Kem Wawasan Ovai, Papar.
Menurutnya, ketika berada di hospital, Zuhaili hanya dirawat oleh pembantu perubatan malah ubat diberi selepas pembantu perubatan itu menerima arahan daripada doktor melalui telefon.
“Pembantu perubatan itu juga hanya berhubung dengan doktor melalui telefon untuk meminta arahan ubat jenis apa yang sesuai diberikan dan akhirnya Zuhaili diberi ubat tahan sakit.
“Pada masa itu, keadaan Zuhaili juga agak kritikal dengan keadaan mata dan kakinya yang bengkak,” katanya menambah Zuhaili bersama dengan jurulatih yang membawanya ke hospital balik semula ke kem selepas diberi ubat tersebut.
Mengadu sakit
Pada sebelah malam, Zuhaili sekali lagi mengadu dia sakit dan mendakwa telah salah diberikan ubat kerana keadaannya semakin teruk tetapi pusat perubatan kem tidak berbuat apa-apa termasuk menghantarnya semula ke hospital.
“Zuhaili hanya dibawa ke hospital Papar pada keesokkan harinya itu pun oleh jurulatih yang bertugas kerana pusat perubatan kem tidak beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad,” tegasnya.
Katanya lagi, setibanya di hospital Papar, Zuhaili telah dirawat di unit kecemasan dan ditahan di wad biasa selepas itu.
“Sepanjang tempoh dia ditahan juga, agak jarang doktor yang datang menjenguknya sedangkan keadaan fizikalnya berubah dan semakin teruk,” dakwanya lagi.
Zuhaili yang dikatakan semakin kritikal kemudiannya dipindahkan ke QEH di sini untuk rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Ahad lepas.
Ibu bapa Zuhaili yang dimaklumkan mengenai kejadian itu juga dikatakan tiba di ibu negeri pada hari yang sama untuk melihat anak mereka.
Bagaimanapun, Zuhaili disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital kira-kira jam 11 pagi kelmarin dan mayatnya juga telah diterbangkan menggunakan pesawat ke Kuala Lumpur untuk dikebumikan di kampung halamannya.
“Apa yang saya ingin persoalkan di sini ialah tindakan pihak hospital yang hanya memberi ubat tahan sakit ketika kali pertama dia (Zuhaili) meminta rawatan di hospital dan ubat tersebut juga diberi selepas menerima arahan melalui telefon daripada seorang doktor.
“Mungkin perkara sedih ini dapat dielakkan jika pihak tertentu termasuk pihak hospital tidak mengambil sikap sambil lewa,” ujarnya.(FMT)

Kerusi campur: Azmin silap, kata PAS

Sepatutnya timbalan presiden PKR itu membicarakannnya dalam ruang yang betul dan tidak mengungkit perkara itu secara terbuka.
PETALING JAYA: Dakwaan bahawa PAS turut berminat dengan kerusi PKR menimbulkan rasa kurang senang kepada Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.
Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR  Azmin Ali bahawa PAS berminat dengan kerusi kawasan bercampur sebagai tidak tepat dan dibuat di tempat yang salah.
“Sepatutnya Azmin membicarakannnya dalam premis yang betul. Kita (Pakatan Rakyat) tidak membincangkan perkara ini.
“Bagaimanapun, saya percaya perkara ini boleh diselesaikan dalam Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin bahawa “tiada lagi formula PAS akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, DAP di kawasan Majoriti Cina dan PKR di kawasan bercampur. “
“Sekarang, PAS juga mahu kawasan bercampur,” kata Azmin seperti dilapurkan.
Keadaan ini boleh menyukarkan rundingan komponen Pakatan Rakyat yang membabitkan PKR, PAS dan DAP menentukan pembahagian kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata jika PAS berminat bertanding di kawasan bercampur ia merupakan fenomena semasa berikutan sokongan pengundi  bukan Melayu, terutama pengundi Cina, kepada parti itu.
Tambahnya, fenomena ini sepatutnya tidak menjadi pertikaian dalam Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, kata bekas Ketua Pemuda PAS itu,  parti Islam itu  mempunyai penyokong setia di kalangan pengundi Melayu.
“Kalau pilihanraya umum 2008 dijadikan ukuran,  pengundi Melayu masih memberi sokongan kepada PAS,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin menjelaskan  PAS belum membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.
Katanya, keputusan tersebut akan dibuat dalam  mesyuarat PAS.
Pilihanraya kecil Kerdau akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63 akibat serangan jantung  Sabtu lalu.

Komen: Azmin agak PKR ada sambutan hangat macam PRU2008 ke?

Ada Perebutan Kawasan dalam PR?

Hayat sesuatu parti politik atau pertubuhan bukan sahaja bergantung kepada karisma seorang ketua atau pemimpin, tetapi banyak bergantung kepada sejauh mana keyakinan serta komitmen ahli bawahan dan penyokong! Tanpa keyakinan yang tinggi terhadap sesebuah organisasi, tentang matlamat dan halatuju, pertubuhan itu tidak akan sampai ke mana walaupun mereka mempunyai pemimpin yang amat berkarisma. Sebab ketua dan pimpinan boleh bertukar samada kerana kematian, sakit atau melompat ke parti lain. Tapi ahli dan penyokong yang ikhlas ke atas perjuangan tidak akan lari, dan mereka inilah yang menentukan hidup mati sesebuah pertubuhan atau parti.
Sebab itu sesebuah organisasi perlu mentarbiah ahli-ahlinya sepanjang masa supaya tidak berlaku “hilang maklumat”, “maklumat salah” dan kejujuran pimpinan dapat dinilai secara telus oleh ahli dan penyokong. Hilang maklumat dan maklumat salah yang diterima oleh ahli dan penyokong menyebabkan mereka kehilangan keyakinan terhadap pimpinan dan organisasi.
Lihat sahaja apa yang berlaku ke atas parti HAMIM, BERJASA, Semangat 46, USNO, BERJAYA, dan lain-lain yang seangkatannya. Semuanya pupus. Semuanya akibat nafsu serakah amarah terhadap individu atau berlakunya penyerapan ke atas parti sedia ada yang lebih dominan. Tidak ada matlamat dan arahtuju yang jelas dalam organisasi.
Keadaan ini dapat dilihat dalam PKR. Jika tidak berhati-hati dan dibuat reformasi dalaman kita takut ianya akan berkubur. Adalah menjadi suatu sejarah yang tragik akibat 3 orang wakil rakyat DUN Perak mengishtihar menjadi bebas yang menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Tidak lain ini adalah akibat tidak adanya tarbiah organisasi ke atas calon wakil rakyat dan ahli-ahli yang menyebabkan sekelip mata sebuah kerajaan Perak jatuh ke tangan BN. Berpinar anak mata dengan suapan material berbanding organisasi dan pengundi yang memberi mandat kepada mereka. Ini menjadi tauladan yang amat besar untuk difikir oleh pimpinan PKR terutama dalam menghadapi PRU13 nanti. Jangan mendabik dada  mendapatkan seberapa banyak kawasan untuk ditandingi, tetapi kualiti calonnya hendaklah juga diambil kira. Jangan termasuk lubang ular ke dua kali. Dengarlah keluhan dan pendapat ahli serta penyokong. Mereka ini tidak meminta bahkan banyak member jika pimpinan berjalan lurus dan ikhlas.

Fakta Hendaklah Diterbalikkan!!

Taib: DUN Sarawak tidak dibubar minggu in

KOTA SAMARAHAN, 15 Feb — Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibubarkan minggu ini untuk memberi laluan bagi pilihan raya negeri.
Taib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, berkata adalah tidak benar yang beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Jumaat ini untuk mendapatkan kebenaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi, yang penggalnya tamat pada Julai ini.
“Saya tidak tahu. Orang-orang ini boleh mereka-reka berita mengikut sesuka hati mereka tetapi saya tidak dapat sahkan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan dan perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dalam satu portal berita semalam yang memetik satu sumber di Astana Sarawak yang menyatakan telah dihubungi Pejabat Ketua Menteri pada minggu lepas untuk menetapkan 18 Februari sebagai tarikh perjumpaan dengan ketua negeri bagi tujuan itu.
“Berita adalah berita. Betul atau tidak betul, lihat dulu lah,” kata Taib, yang juga menafikan yang beliau telah menghubungi Abang Muhammad Salahuddin semalam kerana seharian beliau tidak berada di pejabat kerana menghadiri mesyuarat jawatankuasa perancang.
Sementara itu, Taib, yang akan genap 30 tahun memegang jawatan sebagai Ketua Menteri pada 26 Mac, dijadual menyampaikan ucaptama di Konvensyen BN Sarawak di sini pada 5 Mac yang akan dihadiri 5,000 perwakilan dari semua parti komponen BN negeri.
BN kini menguasai 63 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui Taib mempunyai 35 kerusi diikuti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) 12 dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan kerusi.
Enam lagi baki kerusi dikuasai oleh DAP manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), melalui wakil rakyat Bebas, masing-masing satu kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya disyaratkan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. — Bernama

PM Itali didakwa langgan gadis bawah umur, salah guna kuasa

PM Itali didakwa langgan gadis bawah umur, salah guna kuasa

ROM, 15 Feb — Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi diarah muncul di mahkamah April ini untuk menghadapi tuduhan melanggan khidmat seks gadis 17 tahun dari Maghribi dan kemudian cuba untuk menutup kes tersebut.
Hakim Cristina Di Censo mengemukakan tuduhan dengan kenyataan yang ringkas tetapi ‘pedas’.
Kes itu akan didengar 6 April ini.
Pemimpin itu pernah berhadapan dengan beberapa tuduhan berkaitan perniagaannya sebelum ini tetapi ini kali pertama jutawan berusia 74 tahun ini dihadapkan di mahkamah kerana salah laku peribadi.
Bagaimanapun Berlusconi (gambar) menafikan sebarang bentuk salah laku.
Pendakwa raya mendakwa Berlusconi membayar kepada warga Maghribi itu yang dikenali sebagai “Ruby the Heart Stealer”, dan kemudian dikatakan menggunakan kuasanya untuk membebaskannya daripada tahanan polis.
Nama Ruby ialah Karima El Mahroug dan kini berusia 18 tahun.
Dia ditahan kerana disyaki mencuri AS$$4,103.
Mereka mendakwa bahawa Berlusconi bimbang hubungan mereka akan didedahkan jika tidak dibebaskan.
Kedua-dua Berlusconi dan Ruby menafikan pernah menjalin hubungan seks tetapi dia mengakui Berlusconi ada memberikannya AS$9,550 ketika pertemuan pertama mereka.
Perdana Menteri Itali itu dilaporkan membantu gadis tersebut kerana dia mendakwa cucu bekas presiden Mesir Hosni Mubarak, yang meletakkan jawatan Jumaat lalu.(minsider)
Komen: Kalau di Itali PM boleh didakwa kerana salahlaku....bukan rasuah tetapi moral...bagaimana dengan menteri -menteri kita di Malaysia?

Tips Kursi ALLAH, Keutamaan & Rahsianya..




TIPS Sempena Maulid Nabi SAW, Ayat Kursi... dari Weblog Ibnu Hasyim..
1.. Siapa baca Ayat Kursi ini dengan khusyuk, tiap kali lepas sholat fardhu.. Tiap pagi dan petang.. Tiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir.. InsyaAllah akan terpelihara diri dari godaan syaitan. Dari kejahatan manusia, atau binatang buas yang akan memudaratkan dirinya.. Keluarga, anak-anak, harta benda juga akan terpelihara dengan izin Allah SWT.
2.. Menurut kitab “Asrarul Mufidah”, sesiapa mengamal membacanya tiap hari sebanyak 18 kali... maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah.. Dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya. Dan diberi pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara dari segala bencana dengan izin Allah.
3.. Syeikh Abu Abbas menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali, ditiup pada air hujan kemudian diminumnya, Insya-Allah, Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkan menerima ilmu pengetahuan.
4.. Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.
5.. Sabda Nabi lagi; “Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar (atau pemimpin)”
6.. Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad.
7.. Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.
8.. Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.
9.. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.
10. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insya-Allah akan menyebabkan syaitan dan jin terbakar.
11. Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu sebaiknya anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin.
12. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.
13. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sholat yang lain.
14. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sholat, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya.
15. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sholat Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi juga Allah melimpahkan padanya rahmat.
16. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
17. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.
18. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan niscaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya Dari Abdullah bin ‘Amr r.a.
19. Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan istiqamah setiap kali selesai sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali masuk kerumah atau kepasar, setiap kali masuk ke tempat tidur dan musafir, insyaallah akan diamankan dari godaan syaitan dan kejahatan raja-raja (pemerintah) yang kejam, diselamatkan dari kejahatan manusia dan kejahatan binatang yang memudharatkan. Terpelihara dirinya dan keluarganya, anak-anaknya, hartanya, rumahnya dari kecurian, kebakaran dan kekaraman.
20. Terdapat keterangan dalam kitab-kitab Asrarul Mufidah:Barang siapa mengamalkan membaca ayat Kursi, setiap kali membaca sebanyak 18 kali, insyaAllah dia akan hidup berjiwa Tauhid, dibukakan dadanya dengan berbagai hikmat, dimudahkan rizkinya, dinaikkan martabatnya, diberikan kepadanya pengaruh sehingga orang selalu segan kepadanya, dipeliharakan dari segala bencana dengan izin Allah SWT.
21. Syekh Abul ‘Abbas Al-Bunni menerangkan:”Siapa membaca ayat Kursi sebanyak hitungan kata-katanya, iaitu 50 kali, ditiupkan pada air hujan kemudian diminumnya, maka insyaAllah, Allah SWT mencerdaskan akalnya dan memudahkannya faham pada ilmu yang dipelajarinya (terdapat dalam kitab Khazinatul Asrar).
22. Syekh Al-Bunni menerangkan:”Siapa yang membaca ayat Kursi sebanyak hitungan hurufnya, iaitu 170 huruf, maka insyaAllah,Allah SWT akan memberikan pertolongan pada hal dan menunaikan segala hajatnya dan melapangkan fikiran-fikirannya, diluluskan rezekinya, dihilangkan kedukaannya, dan diberikan apa yang dituntutnya. (terdapat dalam tafsir Al-Qudsi).
23. Barangsiapa membaca ayat Kursi ketika hendak tidur, maka Allah SWT mewakilkan kepada dua malaikat yang menjaga selama tidurnya sampai pagi. Demikian sabda nabi Muhammad SAW dari Abi Qutadah.
24. Abdurrahman bin ‘Auf menerangkan: Bahwa ia apabila masuk kerumahnya, dibacanya ayat Kursi pada empat penjuru rumahnya dan mengharapkan dengan itu menjadi penjaga dan pendinding syaitan. (terdapat dalam tafsir Al-Qudsi).
25. Yang terafdhal diantara surah-surah dalam Al-Qur’an adalah Suratul Baqarah dan yang terbesar diantara ayat-ayat dalam surah Al-Baqarah ialah ayat Kursi. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang didalamnya dibaca suratul Baqarah. (terdapat dalam kitab Durrulmantsur).
26. Syaikhul Kabir Muhyiddin Ibnul Arabi menerangkan: Bahwa siapa yang membaca ayat Kursi sebanyak 1000 kali dalam sehari semalam kemudian dawam (sambung) membacanya sampai 40 hari, maka demi Allah dan demi Rasulullah dan demi Al-Qur’an yang mulia, Allah akan membukakan baginya pandangan rohani, dihasilkan yang dimaksud dan diberi pengaruh kepada manusia. (terdapat dalam kitab Khawasul Qur’an).
27. Bahwa siapa yang membaca 4 ayat pada permulaan suratul Baqarah dan ayat Kursi, ditambah 2 ayat setelah ayat Kursi kemudian ditutup dengan 3 ayat pada akhir suratul Baqarah, maka ia dan keluarganya tidak didekati syaitan,dan jika dibacakan pada orang gila,niscaya akan sembuh dengan seizin Allah SWT. (terdapat dalam kitab itqan).
20. Siapa yang membaca ayat Kursi secara berterusan setiap kali selesai sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali masuk kerumah dan kepasar, setiap kali masuk ketempat tidur dan pergi musafir, insyaAllah ia akan diamankan dari godaan syaitan dan kejahatan raja-raja kejam, diselamatkan dari kejahatan manusia dan kejahantan binatang2 yang memudharatkan. Terpelihara dirinya dan keluarganya. anak2nya,hartanya, rumahnya dari kecurian, kekaraman dan kebakaran. Didapatnya keselamatan dan kesehatan jasmaninya dengan izin Allah SWT yang Hidup dan Berdiri Sendiri. (terdapat dalam kitab Khawasul Qur’an karya Imam Ghazali).
29. Ayat kursi mengandung keistimewaan, didalamnya terdapat ismul-a’zam, tersusun dalam 50 kata-kata,terdapat 17 nama Tuhan dhahir dan dhamir, terdapat 17 huruf mim dan 17 huruf wawu.Ayat Kursi membahas ke-Esaan dzat Allah SWT dan kesempurnaan sifat-sifatnya. (IH)
Allahu Aklam.

Dari Tunisia ke Malaysia:Huan arrrrr! Huat arrrrr!

Ooi Heng
Sempena perayaan Tahun Baru Cina (CNY), aku menerima sms sahabat dengan ayat yang pendek tetapi bermakna kepada rakyat Malaysia, Tunisia dan Mesir: Huan arrrrr! Huat arrrrr!
Umum sedia maklum bahawa ucapan popular semasa perayaan CNY ialah Gong Xi Fa Cai yang bermaksud "Tahniah dan semoga mendapat rezeki atau kekayaan yang lebih". Apabila menggunakan bahasa pertuturan Hokkien, kosa kata "Huat (发)" sudah memadai untuk menyampaikan maksud yang sama. Maka "Huat arrrrr!" bermaksud "Kurniakanlah rezeki atau kekayaan yang lebih!"
Dalam pada itu, kosa kata "Huan (换)" merupakan bahasa penulisan Mandarin menggunakan aksara Cina. "Huan (换)" bermaksud pertukaran atau perubahan. Mengikut kelumrahan, orang Cina akan menukar sesuatu yang baru, misalnya pakaian menjelang CNY. Seandainya "Huan arrrrr!" ini dibaca dalam konteks politik Malaysia, Tunisia dan Mesir dewasa ini, maka ia bermaksud "Tukarlah kerajaan!"
Maka apabila digabungkan kedua-dua kosa kata tersebut iaitu "Huan arrrrr! Huat arrrrr!", ayat pendek ini bermaksud "Tukarlah kerajaan maka dikurniakan rezeki yang lebih!". Tanpa perlu memanjangkan ayat sms, "arrrrr!" itu seakan-seakan pekikan kuat dari hati sanubari kita dan semua sedia maklum apa yang diharapkan berlaku tanpa berbicara secara panjang lebar.
Inilah keindahan Bahasa Cina sama ada dalam bentuk penulisan atau pertuturan harian kumpulan dialek berlainan tidak kira penghuni desa yang masih bermastautin dalam kampung Cina atau penghuni kota seperti aku yang berperut buncit yang telah lama meninggalkan kampung nelayan mencari rezeki di ibu kota.
Namun bukan tujuan otak durianku berbicara tentang keindahan bahasa dalam penulisan kali ini. Yang otak durianku ingin bicarakan ialah betapa pentingnya perubahan tidak kira dalam konteks pemikiran metafizik atau realiti kehidupan saban hari.
Takut kepada perubahan?
Segala ciptaan tuhan mengalami perubahan mengikut masa. Maka perubahan itu sesuatu yang hakiki. Tetapi manusia amnya takut kepada perubahan kerana perubahan melambangkan ketidaktentuan dan ketidaktentuan itu meresahkan makluk kecil di atas bumi ini seperti aku yang berperut buncit.
Plato, ahli falsafah Yunani kuno telah melakarkan suatu naratif perubahan dalam karya beliau berjudul "Mitos Gua" (Allegory of the Cave), mengisahkan betapa kesempitan dimensi pandangan manusia telah menyekat pemikiran sehingga takut kepada perubahan.
Dengan naratif cerita berkisar sekitar rekaan perbualan antara guru beliau iaitu Socrates dengan abang beliau Glaucon, Plato mengisahkan bagaimana sekumpulan manusia yang hidup dalam sebuah gua dengan tangan dan kaki diborgol dan tersekat dimensi penglihatan sehingga pandangan mereka hanya terhad kepada dinding gua sahaja. Di belakang mereka terdapat satu unggun api yang besar dan bayangan dari cahaya api itu jatuh pada dinding gua sehingga objek ini menjadi tatapan mereka.
Pengalaman semenjak kecil ini meyakinkan mereka bahawa bayangan objek tersebut merupakan dunia nyata sehingga mereka tidak berupaya membayangkan dunia nyata di luar gua tersebut. Naratif ini menjelmakan sejenis pemikiran metafizik berhubung bentuk dan kewujudan. Berlandaskan perkembangan tamadun manusia sehingga hari ini, naratif ini juga dapat diberikan taksiran yang berkait rapat dengan kebijaksanaan insan dalam kehidupan seharian tanpa terpukau dengan "mentaliti gua". Bak kata pepatah Melayu "katak di bawah tempurung", "mentaliti gua" akan menyekat dimensi pandangan dan seterusnya pemahaman kita terhadap perubahan yang sedang berlaku di dalam dan luar negara.
Secara ringkas, "Mitos Gua" akhirnya menceritakan salah seorang dalam kalangan manusia tersebut mula sedar tentang kewujudan dunia nyata di luar gua, melepaskan diri dari ikatan dan melihat manifestasi dunia yang cukup berbeza dengan dunia dalam gua, lantas mengajak kumpulan manusia tersebut menyaksikan wajah dunia yang berbeza dan memberangsangkan.
Mitos Greek senantiasa dicorakkan oleh tragedi. Dalam "Mitos Gua", satu-satunya manusia yang sedar akan dunia di luar gua telah dibunuh oleh kumpulan manusia yang takutkan perubahan. Balik kepada dunia hari ini, kita telah menyaksikan bagaimana rakyat Tunisia Sidi Bouzidi telah membakar diri dan menyemarakkan kemarahan dan semangat rakyat menuntut perubahan apabila dikhianati rejim Tunisia yang korup.
Begitu juga dengan Malaysia. Gerakan reformasi sejak 12 tahun yang dahulu telah menamatkan rejim pemerintahan Mahathir. Proses perubahan itu tidak tenang. Sebaliknya, ia satu proses yang susah, perit dan pahit, sebab orang yang tidak sedar akan rasional di sebalik gerakan tersebut akan melemparkan tuduhan bukan-bukan terhadap orang yang sedar dan menuntut reformasi. Kalau zaman kuno dilempar batu, kini aktivis masyarakat, mahasiswa-mahasiswi, penulis dan pemimpin gerakan reformasi dilempar fitnah.
Orang yang sedar dilempar fitnah
Apa yang disedari generasi reformasi mempunyai persamaan dengan kesedaran rakyat Tunisia dan Mesir terhadap rejim pemerintah yang korup, boros dan pandai membohong. Apabila takut kehilangan kekayaan yang dikaut sekian lama, rejim pemerintah dan kroni mereka akan membohongi rakyat kononnya mereka membela kepentingan Melayu dan menyerang sebarangan asalkan kepentingan peribadi dapat dipertahankan tanpa memikirkan masa depan negara.
Sebab itu, kita sekali lagi menyaksikan reaksi Presiden PERKASA, Ibrahim Ali (gambar kiri) yang melucukan. Kali ini beliau menyifatkan John Malott iaitu bekas duta besar Amerika Syarikat ke Malaysia yang secara terus terang mengkritik Perdana Menteri Najib Razak - sebagai "sakit" dan perlu dibawa ke pusat psikiatri.
Bukan senang untuk seorang pemimpin berdepan dengan kritikan secara terus-terang apabila pembohongannya sering dicabar. Ini pula pemimpin yang tidak berani berbahas tetapi hanya mampu meneruskan kawalan ketat dan manipulasi terhadap media bagi mengelakkan keretakan hegemoni.
Hari ini, rakyat Tunisia, Mesir dan beberapa negara lagi bangkit menuntut pertukaran rejim pemerintah dan mahukan perubahan yang lebih baik. Kita di Malaysia juga bersedia untuk melakukan perubahan besar. Kalau perubahan dalam tamadun Yunani kuno dicorakkan oleh "Mitos Gua", biarlah perubahan dalam tamadun tanah air dicorakkan oleh tradisi keberanian anak muda Melayu terjun daripada paras tinggi air terjun dan membasahkan diri dalam arus perubahan yang menjadi harapan masa depan negara.
Khusus kepada ribuan warga Malaysia yang baru pulang daripada Mesir, apakah anda telah bersedia berkongsi pengalaman kebangkitan kuasa rakyat di Mesir malahan membawa wacana dan gerakan perubahan besar ke tanah air sendiri?
Perayaan Tahun Baru Cina masih berlangsung, aku yang berperut buncit mengucapkan "Huan arrrrr! Huat arrrrr!" kepada semua rakyat Malaysia, Tunisia dan Mesir.
SMS daripada Najib
Namun, "Huan" ini tidak datang begitu saja. Setiap kali "Huan" berlaku, ia menyaksikan kesengsaraan dan penderitaan. Meskipun begitu, rakyat Malaysia yang telah sedar akan pembohongan sekian lama mahukan "Huan" untuk masa depan yang lebih cerah.
Orang Cina bukan mahukan sesuatu yg manis sahaja semasa Tahun Baru Cina. Apa yang Orang Cina mahukan adalah masa depan yang cerah untuk generasi akan datang. Begitu juga, kita tidak mahu sms yang ringkas semasa CNY, tetapi sekat ruang internet selepas CNY.

Kepada yang menerima sms Najib seperti berikut: "Salam 1Malaysia. Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada kaum Cina. Ikhlas dari Najib Razak & keluarga. najib@1malaysia.com.my." Jangan lupa menanyakan Najib jumlah peruntukan yang dibelanjakan oleh beliau untuk menghantar sms kepada "semua rakyat Malaysia terutama kepada kaum Cina" di laman web beliau sebelum pertanyaan sedemikian disekat apabila kawalan internet dilaksanakan oleh pentadbiran Najib nanti.
Rejim Hosni Mubarak baru-baru ini telah menutup rangkaian Internet di Mesir, maka tidak mustahil rejim Najib juga mengambil tindakan drastik yang sama apabila berdepan dengan kebangkitan kuasa rakyat.
Sebelum rangkaian internet di Malaysia ditutup, izinkan aku memekik dengan kuat sekali: Huan arrrrr! Huat arrrrr!
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).