Kongsi 0Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP tidak akan mampu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) secara bersendirian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Justeru, Guan Eng berkata, PR perlu mencetus serta mencorakkan gelombang rakyat tanpa mengira kaum untuk bersama-sama pakatan itu bagi menumbangkan BN yang semakin rakus membolot kekayaan negara menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-13.
“Selagi media arus perdana, wang dan jentera kerajaan terus dikuasai oleh BN, maka PR berada dalam keadaan yang tidak setara atau setanding untuk bertarung dengan BN, hanya gelombang kuasa rakyat jelata yang mampu untuk menumbangkan BN,
“Itulah semangat atau intipati yang ingin kita tiup dan sampaikan dalam Konvensyen Kebangsaan PR yang akan diadakan pada 19 Disember ini dengan Pulau Pinang sebagai tuan rumah selepas Selangor menganjurkannya buat kali pertama tahun lalu,
“Konvensyen Kebangsaan PR kali ini sangat penting kerana ia mungkin menjadi persidangan utama PR terakhir sebelum pilihanraya umum (PRU) ke-13 yang dijangka pada suku pertama tahun hadapan, ” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, BN semakin rakus membolot kekayaan negara tanpa mengambil kira ekonomi rakyat apabila menaikkan harga petrol RON95, diesel, harga gas asli cecair (LPG) dan harga gula.
Yang peliknya, kata beliau, syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP milik antara orang terkaya di Malaysia, umpamanya, terus menikmati subsidi gas.
Konvensyen kali kedua itu akan diadakan di Dewan Melinnium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 19 Disember ini dan dijangka dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan.
Mereka termasuk pimpinan utama Pakatan seperti ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; penasihat DAP, Lim Kit Siang; presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP, serta beberapa perwakilan asing.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, walaupun Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan terus menerima asakan dan tohmahan Umno dan BN, namun pihaknya yakin rakyat akan tetap bersamanya.
Katanya, ini kerana rakyat tahu bahawa kerajaan negeri Pakatan sentiasa mengutamakan rakyat dan mentadbir negeri secara cekap, berakauntabiliti dan telus.
“Jika rakyat terus menyokong BN, maka mereka harus bersedia untuk menerima lebih banyak kenaikan harga minyak, tepung, susu, gula dan barangan keperluan asas lain sepertimana yang pernah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), ” tambahnya.
P/S: Inilah yang kita impikan....