Saturday, December 11, 2010

Membedah Demokrasi...

ISLAM Melayu...
September 2010
KUALA LUMPUR, - Kita amat bersyukur kepada Allah S.W.T bahawa seratus peratus orang Melayu beragama Islam. Bahkan sinonimnya orang Melayu dengan Islam, sehingga orang China dan India yang memeluk Islam disebut sebagai “Masuk Melayu”. Itulah satu-satunya kaum di dunia ini disamakan dan disekalikan dengan agama. Tidak ada label ini kepada kaum-kaum lain disekalikan dengan agama hatta kaum Arab sekalipun.
Orang Melayu beragama Islam kita amat bersyukur, tetapi janganlah menganggap bahawa Islam itu hanya untuk orang Melayu sahaja di Malaysia ini. Asakan untuk kebangsaankan agama Islam adalah sesuatu langkah yang amat memundurkan ke belakang.
Segala kebaikan yang ada pada suku kaum lain, amalan bersih mereka dalam kehidupan seharian, kegigihan mereka untuk hidup di jalan yang mulia (China atau India), dipandang sepi kerana mereka adalah bukan Melayu. Saya berkeyakinan “Islamic value” yang diamalkan oleh mereka perlu diusahakan dan digalakkan dan kalau mampu kita (Melayu) nyatakan bahawa mereka telah amalkan sebahagian ajaran islam. Semoga nilai positif yang kita (Melayu) berikan, boleh menambahkan kecenderongan mereka untuk menganut agama Islam.
Orang China amat rajin, berusaha, berdikari, dan amat menitik beratkan kesatuan walaupun persatuan penjual kopi dan teh. Mereka gigih bekerja dan berniaga dan tidak terlalu mengharapkan subsidi dari pemerintah atau dari sesiapa. Mereka membina kesatuan untuk tolong-menolong antara satu sama lain terutama dalam bidang perniagaan. Keupayaan mereka untuk membina dewan orang ramai pelbagai guna hamper di semua Bandar besar atau pekan kecil. Persaudaraan atau ukhuwah antara mereka amat menakjubkan. Bukankah apa yang ada dalam masyarakat China ini adalah budaya atau cara hidup yang dikehendaki oleh Islam?
Nilai positif yang diamalkan oleh kaum China dalam perniagaan dan berpersatuan tentulah amat sesuai dengan saranan Islam. Nilai murni itu sudah ada dan apabila mereka memeluk Islam, hampir segala kehendak Islam telah dan sedang diamalkan oleh mereka.
“Islam itu adalah Melayu dan Melayu itu adalah Islam”, suatu slogan yang amat bahaya dan sempit. Apabila amalan rasuah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu, menipu dalam menjalankan tugas samada sebagai pemimpin politik, pegawai kerajaan, pegawai polis atau tentera telah dianggap adalah perkara biasa seolah-olah Islam meredhai perbuatan sumbang itu. Sebarang penentangan, pembokaran terhadap rasuah, penipuan dilakukan oleh pemimpin Melayu dari apa sektor sekalipun dianggap sebagai usaha menjatuhkan Islam.
Doktrin Media dan alat seumpamanya hampir berjaya meletakkan dalam pemikiran rakyat khasnya orang Melayu bahawa menjatuhkan kepimpinan Melayu bererti menjatuhkan kepimpinan Islam. Oleh kerana UMNO dianggotai oleh orang Melayu, maka menjatuhkan UMNO dianggap sebagai menjatuhkan Islam. Maka timbullah ungkapan “Rasuah pun tak apa asalkan Melayu, daripada China dapat lebih baik Melayu dapat kekayaan walaupun secara rasuah dan menipu”. Apabila Melayu kaya dan senang maka Islam akan kuat kerana Melayu itu adalah Islam.
Cakapan umum seperti itu boleh didengar merata-rata dikalangan orang Melayu. Kadangkala berjangkit kepada orang Melayu yang berada didalam parti-parti lain selain dari UMNO, ini kerana doktrin meletakkan bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu semata-mata dari Melayu.
Apabila ada pemimpin dari kaum China sanggup berhempas pulas menentang rasuah, berjimat cermat menggunakan wang rakyat, memberi bantuan ke SAR, memberi elaun kepada penghafaz Al-Quran – buatlah apa kebaikan pun orang Melayu diajar supaya tidak menyokong kerana ia datang daripada orang bukan Islam. Sepatutnya kita orang Melayu hendaklah mendoakan supaya orang bukan Islam yang telah menjalankan kerja-kerja Islam supaya terbuka hati memeluk agama Islam dan memimpin ummat Islam yang sendiri ada yang sudah terpesong jauh dari amalan Islam.
Selagi ada tanggapan bahawa pemimpin rasuah pun "takpa" asalkan ia Melayu dan Islam, tipu pun tak apa dalam mencari kekayaan asalkan dia Melayu, curi balak pun taka pa asalkan dia Melayu, curi pasir pun taka pa asalkan dia Melayu.
Amalan ini dan fahaman Melayu Islam dan mesti mempertahankan kepimpinan Melayu walau jahat macam mana pun mereka, lambat laun ia merosakkan agama Islam yang murni.
Saya amat berharap di kalangan kaum China atau mana-mana kaum yang telah mengamalkan prinsip Islam dalam kehidupan mereka, harus menerima Islam sebagai agama mereka dan seterusnya mengambil kepimpinan ummah pada masa akan datang. Apabila orang Melayu Islam gagal menonjolkan Islam, tidak pelik kaum lain yang beragama Islam akan ambil alih kepimpinan dan seterusnya melahirkan tamaddun baru bagi umat Islam dan kemanusiaan di rantau ini. Islam untuk sekalian manusia bukan untuk dimonopoli Melayu. (HjMatSabu)