Saturday, December 11, 2010

Pengenalan: UNTUK PEMUDA ISLAM.....

Wahai pemuda!
Setiap idea itu akan berjaya apabila ia diperkuatkan dengan iman,dilengkapkan dengan ikhlas yang mendalam untuk memperjuangkannya, ditambah dengan semangat yang berkobar dan persediaan yang rapi untuk beramal dan berkorban dalam melaksanakannya. Pendekatan iman,ikhlas,semangat dan amal merupakan rukun-rukun khusus untuk para pemuda. Sebab asas iman ialah hati yang terang asas ikhlas jiwa yang bersih,asas semangat perasaan yang mantap dan asas amal itu ialah azam yang kuat. Kesemua faktor ini tidak lain dan tidak bukan khusus untuk para pemuda. Dari sini ternyata bahawa para pemuda di kalangan setiap umat samada di zaman dahulu atau sekarang merupakan tiang kebangkitan umatnya. Di dalam tiap-tiap kebangkitan itu ada rahsia kekuatannya dan di dalam tiap-tiap idea itu ada tandanya:
"Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk." (Al Quran srah:Al Kahfi : 13).

Dengan ini tanggungjawab kamu bertambah banyak, kerja kamu bertambah besar, hak-hak umat ke atas kamu bertambah ganda, amanah yang tertanggung di atas tengkuk kamu bertambah berat dengan ini wajiblah kamu berfikir dan merenung jauh, banyak bekerja, menentukan sikap, maju untuk menyelamat dan memberikan hak-hak umat yang pebuh terhadap para pemuda seperti kamu.

Seorang pemuda kadangkala dilahirkan di satu umat yang mantap dan tenang, punya kuasa yang kuat, punya bangunan yang melaut. Pada kebiasaannya pemuda di keadaan ini lebih banyak menumpukan perhatiannya kepada diri sendiri daripada umatnya, bersukaria, bersiasia dengan jiwa yang riang dan gembira. Kadangkala seorang pemuda itu dilahirkan di satu umat yang berusaha keras bekerja siang dan malam, segala halehwalnya dijajah oleh musuh. Umat ini berjuang sedayaupaya untuk mengembalikan hak yang dirampas, pesaka yang disamun,kebebasan yang hilang,keagungan yang menjulang, maruah yang tinggi, ketika ini memang sewajarnya pemuda ini menumpukan seluruh perhatiannya kepada umatnya lebih dari diri sendiri. Sebab jika ia berbuat demikian dia akan segera mendapat kebaikan di medan kemenangan dan akan mendapat pahala daripada Allah SWT. Moga menjadi satu tuah bagi kita jika sekiranya kita berada di pihak yang kedua ini yang mana akan membukakan mata kita kearah satu umat yang gigih dan sentiasa berjihad dan berjuang di jalan kebenaran dan kebebasan. Bersiap sedialah wahai pahlawan-pahlawan kemenangan telah hampir tiba untuk orang-orang mukmin, kejayaan yang hebat untuk orang-orang yang sentiasa berusaha.

Wahai pemuda!

Di antara faktor-faktor yang paling bahaya di permulaan kebangkitan umat ialah seruan yang berbeza, teriakan yang bercelaru, cara yang berbagai, perancangan dan pelaksanaan bercanggah dan banyak oportunis yang mahu merebut pimpinan dan menjadi ketua. Kesemuanya ini adalah faktor-faktor pemecah tenaga dan pemisah kuasa yang menghalang untuk sampai ke matlamat yang hendak dicapai. Dengan ini kajian terhadap dakwah dan perimbangan diantaranya merupakan satu perkara yang paling penting dan mesti dilaksanakan bagi sesiapa yang hendak membuat reformasi.

Dengan ini menjadi kewajipan saya menerangkan kepada anda sekalian dengan terang dan ringkas tentang dakwah Islam di kurun yang ke 14 hijrah ini. (Al Imam Hassan Al Banna).