Josh Hong
"Berkata benarlah engkau kepada diri sendiri, sedemikian halnya, pada siang dan malam, engkau tidak dapat berkata bohong kepada orang lain." (This above all: to thine own self be true, and it must follow, as the night the day, thou canst not then be false to any man.)
Ungkapan ini daripada Polonius, watak dalam Hamlet oleh William Shakespeare. Namun pada hakikatnya, siapakah pula yang mampu untuk mengatakan dirinya tidak berdosa, meskipun sedikit, kerana diri kita tidak pernah berbohong terhadap diri mahupun orang lain?
Menurut Kitab Injil, kebenaran membawa kebebasan. Namun demikian, apakah seseorang itu akan bebas apabila beliau jujur terhadap dirinya? Tidak semestinya.
Ketika zaman empayar Byzantine, Gereja Ortodoks Timur mencadangkan agar hukuman dijatuhkan kepada homoseksual atas alasan bahawa amalan ini bakal mengundang bencana (misalnya gempa bumi dan kebuluran). Justinian yang tidak sabar-sabar untuk memulihkan kegemilangan zaman Rom memerlukan sokongan daripada Gereja Ortodoks. Maka beliau mengangguk kepada cadangan ini, membuka lembaran sejarah menzalimi pengamal homoseksual di Eropah untuk beberapa kurun - menyaksikan bagaimana gay dimandulkan secara terbuka.
Dalam suasana agama yang menekankan "kasih", apa yang kurang dalam masyarakat ketika itu adalah kasih dan toleransi. Umumnya memilih untuk berdiam diri - dan pendirian ini menyemarakkan kezaliman pemerintah dan gereja ortodoks.
Penindasan demi kuasa politik
Pada tahun 1980, profesor Universiti Yale di Amerika Syarikat, John Boswell dalam bukunya berjudul Christianity, Social Tolerance and Homosexuality menulis, gereja Katolik di Eropah agak bertoleransi terhadap homoseksual pada pertengahan abad ke-11 dan 12. Ini kerana undang-undang feudalisme menetapkan hanya anak lelaki sulung yang dibenarkan untuk mewarisi harta pusaka. Ramai paderi yang terpaksa berkahwin lantaran daripada tekanan keluarga untuk melanjutkan perusahaan keluarga.
Untuk memastikan agar paderi terus berkhidmat untuk Tuhan, maka gereja ortodoks menghalang paderi untuk berkahwin dan beranak. Namun, paderi juga mempunyai keperluan seks. Maka gereja ortodoks memberi "toleransi" kepada amalan homoseksual - sebelum kebangkitan kuasa konservatif yang kemudiannya mengharamkan homoseksual secara keseluruhan.
Jelas, penolakan, malah penindasan terhadap kaum minoriti dalam gender mempunyai pertimbangan kuasa politiknya. Malah, faktor kapitalisme turut menjurus kepada penindasan ini. Misalnya, pada kurun ke-18, keluarga menjadi unit asas dalam masyarakat, ketika revolusi industri Eropah yang memperlihatkan perubahan ekonomi. Perindustrian memerlukan buruh, maka wanita dan kanak-kanak turut menjadi sebahagian daripada rantaian buruh. Homoseksual perlu dibendung kerana ia dikhuatiri menyebabkan pengurangan populasi sehingga menjejaskan produktiviti perindustrian.
Di bawah tekanan masyarakat, ramai pengamal homoseksual terpaksa memaksa dirinya untuk menukar orientasi seksnya mengikut telunjuk arus perdana, meskipun pilihan ini mengingkari naluri mereka. Ramai yang salah faham bahawa pengamal homoseksual memilih orientasi seks mereka. Namun, orientasi seks bukan sesuatu yang dipilih mengikut kehendak seseorang, tetapi dibentuk semulajadi.
Orientasi seks seseorang pengamal homoseksual gagal diubah sebagaimana orientasi seks seseorang pengamal heteroseksual. Babak riwayat hidup mereka kebanyakannya diakhiri dengan tragedi, apabila tekanan masyarakat bukan sahaja menyeksa diri seseorang pengamal homoseksual, malah "pasangan" mereka turut menderita.
Penulis terkenal Ireland, Oscar Wilde merupakan mangsa dalam sistem ketika itu. Beliau dipaksa berkahwin, dan dihukum kerana masih berhubungan dengan lelaki lain selepas berkahwin. Oscar Wilde dikatakan pernah mengingatkan anaknya supaya tidak menyinggung ibu sehingga menangis. Anaknya pula bertanya sebaliknya, "Bagaimana pula dengan bapa yang sering tidak berada di rumah sehingga ibu sering menangis?"
Oscar membisu. Beliau tidak terkata apa-apa kerana perkahwinan adalah pilihan dirinya. Beliau tidak pernah merasai kasih ketika berdepan dengan tekanan masyarakat golongan atasan dan persatuan gereja.
Nasib Oscar mencungkil perhatian
Pengalaman Oscar mencungkil perhatian golongan sayap kiri di Jerman ketika itu. Antaranya, salah seorang pengasas Parti Demokratik Sosialis, August Bebel memberi peringatan dalam parlimen bahawa Eropah tidak boleh memperlekehkan gejala di mana pemuda membunuh diri kerana orientasi seks mereka tidak diterima. Malah, August Bebel menganggap hukuman undang-undang akan membentuk satu masyarakat yang ganas dan menganggap hanya dirinya berada pada pihak yang benar (self-righteous).
Ironinya, pandangan progresif golongan sayap kiri ini hanya terlaksana di Jerman Barat selepas dilanda kezaliman Nazi. Sebaliknya, Jerman Timur yang menggelar dirinya "kiri" tidak pernah memperbetulkan diskriminasinya terhadap komuniti minoriti seks sehingga hari kerajaannya runtuh.
Sehingga hari ini, kedudukan golongan homoseksual dan minoriti dalam seksual di Eropah, Amerika Syarikat dan sesetengah negara di Asia telah diperbaiki. Bagaimanapun, rintangan masih membujur di depan. Dalam isu kontroversi seperti homoseksual, dunia kristian memilih sama ada untuk tidak menyatakan pendirian, ataupun mengkritik dengan memetik ayat dari kitab injil. Kurang yang sudi tampil untuk menyatakan sokongan.
Di Amerika Syarikat, masih terdapat golongan sayap kanan yang ektrem konservatif yang menganggap penyakit AIDS sebagai hukuman Tuhan terhadap pengamal homoseksual. Namun, ramai lagi mereka yang terpinggir dalam masyarakat seperti penagih dadah, pekerja seks, dan orang yang miskin - merupakan majoriti pesakit AIDS. Di Kampung AIDS He-Nan, China, pesakitnya kebanyakan adalah mangsa ketidakadilan sistem dan kemiskinan, apakah mereka ini semua "padan" untuk dijangkiti penyakit itu?
Di Malaysia pula...
Di Malaysia pula, masalah yang terbesar adalah ugutan golongan Islam konservatif terhadap komuniti minoriti-seks. Azwan Ismail yang tampil ke depan untuk mengakui dirinya gay, telah dihina di internet, malah menerima ugutan bunuh. Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi juga menggesa agar tindakan tegas diambil ke atas komuniti homoseksual. Cukup memilukan apabila pertubuhan agama, parti pemerintah dan pembangkang berdiam diri dalam isu ini.
Permintaan Azwan Ismail adalah mudah. Beliau hanya enggan membohongi dirinya dan orang lain - meniru dan melagak seperti pengamal heteroseksual, berkahwin dan berkeluarga sebagaimana yang diharapkan masyarakat arus perdana. Beliau hanya mahu hidup sebagai diri yang sebenarnya. Masyarakat kita seolah-olah mempunyaidouble-standard dalam isu "kejujuran". Pada kebanyakan masa, kita mahu orang untuk terus berpura-pura supaya sistem ini beroperasi dalam "keharmonian".
Sebagaimana yang dikatakan pembikin filem Amir Muhamad, kita perlu bergantung kepada riwayat hidup yang direka untuk mengekalkan kehidupan dalam komuniti. Cuma, apakah curang boleh wujud bersama cinta?
*Josh Hong adalah penganalisa politik dan kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Tulisan ini disunting dan diterjemahkan oleh Lim Hong Siang dari teks asal.
Komen: Perlencongan adat kebiasaan ini telah lama wujud. Bahkan kaum Nabi Lut AS adalah pelaku yang paling terkenal dalam sejarah manusia. Bahkan sodomi diambil dari perkataan negeri Sodom yang telah pun diterbalikkan bumi oleh Allah SWT. Apakah dengan mengisytiharkan "homo" orang seperti Azwan merasa jujur dan tidak hipokrit? Tidak siapa yang boleh memaksa pendirian seseorang. Tuhan juga tidak memaksa walaupun Maha Berkuasa! Jika Allah memaksa, nescaya tidak ada kepercayaan lain selain yang dikehendakiNya. Dia memberi pilihan dengan menghantar Nabi-nabi dan Rasul-rasul dan Kitab-kitab. Allah lebih tahu apa yang Dia perbuat dan keperluan makhlukNya.
Cuma orang yang lebih tahu dari kita selepas ketiadaan Pesuruh Allah berhak memberi pengajaran, pedoman dan tunjukajar, akhirnya kitalah yang membuat keputusan untuk diri kita, bukan orang lain. Mengisytiharkan perlakuan di luar tabii itu sendiri bukannya suatu kejujuran. Cuba tanya hati kecil anda, cuba fikir dengan fikiran dingin. Saya petik satu ungkapan dari blogger "Jika bapa anda seorang pelaku amalan tersebut, apakah anda ada di bumi pada masa ini?".
Janganlah disalahkan masyarakat untuk menerima perlakuan songsang seperti golongan anda. Tabii makhluk adalah berpasangan, bukan sahaja manusia bahkan binatang dan tumbuhan. Jika tidak kerana pasangan dengan kembangbiaknya, kita tak akan ada makanan dari golongan binatang ataupun tumbuhan/buahan! Manusia dibumi pun tidak akan ada, jika cuma 2 orang lelaki @ perempuan sahaja yang menjadi induk...bila induk mati hapuslah bangsa manusia!!!!!!
Tidak menyatakan sesuatu tentang diri kita bukanlah suatu pembohongan!
Tidak menyatakan sesuatu tentang diri kita bukanlah suatu pembohongan!
Semoga Tuhan memberikan kesedaran kepada kita semua dan golongan anda.
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui......