Tuesday, December 28, 2010

Malaysia Tidak Diyakini Pelabur Asing?


Pelabur kurang: Najib hanya sibuk pertahan kuasa
Abdul Aziz Mustafa   
KUALA LUMPUR, 28 Dis: Ketika para pelabur diingatkan supaya mengurangkan pelaburan ke negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula sibuk dengan kepentingan sendiri untuk mempertahan kuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Syarikat pengurusan dan penasihat kewangan tersohor, Bank of America Merrill Lynch baru-baru ini mengingatkan supaya dikurangkan pelaburan ke negara ini, suatu tanda yang jelas bahawa Najib tidak diyakini sebagai pengurus ekonomi yang boleh diharapkan yang sekaligus menjadi ancaman kepada ekonomi negara.
"Tetapi, tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan kerajaan Najib berusaha menangani perkara itu sebaliknya beliau hanya sibuk untuk mempropagandakan konsep 1Malaysia yang dilihat sebagai peniruan konsep One Israel termasuk membawa pemain import ke ke Jabatan Perdana Menteri, antaranya (ketua stesen televisyen Media Prima Berhad milik Umno, Datuk Seri Ahmad) Farid Ridzuan," kata beliau.
Najib, kata Mahfuz, ternyata lebih berminat mempertahankan kuasanya dengan memberi tumpuan kepada mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu setelah konsep itu gagal menarik perhatian rakyat.
"Sama seperti pelbagai hingar-bingar dan kebisingan Najib dalam bidang ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang gagal menarik minat pakar-pakar ekonomi dan para pelabur dan menyebabkan mereka diingatkan supaya mengurangkan pelaburan, apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu juga gagal menarik perhatian rakyat.
"Tindakan mengambil pemain import seperti Farid ke JPM amat jelas membuktikan Najib menggelabah dan Apco Worldwide pula gagal menjalankan kerjanya untuk mempromosikan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu walaupun lebih dari RM70 juta wang rakyat dibazirkan kepada firma milik Yahudi Zionis itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Mahfuz bagaimanapun yakin Ahmad Farid tidak akan mampu mencapai keinginan Najib untuk mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu.
Konsep tersebut diharapkan oleh Najib dapat membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang akan datang.
"1Malaysia yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu bukan TV hiburan yang penuh dengan pelbagai cerita menarik dan persembahan nyanyian yang mudah mengasyikkan orang ramai.
"Berapa banyak program yang sudah basi seperti Jom Heboh yang mahu dibuat oleh Ahmad Farid? Adakah setiap malam menjelang pilihan raya akan diisi dengan program Jom 1Malaysia pula?
"Benda-benda mengasyikkan seperti itu mungkin menarik minat muda mudi Melayu seperti yang berlaku dalam program-program Jom Heboh. Tetapi kaum lain yang semakin kecewa dengan api perkauman Umno tidak berminat pun dengan hiburan-hiburan seperti itu," katanya.
Ketika ditanya tentang desas-desus bahawa pihaknya sedang mempersiapkan pelbagai program untuk menghadapi "kempen cara Ahmad Farid" termasuk menggunakan kepakaran mereka yang pernah berkerja dengan orang kuat TV3 itu, Mahfuz enggan mengulas. (harakahdaily)