Akhirnya bahagian akhir Model Ekonomi Baru (MEB) dihidangkan pada 3 Disember, lapan bulan selepas bahagian pertamanya dikemukakan. Sepanjang tempoh ini, siri program yang dijana, misalnya Program Transformasi Ekonomi (PTE), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) - kesemuanya bertemakan MEB, yang diibaratkan sebagai "Kitab Ekonomi" zaman pemerintahan PM ke-6, Najib Razak. Persoalannya, apakah semangat perubahan yang cuba dipupuk MEB kekal sebagaimana konsep asalnya, selepas melalui perkembangan ekonomi-politik sepanjang masa ini? Untuk meneliti persoalan ini, marilah kita mengimbas bahagian pertama MEB yang dibentangkan pada 31 Mac 2010. Perubahan yang menyeluruh "Malaysia memerlukan transformasi segera. Ini akan diberikan oleh MEB melalui lapan IPS (Inisiatif Pembaharuan Strategik) dan PTE (Program Transformasi Ekonomi). Pemungkin terpenting MEB ialah keazaman dan kepimpinan politik untuk memecahkan kebuntuan hasil rintangan daripada kumpulan berkepentingan dan menyediakan rakyat untuk menyokong perubahan berbentuk akar umbi dalam hala tuju dasar. Dengan adanya pemungkin ini, suatu 'tolakan besar' dalam tindakan dan inisiatif dasar diperlukan untuk memulakan proses transformasi. Tolakan ini mestilah mencetuskan momentum yang mencukupi untuk mengatasi rintangan yang boleh membantutkan kemajuan. Apabila sahaja pembaharuan bermula, maklum balas berterusan adalah perlu bagi menyelaraskan dasar dan mengekalkan landasannya." Demikianlah penekanan daripada Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC). Rintangan telah dijangkakan, dan penyelesaiannya telah dikenalpasti - kepimpinan mantap dan keazaman politik. Malah, NEAC menegaskan, seandainya program pembaharuan hanya dilaksanakan sebahagiannya, maka ia bakal mengundang kerapuhan dan ketidakstabilan yang lebih ketara daripada keadaan di mana tiada langsung perubahan dilaksanakan. "Tiada perubahan dan tidak melaksanakan perubahan secara keseluruhan - kedua-duanya bukan pilihan Malaysia buat masa kini". Dengan kata lain, atau ungkapan yang paling kerap keluar dari bibir Najib, "Berubah atau rebah". Jelas, Najib melanggar "pantang-larang" yang disebut dalam bahagian pertama MEB-nya. Najib cuba mengelakkan diri dari masalah pokok, dasar pembaharuannya berubah-ubah, kekurangan keterangkuman dan tidak berpandangan jauh ketika melihat masalah... ciri-ciri ini mengasingkan Najib daripada apa yang dikatakan "kepimpinan mantap" dan "keazaman politik". Najib bukan mencetuskan gelombang sokongan rakyat dan kumpulan berkepentingan dengan reformasi secara menyeluruh, sebaliknya menyelaraskan langkah pembaharuannya mengikut hasrat kumpulan berkepentingan. Lebih ketara, kerajaan hanya melaksanaan "sebahagian" pembaharuan - seandainya mengikut apa yang diperkatakan NEAC, membawa negara kepada satu keadaan yang lebih dahsyat daripada tiada pembaharuan langsung. Model ekonomi ala-Mahathir Pertama, kerajaan Najib menyarankan pembaharuan ekonomi dengan "penghapusan merentir (rent-seeking)" dan "pihak swasta sebagai penggerak utama dalam bidang ekonomi" pada peringkat awalnya. Namun akhirnya ia kembali kepada "pendominasian ekonomi oleh kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)" dan "liberalisasi ekonomi palsu"-ala Mahathir, yang "mencipta lebih peluang merentir". Mengikut rangka struktur ETP, ia seharusnya jalinan Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership) yang ditunjangi pihak swasta - melabur dan menjana 12 NKEA, 131 EPP dan 60 peluang perniagaan di bawah ETP, dan kerajaan hanya memberi bantuan dari segi sumber dan dasar (pelaburan swasta 92%, 8% selebihnya daripada pelaburan awam). Pada masa yang sama, PM Najib turut menjanjikan pelaksanaan pembidaan terbuka (open tender) dalam kebanyakan projek EPP, dan hanya mengambil pendekatan rundingan terus (direct negotiation) atau "restricted tenders" untuk kes tertentu - sebagai langkah menambah keyakinan pelaburan swasta. Tetapi pada hakikatnya, PTE masih mengambil pendekatan "central planning" (pusat yang memutuskan) ketika melaksanakan program ini, iaitu kerajaan yang menentukan projek manakah yang harus diutamakan, dijalankan atau disingkirkan, siapa yang dipertanggungjawabkan, pengagihan sumber dan sebagainya. Dengan kata lain, kerajaan masih mempercayai teori "kerajaan mengetahui segala-galanya" (the Government knows best), malah, ia memperlihatkan bahawa kerajaan Najib masih belum melepaskan kuasanya untuk mendominasi sumber ekonomi, dan dibiarkan pihak swasta mahupun pasaran untuk menentukan ekonomi. Misalnya, kerajaan melantik terus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bertanggungjawab ke atas projek pembangunan tanah Sungai Buluh yang bernilai RM10 bilion, 1MDB untuk bertanggungjawab ke atas Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) yang bernilai RM26 bilion. Selain itu, proses pertimbangan masih tidak telus - contohnya PEMANDU menerima cadangan YTL Hotels untuk menyenaraikan pembinaan Hotel Majestic sebagai 18 projek yang didahulukan; tetapi pada masa yang sama tidak menyenaraikan cadangan POIC (Palm Oil Industrial Cluster) di Sabah bahawa mereka memerlukan satu container port untuk menampung keperluan mereka di sana. Tiada orang yang mengetahui kayu ukur pertimbangan ini. Malah, daripada pengalaman lalu, cara yang tidak telus sebegini senang membiakkan peluang merentir. Berkompromi kepada PERKASA Keterangkuman (inclusiveness) - satu daripada tiga matlamat MEB, menjadi sasaran kumpulan berkepentingan. Bahagian pertama MEB yang diketengahkan pada akhir Mac 2010 telah mengundang reaksi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), yang mendesak agar Dasar Ekonomi Baru (DEB) diterapkan ke dalam MEB atas nama Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Kumpulan ini tidak menerima cadangan NEAC untuk menamatkan DEB yang bertunjangkan dasar afirmatif perkauman, dan beranjak kepada "orientasi pasaran, ketelusan, merit dan keperluan". Dasar afirmatif yang menyasarkan 40% golongan berpendapatan rendah dianggap sebagai penafian hak istimewa dan kepentingan Melayu demi kepentingan kaum lain. Kerajaan Najib akhirnya tunduk kepada tekanan ini. Dalam Rancangan Malaysia ke-10, bukan sahaja semangat DEB dikekalkan dengan kuota 30% ekuiti bumiputera, malah lima agenda afirmatif bumiputera diterapkan untuk mempertingkatkan keterlibatan bumiputera dalam ekonomi. Malah, NEAC turut berganjak dari pendirian asalnya. Pendek kata, "keterangkuman" yang dimaksudkan dalam MEB adalah "keterangkuman bersyarat", iaitu mendahulukan Melayu sebelum kaum lain berkongsi peluang yang sama dan hasil transformasi ekonomi negara. Dalam satu kertas berjudul "Inclusiveness: A Fairer Way to Share the Economic Pie?", dibentangkan Profesor UKM, Ragayah Hj Mat Jin dalam satu persidangan anjuran MIER, beliau berkata, meskipun DEB dan dasar selepasnya berulangkali menekankan bahawa pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, namun pada hakikatnya, pelaksanaannya hanya tertumpu kepada kaum bumiputera. Akhirnya, kekayaan disalurkan kepada mereka yang rapat dengan orang politik. Biarpun sekali lagi MEB menekankan keterangkuman, iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, namun Ragayah sebenarnya meragui pelaksanaannya, kerana bukan mudah untuk mengubah satu dasar perkauman yang telah dilaksanakan sejak 40 tahun yang lalu. Jurang kaya-miskin Di samping itu, pelaksanaan DEB telah mewujudkan satu lagi fenomena yang tidak sama rata, iaitu ekonomi berada dalam genggaman pemerintah berikutan masalah merentir (rent-seeking) dan rasuah, atau disebut sebagai party capitalism, menurut Ragayah. Pemimpin parti menggunakan pengaruh politiknya, bersama kroninya untuk menguasai sumber dan kepentingan ekonomi. Situasi sedemikian menjurus kepada jurang kaya-miskin yang semakin ketara. Ragayah menambah, jurang kemiskinan di Malaysia bukan lagi jurang perbezaan antara desa-bandar mahupun antara kaum, tetapi ketidakseimbangan dalam kaum itu sendiri. Misalnya, dasar penswastaan telah menjadikan sesetengah bumiputera semakin kaya, sementara sesetengah bumiputera kekal hidup merana kepapaan. Contohnya, 11 orang bumiputera tersenarai sebagai 40 orang terkaya di Malaysia menurut Forbes pada tahun 2010 menguasai kekayaan USD 4 bilion. Antaranya, 42.5% kekayaan (atau USD 1.7 bilion) berada dalam tangan Syed Mokhtar AlBukhary. Pada masa yang sama, kadar kemiskinan di negeri yang majoritinya Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah lebih tinggi daripada purata kadar kemiskinan negara pada tahun 2009, malah Sabah mencatat kadar kemiskinan setinggi 19.7%. Lebih-lebih lagi, jurang kaya-miskin dalam kaum Melayu sendiri semakin ketara dalam 10 tahun kebelakangan ini, dari 0.429 pada tahun 1999 dan terus melebar kepada 0.44 pada tahun 2009. Bukan konsep baru Apa yang menarik, "keterangkuman" ini bukan konsep yang baru. Pada tahun 1989, sebelum DEB genap tempoh 20 tahun pelaksanaannya, National Economic Consultative Council (NECC) yang dianggotai kerajaan, parti politik, pertubuhan perniagaan, kesatuan buruh, profesional dan NGO telah mengemukakan satu penyelesaian sebagai pengganti DEB - turut menekankan konsep "keterangkuman". Laporan NECC menyarankan agar dasar baru yang berasaskan "merit-and-needs" dilaksanakan, menjadikan sektor swasta sebagai penggerak utama ekonomi negara. Malah, laporan tersebut menyarankan pemansuhan dasar afirmatif perkauman selepas jurang ekonomi antara kaum diperbetulkan. Namun, apakah yang berlaku 20 tahun kemudian? Janji "perkongsian secara samarata hasil pertumbuhan", "pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum" tidak ditunaikan sepanjang 40 tahun ini. Kali ini, kerajaan yang sama dengan pemikiran yang sama cuma mengulangi satu janji yang tidak ditunaikan 20 tahun lalu. 10 tahun lagi Malaysia akan melangkaui tahun 2020. Namun, nampaknya pokok pisang yang sama sedang berbuah untuk kali kedua... *Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari dua artikel asal, bahagian pertama dan bahagian kedua. |
Wednesday, December 29, 2010
Model Ekonomi Baru sekadar Bulatan Ekonomi ala-Mahathir?
Label:
Pemikiran