Monday, December 20, 2010

Rakyat berubah, BN rebah




Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 19 Dis: Pemimpin Umno BN takut berlaku perubahan kerana mereka manusia
yang tidak mahu berubah, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.
“Mereka takut rakyat berubah kerana mereka akan rebah. Mereka tidak mahu kepada urus tadbir
dengan baik dan telus kerana takut perut mereka kurus,” ujarnya sambil mengucapkan tahniah
kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PR), urusetia dan peserta Konvensyen Pakatan Rakyat 2010
yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang telah berjaya dengan jayanya.
Katanya, konvensyen telah berjaya mencapai matlamatnya.
“Harapan pemimpin umno BN dan media BN cuba untuk mengadu domba supaya konvensyen
ini gagal seperti Konvensyen BN 5 Disember lalu yang bergaduh fasal Ketuanan Melayu antara
Umno, MCA dan Gerakan, Alhamdulillah perkara ini tidak berlaku,” ujarnya.
Katanya lagi, Konvensyen Pakatan Rakyat berakhir dengan baik, pandangan yang bernas
daripada wakil yang mewakili parti daripada pimpinan tertinggi hinggalah kepada sayap parti.
Beliau menambah, cadangan yang dicadangkan di dalam konvensyen begitu praktikal untuk
dimanfaatkan oleh rakyat.
“Selepas ini kita akan dengar jawapan daripada pemimpin BN yang resah dengan cadangan
yang dibuat di konvensyen dengan tuduhan ini hanya angan-angan PR,” katanya.
Sehubungan itu, ujarnya PAS mencabar pemimpin BN memberi peluang kepada PR dahulu dalam
masa 100 hari kepada PR untuk membuktikan sama ada janji PR palsu atau angan-angan.
Mereka, tambahnya akan berhujah di mana wang akan diambil untuk diberi kepada rakyat kerana
itulah otak pemimpin BN yang lemah dan tidak kreatif untuk manfaat rakyat.
Sebaliknya, kata beliau mereka begitu kreatif macam mana untuk perut mereka dan keluarga mereka.
Untuk itu, menurutnya PAS ingin mengingatkan kepada Umno BN bahawa PR mampu untuk
mentadbir negara di mana PAS sudah membuktikan di Kelantan selama 20 tahun mentadbir.
Tambahnya, Kedah di bawah Umno mengalami masalah kewangan, tetapi mampu ditadbir dengan
baik selepas 8 Mac 2008.
“Tawaran yang PR berikan kepada rakyat, kami ada asas untuk melakukannya.
“Apabila rasuah kita buang dalam amalan, ketelusan dalam mengurus, insya Allah PR mampu
menunaikan semua pada rakyat Malaysia,” katanya lagi.