KUALA LUMPUR 14 DIS : Barisan Nasional diminta menghentikan rundingan Perjanjian Dagangan Bebas dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kerana ia akan mensabotaj industri tani tempatan dan sektor kesihatan.
Gabungan Rakyat Membantah FTA berkunjung ke Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Industri dan Dagangan Antarabangsa, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Meskipun minat pelabur dan pemodal antarabangsa kepada ekonomi negara dapat dipertingkat melalui perjanjian ekslusif, namun berdasarkan kepada pengalaman negara-negara lain, dibimbangi perjanjian FTA akan mengekang dan menghadkan inisiatif kerajaan membantu industri tempatan.
Perjanjian FTA menetapkan bahawa negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah tidak perlu memotong subsidi tani, manakala Kerajaan Malaysia dituntut menghapuskan tarif barangan tani.
"Keadaan ini akan mendedahkan petani, beras dan penternak ayam kepada produk impot yang disubsidikan dari Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.
"Produk-produk impot ini akan dijual pada harga yang jauh lebih rendah dari kos penghasilan di negara ini, seraya merencatkan pengusaha tempatan," tegas Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj.
Gabungan ini merujuk kepada kes penguasaan penternak tempatan di pasaran ayam Ghana yang menguncup dari 95% kepada 11%, akibat lambakan ayam murah dari Eropah.
"Yang lebih membimbangkan adalah input tani untuk petani tempatan seperti benih menjadi semakin mahal ekoran perlindungan hakmilik yang ketat, serta petani tempatan dihalang dari mewujudkan kooperasi dan kempen bersepadu menyaingi produk tani impot," tegas Dr Jeyakumar lagi.
Manakala di sektor kesihatan, perjanjian hakmilik akan melonjakkan harga ubat-ubatan.
Kes di Guatemala menyaksikan harga ubat meningkat sebanyak 845600% lebih mahal selepas perjanjian ditandatangani.
"Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah akan menuntut Kerajaan Malaysia merampas impot-ekspot produk ubat-ubatan generik, seraya menghadkan akses rakyat Malaysia kepada ubat-ubatan murah," menurut Dr Jeyakumar.(LamanMarhaen)