Wednesday, December 15, 2010

Untuk Pemuda Islam (3)

Wahai pemuda,

Sebenarnya kamu sekarang tidaklah begitu lemah berbanding dengan angkatan yang terdahulu dari kamu yang diberikan kemenangan oleh Allah hasil usaha mereka. Oleh itu janganlah kamu merasa hina, merasa lemah malah hendaklah kamu meletakkan di ruang matahati kamu akan firman Allah yang bermaksud (Al-Imran:173):

Mereka berkata kepadanya: sesungguhnya orang ramai telah pun mengumpulkan tenaga terhadap kamu, hendaklah kamu merasa takut kepada mereka itu, tetapi mereka ini menjadi bertambah kuat imannya. Lalu mereka berkata memadailah Allah itu untuk kami dan Dialah sebaik-baik pengawal.

Kita akan mendidik diri kita sendiri supaya terbentuklah dari kalangan kita ini apa yang dinamakan individu muslim.  Kita juga akan mengasuh rumahtangga kita supaya lahirlah daripadanya nanti apa yang kita sebutkan sebagai rumahtangga muslim. Kita juga akan membentuk umat kita supaya terbentuklah apa yang dinamakan umat Islam. Dan sudah tentu kita akan turut serta ke dalam umat Islam ini dan kita akan terus menerus bergerak menurut langkah-langkah yang sudah ditetapkan menuju hingga ke hujung jalan dan sehingga tercapai sasaran yang Allah tentukan kepada kita; bukan sasaran yang kita sendiri menentukannya. Dan dengan izin Allah  serta pertolongannya kita akan tiba di matlamat yang ditujui. Allah tetap enggan melainkan mesti menyempurnakan citaNya walaupun dibenci oleh orang kafir.

Bagi menghadapi persoalan ini kita telah pun menyediakan iman yang sekali-kali tidak akan bergoyang, kerja-kerja yang tidak tersekat-sekat, kepercayaan yang tidak luntur kepada Allah, bahkan kita juga telah menyediakan jiwa raga yang merasai sebahagia-bahagia hari baginya ialah hari yang mereka gugur sebagai para syuhada‘ di jalan Allah.

Jadikan itu semua sebagai polisi dalaman dan luaran kita kerana kita mengambil pengertian tersebut dari hakikat Islam sendiri. Pemisahan di antara ugama dengan politik bukanlah dari ajaran Islam yang maha suci. Orang Islam yang tulin keugamaannya dan yang benar-benar memahami segala pengajarannya tidak mengerti pemisahan seperti itu. Oleh itu sesiapa jua yang cuba hendak memesongkan kita daripada hakikat manhaj ini, maka eloklah dia meninggalkan kita kerana orang seperti itu tidak terkeluar dari salah satu dari dua jenis manusia iaitu:

musuh kepada Islam atau pun jahil mengenai hakikat Islam.

Wahai pemuda !

Silaplah orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini ialah suatu kumpulan Darwisy-Tok Lebai yang mengongkong diri di dalam ruangan sempit ibadat Islam yang hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, zikir dan tasbih sahaja. Sebenarnya angkatan Islam yang pertama dahulu tidaklah memahami hakikat Islam dalam bentuk yang sempit seperti itu; mereka juga tidak beriman dengan cara begitu; akan tetapi mereka itu beriman dengan Islam sebagai aqidah serta ibadat, sebagai tanahair dan kebangsaan, sebagai akhlak serta kebendaan, sebagai kebudayaan dan undang-undang serta toleransi dan kekuatan.

Mereka yakin bahawa Islam itu adalah suatu sistem yang sempurna yang sesuai dengan segala bidang kehidupan dan mampu menyusun urusan dunia seperti mana ia menyusun urusan ke akhiratnya. Mereka yakin Islam itu sebagai suatu sistem yang mempunyai kedua-dua sudut amalan dan teorinya sekali. Dengan keyakinan seperti itu maka Islam bagi mereka ialah ugama dan negara serta Qur’an dan pedang.

Namun demikian mereka tidaklah pula lalai dari menunaikan urusan peribadatan mereka dan tidak culas menunaikan segala fardhu yang diwajibkan untuk Tuhan mereka. Mereka cuba sedaya upaya untuk mengelokkan lagi tata tertib solat. Mereka juga membaca kitab Allah serta berzikir kepada Allah menurut cara yang disuruh oleh Allah dalam batas-batas yang ditentukan kepada mereka, tanpa mengada-ngada dan melampau-lampau, dengan tidak bermain-main di kulit luar dan tidak pula terlampau mendalam berlebih-lebihan. Mereka itu lebih mengetahui mengenai sabda Rasulullah s.a.w yang bererti:

Sesungguhnya ugama Islam ini amat kukuh; oleh itu resapilah ke dalamnya perlahan-lahan. Sesungguhnya orang yang sangat keterlaluan itu akhirnya tidak ada bumi yang dijalaninya malah tidak pula ia kekal sebarang tunggangannya.

Meskipun demikian namun mereka tetap jua mengambil bahagian mereka dari keduniaan sekira-kira kadar yang tidak merosakkan akhirat mereka; mereka beramal dengan firman Allah yang bermaksud: (surah Al - A’raf : 32)

Katakanlah: siapakah pula yang mengharamkan perhiasan Allah yang diberikannya kepada hamba-hambanya dan juga rezeki yang baik-baik itu ?

Angkatan Islam mengerti bahawa sebaik-baik gambaran yang diberi kepada para sahabat Rasulullah s.a.w ialah:

Pendeta di malam hari dan satria yang gagah perkasa di siang hari.

Demikianlah pula angkatan Islam ini cuba membentuk diri mereka - Allah jualah tempat kita memohon pertolongan.

Silaplah juga mereka yang menyangka kononnya angkatan Islam mengabaikan tanahair dan patriotik.

Sebenarnya orang-orang Islamlah yang paling ikhlas kepada tanahair mereka. Merekalah yang paling banyak berkorban kepada tanahair. Merekalah orang yang paling menghormati sesiapa juga yang bekerja dengan ikhlas untuk tanahair. Lihatlah, saudara sendiri mengetahui sejauh mana angkatan Islam menyintai tanah air dan setinggi mana pula mereka bercita-cita untuk kebaikan umat mereka.

Tetapi perbezaan di antara orang-orang Islam dengan orang-orang lain yang mendakwa pejuang tanahair ialah asas patriotis Islam ialah aqidah Islamiyah. Oleh itu maka pejuang Islam yang bekerja untuk sesebuah tanahair -misalnya Mesir(atau Malaysia), berjuang pada jalannya dan mereka sanggup mati dalam jihad seperti itu adalah kerana negeri Mesir itu ialah termasuk ke dalam bumi Islam. Mereka kemudiannya tidak pula membataskan perasaan patriotis ini kepada negeri Mesir sahaja tetapi mereka merangkumkan juga setiap bumi Islam dan setiap tanahair orang-orang Islam.

Adapun pencinta tanahair yang tidak bersifat Islam akan membataskan kecintaannya itu kepada bangsanya sahaja. Mereka pula biasanya hanya berjuang kerana ikut-ikutan, sukakan promosi, mencari kebanggaan atau kerana kepentingan-kepentingan yang tertentu. Mereka berjuang bukan menurut kewajipan yang Allah turunkan kepada hamba-hambanya.

Memadailah untuk saudara mengetahui bahawa faham patriotisma mengikut angkatan Islam ialah mereka yakin dengan sepenuhnya bahawa kecuaian terhadap sejengkal sekalipun dari bumi yang didiami oleh orang-orang Islam adalah suatu jenayah yang tidak boleh diampuni, hinggalah mereka dapat mengembalikannya atau pun biarlah mereka mati kerana berjuang untuk mengembalikannya. Mereka yakin bahawa mereka tidak akan terselamat dari balasan Allah melainkan dengan berbuat demikian.

Silaplah lagi orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini merupakan penyeru ke arah kemalasan atau keculasan. Sebenarnya angkatan Islam mengistiharkan saban waktu bahawa seseorang muslim itu mestilah menjadi pimpinan dalam segenap perkara. Mereka tidak berpuas hati selagi tidak dapat memimpin, bekerja, dan berjuang serta mendahului orang lain dalam setiap urusan, sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, kekuatan, kesihatan, dan juga kekayaan.

Perlu disebut bahawa apa jua kemunduran dalam sesuatu bidang adalah merosakkan fikrah perjuangan kita dan menyalahi pula ajaran ugama kita.

Meski pun demikian kita memanglah menolak fahaman kebendaan(materialisma) yang menimpa umat manusia, lalu membawa mereka ke arah hidup untuk diri sendiri sahaja(individualistik) dan mendorong mereka mengguna segala kemudahan semula jadi, segala masa dan tenaga ke arah kehebatan diri sendiri semata-mata. Dengan demikian maka seseorang dari mereka itu tidak akan bekerja untuk faedah orang lain walau sekecil-kecil khidmat sekalipun malah ia tidak akan mengambil tahu walau sedikit pun dari hal umatnya. Sabda Nabi saw yang bermasud:

Sesiapa yang tidak menghiraukan urusan umat Islam maka dia bukanlah daripada mereka.

Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud:

Allah mewajibkan kesempurnaan dan keelokkan dalam setiap perkara.

Silap juga orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam itu adalah juara penyeru ke arah sentimen perkauman. Sebenarnya kita dari angkatan Islam ini memahami bahawa Islam sangat-sangat menghormati hubungan umum di kalangan umat manusia seperti mana yang tersebut di dalam firman Allah yang bermaksud (surah Al-Hujurat:13):

Wahai sekalian manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal - kenalan.

Kita mengetahui bahawa Islam itu datang membawa kebajikan kepada semua manusia dan sebagai suatu rahmat kepada sekalian makhluk. Mana jua ugama yang tugasnya demikian rupa adalah jauh sekali dari perbuatan yang memecah belahkan hati manusia dan hasut-menghasut sesama mereka. Qur’an sendiri menguatkan perpaduan ini dengan firman Allah yang bermaksud (Al- Baqarah:285):

Kami tidaklah membeza-bezakan sesiapa pun dari antara para Rasulnya.

Perlu disebut bahawa Islam melarang dan mengharamkan pencerobohan hinggakan dalam keadaan kemarahan dan permusuhan sekalipun, Allah berfirman yang bermaksud (Al-Maidah: 8):

Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh kedudukan satu-satu pihak sehingga kamu berlaku tidak adil kerana ianya adalah lebih hampir kepada taqwa.

Dan Islam menganjurkan kebajikan dan kebaikan di kalangan warga negara sesebuah negara walaupun mereka itu berlainan aqidah dan ugama. Allah berfirman yang bermaksud (Al-Mumtahanah:8):

Allah tidaklah menegah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu pada ugama dan yang tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu.

Islam juga menganjurkan kita berlaku adil kepada orang-orang zimmi (orang tidak Islam di dalam negara Islam) dan bergaul baik dengan mereka. Ini ialah menurut dasar :

Mereka mendapat hak sama seperti kita dan mereka memikul tanggungjawab seumpama kita juga.

Kita mengetahui semuanya itu; oleh kita tidaklah menyeru ke arah faham apartheid dan tidak juga ke arah faham fanatik kelompok. Walaubagaimanapun, kita tidaklah pula menjual iman kita dengan harga perpaduan tersebut dan kita tidak juga bersedia untuk tawar-menawar kerana menegakkan perpaduan tadi sehingga tergadai akidah kita. Kita tidak akan sanggup berusaha untuk menegakkan perpaduan tersebut hingga mengorbankan kepentingan orang-orang Islam. Sebaliknya, cukuplah kita bersedia mengorbankan perpaduan demi kebenaran dan keadilan, tetapi lebih dari itu.

Oleh itu, barang siapa cuba membuat selain dari itu maka tentulah kita mesti menghalangi perbuatannya dan kita akan jelaskan kepadanya kesilapan fahamannya itu. Bagi Allahlah segala kebesaran dan bagi Rasulnya dan juga bagi orang-orang mukminin.

Suatu kesilapan juga orang-orang yang menyangka angkatan Islam ini bekerja untuk kepentingan badan yang tertentu atau pun mereka bergantung dagu kepada mana-mana kumpulan. Sebenarnya angkatan Islam ini bekerja untuk mencapai segala matlamat mereka sendiri menurut petunjuk dari Tuhan mereka iaitu bersama Islam dan pemeluknya di setiap masa dan tempat. Mereka membelanjakan apa yang dianugerahkan oleh Tuhan mereka demi untuk mencapai keredhaannya. Mereka merasa bangga kerana sehingga sekarang pun mereka masih belum pernah lagi menadah tangan kepada sesiapa dan mereka tidak pernah meminta pertolongan dari mana-mana orang atau badan atau pun mana-mana kumpulan.
Wahai angkatan pemuda !

Di atas dasar-dasar yang tetap dan berdasarkan ajaran-ajaran yang mulia inilah kita menyeru anda sekalian. Jika anda percaya kepada fikrah perjuangan ini dan anda menurut jejak langkahnya, memasuki bersama kita jalan Islam ini, melepaskan diri dari sebarang fikrah yang lain, menguntukkan segala tenaga untuk aqidah anda, maka itu adalah sebaik-baik pendirian untuk anda di dunia dan juga di akhirat. Insyaallah, Tuhan akan menjayakan melalui anda seperti mana yang dijayakannya melalui angkatan salaf yang terdahulu dari anda ketika zaman permulaan dulu.

Dengan itu, setiap pekerja yang ikhlas dari anda yang bekerja di jalan Islam akan mendapati balasan yang memuaskan cita-cita nuraninya dan setimpal dengan masanya, jika ia benar-benar termasuk ke dalam golongan pejuang-pejuang tulin.

Akan tetapi sebaliknya, jika anda enggan dan terus menerus berdolak-dalik dan teragak-agak, atau masih mencari-cari antara perjuangan bukan Islam sebenar yang telah ternyata gagal, maka ketahuilah bahawa batalion tentera Allah akan terus mara tanpa menghiraukan sama ada sedikit atau ramai dengan penuh yakin kepada firman Allah yang bermaksud  :

Kemenangan itu hanyalah dari Allah Maha Gagah lagi Bijaksana. (Al-Imran:126)

RINGKASAN ISI - WAHAI PEMUDA !

Pemuda adalah harapan semua ummat untuk mengembalikan ummat. Perlukan:

1. fikir tentang ummat lebih banyak dari fikir diri sendiri.

2. faham dakwah yang betul

    Dakwah kurun ke 15 Hijrah.

3. Hanya satu dakwah yang boleh menyelamat manusia - ISLAM (5:3) manusia sedang menunggu-nunggu.

4. Ianya perlukan pengorbanan (Kesah Seerah Nabi dan Sahabat)

5. Fikrah Islam hendaklah tulin (tanpa seleweng , tambah atau kurang). (3:85) Musuh telah cuba merosakkan Islam beberapa lama.

Tugas kita:

6. Menceritakan hakikat Islam dengan jelas(teori).

7. Mengajak beramal dengan Islam yang syumul (amali).

8. Menjadikan Al-Quran & Sunnah rujukan utama.

9. Berjuang terus hingga mati.

10. Slogan kita : ‘Allah matlamat - Rasul Ikutan - Quran perlembagaan - Jihad jalan & Mati syahid cita-cita tertinggi’.

11. Berkeyakinan diri ; kita adalah ‘tuan’ di bumi ini. Kemenangan adalah milik kita.

12. Titik kekuatan:

13. Iman

14. Ukhuwwah

15. Zahir (Tubuh badan, senjata, peralatan, pengurusan dsb)

16Program kita:

17. Individu Muslim

18. Rumahtangga Muslim

19. Ummat Islam

20. Kerajaan Islam

21. Watan Islam (Tanahair)

22. Menawan balik negeri Islam yang dirampas.

23. Menjadi pemerintah dunia.

Lain-lain

24. Disangka angan-angan oleh manusia. Siapa tidak bekerja kearah ini maka sila cari cara lain.

25. Kita bukan lemah (3:173)

26. Kita tidak akan memisahkan agama dan negara, solat dan masyarakat dll.

27. Islam adalah sistem yang sempurna.

28. Mengapa orang sangat memperelokkan solat tetapi melalaikan bidang Islam yang lain?

29Orang Islam ialah: Pendita dimalam hari dan satria disiangnya.

30. Kita tidak mengabaikan negara dan bangsa kita tapi semua kerana Iman.

31. Kebangsaan kita adalah semua negara Islam.

32. Kita hendaklah maju dalam semua perkara kerana kemunduran akan merosakkan kita.

33. Hendaklah melepaskan dari sebarang fahaman lain selain Islam.

34. Hendaklah menguntukkan seluruh tenaga dan masa untuk Akidah ini.

35. Kita akan capai antara 2 kebaikan: Menang atau Syahid.

36. Siapa yang masih teragak-teragak dan berdolak dalih, Tentera Allah akan terus berjalan meninggalkannya tanpa mengira sedikit atau ramai (3:126)

(Petikan Buku Bingkisan Untuk Pemuda Islam Al Imam Hassan Al Banna).