Tuesday, December 14, 2010

Ladang Felda dipenuhi babi hutan


Khairil Abdul Rahim   
TEMERLOH, 14 Dis: Dakwaan Felda sebagai agensi pembangunan tanah yang terbaik, disangkal kerana masih wujud banyak kelemahan dan kegagalan agensi tersebut terutama dalam pelaksanaan tanam semula.

Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendedahkan beliau menemui bukti kegagalan Felda yang sudah tentu amat merugikan peneroka yang menyerahkan ladang kepada agensi berkenaan.

Menurut Mazlan, bukti yang ditemuinya di Felda Chiku 1 dan Felda Prasu amat memeranjatkanya dan tidak menyangka Felda yang didakwa sebagai agensi terbaik di dunia melakukan kerja penanaman semula seteruk itu.
(Gambar: Mazlan menunjukkan gambar sebagai bukti ladang Felda yang penuh dengan semak samun ketika beliau membuat tinjauan)
“Bukti yang saya temui itu amat memeranjatkan kerana tidak menyangka  Felda mendakwa agensi terbaik dalam kerja perladangan tetapi gagal melakukan penanaman semula terbaik malah merugikan peneroka.

“Satu masa dulu Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata Felda menahan wang tabung tanam semula (TTS) kerana ada peneroka tanam sendiri beli barang lain dan ladang semak dipenuhi babi hutan. Sekarang saya nak tunjukkan, ladang Felda yang dipenuhi babi hutan,” jelasnya.

Mazlan berkata demikian dalam sidang medianya di sini baru-baru ini selepas pulang daripada melawat Felda berkenaan sesudah menerima aduan daripada peneroka yang menyerahkan urusan tanam semula ladang mereka kepada Felda.

Dalam lawatan tersebut, Mazlan telah dibawa meninjau ladang kendalian Felda yang bermasalah itu termasuk belum ditanam, semak yang merimbun dan tanaman kelapa sawit yang terbantut kerana tiada pemuliharaan.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat berkata, kegagalan berkenaan sudah tentu akan membebankan peneroka kerana kos sulaman menyebabkan jumlah hutang dan pinjaman sara hidup akan meningkat.

“Bagi Felda pula, peningkatan hutang peneroka tidak menimbulkan masalah kerana ia yang memberi hutang sebaliknya penerokalah yang akan menanggung hutang yang makin lama semakin tinggi kadar faedahnya sekalipun Felda gagal menjayakan penanaman semula itu.
(Gambar: Keadaan ladang tanam semula di bawah Felda yang tidak terurus)
“Apa yang dibimbangkan, mana-mana peneroka yang ladangnya gagal dimajukan Felda akan menanggung kos dan bunga hutang yang tinggi berbanding peneroka lain sedangkan peneroka berkenaan tidak mempunyai kuasa menuntut Felda menanggung kos kegagalan penanaman itu, “ katanya.

Menurut Mazlan lagi, melalui perjanjian Felda dengan peneroka, peneroka tidak mempunyai apa-apa hak di atas kelewatan Felda menjayakan penanaman semula. Malah, peneroka juga tidak diberi penyata kewangan pengurusan ladang mereka oleh Felda.(harakahdaily)