Sunday, December 12, 2010

Peranan "Third Force" Dalam Politik Kebangsaan

A Kadir Jasin

DUA perkara pokok yang sering disebut sebagai penentu keputusan pilihan raya umum (PRU) akan datang adalah perpecahan undi Melayu dan kesepaduan undi bukan Melayu.

Undi Melayu berpecah antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat – melalui Umno dan Pas -- manakala undi bukan Melayu, khasnya Cina, sepadu menyokong PR melalui DAP.

Peranan PKR mungkin tidak sekuat dan seketara pada PRU 2008 akibat krisis kepemimpinan yang sedang dihadapinya, terutama sekali ketidaktentuan masa depan Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim.

Sokongan terhadap Pas tidak dijangka mengalami banyak perubahan memandangkan ketaasuban dan komitmen ahli serta penyokongnya.

Kepemimpinan Umno telah mula menguar-uarkan pemulihan sokongan terhadapnya yang sedikit sebanyak disahkan oleh hasil positif beberapa kajian pendapat oleh pihak ketiga.

Tetapi satu perkara baru yang tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana pihak adalah kemunculan apa yang kini disebut sebagai Kuasa Ketiga atau Third Force.

Saya lebih cenderung menganggapnya sebagai kemunculan semula kerana fenomena 3rd Force atau x-factor ini telah berlaku sebelum ini dan memberi kesan meluas kepada landskap politik Malaysia.

Abim Contoh X-Factor

Sebagai contoh, Angkatan Belia Islam (Abim) pada era Anwar pernah menjadi faktor x dalam keduaan (duality) politik Melayu/Islam. Walaupun ia pergerakan non-partisan, namun keahliannya cukup sedar mengenai politik dan apa yang boleh mereka lakukan untuk mempengaruhi keduaan politik Melayu/Islam yang didominasi oleh Umno dan Pas.

Menjelang tahun 1980, Abim mengambil pendirian, ahli dan kepemimpinannya boleh bergiat cergas dalam politik kepartian, tetapi mereka kenalah meninggalkan Abim kerana pergerakan itu mahu terus bersikap tidak memihak.

Daripada situlah bermulanya kecergasan bekas pemimpin dan ahli Abim seperti Anwar, Abdul Hadi Awang, Allahyarham Fadzil Noor, Kamaruddin Mohd Noor dan Kamaruddin Jaafar dalam politik kepartian melalui Umno dan Pas.

Dalam konteks semasa, kemunculan semula dan keberkesanan 3rd Force ini menjadi ketara sebelum PRU 2008 dan memperoleh momentum selepas peralihan kuasa daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Mohd Najib Abdul Razak tahun lalu.

Ia adalah reaksi kepada ketidakpuasan terhadap kepemimpinan Abdullah di kalangan ahli dan penyokong Umno dan pengambilan kesempatan oleh pihak-pihak yang berasa kepentingan mereka boleh diperbaiki di luar kerangka politik kepartian.

Ketidakpuasan terhadap kepemimpinan Abdullah dan ketidakyakinan terhadap Mohd Najib meluas di kalangan orang Melayu, khasnya ahli dan penyokong Umno.

Serentak itu, pihak-pihak yang mementang Umno/BN mengambil kesempatan daripada ketidaktentuan pentadbiran Abdullah untuk bertindak di luar kerangka politik dan perundangan.

Daripada ketidakpuasan dan ketidakyakinan itu muncullah badan-badan bukan kerajaan Melayu seperti Perkasa, Majlis Perundingan Melayu dan Persatuan Bekas-Bekas Wakil Rakyat Umno (Penawar).

Manakala di kalangan bukan penyokong Umno dan dalam kelompok bukan Melayu pula muncul gerakan seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Badan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang masing-masing menganjurkan tunjuk perasaan besar-besaran di Kuala Lumpur pada bulan November 2007.

Persepsi bahawa Abdullah lemah menyebabkan parti-parti lawan Barisan Nasional dan NGO yang tidak memihak kepadanya mengambil kesempatan untuk membuat pelbagai tuntutan dan mengadakan tunjuk perasaan, tidak kira halal atau haram.

Tergolong dalam 3rd Force ini adalah pemilih muda dan pemilih kali pertama yang ramai mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sejak beberapa bulan kebelakangan ini serta individu-individu yang berpengaruh.

Aspirasi 3rd Force

Pada jangkaan saya, trend pengundian 3rd Force akan dipengaruhi oleh mutu kepemimpinan, dasar dan pendekatan parti-parti politik.

Kepada anggota 3rd Force, afiliasi parti tidak penting. Ini adalah kerana majoriti daripada mereka tidak menganggotai mana-mana parti politik atau mereka telah kecewa dengan parti-parti yang mereka anggotai.

Misalnya, ramai ahli dan penyokong Perkasa dan MPM adalah ahli dan penyokong Umno. Mereka ini akan kembali menyokong Umno hanya jika pada pandangan mereka kepemimpinan dan dasar Umno telah berubah dan menepati aspirasi mereka.

Ini belum mengambil kira ahli dan penyokong Umno/BN yang tidak keluar mengundi pada PRU 2008 atau keluar mengundi tetapi merosakkan kertas undi atau menyokong pembangkang kerana “benci” terhadap Abdullah dan beberapa kerat anggota kabinet dapurnya.

Kaedah Pancing Undi

Selain itu, oleh kerana ramai pengundi PRU akan datang adalah pengundi muda, jentera dan taktik pilihan raya yang biasa mungkin tidak relevan dan tidak berkesan.

Dua aliran yang bertentangan sedang berlaku sekarang. Pertama, media massa arus perdana – cetak dan elektronik -- semakin kehilangan audiens. Kedua, audiens media berasaskan Internet semakin meningkat.

Majoriti khalayak media baru adalah generasi muda. Tetapi bilangan anggota generasi lama yang mendapat maklumat daripada Internet juga semakin meningkat.

Perangkaan terbaru ABC (Biro Audit Pengedaran/Audit Bureau of Circulation) menunjukkan majoriti akhbar arus perdana mengalami penurunan jualan yang ketara antara 2005 dan 2009.

Hanya Harian Metro, Kosmo, Sin Chew Daily, China Press, Oriental Daily dan The Sun sahaja yang mencatatkan peningkatan jualan. Sebahagian pembaca yang berhenti membeli akhbar kini membacanya atas talian (online).

Mengawal dan mengekalkan penonton TV dan pendengar radio adalah lebih sukar kerana bilangan saluran yang banyak dan audiens bebas menukar saluran apabila muncul berita yang tidak mereka gemari.

Mencari Pendekatan Baru

Secara sedar atau kebetulan, parti-parti politik nasional nampaknya telah mula mencari pendekatan baru untuk memahami ragam dan kecenderungan pengundi.

Barisan Nasional, misalnya, telah menghidupkan semula sistem keahlian terus yang pernah diamalkannya dengan harapan memikat sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi profesional yang jelak dengan parti-parti komponennya.

Justeru itu, adalah masuk akal jika Umno dan Pas mendengar dan bertindak terhadap ketidakpuasan NGO Melayu seperti Perkasa, MPM dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia serta memahami apa yang sedang berlaku di kalangan NGO bukan Melayu seperti Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan Cina, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia.

Sentimen ini telah disuarakan oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali pada 26 November lalu apabila beliau dilaporkan oleh Malaysian Insider sebagai berkata PR perlu mengadakan perbincangan dengan gabungan yang mewakili 3rd Force “untuk mengetahui matlamat sebenar gabungan itu ditubuhkan.”

Kesimpulannya, adalah tidak mustahil Kuasa Ketiga atau 3rd Force ini akan memainkan peranan penting menentukan trend pengundian dalam PRU akan datang, khasnya di kalangan pemilih muda dan pemilih parti yang berpaling tadah daripada BN kepada PR dalam PRU lalu.