Thursday, December 16, 2010

Malaysia Timur: Kuasa Ketiga yang SEBENAR dalam politik Malaysia

News image
Ya, pihak yang berjaya membentuk kerajaan persekutuan yang seterusnya dan sama ada ia akan menang dengan majoriti mudah atau majoriti dua pertiga bergantung pada Malaysia Timur. Penduduk Sabah dan Sarawak sedar akan hakikat ini. Jadi, bersedialah untuk beberapa kejutan dari Malaysia Timur dalam masa sebulan dua ini.

NO HOLDS BARRED

Raja Petra Kamarudin

Barisan Nasional tahu bahawa jika mereka mengadakan pilihanraya umum pada hari ini, ia mungkin menyebabkan parlimen tergantung. Ya, memang ramai yang tak bersetuju dengan ramalan saya, tapi mereka sebenarnya membuat penilaian berdasarkan emosi dan harapan palsu semata-mata.

Mari kita nilai keadaan secara rasional dan tanpa emosi.

Terdapat 57 kerusi parlimen di Sabah, Sarawak dan Labuan. Ini bererti bahawa hanya terdapat 165 kerusi parlimen di Semenanjung  atau Malaysia Barat.

Sekarang, Pakatan Rakyat ‘menguasai’ sekitar separuh daripada 165 kerusi di Semenanjung Malaysia – kira-kira 82 - 83 - dan separuh lagi dikuasai oleh Barisan Nasional. (Nota: hampir semua kerusi parlimen Pakatan Rakyat berada di Semenanjung Malaysia dan bukan di Malaysia Timur).

Ini bermakna bahawa tanpa Malaysia Timur, kita akan menyaksikan parlimen tergantung, seperti yang saya katakan beberapa hari yang lalu.

Jadi, siapa sebenarnya Kuasa Ketiga yang sudah banyak kali disebut sejak beberapa minggu yang lalu? Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM)? Tentu tidak! Menurut sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat, MCLM ni bukan kuasa ketiga, malah bukan suatu ‘kuasa’ pun.
Sebenarnya, Kuasa Ketiga yang dimaksudkan adalah pergerakan politik di Sabah dan Sarawak.

Di ketika semua orang menjadikan MCLM sebagai sasaran dan ingin menghancurkannya, mereka sebenarnya mengabaikan Kuasa Ketiga yang sebenar, iaitu Sabah dan Sarawak, yang dianggap sebagai ‘deposit tetap’ oleh Barisan Nasional.

Barisan Nasional tidak boleh lagi bergantung pada keadaan. Ini kerana ‘deposit tetap’ mereka pun dah tak selamat (kerana penduduk pribumi kini gelisah). Mereka perlu melakukan gerimander (manipulasi persempadanan semula) bagi memastikan bahawa mereka tidak hanya memenangi pilihanraya umum yang akan datang, tetapi menang dengan majoriti dua pertiga yang besar.

Namun untuk melakukan semua ini, mereka terlebih dahulu memerlukan majoriti dua pertiga di parlimen. Mereka memerlukannya sekarang, hari ini. Mereka akan memperoleh majoriti dua pertiga apabila mereka menggantung beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat, seperti apa yang mereka lakukan sekarang.

Bijak ke tak bijak?

Dalam dua tiga hari ni, iaitu apabila Barisan Nasional kembali mendapat majoriti dua pertiga, jangan terkejut jika mereka memperkenalkan beberapa perubahan drastik. Saya diberitahu bahawa sempadan kawasan pilihan raya yang baru sudah pun disusun, dan ia sudah semestinya berpihak pada Barisan Nasional. Tapi buat masa ni, mereka merahsiakannya. Setelah Barisan Nasional kembali memperoleh majoriti dua pertiga di parlimen, mereka akan meluluskan sempadan-sempadan baru itu, dengan kemungkinan tambahan beberapa kerusi.

Jika Barisan Nasional hanya ingin menyusun semula sempadan kawasan pilihanraya, mereka tak memerlukan majoriti dua pertiga. Ramai yang tak tahu akan hakikat ini. Mereka hanya memerlukan majoriti dua pertiga jika mereka ingin menambah kerusi parlimen.

Antara perkara yang mereka lakukan adalah meningkatkan jumlah anggota angkatan tentera. Ini seterusnya meningkatkan jumlah pengundi pos dan jika ahli keluarga mereka juga mengundi melalui pos, maka mungkin banyak undi akan berpihak pada Barisan Nasional.

RELA, yang hanya mempunyai sekitar setengah juta ahli tahun lalu, tiba-tiba mempunyai lebih daripada dua juta ahli. Pertambahan ini berlaku dalam masa hanya setahun. Ditambah dengan undi pos angkatan tentera, maka ini bermakna belum pun tarikh pilihanraya diumumkan, Barisan Nasional sudah pun memperoleh 2.5 juta undi.

Barisan Nasional bertekad untuk tidak hanya memenangi pilihanraya umum akan datang, tetapi mereka ingin menang dengan majoriti besar, seperti yang berlaku pada 2004, yang mana pembangkang hampir dihapuskan. Maka mereka menggunakan segala taktik kotor yang dapat difikirkan bagi memastikan ini berlaku.

Apa yang akan dilakukan oleh Sabah dan Sarawak? Adakah mereka akan kekal bersama Barisan Nasional? Adakah mereka akan beralih ke Pakatan Rakyat? Atau adakah mereka akan membiarkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bertarung, lalu menyebabkan parlimen tergantung, dan mereka kemudiannya memilih salah satu sebagai rakan dalam 'kerajaan perpaduan'?

Ya, pihak yang berjaya membentuk kerajaan persekutuan yang seterusnya dan sama ada ia akan menang dengan majoriti mudah atau majoriti dua pertiga bergantung pada Malaysia Timur. Penduduk Sabah dan Sarawak sedar akan hakikat ini. Jadi, bersedialah untuk beberapa kejutan dari Malaysia Timur dalam masa sebulan dua ini.

Saya akan berhenti di sini dahulu dan membiarkan anda dilanda saspen buat sementara waktu.