Friday, December 17, 2010

Khir Toyo belum bersalah

Oleh Subky Latif   

KETIKA gabungan NGO Selangor yang dipercayai didalangi Umno berarak ke Istana Sultan
Selangor dan ke Istana Negara mengadukan kononnya Menteri Besar
Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan kerajaan Pakatan Rakyatnya 
melakukan 30 penyelewengan, tiba-tiba sehari selepas menyerahan 
memo itu ke bawah duli Yang DiPertuan Agung dan dua hari selepas 
ia diserahkan kepada Sultan Selangor, bekas Menteri Besar Selangor, 
Datuk Seri Dr. Khir Toyo di hadapkan ke mahkamah kerana dikatakan 
memalsukan dua lot tanah dan ada kepentingan sebuah banglo besar 
di Shah Alam.


Tan Sri Khalid cuba dibabitkan dengan penyelewengan, tetapi Menteri Besar Umno itu 
sudah dibabitkan dengan mahkamah. Tan Sri Khalid belum ada fail tentang apa 
yang dikatakan  30 penyewengan itu, tetapi Dr. Khir Toyo didapati oleh SPRM layak 
didakwa di mahkamah.
Apa pun Dr. Khir belum bersalah walaupun dia sudah didakwa di mahkamah. 
Selagi mahkamah belum memutuskan dia bersalah, maka dia adalah bersih. Soal apakah 
dia dilihat bersih  atau sebaliknya adalah hal yang lain. Dari segi undang-undang dia belum 
bersalah.
Dr. Khir bukan Menteri Besar Selangor yang pertama didakwa di mahamah. 
Malang bagi Umno sejak merdeka ada saja MB atau bekas MB yang dibawa ke mahkamah. 
Yang pertama Datuk Harun Idris dan yang kedua adalah Tan Sri Mohamad Mohd. Taib.
Datuk Harun telah disabitkan dakwaan rasuah oleh mahkamah dan dia telah menjalani 
hukuman penjara. Setengah rakyat menolak keputusan mahkamah atasnya dan Umno 
terus mengundinya bagi menjadi Naib Presiden selepas dia dibebaskan.
Tan Sri Mohamad ditahan di Australia kerana membawa duit seberat 17 kilo. 
Mahkamah Australia telah membebaskannya. Atas kejadian itu dia melepaskan 
jawatan menteri besar. Selepas dibebaskan oleh mahkamah, dia yang didapati bersih 
itu diangkat menjadi Ketua Penerangan Umno oleh Presidennya Tun Abdullah Badawi 
dan sebelum Abdullah bersara, Tan Sri Mohamad menjadi menteri.
Sekarang giliran Dr. Khir pula. Dia baru dalam peringkat dakwaan. Pada peringkat 
ini dia melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkan di Dun Selangor. Seperti 
Tan Sri Mohamad dulu, dia melepaskan jawatan Menteri Besar apabila dia didakwa.
Kebanyakan Menteri Besar Umno Selangor dilihat tidak bersih tetapi yang diseret 
ke mahkamah tiga orang termasuklah Dr. Khir.
Sekalipun Dr. Khir dilihat tidak berapa bersih tetapi ia adalah persepsi. Kalau orang 
yang sudah didakwa di mahkamah tidak dikira bersalah selagi belum didapati bersalah 
oleh mahkamah, lagilah orang yang dilihat tidak bersih dan tidak didakwa di mahmakah 
lagilah tidak dikira bersalah.
Orang di luar mahkamah tidak layak membuat hukuman kepada orang yang sedang 
didakwa. Hanya hakim yang mengadilinya yang layak menentukannya bersalah atau tidak 
setelah mendengar keterangan saksi dan setelah mendengar pembelaan dirinya jika 
dia dipanggil untuk membela diri.
Kita tidak tahu mana lebih berat antara dakwaan yang dikenakan kepada 
Tan Sri Mohamad Mohd. Taib di Australia dulu dengan dakwaan yang dihadapkan 
kepada Dr. Khir.
Tetapi dengan 17 kilo duit tunai yang didapati dibawanya di lapangan terbang, ia 
dirasakan begitu banyak. Jumlah wang itu tidak diketahui tetapi berat duit kurang 
tiga kilo saja dari had berat bagasi yang dibenarkan bagi seorang penumpang.
Banyak yang mengagak Tan Sri Mohamad tidak akan terlepas. Lagi pun mahkamah 
Australia tidaklah dilihat seperti institusi kehakiman di Malaysia. Mahkamah dan 
hakim di Malaysia berdepan dengan imej yang uzur. Tidak ada anggapan mahkamah 
Ausstralia berdepan dengan persepsi itu.
Tiba-tiba mahkamah Australia membebaskan bekas Menteri Besar Selangor itu.
Apa pun mahkamah ada wibawa dan seninya sendiri. Jangan ada yang hendak 
memandai atas dakwaan Dr. Khir itu. Setakat ini, dimaklumkan, Tan Sri Gani Patail, 
Peguam Negara sendiri yang turun mendakwanya.
Dari segi politik sama ada Khir Toyo bebas atau dihukum, kedudukannya sudah tidak 
menentu. Jika Tan Sri Mohamad yang dibebaskan oleh mahkamah tidak diberi 
apa-apa perhatian oleh suasana politik yang ada, sedangkan dia adalah orang yang didapati 
tidak bersalah, maka bolehlah dikira payah bagi Dr. Khir untuk kembali ke arena politik 
seperti dulu.
Berapa lama kesnya berjalan tidak diketahui. Tetapi keputusannya mungkin diketahui 
pada masa pilihan raya kecil tidak layak diadakan menjelang tempoh tertentu pilihan 
raya umum. Kalau keputusan mahkamah itu dibuat sebelum tempoh itu, maka SPR 
terpaksa pula membuat persiapan pilihan raya kecil jika ia tidak memihak kepada yang dituduh.