Monday, December 13, 2010

Tukar Kerajaan.....Tolak Cukai!

DAP Sarawak hari ini membantah rancangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala yang dikatakan memujuk kerajaan untuk memperkenalkan cukai penggunaan petrol dan diesel yang bakal dikenakan kepada pengguna. Cadangan cukai sebanyak 58 sen untuk satu liter petrol dan diesel itu sedang diteliti oleh jemaah menteri untuk diperkenalkan tahun hadapan.
Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif untuk Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Pemandu adalah badan berkanun yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Setiausaha DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa Idris yang juga anak negeri Sarawak sebagai ’penghisap darah’ rakyat sejak dirinya dilantik ke jawatan menteri itu dengan banyak cara. Malah, Chieng Jen juga mendakwa sejak Idris dilantik menjadi CEO MAS, beliau juga menaikkan tambang, caj perkhidmatan dan harga surcaj minyak yang menyebabkan harga tiket MAS melambung melebihi 20 peratus dalam masa kurang dua tahun.
Beliau juga yang merupakan ahli Parlimen DAP bagi bandaraya Kuching turut menggesa Idris supaya sedar bahawa produk dan bahan-bahan asli seperti minyak mentah sepatutnya digunakan untuk kebaikan rakyat dan tidak sepatutnya dibebankan dengan pelaksanaan cukai.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ada menyebut bahawa kerajaan tidak bercadang melaksanakan cukai berkenaan tetapi Chieng Jen menolaknya di atas alasan kerajaan hanya menangguhkannya kerana risiko pilihanraya umum akan datang yang sudah dilihat menghampiri.
Pada tahun ini, kerajaan telah menaikkan harga minyak dua kali untuk minyak bersubsidi RON95 iaitu 5 sen masing-masing pada bulan Julai dan Disember. Kerajaan dijangkakan akan menaikkan harga minyak petrol dan diesel sehingga 20 sen sebelum pertengahan tahun hadapan.Sekiranya cukai ini dikenakan, pengguna petrol RON95 perlu membayar sehingga RM2.48 untuk seliter minyak (kini harga petrol ialah RM1.90 seliter)
Chieng Jen yakin cara mengelakkan kenaikan harga minyak ini boleh dilakukan dengan menolak kerajaan hari ini pada pilihanraya umum nanti. Pengurangan subsidi yang berterusan dengan jumlah penggajian hari ini di dalam sektor awam dan swasta yang tidak bergerak sejajarnya sememangnya memberi tekanan sosial dan kewangan kepada rakyat.

Chieng Jen sekali lagi mendesak kerajaan mengurangkan subsidi mereka kepada pengusaha tenaga bebas atau IPP. Pemilik IPP dikatakan adalah kroni kepada BN yang memperolehi subsidi besar dari kerajaan sebanyak RM10 bilion setahun.
Tindakan mengurangkan subsidi kepada rakyat Malaysia disifatkan tindakan licik kerajaan BN untuk mengekalkan subsidi kepada kroni-kroninya yang mengusahakan IPP. Dengan sinisnya, Chieng Jen bertanya semula mengenai sejauh mana relevannya slogan Najib mengenai rakyat didahulukan.