Saturday, January 21, 2012

Sejak Dulu Aku Merungut Masalah Terlalu Banyak Cuti Di Malaysia..Anda Bagaimana?

"Fed Up" Tapi Kena peduli Juga

A Kadir Jasin

PEMBAHAS “Fed Up” kata dia sudah bosan (fed up) dengan cerita politik. Dia minta saya tulis balik mengenai ekonomi yang sudah lama saya tidak tulis. Apa kata, kalau saya kata, saya “fed up” dengan isu-isu ekonomi?
Kalau Saudara “Fed Up” bosan dengan politik, saya pun berhak untuk berasa “fed up” dengan ekonomi. Ada pembahas marah dan sergah saya apabila saya kritik ekonomi kita yang kurang produktif kerana terlalu banyak cuti dan asyik naik gaji.
Ini bukan soal saya sebagai usahawan, kapitalis, majikan dan pekerja (saya pun makan gaji juga), tapi soal ekonomi dan produktiviti. Kita ambil contoh yang mudah. Bulan Januari ini ada 31 hari. Tolak cuti mingguan dan cuti umum, tinggal 19 hari saja hari kerja, tapi gaji tetap sebulan. Yang kerja lebih masa pada hari cuti umum dapat gaji dua kali hingga tiga kali ganda.
Gaji 31 hari, tapi produktiviti 19 hari saja. Bulan Februari ada 29 hari. Cuti mingguan lapan hari. Cuti umum atau ganti cuti umum yang jatuh pada cuti hujung minggu tiga hari (bagi Wilayah Persekutuan). Campur semua jadi 12 hari. Hari kerja tinggal 17 hari. Gaji 29 hari, tapi produktiviti 17 hari saja.
Cuti Jejas Produktiviti
Dengan macam-macam pihak tuntut cuti umum bagi perayaan masing-masing, tidak hairanlah kalau kita lebih banyak bercuti daripada bekerja. Saya tidak tahu macam mana kita hendak jadi negara berpendapatan tinggi kalau asyik cuti saja.
Itu belum ambil kira cuti tahunan, cuti sakit, cuti belas kasihan, cuti kecemasan, cuti bersalin, cuti isteri bersalin, cuti buat amal ibadat dan cuti memang bola sepak. Nasib baik sukan kita tak cemerlang, kalau tidak lagi banyak cuti kemenangan.
Walaupun cuti umum Malaysia hanya 14 hari, tapi negeri-negeri ada cuti mereka masing-masing. Di banyak negara, kalau cuti umum jatuh pada hujung minggu, ia tidak diganti dengan hari kerja.
Antara Ekonomi Kasar dan Bersih
Kerajaan kata ekonomi kita kukuh dan berkembang pesat, tetapi ahli ekonomi dan agensi antarabangsa kata ekonomi Asia, termasuk kita, China dan India makin lemah kerana krisis ekonomi Eropah dan Amerika.
Saya pun tidak pasti selepas ditolak pertumbuhan yang tidak produktif macam rumah, kedai dan pejabat yang tidak laku dijual atau disewa, berapa peratus sebenarnya pertumbuhan ekonomi bersih.
Itu belum diambil kira lagi gaji pekerja asing yang dihantar balik ke negara masing-masing, hasil eksport yang disimpan di luar negara dan keuntungan syarikat asing yang dihantar balik ke negara masing-masing.
Kemudian pengaliran keluar wang gelap oleh sindiket jenayah daripada penyeludup dan pengedar dadah, kepada penyeludup manusia, penganjur judi haram, pengusaha pelacuran, kegiatan rasuah dan perlindungan.
Bulan lepas, Global Financial Integrity (GFI), sebuah badan bebas yang membentuk dasar kebangsaan dan pelbagai hala dan melindungi perjanjian antarabangsa bagi menyekat pengaliran haram mata wang, telah mengeluarkan sebuah laporan mengenai pengaliran haram mata wang antara tahun 2000 dan 2009.
Dalam laporan itu, ia menganggarkan yang negara membangun kerugian AS$903 bilion (kira-kira RM1,989.9 bilion) pada tahun 2009 saja. Antara tahun 2000 dan 2009, negara-negara membangun kerugian AS$8.44 trilion (RM27.8 trilion).
Lima buah negara yang paling teruk mengalami pengaliran haram mata wang adalah China, Mexico, Rusia, Arab Saudi dan negara kita, Malaysia.
Pengaliran haram daripada negara kita adalah sebanyak AS$22.2 bilion (RM67.7 bilion) pada tahun 2000 dan melonjak kepada AS$68.2 bilion (RM208 bilion) pada tahun 2008.
Saya pun hairan apa tindakan Bank Negara, Perbendaharaan dan Bahagian Jenayah Perdagangan PDRM. Yang kita takutkan ialah ahli perniagaan, usahawan dan tauke-tauke kita menggunakan saluran haram untuk membawa keluar wang dan kekayaan mereka. Mereka perah negara kita tapi hantar keluar kekayaan mereka ke negara-negara lain.
IPO dan Pinjaman Mudah
Itu kita belum cerita lagi buruk-baik cadangan IPO cawangan komersial Felda. Yang pasti akan ada pihak yang akan membuat berjuta-juta ringgit keuntungan modal (capital gain), komisen dan pendapatan yuran (fee income) macam bila Sime Darby telan Guthrie dan Golden Hope beberapa tahun lalu.
Kerajaan boleh bagi pinjaman mudah (cheap loans) beratus-ratus juta ringgit kepada pihak-pihak istimewa, tetapi ramai usahawan kecil dan sederhana Bumiputera melarat sejak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dihapuskan.
Kesimpulannya, kalau Saudara Fed Up bosan dengan politik, saya bosan dengan cakap-cakap mengenai ekonomi. Tetapi, macam kita tidak boleh lari daripada politik, maka kita juga tidak boleh lari daripada ekonomi. Suka tidak suka, kita kena ambil tahu dan kena ambil bahagian.
Wallahualam.