Saturday, June 25, 2011

Satu lagi projek Rent-Seeking? RM2b lagi setelah RM1.4b habis digunakan

Inilah salah satu lagi projek sakit kerajaan BN yang rakyat tidak tahu, dan memang tidak pernah ambil peduli, sedangkan rakyat yang menanggung akibat dari pembahagian harta negara sewenang-wenangnya......

Neo Chee Hua


Menurut laporan Business Times Singapura yang disiarkan pada 16 Jun 2011, CIMB Bank secara rasmi mengambil alih Asia Petroleum Hub Sdn Bhd, yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO.  Ini kerana syarikat ini telah menghabiskan pinjaman RM1.4 bilion dari CIMB, namun gagal menyempurnakan projek Asia Petroleum Hub, malah merancang untuk mengumpul RM2.0 bilion lagi untuk mengisi lubang hitam perbelanjaan.
Asia Petroleum Hub ialah satu projek mega yang mengambil tempat di Wilayah Pembangunan Iskandar, selatan Johor (berdekatan dengan Tanjung Pelepas).  Mengikut rancangan asal, projek bernilai RM1.4 bilion ini memiliki kemudahan pelabuhan pelbagai jenis - mampu mengendalikan kapal pelbagai skala, dengan bilangan 3,000 kapal setahun, dan 30 juta tan produk petroleum.
Dalam satu kenyataan pada Julai 2007 oleh Asia Petroleum Hub Sdn Bhd, projek ini pada asalnya dijangka siap pada tahun 2009.  Namun demikian, penyempurnaan projek berkenaan belum mencecah 65% sehingga hari ini, dan RM1.4 bilion telah habis digunakan.
Kos pembangunan Asia Petroleum Hub secara keseluruhannya bergantung kepada kemudahan yang ditawarkan CIMB.  Business Times memetik sumber dalaman bahawa CIMB menawarkan bridge loan selama tiga tahun, bernilai RM1.4 bilion kepada Asia Petroleum Hub Sdn Bhd pada tahun 2006.
Lebihan kos sekurang-kurangnya RM2 bilion
Sebagaimana yang diketahui, Asia Petroleum Hub Sdn Bhd telah mengeluarkan RM840 juta pada tahun 2009 untuk membayar kos perbelanjaan projek tersebut.  Tetapi, kos projek tersebut terus melonjak, mengakibatkan kosnya melebihi anggaran RM1.4 bilion sebelumnya.
Menurut sumber, sehingga penghujung tahun 2010, tunggakan perbelanjaan modal (accumulate capital expenditure) termasuk faedah pinjaman telah melebihi RM1.4 bilion, namun projeknya hanya siap sehingga 64%.  Oleh sebab modal yang dikumpulkan gagal untuk menampung perbelanjaan, maka Asia Petroleum Hub Sdn Bhd merancang untuk mencari pelabur agar RM2.0 bilion disuntik lagi untuk mengisi "lubang hitam" yang tidak berpenghujung.  Dengan kata lain, projek yang pada asalnya dianggarkan RM1.4 bilion kini telah mengalami lebihan kos sekurang-kurangnya 142% (atau bersamaan RM2.0 bilion)!
Pada dasarnya, adalah sesuatu yang lumrah apabila berlaku lebihan kos dalam projek pembangunan kerajaan, terutamanya GLCs atau mereka yang merentir (rent-seeking) kerana hubungan yang rapat dengan UMNO atau BN - adalah "pakar" dalam hal "lebihan kos".
Terlalu besar untuk gagal
Di bawah kerangka merentir ini, "kos yang tinggi" ini biasanya diselindungi dengan pelbagai projek pembangunan, disalurkan ke dalam poket parti politik, institusi, korporat dan individu tertentu, melalui pelbagai cara.  Ia adalah hasil daripada politik naungan (Political Patronage) yang diamalkan kerajaan UMNO-BN - menggunakan kerajaan atau institusi kewangan yang dikuasai kerajaan sebagai tiangnya untuk menyokong kepentingan ekonomi kroni.
Disebabkan sokongan kerajaan di sebalik tabir, maka perentir (rent-seeker) ini bersikap untuk membazir sewenang-wenangnya.  Terlalu besar untuk gagal (Too big to fail) - kerana mereka percaya bahawa kerajaan akan menghulurkan tangan agar projek itu diselamatkan pada akhirnya.  Dan sikap inilah yang menyebabkan kegagalan banyak projek mega pada akhirnya.
Projek Asia Petroleum Hub adalah permainan rent-seeking yang tebal dengan politik naungan, berlegar-legar di keliling mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO.
Rent-Seeking dan politik naungan
Pemilik projek ini, iaitu Asia Petroleum Hub Sdn Bhd pada asalnya adalah syarikat yang dimiliki KIC Oil & Gas Group of Companies (KIC) dan Trek Perintis Sdn Bhd (yang dikawal UMNO).  KIC memegang 90% saham, dan 10% selebihnya dipegang Trek Perintis.
KIC adalah terminal service provider di Malaysia, diasaskan oleh Abdul Rashid Mohd Isa Al-Qadiry dan Faidzan Hassan Al-Qadiry, yang kini merupakan pemegang saham terbesar.  Trek Perintis pula adalah syarikat proksi UMNO yang dikuasai Abdul Azim Zabidi, Bendahari UMNO ketika zaman Abdullah Ahmad Badawi menerajui UMNO.  Azim dilantik pada zaman Abdullah untuk mengurus harta di bawah UMNO.
Abdullah Ahmad Badawi menjadi Penaung Amanah Al-Wariseen, tabung amanah yang digerakkan Kumpulan KIC.  Pada masa yang sama, Reezal Merican Naina Merican, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, juga bekas Setiausaha Politik Abdullah, adalah nama yang muncul dalam lembaga pengarah tabung amanah tersebut.
Rombakan struktur saham
Namun, menurut laporan New Straits Times pada 14 September 2007, selepas satu rombakan struktur saham, pegangan saham KIC dalam Asia Petroleum Hub Sdn Bhd berkurang dari 90% kepada 40%, dan saham pegangan Trek Perintis telah bertambah dari 10% kepada 20%.
Pada masa yang sama, dua syarikat iaitu Seaport Terminal Sdn Bhd dan Teori Selatan Sdn Bhd bangkit untuk menjadi pemegang saham Asia Petroleum Hub, masing-masing memegang 35% dan 5% saham.  Seaport Terminal Sdn Bhd dimiliki Syed Mokhtar Al-Bukhary (gambar kiri), usahawan terkenal yang sering dikaitkan dengan UMNO, sementara Teori Selatan pula adalah sebuah syarikat persendirian yang dikawal oleh Tunku Ibrahim Ismail (Sultan Johor sekarang) yang pada ketika itu Tunku Mahkota.
Pendek kata, Kumpulan KIC telah mengagihkan 50% saham pegangannya dalam Asia Petroleum Hub Sdn Bhd kepada istana Johor, UMNO dan Syed Mokhtar yang berhubungan rapat dengan UMNO.
Hubungan kontaktor dengan UMNO
Di samping itu, maklumat menunjukkan bahawa kontraktor yang menerima projek ini tidak kurang datang dari mereka yang berhubungan rapat dengan UMNO.  Senarai kontraktor seperti berikut, ZAQ Construction Sdn Bhd, Mott MacDonald Sdn Bhd, Nam Fatt Corporation Bhd, Kencana Petroleum Bhd, Muhibbah Engineering Bhd dan Qi-PMC Sdn Bhd.
Asia Petroleum Hub Sdn Bhd adalah kontraktor utama projek ini, dan ZAQ Construction Sdn Bhd adalah Managing Contractor, bertanggungjawab untuk melantik dan mengagihkan projek kepada sub-kontraktor.  Bos dan Pengarah ZAQ Construction ialah Zainal Rafique, adik beradik kepada Zamani Rafique, iaitu seorang lagi Pengarah.  Seorang lagi adik-beradik mereka, Zulkifly Rafique adalah pengasas firma guaman Zul Rafique & Partners - antara orang rapat Perdana Menteri Najib Razak.  Najib merombak semula harta parti dan memasukkannya di bawah Temasek Padu, dan melantik Zulkifly untuk menjaga syarikat ini.
Qi-PMC Sdn Bhd dan ZAQ Construction mempunyai struktur pegangan saham yang sama, dan Zamani sebagai Pengarah ZAQ Construction, juga salah seorang pengarah Qi-PMC.  Apa yang menarik, Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan ketika zaman Abdullah menyandang jawatan PM, adalah adik beradik Zulkifly.  Zulhasnan juga dilihat sebagai orang rapat Abdullah Ahmad Badawi (gambar kanan).
Nam Fatt Corporation Bhd, Kencana Petroleum Bhd dan Muhibbah Engineering Bhd adalah sub-kontraktor dalam projek ini.  Antaranya, Kencana Petroleum adalah syarikat tersenarai yang dimiliki Mokhzani Mahathir, anak kepada mantan PM Mahathir Mohamad.
Sub-kontraktor menjadi mangsa
Jika dilihat kepada perkembangan akhir projek Asia Petroleum Hub, tidak kurang sub-kontaktor yang menjadi mangsa kepada skandal kewangan projek ini.  Antaranya, Muhibbah Engineering Bhd memaklumkan kepada Reuters baru-baru ini, bahawa hutang setinggi RM370.8 juta masih belum dibayar kepada syarikatnya, sehingga akhir tahun 2010.
Selain itu, Nam Fatt Corporation Bhd juga menyaman ZAQ Construction melalui tribunal dan menuntut agar ZAQ membayar hutangnya.  Sebagaimana yang diketahui, ZAQ memberi dua kontrak kepada Nam Fatt Corporation Bhd, yang jumlahnya bernilai RM550.3 juta.  Menurut kenyataan Nam Fatt Corp. Bhd, ZAQ belum menjelaskan hutang sejumlah kira-kira RM39 juta sehingga akhir tahun 2010, dan Nam Fatt menuntut pampasan RM65.86 juta daripada ZAQ Construction.
RM1.4 bilion hilang entah ke mana?
Menurut jumlah hutang yang didakwa dua sub-kontraktor di atas, projek Asia Petroleum Hub ini sekurang-kurangnya memikul hutang RM400 juta (tidak termasuk pampasan kerugian kontaktor).  Mengapa satu projek yang mendapat pinjaman RM1.4 bilion dari CIMB gagal menjelaskan hutang RM400 juta?
Kini, adalah menjadi satu tanda soal, sama ada RM1.4 bilion yang pada asalnya digunakan untuk menampung kos pembinaan - dihabiskan kerana lonjakan kos, atau disalurkan ke dalam poket rent-seeker?
Apa yang pasti, projek yang belum diselesaikan (dijangka hanya selesai 64%) ini memerlukan lebih banyak dana untuk diteruskan.  Menurut laporan media, pelaburan RM2.0 bilion diperlukan lagi untuk memenuhi keperluan kos pembinaan.  Namun demikian, persoalan pokoknya, adakah RM2.0 bilion ini mampu menutup lubang hitam yang tiada penghujungnya?
*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 21 Jun 2011.

Kalau Hanya Mencari Nama!

NGO Muslim tarik diri dari sertai Flotilla II
Ismail Hashim   
 SHAH ALAM, 24 Jun: Dewan Pemuda PAS menegaskan tidak akan menghantar wakil untuk menyertai Flotilla II dan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia.
Ketua Penerangannya, Ustaz Riduan Mohd Nor berkata, meski dipujuk oleh pihak terbabit untuk bersama dengan Flotilla II, namun Pemuda PAS enggan.
Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily petang ini, Riduan berkata, pihaknya akan membantu rakyat Palestin dalam bentuk lain dan tersendiri.
"Kami hanya enggan sertai flotilla II ini tetapi Pemuda PAS akan bantu melalui kaedah lain dan kami akan mengelak diri dari dimanipulasi oleh Umno BN.
"Banyak pihak menyifatkan misi kali ini cuba dikudatunggangi BN yang ingin mewajahkan mereka mesra Palestin sedangkan sudah RM154 juta mereka bayar pada APCO," tegasnya.
Beliau mengesahkan Ketua  Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi telah dihubungi oleh Pengerusi LL4G, Dr Noorazman Shamsudin melalui panggilan telefon, semalam.
Dalam pada itu, sehingga petang ini semua NGO Muslim yang merintis LL4G untuk menjayakan Flotilla II telah menarik diri.
Setelah Muslim Care Malaysia dan Cakna Palestin secara rasmi menarik diri pada 22 dan 23 Jun, dimaklumkan hari ini Public Campaign to Protect Palestine (PC2P) - Aman Palestine pula akan menarik diri secara rasmi.
Sementara itu ketika dihubungi, Pengerusi Haluan Palestin, Dr Syed Muhamad Haleem Syed Hassan mengesahkan Haluan Palestin tidak bertanggungjawab di atas apa-apa tindakan Noorazman kerana beliau  tidak mewakili Haluan dalam LL4G Malaysia ataupun Flotilla II.
Jelasnya, kepimpinan tertinggi Haluan telah membuat keputusan rasmi pada hujung April 2011 bahawa Haluan tidak menyertai LL4G Malaysia dan Flotilla II dan Noorazman juga telah dinasihatkan  tidak terlibat.
Menurut Dr Syed Muhamad, penglibatan Norazman dalam LL4G dan Flotilla sekarang ini adalah atas kapasiti individu dan bukan sebagai wakil Haluan.
Sementara itu, Muslim Care pula memaklumkan sedang membuat persiapan untuk misi bantuan ke Gaza melalui Rafah.
Misi ini kemungkinan akan turut disertai oleh Cakna Palestin dan NGO serta beberapa pihak lagi.

Pendakwaan trio Umno satu konspirasi?

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 25 Jun: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada prosiding kes melibatkan trio Umno Datuk T di Mahkamah Majistret yang sudah tertangguh hampir tiga bulan, tetapi dapat diselesaikan semalam sebahagian daripada konspirasi bersama Peguam Negara dan pihak polis.
“Apa yang berlaku di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur (semalam) dalam kes (trio Umno) Datuk T trio dan seks video Sri Carcosa merupakan salah guna proses mahkamah, menyebabkan proses kehakiman negara menjadi bahan ketawa.
“Misalnya, terdapat satu testimoni seorang pakar bahawa orang lelaki dalam video seks itu 99.99 peratus adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” selar Kit Siang, sambil menyoal kredibiliti testimoni pakar tersebut apabila ia tidak dicabar oleh sebarang kenyataan oleh para pakar yang lain.
“Ini menyebabkan testimoni tersebut menjadi akuan satu belah yang tidak lebih daripada khabar cakap,” tambah beliau.
Semalam, trio Umno atau Datuk T mengaku bersalah mengedarkan video lucah dan masing-masing didenda antara RM3,000 hingga RM1,000 setiap seorang.
Ketiga-tiga mereka, bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik didenda RM1,000;  Datuk Shazryl Eskay Abdullah RM3,000 manakala bekas bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim RM1,500.
Namun, bagi Kit Siang, apa yang melucukan pada prosiding di Mahkamah Majistret pagi semalam ialah cara Datuk T menjustifikasikan jenayah mereka kononnya demi kepentingan negara.
“Apa yang boleh lebih penting untuk negara selain memperjuangkan pembasmian rasuah, terutamanya budaya rasuah semasa pemimpin negara apabila Indeks Rasuah Ketelusan Antarabangsa (Transparency International) menunjukkan kejatuhan teruk dari tangga 23 di 1995 ke 56 dalam masa 11 tahun,” bidas Kit Siang.
Bahkan, kata beliau, trio Umno itu dilayan seperti VVIP, dan dibenarkan untuk meninggalkan mahkamah tanpa membayar duit denda yang dikenakan.
Kit Siang, yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, turut menyoal Peguam Negara sama ada beliau bersetuju bahawa ia adalah relevan untuk mengurangkan hukuman terhadap sesiapa saja, sama ada mencuri dokumen atau melanggar Akta Rahsia Rasmi, sekitanya jenayah itu dilakukan dengan tujuan murni seperti mendedahkan rasuah besar melibatkan menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin dalam kerajaan.
“Soalan yang saya hendak ajukan ialah sama ada Peguam Negara dan polis adalah sebahagian daripada konspirasi dalam salah guna kuasa proses mahkamah trio Datuk T yang menyebabkan kelewatan tiga bulan dalam mendakwa mereka supaya kononnya ‘testimoni pakar’ dapat disiapkan dan dilaporkan ke mahkamah untuk menuduh bahawa orang di dalam seks video Carcosa ialah Anwar,” soal Kit Siang.
Jika ya, beliau berkata kedua-dua Peguam Negara dan Ketua Polis Negara harus menjelaskan mengapa mereka kompromi dalam kebebasan, profesionalisme dan integriti pejabat mereka dengan melibatkan diri dalam permainan politik trio Umno Datuk T dan ketua-ketua mereka dalam Umno.

Lynas: Kami mahu menyumbang, bukan rosakkan


Lynas Corporation Ltd, dari Australia, yang kini terjebak di dalam keadaan kontroversi berkaitan cadangan pembinaan kilang nadir bumi di Gebeng, Pahang, menyatakan ia mahu menjadi penyumbang positif kepada komuniti dan bukan dilihat sebagai datang ke negara ini dan merosakkannya.

Pengerusi Eksekutifnya, Nicholas Curtis, yang tidak menjangka tentangan yang dihadapi lebih besar dari jangkaan, memberitahu Bernama bahawa beliau menyambut baik teguran membina oleh pihak yang bimbang mengenai isu itu kerana terdapat terlalu banyak penyebaran maklumat yang salah.

Adalah dilaporkan bahawa kontroversi mengenai pembinaan kilang oksida nadir bumi bernilai RM700 juta oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd di Estet Perindustrian Gebeng, itu telah mencetuskan dakwaan bahawa ia akan mengeluarkan radiasi yang membahayakan kesihatan orang ramai.

Curtis bersetuju bahawa Lynas gagal menyalurkan maklumat secara aktif kepada komuniti.

"Saya raya saya juga bertanggung jawab kerana tidak cukup menjelaskan kedudukan kami. Kami ingat kami telah melakukan yang mencukupi untuk meredakan tentangan dengan memberikan penjelasan kepada para pengawal aturan mengenai apa yang perlu kami lakukan bagi mendapatkan kelulusan apabila obligasinya lebih daripada itu terhadap komuniti," katanya.

Katanya kerajaan telah bertindak secara bertangggung jawab dengan tidak bertolak ansur mengenai isu kesihatan dan keselamatan.

"Kami tidak mahu menyebabkan kerosakan terhadap komuniti. Kami mahu memastikan industri itu selamat. Kami tidak berkomunikasi secara berkesan di dalam isu itu," katanya.

Katanya urusan nadir bumi sebenar adalah sangat baik bagi masa depan kerana ia menjuruskan kepada pengeluaran bahan bagi penggunaan sains dan teknologi, yang termasuk teknologi hijau dan adalah industri yang baik bagi Malaysia ke arah mencapai Wawasan 2020.

Adalah difahamkan bahawa nadir bumi adalah elemen utama di dalam bahan canggih di segi teknologi, di dalam pembuatan kepelbagaian produk yang meluas, yang termasuk pengubah pemangkin, turbin angin, bateri kereta hibrid, pemacu cakera, telefon mudah alih dan paparan skrin rata.

Sehubungan itu, urusannya yang sebenar mempunyai potensi yang besar untuk menjadi satu wadah bagi mewujudkan rantaian nilai masa depan bagi membina kluster industri bernilai tambah akan datang yang akan dibina di sini.

"Wujud peluang yang menerujakan bagi membina satu kluster industri berteknologi tinggi seperti automotif, elektronik yang selari dengan pelan 2020," kata Curtis.

Katanya Malaysia adalah satu tempat yang baik untuk datang melabur dan Gebeng mempunyai infrastruktur yang perlu bagi industri berat.

"Kami memilih untuk datang ke Malaysia. Kami telah membuat pilihan untuk mengkaji tapak di Australia dan juga tempat lain seperti China. Oleh kerana kami aktif dalam perniagaan global, kami memilih Malaysia kerana infrastrukturnya telah lengkap dibangunkan dan peraturannya adalah jelas," katanya.

Curtis berkata standard Malaysia dikenali sebagai paling ketat di dunia yang memerlukan satu lesen bagi sebarang bahan yang mempunyai sebarang paras radiasi.

Syarikat itu juga memilih untuk datang ke Malaysia walau pun mengetahui reaksi komunitinya terhadap insiden Asian Rare Earth (ARE) Bukit Merah pada awal 1990'an.

"Kami merasakan persekitaran pengawal atur mengetahui mengenai risiko dan paras profesional di sini adalah tinggi. Jadi, kami boleh menjelaskan secara berkesan dengan para pengawal atur. Kami juga mengetahui bahawa bahan kami secara fundamentalnya berbeza dengan yang di Bukit Merah," katanya.

Syarikat itu sebelum ini menekankan bahawa bahan mentah itu akan disumberkan dari Mount Weld di Australia tidak sama berbanding yang diproses di Bukit Merah.

Amang yang diproses di Bukit Merah mengandungi paras tinggi thorium, yang menjadi sumber radiasi, manakala Lynas menggunakan bahan mentah yang lazimnya mempunyai paras thorium yang rendah, iaitu 50 kali lebih rendah dari amang yang digunakan oleh ARE.

"Kami tidak mahu merosakkan komuniti. Kami mahu menjadi penyumbang positif kepada komuniti," kata Curtis, sambil memastikan bahawa aspek keselamatan sangat dititikberatkan oleh Lynas.

Lynas mengumumkan pada April bahawa pembinaan Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) telah mencapai peringkat 40 peratus dan berada pada landasan disiapkan menjelang September 2011.

Bagaimana pun, kebimbangan orang ramai yang meluas mengenai keselamatan projek itu telah mendorong kepada pelantikan panel bebas pakar antarabangsa untuk menyemak semula kesemua aspek kesihatan dan keselamatan projek itu.

Panel pakar yang dilantik oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah membuat lawatan tapak dari 29 Mei hingga 3 Jun dan laporannya akan dikemukakan kepada kerajaan menjelang akhir bulan ini.

Curtis berkata Lynas akan akur sepenuhnya dengan keputusan IAEA dan syarikat itu akan sentiasa menunjukkan bahawa ia bersikap jujur dengan apa yang telah dinyatakannya.

--Bernama