Saturday, May 19, 2012

Siapa Lagi Pemimpin BN Selepas Ini?

Anak Nong Chik dapat projek RM30 juta?

KUALA LUMPUR 17 Mei: Belum reda skandal projek lembu kebangsaan yang diseleweng keluarga bekas Menteri Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil melibatkan RM250 juta wang rakyat, kali ini satu lagi pendedahan membabitkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Zainal Abidin.
Ironinya kedua-dua pimpinan Umno ini sinonim dengan Lembah Pantai.
Menurut blog anaksungaiderhaka, pada 24 Ogos 2010, sebuah syarikat dengan nama Istijuara Sdn Bhd diberikan kontrak kerajaan berjumlah RM30,800,000 oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Syarikat itu dilaporkan dimiliki Nong Chik dan ini bukan satu-satunya projek yang dianugerahkan kerajaan kepada syarikat beliau.
Anak perempuan Nong Chik, Raja Farhana, 26, disenaraikan sebagai salah seorang daripada dua pengarah syarikat.
Dilaporkan, beliau memiliki 399.999 daripada 400,000 unit saham. Bermakna, secara praktikal, beliau adalah pemilik tunggal syarikat dengan pengarah yang lain hanya memiliki satu saham.
Syarikat itu yang ditubuhkan hampir 20 tahun lalu semasa Raja Farhana masih di darjah satu, mempunyai kerugian dibawa ke hadapan berjumlah kira-kira suku juta dan liabiliti semasa kira-kira RM400,000 terhadap aset semasa, sumber dipetik.
Pendedahan lebih lengkap dengan lebih banyak dokumen sila lihat di sini.

Sambutan Hangat Di Kawasan Sendiri Buat PM?

Najib pulang tergesa2, majlis di Pekan tak dapat sambutan

KUALA LUMPUR 17 Mei: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa pulang tergesa-gesa apabila majlis perasmian Karnival Belia Pekan yang dirasmikannya gagal mendapat sambutan.
Sasaran 10,000 kehadiran meleset dengan kira-kira hanya 5,000 sahaja ke majlis tersebut yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Merujuk Buletin Online, saksi seorang pegawai tinggi swasta dilapor berkata, Najib meninggalkan majlis sebelum sempat menjamah jamuan petang di Dewan Majlis Daerah Pekan pada 12 Mei lalu itu.
“Majlis bermula jam 3.00 petang dijangkakan kehadiran 10,000 tapi yang hadir kurang 5,000.
“Selepas perasmian dan penyampaian hadiah, PM sepatutnya bersama ke jamuan petang, tapi PM tergesa-gesa berangkat pulang,” katanya yang tidak mahu dikenali.
Beliau menyifatkan tindakan Najib itu membazir kerana meninggalkan majlis jamuan tersebut dan mungkin satu petanda BN akan tersungkur pada pilihan raya umum akan datang.
“Apa jadi jamuan yang disediakan berpuluh-puluh meja, (akhirnya) cuma tiga meja penuh iaitu satu (meja) YAB MB (Datuk Seri Adnan Yaakob), satu meja orang awam, (dan) satu (meja lagi untuk) pemberita.
“Selebihnya kosong dan yang luar dewan juga kosong,” jelasnya menambah, majlis penyerahan tajaan karnival tersebut kepada Najib juga terpaksa dibatalkan.

Thursday, May 17, 2012

Semua Perkara Mahu Skodeng Ke???

Annuar: 'FAM, tunjuk apa salah saya'
Noor Hafiza Che Abdullah
17 Mei 2012
Annuar: 'FAM, tunjuk apa salah saya'
Tan Sri Annuar Musa
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, yang digantung dua setengah tahun dan semalam diberi amaran oleh badan itu, mempersoalkan 'tindakan terbaru' dikenakan ke atas beliau.

"Di mana salahnya?" soal Annuar dalam reaksinya dipetik dari laman sosial Facebooknya.

Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) membidas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak yang memberi amaran keras kepada beliau agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti bola sepak.

Malah menurut beliau, sikap sedemikian juga menunjukkan badan induk itu cuba mengganggu fokus Kafa dalam usaha menjuarai  Piala FA, Sabtu ini.

"Ada pihak yang tidak senang hati melihat kemunculan saya di TV, malah mempertikaikan kenapa saya masih lagi hadir di Majlis rasmi.

"Lagipun titah Presiden FAM sebelum ini, 'This is a free country, and I'm a free citizen', jadi apa masalahnya?" kata Annuar.

Pandangan Annuar merujuk kepada kenyataan Taufik yang menyatakan beliau telah melanggar keputusan jawatankuasa tatatetib dengan menghadiri satu majlis perasmian penjualan tiket final Piala FA dan pelancaran CD Dikir Warriors di kafe The Red Warriors di Kota Bharu, kelmarin.

Beliau menegaskan bahawa majlis itu adalah anjuran Fan Club KELATE.NET dan The Red Warriors Cafe dan bukannya gabungan FAM ataupun Kafa.

"Saya hadir atas kapasiti peribadi dengan melancarkan CD dikir barat dan kempen jualan, tiket anjuran mereka, jadi saya tidak tahu di mana salahnya?" kata beliau sambil menambah, "lagipun saya digantung dari aktiviti bola sepak, bukannya dilucut dari jawatan."

Sementara itu, kenyataan Taufik yang tidak menggalakkan Annuar hadir pada pertemuan final Piala FA antara Sime Darby dengan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti dikhuatiri menimbulkan masalah kepada pihak penganjur untuk mengatur tempat duduk bagi memenuhi protokol beliau yang berstatus Tan Sri, Annuar berkata, itu semua tidak memberi masalah kerana bagi beliau isu protokol tidak memberi sebarang kepentingan.

"Hanya orang gila pangkat dan mabuk kuasa sahaja sibuk dengan protokol dan kedudukan dirinya, kita rakyat biasa dan manusia biasa, 'we have nothing to lose, stop all provocation, enough is enough'.

"Saya tidak perlu dijemput atau disambut dengan protokol, itu semua tidak ada masalah bagi saya. Insya-Allah saya akan tetap berada di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini," tambah beliau.

Awal bulan lalu, Annuar digantung dua setengah tahun apabila melanggar Statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, di mana hanya Presiden FAM, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Selain itu, Annuar juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa tersebut.

Laporan Pengerusi PSC Lynas dipertikai

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan, kenyataan Pengerusi PSC Lynas Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa Kilang Lynas adalah kilang memproses Nadir Bumi yang terselamat di dunia dan lokasi kilang itu yang jauh dari penempatan penduduk sejauh 6KM jelas membuktikan ia dibentuk untuk menghalalkan kilang itu.

Kenyataan itu juga bercanggah sama sekali dengan Laporan Kajian Alam Sekitar (Preliminary Environmental Impact Assessment – PEIA) yang disediakan oleh ENVIRON pada 21hb Januari 2008 dan diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) pada 15hb Febuari 2008.

"Jelas, dari kenyataan yang tidak betul dan berat sebelah itu menzahirkan niat sebenar Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam penubuhan PSC Lynas untuk menghalalkan kilang LAMP milik LYNAS itu untuk kepentingan diri mereka.

"Malah kredibiliti Pengerusi Jawatankuasa PSC Lynas itu untuk memimpin jawatankuasa itu dengan telus dan adil kini dipersoal," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar (gambar bawah).

Merujuk kepada Laporan EIA, kata Zulkefly, terdapat kawasan penempatan penduduk paling dekat dalam jarak 3-5KM dari lokasi kilang Lynas itu  iaitu Taman Balok Perdana, Taman Balok Makmur dan Kem TLDM Kampung Seberang Balok.

Laporan EIA juga dengan jelas menyenaraikan beberapa syarikat yang beroperasi dalam jarak 1km-3km dari lokasi kilang itu iaitu  Polyplastics, Erupee Sugar, Kaneka, Flexsys, Eastman, WR, Cryovac, BP Chemicals, Petronas ERC, BASF dan MTBE.

Manakala dalam jarak 3km-5km terdapat penempatan penduduk sepanjang pantai ke Kuala Terengganu, Kuantan-Pelabuhan Bypass, Sg.Tunggak, Penduduk dari Kuantan ke pelabuhan, Lebuhraya Pantai Timur, Pelabuhan Kuantan dan Pantai Cherating.

Laporan EIA juga, katanya, dengan jelas mencatatkan jumlah penduduk dari Taman Balok Perdana, Taman Balok Makmur, TLDM Kg. Seberang Balok sebanyak 5973 org (statistik tahun 2000) dengan komposisi kaum Melayu sebanyak 87 peratus, Cina 0.2 peratus dan India 2.2 peratus.

Katanya lagi, terdapat juga beberapa kampong berdekatan iaitu Kg. Sg Ular (2.5KM dari Kg. Gebeng), Kg. Hulu Balok (3KM dari Tapak Kilang), Kampung Berahi(4.5KM dari Tapak Kilang), Kampung Seberang Balok(6KM dari Tapak Kilang).

Kg. Gebeng (3KM dari Tapak Kilang) dan Kampung Selamat pula 4 KM dari Tapak Kilang.

Kenyataan Khaled Nordin bahawa Kilang LYNAS adalah kilang memproses nadir bumi yang terselamat di dunia juga bercanggah dengan kenyataan Laporan Kajian Alam Sekitar (PEIA).

Dalam laporan itu dinyatakan bahawa ‘potential concern’ jika langkah-langkah kawalan atau pencegahan tidak dilaksanakan oleh Lynas ketika fasa rekabentuk dan ketika fasa operasi mampu menyumbang kepada kesan-kesan pencemaran alam sekitar seperti berikut iaitu:

1.    Kualiti air Sg. Balok akan menurun. Jika ‘Standard B discharge limit’ atau had pelepas air sisa ‘dirawat’ melebihi dari kadar yang ditetapkan, Sungai Balok akan tercemar (Kadar pencemaran kini sebenarnya sudah ditahap 2 dan 3). LYNAS harus memastikan keberkesanan ‘waste water treatment facilities’ atau kemudahan rawatan air sisa diambil kira khususnya ketika fasa rekabentuk.

2.    Penurunan Kualiti Udara - pelepasan ketika operasi dari ‘waste gas treatment system’, ‘gas fired boilers’ dan ‘product calciners’. (mesti di pastikan selamat dalam radius 5KM ZON IMPAK) kerana terdapat penduduk Balok dalam jarak 2-5KM dari lokasi kilang itu.

3.    Kesan Bunyi Bising. EIA mengakui adanya penduduk dalam radius 3KM terutamanya Taman Balok Perdana dan Taman Balok Makmur.

4.    Potensi Pencemaran Tanah dan Groundwater/Air Bawah Tanah.

5.    Sumber stim akan terhasil iaitu dari WLP, PGD dan NUF dan diklasifikasikan sebagai sisa radiological oleh AELB dan akan diuruskan/disimpan mengikut keperluan AELB. Tempat simpanan sisa ini hasil kerjasama Lynas dan Ranhill Worley berdasarkan cadangan MNA (Malaysia Nuklear Agency/Agensi Nuklear Malaysia) yang tercatat dalam RIA.

6.    Potensi kebocoran dari tempat simpanan sisa dan langkah-langkah melindungi tanah dan air bawah tanah yang tidak mencukupi mampu menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

7.    Kebocoran simpanan bahan-bahan bahaya (reagents dan bahan asid). Langkah-langkah ‘Containment’ atau Simpanan harus dipastikan ada dan haruslah diurus dengan baik.

Bagaimanakah kenyataan itu boleh berkata bahawa kilang Lynas adalah kilang memproses nadir bumi yang terselamat di dunia jika langkah-langkah pencegahan malah kemudahan ‘state-of-the-art’ yang terdapat di kilang itu masih belum dibuktikan lagi, tambah beliau.(harakahdaily)

Apakah Akhirnya?

Siasatan Perancis bongkar kaitan Najib dengan semua

Vancouver Sun, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Inkuiri di mahkamah Perancis telah memulakan siasatan yang bakal menghubungkan segala titik mengenai Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak, pembelian dua kapal selam Perancis, rasuah sebanyak RM500 juta dan pembunuhan terhadap model Mongolia oleh para pengawal beliau.

Inkuiri berkamera yang diketuai hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire, yang cukup berpengalaman dalam kes korupsi dan hak asasi manusia, akan cuba membongkar samada syarikat pertahanan Perancis, DCNS dan rakan projeknya Thales International telah membayar rasuah untuk mendapat kontrak pada 2002 untuk membekal dua kapal selam Scorpene kepada tentera laut Malaysia.

Inkuiri tersebut adalah berdasarkan penyiasatan selama dua tahun dan pengumpulan bukti oleh polis Perancis.

Kontrak tersebut dimeterai ketika Najib masih menjadi Menteri Pertahanan dan perhatian khusus diberikan kepada peranan yang dimainkan oleh kawan karib dan penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda.

Pegawai berkuasa Perancis telah memaklumkan bahawa mereka sangat berminat terhadap dua bayaran yang dibuat oleh pembuat senjata Perancis.

Satunya berjumlah Euro 114 juta yang dibayar kepada syarikat Malaysia bernama Perimekar untuk kemudahan pengangkutan.

Pada waktu itu, Perimekar dalah dimiliki sepenuhnya oleh Razak Baginda dan isterinya Mazalinda.

Pihak majistret Perancis juga ingin mencari kebenaran di sebalik pembayaran Euro 36 juta kepada sebuah syarikat bernama Terasasi, yang pada asalnya dikorporatkan di Malaysia sebelum dipindahkan pendaftarannya ke Hong Kong, di mana berdasarkan Asia Sentinel adalah antara 142 syarikat yang mendaftar di Wan Chai.

Pengarah berdaftar Terasasi adalah Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda.

Persoalan mengenai pembelian kapal selam menjadi hangat dan tajam pada Oktober 2006 selepas cebisan mayat model Mongolia dan penterjemah Altantuya Shaariibuu dijumpai di hutan di luar Kuala Lumpur.

Beliau telah ditembak di kepala dan terdapat cubaan untuk memusnah mayat beliau dengan bom C4 milik tentera.

Altantuya merupakan bekas kekasih Razak Baginda dan beliau kali terakhir dilihat di luar rumah kekasihnya yang menimbulkan situasi tidak senang.

Beberapa tahun yang lalu, Altantuya merupakan seorang model di Perancis dan pada2004 beliau mengiringi Razak Baginda sebagai penterjemah semasa beliau merunding kontrak Scorpene.

Dalam satu surat tulisan beliau yang dijumpai selepas beliau dibunuh, menyatakan beliau ingin berdepan dengan Razak Baginda dan menuntut USD 500 juta sebagai harga untuk menutup mulut beliau dalam kontrak pembelian Scorpene.



(Aktivis Suaram dan peguam mereka [kanan sekali] di Perancis)

Kes ini tidak dapat diendahkan oleh mahkamah Malaysia, yang dikuasai golongan politik.

Walaupun Razak Baginda dan dua orang bekas pengawal Najib, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didakwa dengan pembunuhan, keputusan kes tersebut adalah pincang dan tidak menjawab banyak persoalan.

Dalam satu drama mahkamah yang menakjubkan, Razak Baginda tidak dipanggil untuk menjawab tuduhan bersubahat membunuh Altantuya, dan dilepaskan dan kini tinggal di Britain.

Para pengawal peribadi Najib telah menerima padah dan telah dijatuhkan hukuman mati. Mereka sedang dalam proses rayuan tetapi pendengaran telah ditangguhkan.

Spekulasi berkata pendengaran itu tidak akan berlaku sehingga lepas pilihanraya umum yang bakal tiba, dijangka Jun, di mana jika Najib dan kerajaannya mengekalkan kuasa, dijangka satu cara akan difikirkan untuk membalas kesetiaan pengawalnya.

Selepas gagal mendapat penyiasatan penuh ke atas skandal Scorpene di Malaysia, ramai aktivis hak asasi manusia dan keluarga Altantuya telah meletakkan harapan kepada penyiasatan Perancis.

Namun demikian, terdapat sedikit kekecewaan apabila mengetahui bahawa hakim Le Loire dan Tournaire hanya boleh menyiasat tuduhan rasuah dan bukan pembunuhan Altantuya.

Akan tetapi, 10 hari yang lepas, Suaram Malaysia telah diberikan kebenaran untuk memberikan penerangan kepada hakim secara peribadi.

Jurucakap Suaram berkata mereka telah menceritakan skandal Scorpene ini daripada konteks politik Malaysia dan memberikan hakim senarai saksi-saksi yang dikehendaki.

Antara senarai itu ialah Razak Baginda, dan telah ada laporan bahawa hakim akan cuba mengeluarkan subpoena terhadap beliau daripada Britain.

Tetapi akan ada yang tidak mengendahkan senarai itu, termasuk nama Najib.

Namun begitu, ayah Altantuya, Setev Shaariibuu berkata beliau ingin ke Perancis daripada Mongolia dan percaya perbualan terakhir bersama anak perempuannya akan dapat menghubungkan segala titik yang tergantung dalam skandal Scorpene ini kepada hakim di sana.
----------------------------------
Berita ini diterjemah secara bebas daripada Vancouver Sun.(harakahdaily)

Apa Maknanya Ini?

Kenaikan Pangkat Guru (Lepasan Ijazah & Diploma) Seramai 24,053 Bermula Jun – Disember 2012!!

by Staff Berita Semasa

Kenaikan Pangkat Guru Secara Time Base Kenaikan Pangkat Guru (Lepasan Ijazah & Diploma) Seramai 24,053 Bermula Jun   Disember 2012!!
Sekarang ini adalah musim pengumuman dan pemberian “durian runtuh” kepada beberapa sektor yang layak untuk menikmatinya. Sekarang askar sudah mendapat bahagiannya, polis pun sudah, kelompok swasta sudah diumumkan berkenaan dengan dasar gaji minimum, tidak lupa juga kepada kenaikan gaji kakitangan awam menerusi penambaikan Sistem Saraan Malaysia yang baru dan tidak lupa juga “durian runtuh” yang dinikmati oleh kalangan peneroka seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Masing-masing sudah dapat “bahagiannya”. Ada lagi yang tertinggal untuk menerima “durian runtuh” daripada kerajaan?
Dan……Sempena Hari Guru 2012 ini, Menteri Pelajaran telah mengumumkan sesuatu yang berharga kepada kalangan guru-guru di Malaysia. Tetapi benarkah ia merupakan sesuatu pengumuman yang baru kepada kalangan guru-guru di Malaysia?

24,053 Guru Naik Pangkat Bermula Minggu Depan!!

KUALA KANGSAR: Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikan pangkat mulai Jun hingga hujung tahun ini.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena sambutan Hari Guru ke-41 di sini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kenaikan pangkat itu membabitkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.
Beliau turut mengumumkan 3,085 pengetua gred DG48 ke DG52 dan penolong pengetua gred DG44 ke DG48 akan diperakukan untuk kenaikan pangkat secara berperingkat mulai bulan depan.
Guru terbabit boleh menyemak status kenaikan pangkat di laman web Kementerian Pelajaran.
Jikalau diperhalusi semula pengumuman daripada Tan Sri Muhyiddin Yaasin, ia sebenarnya bukanlah suatu pengumuman yang baru. Ini kerana kebanyakan guru-guru yang ada sekarang ini sudah pun sampai ke tahap time based. Jikalau Menteri tidak umum pun, kenaikan tetap akan berlaku apabila sudah “cukup matang” tempohnya.
Dan kenaikan gred ini akan terus berlaku setiap tahun kepada mana-mana kalangan guru yang sudah sampai tempohnya. Dalam bahasa mudahnya :
  1. Umpama Timbalan Perdana Menteri mengumumakan hujung bulan ini kerajaan bagi gaji.
  2. Maknanya tidak perlu umumkan pun tidak mengapa. Gaji tetap akan diterima kakitangan awam setiap hujung bulan.
Ini kerana sejurus daripada “pengumuman ini” ramai yang bertanyakan beberapa persoalan untuk mendapatkan kepastian. Sedangkan pengumuman seperti ini adalah sama seperti yang diumumkan pada tahun lepas ini lagi. Semoga ini dapat membantu menjawab beberapa persoalan daripada kalangan pengirim email sebelum ini. Sempena hari guru data senarai timebase pun dimuat naik.

Kalau 'rakyat baru' ada, apatah 'Majlis Peguam'


 Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 16 Mei: Kalau rakyat baru pun kerajaan Umno boleh wujudkan, apa dihairankan kalau ia tubuh "Majlis Peguam" yang baru, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jelas berlaku di hadapan kita, bila kerajaan Umno berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang menentangnya dan tahu dia akan kecundang dalam pilihan raya ke-13 akan datang, laporan-laporan mendedahkan ia mencipta rakyat baru dengan memberikan kad pengenalan Malaysia kepada pendatang-pendatang asing dan kemudian dimasukkan di dalam daftar pemilih dengan tujuan supaya mereka mengundi Barisan Nasional (BN).

"Kalau rakyat baru pun Umno boleh wujudkan, apa yang hendak dihairankan jika ia mahu menubuhkan badan baru yang mengambil fungsi Majlis Peguam," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini membuat pengumumuman berhubung cadangan penubuhan akademi undang-undang yang "boleh menjadi alternatif" sehingga Majlis Peguam yang ada kini terbubar sendiri.

Bagi Mahfuz, semua itu berlaku kerana kerajaan gagal mengawal Majlis Peguam supaya mengikut telunjuknya.

Kerajaan Umno semakin marah dan tertekan apabila mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam baru-baru ini meluluskan usul tergempar (EGM) mengutuk keganasan polis ketika himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Dari 1,270 anggota Majlis Peguam yang hadir ke EGM itu, 939 menyokong usul tersebut dan hanya 16 orang yang menolak.

Turut sama menyuarakan kemarahan Umno, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh Majlis Peguam telah menjadi sebuah parti politik.

Mengulas lanjut apa yang disifatkannya sebagai "histeria Umno" itu, Mahfuz menyifatkan apa yang berlaku memang menjadi tabiat dan amalan parti itu.

"Tubuh benda baru memang menjadi modus operandi Umno sejak dari dulu lagi.

"Bila kira-kira 50 peratus ahli Umno memihak kepada Team B yang diketuai Tengku Razaleigh (Hamzah) pada penghujung 80-an, mereka tubuh Umno baru," katanya.

Begitu juga, kata Mahfuz lagi, bila badan kehakiman di bawah Tun Salleh Abas tidak rela mengikut telunjuk Umno, beliau digulingkan dan diganti dengan kumpulan yang digelar "correct, correct, correct".

"Pada tahun 90an, bila Sultan Kelantan pada masa itu tidak setuju dengan Umno, mereka tabalkan sultan baru," katanya.

Syabas:Satu Protes Bijak!

Tosai Percuma di luar rumah timbalan IGP
Mula-mula burger, kemudian senaman punggung... dan Ahad ini tosai pula.

NONEMengambil kata-kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid
Abu Bakar, sekumpulan NGO vokal India memutuskan untuk menyajikan tosai percuma di luar rumahnya di Ampang, dari jam 10 pagi hari berkenaan

Setiausaha WargaAMAN, S Barathidasan berkata, NGO-NGO tersebut akan bertemu malam ini untuk membincangkan mengenai persiapannya.
Bagaimanapun, Barathidasan menegaskan ia bukan satu protes, atau ada sebarang kaitan dengan 'protes burger' di depan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga minggu lalu.

"Ini sebenarnya satu kempen kesedaran. Tosai adalah makanan yang sihat dan sajian sarapan bagi masyarakat India. Kami mahu mempromosinya," katanya ketika dihubungi.

Kumpulan itu memilih untuk membuka gerai di luar rumah Khalid di Taman Bukit Teratai Khalid kerana mereka "menghormati" beliau.

"Beliau telah berkata bahawa gerai boleh dibuka di hadapan rumah orang dan kami menghormati apa yang beliau katakan".

Barathidasan menambah bahawa kumpulan itu akan memohon permit dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk gerai tersebut, dan mungkin meneruskannya juga walaupun ia ditolak.

"Kita hanya mahu beri orang ramai sarapan yang sihat. Kami tidak menjual apa-apa," katanya.

Kajian: 65% pengurus Felda percaya penyenaraian akan gagal

Kalau sudah tahu akan gagal, kenapa ianya mahu diteruskan?
Satu kajian perunding yang dilantik Felda mendapati 65 peratus pengurus kanan Felda percaya bahawa penyenaraian Felda Global Ventures Berhad (FGVH) akan gagal kerana lembaga tersebut tidak bersedia.

Perunding bebas itu, Boston Consulting Group, juga mendapati bahawa 55 peratus pengurus kanan lembaga itu tidak bersedia untuk rancangan penyenaraian itu.

Malah, hanya 20 peratus dari kalangan pengurus berkenaan yang menyokong rancangan tersebut, menurut kajian itu lagi.

Kajian tersebut mengambil kira pandangan daripada 30 pengurus kanan dalam Felda.

Hasil kajian itu dikemukakan November lalu kepada jawatankuasa pemandu untuk penyenaraian tersebut, yang diketuai pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Sementara itu, semakan ke atas prospektus untuk penyenaraian itu menunjukkan bahawa 53 peratus daripada pokok kelapa sawit di tanah rancangan Felda sudahpun tua, selain 31 peratus pokok muda dan hanya 16 peratus pokok matang.

Sedangkan satu syarikat lain mempunyai 78 peratus pokok matang, 15 peratus pokok muda dan hanya 7 peratus pokok tua, menurut PKR yang membuat bandingan itu.

Berdasarkan perkara itu, PKR sekali lagi mempersoalkan niat sebenar kerajaan untuk menyenaraikan FGVH.

Langkah penyenaraian itu tidak harus dibuat dengan niat politik, menurut PKR.

Wednesday, May 16, 2012

Malaysia Mencatatkan Aliran Wang Haram Sejumlah RM1.052 Trillion (US$338 Bilion)!



Ada yang mengatakan rasuah di Malaysia berjaya diatasi di Malaysia secara drastik di mana penyelewengan skandal lembu fidlot kebangsaan yang meletus sehingga menyebabkan projek yang mendapat tekanan daripada pelbagai pihak terpaksa diberhentikan untuk siasatan selepas 6 bulan lamanya skndal tersebut dibongkarkan satu persatu. Bagi kami, angka RM250 juta dana fidlot yang telah diseleweng itu, hanyalah jumlah yang kecil sahaja. Ini kerana….
Ini kerana…laporan yang dikeluarkan oleh Global Financial Integritiy (GFI) meletakkan negara kita Malaysia di tangga ke 5 tertinggi di dunia melibatkan kes aliran wang negara yang dibawa keluar secara haram dari Malaysia. Angka terkini mencatatkan Malaysia telah kehilangan wang secara haram sejumlah US$338 iaitu bersamaan RM1.052 trillion sejak tahun 2000 sehinggalah tahun 2009 berbanding laporan GFI antara tahun 2000-2008 mencatatkan aliran wang haram sekitar US$291 bilion.
Bagi negara kecil seperti Malaysia yang hanya memiliki sekitar 28 juta penduduk, angka bagi aktiviti aliran wnag haram sebanyak RM1 trillion merupakan satu angka yang cukup-cukup besar dan tidak boleh sama sekali dipandang enteng. Sayang sekali, kami belum melihat laporan seperti ini dipandang serius oleh media-media arus perdana.

Apa itu illicit Fund (Wang Haram)?

Bagi yang masih-masih samra-smaar dengan istilah illicit fund biarkan kami beberapa contoh untuk mudah anda memahaminya. Bagaimana illicit fund ini boleh terjadi di sesebuah negara seperti Malaysia? Antaranya ialah melibatkan aktiviti seperti :
  1. gejala rasuah yang berleluasa
  2. pengubahan wang haramur
  3. urusniaga dadah
Wang-wang haram ini dibawa keluar dan disimpan di Swiss Bank, London dan beberapa bank antarabangsa yang lain.
Sebenarnya aliran wanag haram yang berlaku di Malaysia ini boleh disamakan dengan satu kejadikan rompakan besar-besaran kepada negara sebagaimana “keberanian laporan berita akhbar utama di India” ketika membuat laporan mengenai kes aliran wang haram haram ini (illicit fund) di sana….
Bagi jika kerajaan sudah bersedia untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional sesegera mungkin bukan sekadar “kosmetik” disebalik dalang yang menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit, ini sebenarnya memberikan kelebihan dan kredit kepada kerajaan juga apatah lagi bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 13. Ini kerana, jika “jerung-jerung” yang selama inibebas berkeliaran di Malaysia meneruskan aktiviti haramnya tanpa gangguan berjaya ditangkap, insyalllah lebih banyak wnag rakyat dapat diselalamatkan dan dipulangkan semula kepada rakyat Malaysia untuk “menikmatinya”.
P/S : Walaubagaimanapun, kami daripada Berita Semasa masih lagi menunggu iltizam daripada pihak kerajaan untuk melaksanakannya tindakan siasatan ini secepat mungkin….

Pendapatan Rakyat Malaysia Mesti RM12,000 Sebulan Untuk Beli Rumah Teres Pada Tahun 2020!!

negarakuuuu.....tanah tumpahnya darahkuuuuu....

rakyat hidupppppp.......

by Staff Berita Semasa 

Harga Rumah Teres Pendapatan Rakyat Malaysia Mesti RM12,000 Sebulan Untuk Beli Rumah Teres Pada Tahun 2020!!
Apa lagi yang boleh diharapkan dengan keadaan harga rumah di Malaysia terutamanya melibatkan bandar-bandar besar di Malaysia sekarang ini? Bukannya semakin menyenangkan rakyat Malaysia tetapi semakin membebankan dan adakalanya harga rumah di Malaysia yang ada ketika ini agak menakutkan. 
  1. Kondominium One Menerung di Bangsar contohnya yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit
  2. Sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000
Apabila harga rumah sudah begitu mudah mencapai ke tahap nilai sebegitu, ia sudah bukan lagi harga yang mampu milik untuk semua rakyat Malaysia. Harga sebegitu rupa boleh dikatakan sudah menjadi “senaman mata” oleh rakyat Malaysia setiap hari yang kadangkalanya apabila melihat buat kali kedua boleh menyebabkan “sakit mata”. Hakikatnya, rakyat Malaysia yang tergolong daripada kalangan yang berpendapatan serdahana iaitu sekitar RM6,000 sebulan hanya mampu memandang sahaja.
Senario kenaikan harga rumah untuk 5 tahun kebelakangan ini, bukan sahaja setakat berlegar di kawasan Lembah Klang malah sudah mula “berjangkit” di sekitar Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan tidak lupa juga di sekitar Semenyih. Contohnya :
  • Beberapa lokasi harga rumah teres baharu di Semenyih dengan keluasan 24×70 kaki (7×21 meter) kini sudah mencecah harga RM460,000. Anda mampu?
  • Harga rumah bersaiz 22×70 kaki sudah mencapai RM510,000. Anda mampu?
  • Harga rumah di Rawang pula untuk keluasan dijual pada harga sekitar RM288,000 (20×65 kaki). Anda mampu?
  • Harga rumah di Sungai Buloh bermain pada harga RM398,000 untuk keluasan 22×75 kaki. Anda mampu?
  • Lain-lain ada nak tambah untuk perkongsian semua?
Rata-rata kalau diperhatikan kalangan yang terdiri daripada golongan pertengahan lebih gemar memilih rumah teres disebabkan faktor keluasan pada harga yang mereka fikirkan pada harga masih lagi munasabah disebabkan “pilihan yang terhad”.
Jika harga rumah terus melambung tinggi tetapi pendapatan rakyat Malaysia masih tidak menunjukkan peningkatan yang seimbang, alamatnya impian golongan pertengahan untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah teres bukan hanya tinggal angan-angan semata disebabkan keadaan menjadi lebih sukar apabila harga rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 sebuah menjelang tahun 2020 iaitu 8 tahun daripada sekarang

Kajian Harga Rumah Teres di Malaysia VS Pendapatan Rakyat Malaysia

Berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn. Bhd. (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaharu rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah :
  1. Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan bahawa harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang walaupun berlaku krisis ekonomi
  2. Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur
  3. Harga rumah teres di Lembah Klang akan meningkat sekali ganda menjelang tahun 2020
  4. harga rumah teres di Taman Tun Dr. Ismail yang kini bernilai RM1.5 juta bakal mencapai harga RM3 juta dalam tempoh 8 tahun lagi
Dan bagi menampung kemungkinan kenaikan mendadak harga rumah teres pada masa akan datang (2020), anda semua perlu mempunyai pendapatan sekitar RM12,000 sebulan bagi membolehkan anda  memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020. Berapakah pendapatan anda ketika ini? Anda perlu 8 tahun daripada sekarang untuk “memperbaikinya”…
Ini kami sentuh lebih kepada golongan yang berpendapatan sekitar RM6,000. Persoalannya, berapa ramaikah orang muda memiliki pendapatan RM6,000 sebulan sekarang ini? Bagaimana pula keadaan orang muda yang berpendapatan sekitar RM1,500 – RM3,000 sahaja? Adakah anda semua sudah bersedia ke arah itu sekarang ini?

Tuesday, May 15, 2012

Hebatnya Pemimpin Ini!

Menteri GLOKAL...........

Zahid: Mahkamah Perancis tak boleh sentuh kita
Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mahkamah Perancis tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan rakyat Malaysia membuat pengakuan dalam inkuiri bagi menyiasat urusniaga kapal selam Malaysia-Perancis yang sedang berlangsung.

Rakyat Malaysia tidak tertakluk kepada undung-undang negara itu, katanya dalam sidang media selepas lawatan ketua tentara Thailand di kementeriannya, seperti disiarkan oleh Mob.tv.

Ahmad Zahid diminta mengulas berhubung kenyataan peguam Perancis Joseph Breham yang mewakili NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia dalam kes sivil di mahkamah negara itu.

Breham sebelum ini berkata, hakim mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap antarabangsa sekiranya perintah sepina ditolak, termasuk meletakkan "arahan merah" (red alert) bersama polis dunia Interpol.

Malaysia Jadi Tukang Sapu..Untung Sabut Timbul ..Untung Batu?

'Projek reject' didakwa dibawa ke Pengerang
Projek pelaburan petrokimia kontroversi yang dibatalkan di Taiwan kini ditetapkan untuk dipindahkan ke Pengerang, Johor, lapor media Taiwan.

Menurut Taipei Times, Menteri Hal Ehwal Ekononomi Shih Yen-shiang mengesahkan perkara itu kepada pemberita semalam.

NONEPerdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan syarikat petrokimia Taiwan akan melabur sehingga RM36 billion untuk projek pembangunan bersepadu penapisan minyak dan petrokimia di Pengerang.

Pelaburannya dilaporkan akan mencecah RM120 bilion untuk tempoh lima hingga enam tahun seterusnya.

Walaupun Najib dan pihak berkuasa tempatan tidak mendedahkan identiti syarikat Taiwan itu, Shih memberitahu mesyuarat jawatankuasa perundangan bahawa syarikat terbabit Kuokuang Petrochemical Technology Co.

Sebahagian besar pegangan Kuokuang dimiliki syarikat milik negara CPC Corp.

Pegawai perhubungan media CPC memberitahu Taipei Times bahawa Kuokuang akan membina kilang penapis, pemecah nafta (naphtha cracker) dan loji lain di tapak itu.

SANBUTAN HANGAT BUAT NAJIB DI KOTA LONDON!!!!

Najib disambut laungan 'Bersih' di London
Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di satu pertemuan bersama warga Malaysia di London semalam disambut dengan laungan slogan BERSIH oleh sebahagian hadirin.

Sorakan slogan itu bermula apabila Najib mula mengambil tempat di atas pentas dan berlarutan ketika beliau memulakan ucapannya.

Sorakan slogan itu menyebabkan Najib hilang tumpuan untuk meneruskan ucapannya dan terpaksa merayu supaya sorakan itu dihentikan.
"Bolehkah anda tolong berhenti? Boleh tolong berhenti," rayu Najib seperti dirakamkan dalam satu video yang dimuatkan di laman Youtube.

Rayuan Najib itu disambut oleh seorang hadirin yang bertanya mengenai hak mereka untuk mengundi.

"Kami mahu mengundi. Kenapa anda tak bagi kami mengundi?" tanya individu itu di majlis tersebut.

Najib kemudian cuba menenangkan kumpulan tersebut agar beliau boleh meneruskan ucapannya.

"Anda boleh jumpa saya kemudian ok...bolehkah anda tolong hentikannya?" kata Najib.

Sorakan tersebut kemudiannya surut dan Najib meneruskan ucapannya seperti biasa.
Acara yang dinamakan ‘An Evening with the Prime Minister’ itu dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di lokasi berprestij O2 Arena di kota tersebut.

Program berkenaan diuar-uarkan sebagai satu acara untuk membolehkan rakyat Malaysia di London berinteraksi secara tidak formal dengan perdana menteri.