Wednesday, December 21, 2011

Kehidupan Manusia Telah TunggangTerbalik....Pedoman Buat Ummah!

Kedutaan Malaysia Sedia Maklum Kehadiran Saya Di Ireland:Ariff Alfian
PETALING JAYA: Tindakan seorang pemuda Melayu yang didakwa berkahwin dengan pasangan sesama jenis seorang lelaki warga asing di Dublin, Ireland mencetuskan kontroversi sehingga mendapat kecaman pelbagai pihak di negara ini.
Pemuda tersebut merupakan Ariff Alfian Rosli, bekas pelajar perubatan di Universiti College Dublin (UCD) yang dilaporkan hilang oleh bapanya sejak tiga tahun lalu.
Kontroversi melanda apabila Ariff Alfian yang didakwa mempunyai kaitan dengan beberapa gambar perkahwinan sesama jenis yang tersebar luas di Internet memaparkan gambar lelaki berpakaian baju Melayu, lengkap bersampin dan tengkolok sedang menyarungkan cincin dan bercium dengan pasangannya di sebuah dewan.
Ariff dipetik sebagai berkata kepada Irishtimes.com, bagaimanapun enggan mengulas mengenai kontroversi perkahwinan bersama lelaki Ireland.
Bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu turut menafikan dia hilang seperti yang dilaporkan oleh bapanya.
Sebaliknya, dia menjelaskan telah menetap di Ireland secara sah malah kedutaan Malaysia sedia maklum tentang kehadirannya di negara itu.
Ariff memberitahu dia tidak menghubungi bapanya yang juga pesara pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama beberapa tahun.
"Saya berselisih faham dengan bapa pada 2009 di mana dia melaporkan kehilangan saya. Saya tidak berhubung dengannya tetapi sering menghubungi ahli keluarga saya yang lain," katanya dipetik Irishtimes.com pada Selasa.
Ariff Alfian 28, berada di Ireland sejak berhijrah ke sana lapan tahun lalu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.
Sementara itu, dia turut menyangkal dakwaan yang mengatakannya murtad.
"Saya tidak bertukar ke agama lain, berbeza dengan apa yang telah dilaporkan. Saya dilahirkan sebagai Islam, saya masih beragama Islam dan akan kekal sebagai Islam sehingga akhir hayat saya. Tiada apa dapat mengubah pegangan agama saya," katanya.

Melayu Mudah Lupa?

Najib sokong skim cepat kaya
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 21 Dis: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa meluluskan satu program cepat kaya sehingga lebih 200,000 orang tertipu kerananya.

Kini ketika semua pihak tertanya-tanya ke mana pergi pemimpin skim cepat kaya itu menghilangkan diri, pihak polis pula meminta ianya jangan diganggu dan serahkan kepada proses penyiasatan pihak polis.
(Laporan akhbar Harian Metro)

Namun bangkai gajah ini kini meletup dan tidak boleh ditutup lagi apabila sebahagian mangsa mengesyaki ia ada kaitan dengan pengumpulan dana untuk Umno menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Pada 26 April 2008 lalu, Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu meluluskan satu permohonan untuk melaksanakan satu skim yang dinamakan Sistem Ekonomi Berkonsep Parlimen.

Surat itu mencadangkan agar kawasan Pekan dijadikan pilot projek ini.

Persetujuan Najib jelas berdasarkan tandatangan Najib pada kertas permohonan itu dan ia telah digunakan oleh penganjur skim ini dalam kempen mereka mengumpulkan sokongan.
(Gambar kanan, tandatangan  kelulusan dan sokongan Najib terhadap permohonan skim ini)
Dua hari kemudian, 28 April, Pejabat Timbalan Perdana Menteri melalui Setiausaha Sulit Kanannya mengeluarkan surat sokongan rasmi kepada projek itu.

Berbekalkan surat dan tandatangan Najib ini kempen dibuat oleh pengajurnya ke seluruh negara untuk mengumpul wang orang ramai.

Ia dikaitkan dengan usaha untuk kepentingan Islam dan menjaga kepentingan ekonomi orang Melayu.

Pemimpinnya pula adalah bergelar seorang ustaz yang kini dikatakan sedang diburu polis dan dikatakan orang yang paling dikehendaki Bank Negara Malaysia.

Melalui projek ini, setiap peserta boleh melabur antara RM1,000 - RM1 juta dan bayaran 10 kali ganda akan diberikan kepada peserta itu dalam masa satu tahun.

"Selepas empat bulan, kami bayar 30%, empat bulan lagi 30% dan selepas cukup setahun, lagi 40% akan dibayar dengan keuntungan 10 kali ganda itu

"Saya sendiri secara pribadi menerima wang dan membayar untuk enam bulan pertama duit itu kepada peserta di bawah saya, namun selepas itu tidak ada lagi bayaran dibuat hingga sekarang," kata satu sumber kepada Harakahdaily.

Semua urusan pembayaran ini dibuat secara tunai.

Baru-baru ini, akhbar Harian Metro meletupkan kes ini melalui laporan muka depan mereka dengan tajuk "Lebai RM200J".

Namun bagi sumber Harakahdaily, Ustaz ini kini menyimpan hampir satu bilion ringgit wang peserta program ini yang lebih 200,000 orang itu.

Ustaz ini dikatakan mempunyai helikopter dan jet peribadi dan tinggal di kawasan perumahan mewah di Shah Alam.

"Yang membingungkan saya adalah ke mana Ustaz ini pergi. Saya bimbang kalau ia ada konspirasi dan saya minta Datuk Seri Najib menjelaskan perkara.

"Ini kerana, melalui surat Datuk Seri Najib lah ramai yang terpengaruh dengan projek ini dan menyertainya dengan melaburkan wang mereka," katanya.

Menteri Flip Flop.....

Awang Adek akui terima deposit, tapi...
Timbalan menteri kewangan Datuk Dr Awang Adek hari ini menjelaskan bahawa deposit wang ke dalam akaun peribadinya, seperti didakwa satu blog, merupakan sumbangan untuk program sosial.

Ketua bahagian Umno Bachok itu mengakui telah menerima sumbangan yang dipertikaikan itu melalui salah satu daripada tiga akaun peribadinya.
Akaun peribadi itu dibuka pada 2004. untuk membiayai program di kawasan Bachok, katanya.

Awang berkata beliau mempunyai semua rekod transaksi daripada sumbangan berkenaan yang dikendalikan oleh seorang pegawai khas.

Rekod berkenaan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kata Awang lagi dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Awang berkata, sumbangan dalam bentuk cek dan tunai itu digunakan untuk program seperti bantuan Hari Raya sebanyak RM100 untuk 4,000 keluarga dan juga kelas tuisyen kepada pelajar di 33 sekolah rendah.

Katanya beliau menerima semua sumbangan melainkan ia diberikan dengan niat tertentu seperti untuk mendapatkan projek.

Tegasnya, beliau tidak ada kena mengena dengan penganugerahan kontrak kerana ianya dibuat pada peringkat jawatankuasa dan beliau hanyalah seorang timbalan menteri.


GFI: Bank Negara tak hubungi kami
Badan pemikir Global Financial Integrity (GFI) menolak dakwaan timbalan menteri kewangan Datuk Donald Lim bahawa badan tersebut telah berhubung dengan Bank Negara untuk menangani isu pelarian wang haram.

Pengarah komunikasi (GFI) Clark Gascoigne dalam satu kenyataannya kepada Malaysiakini berkata, kenyataan Lim itu tidak benar.

"(Bank Negara) tidak pernah menghubungi kita dan kita tidak pernah bercakap dengan mereka," katanya lagi mengulas kenyataan Lim, Sabtu lalu.

Lim juga telah memberitahu Malaysiakini bahawa pelarian wang haram berjumlah RM150 bilion pada 2009 itu "bukan satu isu baru" dan Bank Negara juga telah mengambil langkah untuk mengatasi kebocoran tersebut.

Kenyataan Lim itu juga selari dengan kenyataan ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar yang mengaitkan jumlah pelarian dana itu dengan kegiatan penyucian wang haram.

Ismail juga berkata tindakan telah dijalankan untuk membekukan aset golongan yang terlibat dengan kegiatan jenayah tersebut.

Mahaguru Flip Flop.............

 

Dr.M akui Malaysia pinjam dana Bank Dunia
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia meminjam wang daripada Bank Dunia ketika pentadbiran beliau namun menegaskan bahawa beliau tidak pernah menulis kepada badan berkenaan untuk mendapatkan dana.

Tiada surat mahupun permintaan bertulis dibuat oleh beliau kepada Bank Dunia, kata Mahathir, menjawab dakwaan yang ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau pernah berbuat demikian ketika krisis kewangan 1999,

"Jika Anwar boleh menunjukkan bukti sebaliknya, dia patut berbuat demikian. Jika tidak dia mesti bersumpah dengan al-Quran di masjid bahawa di tahu apa yang dia kata itu benar.

Saya bersedia untuk bersumpah bahawa saya tidak pernah meminta pinjaman daripada Bank Dunia," katanya lagi dalam tulisan di blog beliau, chedet.co.cc, semalam.

Katanya lagi, Malaysia enggan menerima dana pinjaman International Monetary Fund (IMF) daripada Bank Dunia kerana "bantuan yang dikatakan itu akan memburukkan lagi keadaan."

Mahathir mengambil alih kedudukan sebagai menteri kewangan selepas Anwar dipecat dan dipenjarakan pada 1998.

Katanya lagi, pinjaman sebanyak USD300 juta ditandatangani dengan Bank Dunia pada Jun 1998, ketika Anwar masih menjadi menteri kewangan, untuk makanan, pendidikan tinggi dan program mikrokredit.

Sebanyak USD100 juta turut ditandatangani untuk bantuan teknikal pada Mac 1999, namun hanya USD11.94 juta dikeluarkan.

Pinjaman sektor sosial sebanyak USD60 juta dihentikan selepas pengeluaran sebanyak USD60,000 manakala satu pinjaman pendidikan dihentikan selepas sejumlah USD244 juta dikeluarkan.

Kedua-duanya diluluskan pada Mac selepas Anwar dipecat daripada jawatan menteri kewangan.