Monday, July 22, 2013

2 Peristiwa Menarik, Loo Jo Yee Pilih Islam

 

MUNGKIN ada di antara anda di sini sudah mengenali dengan nama ini, namun jika sebaliknya ada satu kisah yang menarik dikongsikan oleh gadis ini. 
Pertama kali admin melihat beliau secara dekat apabila menghadiri sebuah majlis yang diadakan di bangunan SUK Selangor tahun lalu. Sempat mendengar kisah beliau secara langsung dan ia cukup memberikan kita satu inspirasi diri. Jom ikuti kisah beliau di bawah ini.

Beliau tiada nama Islam kerana sekarang seseorang muallaf sudah tak perlukan tukar nama dengan nama Islam, dan hanya perlu ber ‘binti’ kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa, maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.

Beliau telah masuk Islam ketika masih berusia 17 tahun, disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula 18 tahun sahaja. Jadi, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan. Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.

Yang pertama adalah, beliau mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Oleh itu, mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam untuk masuk agama Kristian.

Namun untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji al-quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam. Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam. Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar.

Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca al-quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

Peristiwa kedua yang membawa hidayah kedua beliau adalah ketika beliau menghidap mendapat penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda.

Rakan-rakan Islam Jo Yee telah banyak ‘encourage’ beliau untuk cuba berdoa kepada Allah taala. Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah. Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah taala dan pada waktu itu juga, beliau mengucap 2 kalimah syahadah. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Loo Jo Yee berasa hiba kerana beliau berasa telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga tersasar di jalan Allah. Banyak dugaan yang beliau terima selepas bergelar muallaf, hingga dipulaukan rakan-rakan sendiri dan keluarga tercinta. 

Beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri.

Melayukini.net: Islam tidak pernah memaksa seseorang itu untuk memeluk agama Islam, malah Islam juga bersedia untuk dikaji oleh orang kafir sendiri. Alhamdulillah, bagi kita yang dilahirkan sebagai orang Islam sepatutnya lebih bersykur kerana ia adalah antara nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada kita semua. Semoga kita sentiasa berada dalam keredhaan Allah SWT.

(Diangkat dari Melayukini.net)

Sunday, July 21, 2013

Baca Yaasin Di Kuburan


Dalam bulan Ramadhan terutama sekali di hujung - hujungnya dan pada hari lebaran nanti, ramailah saudara-saudara kita mendatangi tanah - tanah perkuburan tempat persemadian insan-insan yang mereka sayangi. Bukanlah maksudnya bahawa menziarahi kubur itu hanya dihukumkan sunnat pada masa-masa tersebut sahaja. Ianya lebih kepada faktor masa yang terluang atau faktor suasana yang syahdu di hari yang mulia menghimbau ingatan kepada mereka-mereka yang telah tiada. Oleh itu, pada ketika itulah penuh segala pusara dengan para penziarah. Dalam ziarah biasanya akan dibaca surah Yaasin dan tahlil sebagai hadiah dan barakah kepada segala arwah tersebut. Jumhur ulama daripada keempat-empat mazhab Ahlus Sunnah wal Jama`ah, termasuklah mazhab asy-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah, menghukumkan baik, mustahab, bahkan sunnat untuk membacakan al-Quran di sisi kubur. Syaikh al-Imam al-`Allaamah  Muhammad bin Ahmad bin Salim as-Safaarini al-Hanbali rahimahullah (w. 1188H) dalam karya beliau "al-Buhur az-Zaakhirah fi `Uluum al-Akhirah" menyatakan, antara lain sebagai berikut:-


Tanbih: Pembacaan al-Quran di kubur dipandang sebagai mustahab oleh para ulama Mazhab Syafi`i dan ulama lain. Imam an-Nawawi menyatakan dalam "Syarah al-Muhadzdzab" bahawa dimustahabkan bagi penziarah kubur untuk membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran dan mendoakan bagi mereka. Hal ini merupakan nas atau pandangan yang datang daripada Imam asy-Syafi`i sendiri. Di tempat lain, yakni dalam karangan lain, ditambah bahawa jika dikhatamkan sekalian al-Quran itu di atas kubur tersebut, maka ianya adalah afdhal. Dan adalah imam kita, Imam Ahmad RA, pada permulaannya mengingkari amalan sedemikian, namun kemudian beliau telah menarik balik pandangannya tersebut setelah sampai hadis yang menjadi sandaran amalan ini kepada beliau.
Tokoh yang menjadi panutan puak Wahabi, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, murid Ibnu Taimiyyah al-Harrani telah menukilkan sebuah kisah mengenai pembacaan yaasin di kubur dalam karyanya "ar-Ruh" pada halaman 18 sebagai berikut:-
Telah mengkhabarkan kepadaku oleh al-Hasan bin al-Haitsam yang berkata: "Aku telah mendengar Abu Bakar bin al-Athrusy bin Bint Abi Nashr bin al-Tammar berkata: "Ada seorang lelaki yang selalu datang menziarahi kubur ibunya pada hari Jumaat lalu membaca surah Yaasin. Pada sebahagian hari-hari yang dia datang menziarahi kubur ibunya, dia akan membaca surah Yaasin. Selepas membaca Yaasin, dia berdoa: "Ya Allah, seandainya Engkau memberi pahala atas pembacaan surah ini, maka jadikannya bagi segala penghuni perkuburan ini". Tatkala datang Jumaat berikutnya, datang seorang wanita kepada si lelaki tadi seraya berkata: "Adakah engkau si fulan anak si fulanah?" Dia menjawabnya: "Ya." Wanita tersebut berkata lagi: " Adalah anak perempuanku telah meninggal dunia dan aku telah bermimpi melihatnya duduk di tepi kuburnya, lalu aku menyapanya: "Kenapa engkau duduk di sini?" Dia menjawab: "Sesungguhnya si fulan anak si fulanah telah datang menziarahi kubur ibunya dan membaca surah Yaasin serta menjadikan pahalanya bagi segala ahli kubur, maka kami telah diberi kesenangan daripada yang sedemikian atau kami telah diampuni atau yang seumpamanya (yakni para ahli kubur tersebut mendapat kesenangan daripada hadiah pahala bacaan surah Yaasin tersebut atau mendapat keampunan atau yang seumpamanya)."
Oleh itu, janganlah kita membenci perbuatan saudara-saudara seagama yang membaca sesuatu daripada al-Quran di sisi kubur atau menghadiahkannya kepada mereka-mereka yang telah berpulang ke rahmat Allah. Rahmat Allah itu amat luas dan banyak jalan atau sebab untuk meraihnya.(BahrusShofa)

Erdogan enggan bicara dengan ElBaradei Zainal Abidin Nor

Kenapa saya perlu bercakap dengan awak?, soal Perdana Menteri Turki.


Akhbar harian Turki, Zaman melaporkan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan enggan berbicara dengan Naib Presiden Mohamed ElBaradei dari Mesir apabila beliau menawarkan diri untuk mengadakan rundingan dengan Turki.
Sebaliknya Erdogan menempelak ElBaradei dengan mengatakan beliau bukan dilantik ke jawatan itu secara sah tetapi pelantikannya adalah hasil dari rampasan kuasa tentera.
Kata Erdogan, beliau menerima sepucuk surat dari ElBaradei memohon diadakan perbualan telefon berikutan kritikan keras beliau terhadap rampasan kuasa oleh pasukan tentera di Mesir.
“Kenapa saya perlu bercakap dengan awak? Awak bukan (naib presiden) yang dilantik. Awak seorang naib presiden yang dilantik hasil dari kudeta tentera,” kata Erdogan merujuk kepada ElBaradei pada satu majlis di Ankara.
ElBaradei, bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), dilantik sebagai naib presiden Mesir untuk hubungan luar selepas tentera mengguling Presiden Dr Mohamed Morsi pada 3 Julai lalu dan mengisytiharkan ketua hakim mahkamah perlembagaan, Adli Mansour sebagai presiden sementara.
Sikap Erdogan ini berbeza dengan sikap kebanyakan pemimpin Arab yang lain yang merestui tindakan tentera Mesir menggulingkan Morsi dari parti Ikhwanul Muslimin. Para pemimpin negara Arab, terutama Arab Saudi, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan Jordan menyatakan sokongan secara terang-terangan menyokong tindakan tentera Mesir itu.
Malahan bantuan kewangan berjumlah ratusan juta dolar dari negara-negara tersebut datang mencurah-curah bagi menandakan sokongan mereka. Negara-negara Arab ini jugalah yang menyemarakkan api peperangan saudara di Syria dengan membiayai para pemberontak di negara itu.
Dengan berselindung di sebalik imej Islam, mereka inilah yang sebenarnya bekerja untuk Amerika Syarikat dan Israel bagi mengucar-kacirkan rantau Afrika Utara dan Timur Tengah demi kepentingan kedudukan mereka untuk terus menerajui kerajaan dan merampok harta kekayaan milik negara.
Kestabilan politik Mesir dan hasrat kerajaan pimpinan Morsi untuk melaksanakan syariat Islam menjadi ancaman terbesar kepada negara haram Israel. Maka sebab itu, apabila kerajaan Morsi ditumbangkan maka arahan pertama dari Israel ialah agar tentera Mesir merobohkan terowong bawah tanah ke Gaza dan menutup pintu Rafah.
Terowong bawah tanah ini merupakan urat nadi atau ‘nyawa’ bagi para penduduk Gaza untuk berhubung dengan dunia luar kerana melalui terowong-terowong ini segala bentuk bantuan terutama keperluan makanan disalurkan.
Tindakan jahat, khianat
Tindakan tentera meroboh dan menutup terowong-terowong ini adalah satu tindakan jahat dan khianat terhadap umat Islam dan rakyatnya sendiri serta sekali gus penduduk Palestin di Gaza terkurung dan terpenjara dalam negara mereka sendiri.
Dalam pada itu, tentera Mesir akan terus menangkap dan menahan para pemimpin Ikhwan dan para penyokongnya sehingga kebangkitan rakyat di negara itu dihampuskan atau kembali reda. Mereka melakukan kekejaman ini untuk memenuhi nafsu tuan-tuan mereka, Amerika dan Israel.
Tetapi rakyat Mesir yang memilih Ikhwan Muslimin untuk menerajui kerajaan melalui pilihan raya baru-baru ini dalam sistem demokrasi yang adil terus menganjurkan demonstrasi secara besar-besaran agar kerajaan tentera mengembalikan kuasa kepada Morsi.
Penggulingan Morsi melalui kudeta tentera merupakan satu contoh di mana sistem demokrasi diperkotak-katikkan dan hanya menjadi alat untuk Barat dan Amerika untuk menguasai dunia Islam yang kaya dengan minyak itu.
Jika sistem demokrasi itu tidak memihak dan menguntungkan mereka maka mereka akan berusaha untuk menggulingkan kerajaan pilihan rakyat. Dalam kes Mesir, kononnya Morsi tidak pandai mentadbir pada hal beliau hanya setahun menjadi presiden.
Rampasan kuasa tentera juga pernah berlaku di Algeria apabila pilihan raya presiden itu memihak kepada parti Islam FIS di mana Ali Benhaj dipilih sebagai presiden dan dengan bantuan Perancis kerajaan pilihan rakyat itu digulingkan.
Erdogan mungkin satu-satunya pemimpin Arab yang tinggal, selain Mahmud Ahmedinejad dari Iran yang berbangsa Parsi, yang secara berani dan lantang mengkritik dan menentang Barat dan sekutu-sekutunya.
Keberanian Erdogan jelas kita lihat apabila beliau menempelak Presiden Israel, Simon Peres dalam satu forum ekonomi di Geneva berhubung tindakan tentera Israel menyerang kapal Flotila yang membawa bantuan kemanusiaan untuk para penduduk Palestin dan Gaza.
Di samping mengkritik ElBaradei, Erdogan juga mengkritik Barat sebagai tidak mempunyai pendirian dan harga diri untuk mengecam apa yang berlaku di Mesir.
Sudah tentu kita mahu melihat lebih ramai lagi para pemimpin Arab untuk terus tampil dan dengan berani mempertahankan kedaulatan dan maruah negara-negara masing-masing dari terus dihina dan dihinjak-hinjak oleh kuasa Barat dan sekutunya.