Lim Guan Eng dan "Dilema Melayu"-nya
"UMNO berdepan dengan 'Dilema Cina': Barisan Nasional akan kehilangan sokongan Melayu, seandainya memansuhkan hak keistimewaan Melayu untuk memikat hati Cina. Namun demikian, pengundi Cina tetap akan menolak BN, walau bagaimana BN memikat hatinya sekalipun." Demikianlah pengamatan Mahathir Mohamad selepas "tsunami politik" pada 8 Mac 2008. Sesungguhnya, jikalau kita menggantikan istilah "Cina" dengan "Melayu Pulau Pinang", kemudian gantikan istilah "BN" dengan "DAP", maka kita akan menemui "dilema Melayu yang dihadapi DAP". Atau lebih tepat, "dilema Melayu yang dihadapi Lim Guan Eng". Maknanya, betapa pun DAP memikat hati Melayu Pulau Pinang, namun ia tetap sukar untuk mereka meraih undi Melayu. Lim Guan Eng diserang kiri dan kanan Sememangnya, ada bezanya antara "dilema Cina UMNO" dengan "dilema Melayu Lim Guan Eng". UMNO gagal meraih sokongan Cina, antaranya disebabkan tingkahlaku dan hujah PERKASA, Nasir Safar dan dua orang pengetua sekolah yang menyuruh anak muridnya balik ke China. Hujah sedemikian memberi gambaran bahawa UMNO masih berjinak-jinak dengan politik talam dua muka, malah masih terbawa-bawa dengan ideologi politik perkauman. Lihat kepada kritikan Gerakan Pulau Pinang terhadap Lim Guan Eng, bahawa beliau terlalu menyebelahi Melayu, sehingga 90% daripada projek-projek kerajaan negeri Pulau Pinang diserahkan kepada kontraktor bumiputera. Ia memperlihatkan bahawa Lim Guan Eng sememangnya diserang dari kiri dan kanan, dan bukannya cakap tak serupa bikin. Pada hakikatnya, usaha beliau seperti penubuhan "Majlis Perundingan Kontraktor Kelas F", hinggalah pemberian RM100 kepada guru Kafa sempena sambutan Maulidur Rasul - menunjukkan bahawa beliau lebih prihatina terhadap masyarakat Melayu secara keseluruhannya, berbanding Koh Tsu Koon. Sesungguhnya politikus UMNO, Utusan Malaysia dan TV3 yang bisa menterbalikkan hitam dengan putih adalah punca kepada masalah, dan Parti Gerakan Pulau Pinang yang memihak kepada UMNO juga patut dipersalahkan. Persoalannya, apakah Lim Guan Eng dan kerajaan Negeri Pulau Pinang begitu sempurna, sehingga tiada ruang untuk diambil kesempatan musuhnya? Pemimpin Melayu kurang terserlah Perbincangan saya dengan seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat dari "generasi reformasi" baru -baru ini mencungkil satu jawapan yang counter-intuitive, berbunyi, punca Lim Guan Eng kehilangan sokongan Melayu bukan disebabkan terlalu sedikit usahanya, sebaliknya disebabkan usahanya yang terlebih! Dari segi prinsip, seseorang Ketua Menteri yang berketurunan Cina harus diberi pujian apabila berprihatin dan bertindak sendiri dalam isu Melayu dan agama Islam. Ini kerana beliau telah memburaikan mitos bahawa isu perkauman seharusnya dikendalikan wakil kaum masing-masing. Namun demikian, dalam realitinya, apakah mungkin seseorang pemimpin Islam-Melayu dipuji apabila beliau menguruskan isu komuniti Cina dan India? Sekiranya tidak, apakah pengundi Melayu-Islam yang serba salah selepas 8 Mac 2008 akan berasa lega, walaupun kerajaan negeri Pulau Pinang amat prihatin terhadap Melayu, tetapi pemimpin Melayunya kelihatan kurang menonjol? Politik perkauman menuntut kaumnya berkuasa Pada hemat saya, mentaliti komuniti Cina dalam soal "wakil kaum" ini mungkin jauh lebih fleksible berbanding Melayu. Selagi permintaan mereka disampaikan, komuniti Cina tidak begitu mementingkan sama ada wakil yang berdialog dengan Najib adalah MCA, Gerakan, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia, atau tycoon yang enggan terdedah identitinya. Komuniti Cina tidak menuntut agar wakil mereka dalam kerajaan terikat kepada seseorang atau kumpulan tertentu. MCA cuma mahu melanjutkan hayat politiknya apabila menyarankan pendekatan menonjolkan dirinya (high profile), namun ia bukan satu kemestian untuk mentadbir komuniti Cina. Ramai lagi ketua pertubuhan Cina yang bergelaran "Tan Sri", "Dato", dan "Doctor" akan menawarkan diri untuk menjadi wakil komuniti Cina, seandainya MCA gagal berbuat demikian. Sememangnya kesemua ini adalah sisa yang berbisa dari politik perkauman. Namun, dalam usaha kita untuk meruntuhkan tembok politik perkauman, apakah ia perwakilan kaum dan autonomi komuniti itu tidak mengandungi erti "inklusif" sama sekali? Apakah kesudahan yang paling buruk seandainya Lim Guan Eng perlu mengendalikan sendiri hal ehwal Melayu-Islam? Sahabat wakil rakyat saya itu berkata, Pakatan Rakyat sememangnya akan terus berkuasa di Pulau Pinang, namun parti pemerintah ini mungkin kehilangan kesemua wakil rakyat keturunan Melayu-nya. Seandainya demikian, maka nampaknya Lim Guan Eng sendiri terpaksa mengendalikan semua hal ehwal Islam buat masa itu. *Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview. Diterjemah dan disunting oleh Tey Hwey Gek dari teks asal yang disiarkan pada 23 Februari 2011. |