Thursday, February 17, 2011

Kes Tembak UPP Kelantan: Ada 2 Versi!

Kisah Sebenar Tragedi Anggota UPP Pukul Warga Emas Sampai Mati, Tembak Remaja Di Kelantan


Malang menimpa seorang warga emas berumur 56 tahun di Pengkalan Kubur. Beliau dipukul sampai mati tanpa belas kasihan oleh 4 orang anggota UPP manakala seorang remaja berusia 19 tahun yang menjadi saksi kejadian ditembak sebanyak 2 kali, 1 tembakan di dada & 1 tembakan diperut.

Berita pertama keluar di RTM 1 jam 5 petang tadi, dilapor "pihak berkuasa berjaya mematahkan sindiket penyeludupan beras TERBESAR di Kelantan" sedangkan ketika berita itu disiarkan, bedah siasat pada mayat Pakcik Sa'aid masih belum dimulakan lagi, dan pada jam 11.00 malam tadi baru selesai.

TPU (Topeng Perak Unmasked)
yang sempat menziarahi rumah keluarga Arwah Pakcik Sa'aid mendapati keadaan rumah keluarga Arwah agak uzur. Timbul persoalan bagaimana boleh seorang penyeludup beras TERBESAR tinggal di rumah sendiri yang hampir runtuh..?

Persoalan kedua yang timbul pula ialah mengapa saksi utama kejadian, seorang remaja berusia 19 tahun ditembak..?

Tragedi berdarah ini berlaku pada pagi tadi pada lebih kurang jam 8.00 pagi. Pakcik Sa'aid telah ditahan oleh 4 orang anggota UPP dan selepas itu telah dipukul sehingga meninggal dunia. Semasa anggota UPP memukul pakcik Sa'aid, sorang anak saudaranya telah lalu berdekatan tempat kejadian dan telah lihat apa yang berlaku. Lalu dia pulang ke rumah untuk melaporkan kejadian yang berlaku. Ini menyebabkan orang kampung yang mengenali Pakcik Sa'aid menjadi marah dan kemudiannya mereka berkumpul lalu pergi ke Hospital Kelaboran.

Sebaik tiba di Hospital, kelihatan 4 orang UPP yang memukul Pakcik Sa'aid turut berada di sana, remaja itu terus menunjukkan kepada orang kampung - " Inilah anggota UPP yang pukul Pakcik Sa'aid,". Orang kampung yang marah cuba untuk mendapatkan penjelasan mereka, bagaimanapun 3 orang anggota UPP itu terus melarikan diri. Manakala sorang anggota UPP yang telah terkepung terus melepaskan 2 das tembakan pada dada dan perut remaja itu.

Keluarga arwah mengakui perbuatan Pakcik Sa'aid itu menyalahi undang-undang, tetapi apa perlunya membelasah orang tua berusia 56 tahun sehingga mati..?. Adakah negara ini tiada undang-undang?

Atau pihak berkenaan mahu rakyat Malaysia turun di jalanan seperti di Tunisia & Mesir. Jangan lupa pemberontakan rakyat Tunisia bermula apabila seorang pemuda lulusan ijazah berniaga buah tanpa permit, lalu dia ditahan polis dan barangannya dirampas. Pemuda ini bertindak membakar diri kerana membantah dan dia akhirnya meninggal dunia. Permulaan inilah yang memercikkan api kebangkitan rakyat yang menukar lanskap politik Tunisia.

Adakah Malaysia mahu menjadi seperti di Tunisia?

Remaja Cedera Ditembak Semasa Serang Anggota UPP
TUMPAT: Seorang remaja cedera parah setelah ditembak ketika beliau bersama sekumpulan lelaki menyerang empat anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di perkarangan Hospital Tumpat, di sini, Rabu.
Remaja berumur 19 tahun itu parah akibat terkena dua tembakan di bahagian rusuk kanannya dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.20 pagi, selepas ditembak semasa menyerang anggota UPP kerana menyangka saudaranya, Said Mat Hassan, 56, maut akibat dikasari anggota UPP berkenaan, kira-kira satu setengah jam sebelumnya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi, Said ditemui anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin di sini dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.
"Melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, Said ditemui oleh empat anggota UPP berpakaian preman yang sedang menjalankan rondaan di kawasan itu, dan anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.
Abdul Rahim berkata selepas menghantar Said ke hospital, ke empat-empat anggota UPP itu pergi minum di sebuah kedai makan berdekatan hospital berkenaan, dan tiba-tiba lima kenderaan dinaiki sekumpulan lelaki berhenti di hadapan mereka.
"Beberapa lelaki bersenjatakan cota terus meluru dan menyerang keempat-empat anggota UPP. Akibat serangan bertubi-tubi, salah seorang anggota UPP melepaskan satu das tembakan amaran ke udara," katanya.
Beliau berkata tembakan itu tidak diendahkan kumpulan tersebut, dan anggota UPP itu terpaksa melepaskan lagi tembakan bagi melindungi diri, yang mengenai remaja berkenaan.
Katanya, remaja itu kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun dia terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baru kerana keadaannya yang parah.
Beliau berkata keempat-empat anggota UPP yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tumpat.
Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dan siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Ibu remaja yang ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Baru di sini berkata, beliau terkejut apabila melihat anaknya rebah berlumuran darah akibat ditembak di depan matanya.
Katanya, ketika itu dia ke Hospital Tumpat untuk menziarahi jenazah Said. - BERNAMA