Harakahdaily |
KUANTAN, 2 Apr: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob seharusnya telah berusaha mendapatkan satu kajian dan pandangan dari satu badan bebas berkenaan impak pembinaan loji pemprosesan Lynas.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar) berpendapat bahawa penerangan yang diterima oleh Adnan berhubung perkara itu merupakan taklimat yang tidak cukup menyeluruh kerana industri pemprosesan 'rare earth' merupakan industri yang melibatkan pelbagai bidang kepakaran dan juga melibatkan pembuatan dasar dari pelbagai kementerian.
Di dalam surat terbuka kepada menteri besar itu, beliau berkata Adnan seharusnya telah berusaha mendapatkan satu kajian dan pandangan dari satu badan bebas berkenaan impak pembinaan loji itu serta impak operasi pemprosesan nanti kepada keselamatan awam, kesihatan, kehidupan kekeluargaan dan sosial, ekonomi dan mata pencarian rakyat setempat, alam sekitar serta kesan terhadap kualiti kehidupan bagi rakyat di kawasan Kuantan.
Katanya, antara persoalan yang harus telah ditanya oleh menteri besar itu kepada pihak pakar ialah kenapa tiada negara di dunia melainkan China telah bersetuju untuk membenarkan logi pemprosesan 'rare earth' dibina di negara mereka sejak 3 dekad kebelakangan ini.
Tambahnya, Adnan juga harus bertanya kepada jirannya, Menteri Besar Trengganu berkenaan pendirian kerajaan negeri itu berkaitan permohonan Lynas Corporation untuk membina loji yang sama di Teluk Kalung, Kemaman pada 2007.
Katanya lagi, Adnan harus bertanya berkenaan sisa pepejal (leach purufication solids) hasil dari pemprosesan yang akan mengandungi bahan thorium - bagaimanakah ianya akan diuruskan dan peraturan apakah yang akan digunapakai oleh Lynas.
“Adakah Solid Radiactive Waste Management yang akan diamalkan oleh Lynas apabila bermula operasi akan menepati piawaian negara China atau piawaian British atau piawaian Australia?
“Piawaian mana yg akan diguna pakai nanti?” soalnya yang juga Naib Presiden PKR.
Selain itu, menteri besar juga harus bertanya kepada pakar, apa kesan sisa yang mengandungi radioaktif kepada alam sekitar dan seterusnya terhadap industri perikanan di kawasan Kuantan, memandangkan Sungai Balok berada di persekitaran Gebeng.
“MB juga harus meminta kaji selidik dijalankan tentang bagaimanakah nanti persepsi pelancong terhadap keselamatan mereka sekiranya mereka memilih Kuantan sebagai destinasi percutian sama ada mereka akan masih tertarik dan berminat untuk datang ke Cherating bercuti di sebelah logi pemprosesan rare earth,” katanya.
Katanya, memandangkan loji pemprosesan itu nanti akan menjadi loji terbesar di dunia selain yang ada di negara China yang semua tahu tidak diambil berat tentang piawaian pemeliharaan alam sekitar, maka persoalan di atas amat penting.
Soalnya lagi, bagaimana pula impak terhadap industri keropok lekor dan ikan bakar serta industri ikan masin di Kuantan, adakah akan lebih semarak atau nanti akan juga mengalami impak negatif daripada kekurangan kunjungan pelancong.
Beliau menjangka Adnan hanya boleh berpuas hati setelah mendapat jawapan yang menyenangkan dari kesemua persoalan di atas.
“Amanah kepimpinan ialah amanah besar dan rakyat mengharapkan pemimpin untuk bertindak telus serta bertanggungjawab,” katanya. |
|