Tuesday, December 7, 2010

Ke Mana Ekonomi Malaysia?

Pendekatan khusus MBE II perlu yakini pelabur, kata Ramon
Oleh Yow Hong Chieh
December 06, 2010KUALA LUMPUR, 6 Dis — Pentadbiran Najib akan berhadapan dengan sikap ragu-ragu para pelabur selagi kerajaan tidak muncul dengan lebih jelas bagaimana mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, demikian kata salah seorang personaliti yang pernah merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) empat dekad lalu.

Tan Sri Dr Ramon Navaratnam, yang pernah membantu bekas perdana menteri Tun Abdul Razak menggubal draf DEB selepas rusuhan kaum 1969 berkata, Model Baru Ekonomi (MBE) yang bahagian kedua laporannya diumumkan Jumaat lalu memperlihatkan niat baik, tetapi “kurang” dari segi pendekatan-pendekatan khusus.

“Dan, wujud masalah... pelabur-pelabur, selepas menunggu begitu lama, akhirnya mereka merasakan kembali ke keadaan asal,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Saya telah menjangkakan (pendekatan) yang lebih baik daripada bahagian kedua ini. Setakat ini, saya kecewa,” kata bekas kakitangan awam dengan merujuk kepada MEB 2 yang diperkenalkan Jumaat lalu.

Pengerusi Pusat Pengajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) itu menegaskan, lebih banyak cadangan konkrit diperlukan untuk meyakinkan pelabur-pelabur asing dan tempatan supaya mereka tidak melabur di tempat-tempat lain.

Keyakinan dalam sektor swasta kritikal untuk mencapai kejayaan MBE selepas Datuk Seri Najib Razak meletakkan sasaran sektor swasta akan menjana dana 92 peratus bernilai AS$444 bilion untuk mempertahankan Plan Transformasi Ekonomi (ETP) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Bagaimana FDI (pelaburan langsung asing) boleh merasa selesa apabila terdapat banyak kenyataan yang dikeluarkan tetapi tiada cadangan-cadangan khusus yang boleh memberi kesan ke atas dasar?” soal Navaratnam.

Bekas timbalan ketua setiausaha Kementerian kewangan itu juga menekankan selepas para pelabur “tidak selesa” dengan kelewatan pengumuman bahagian kedua MEB, menggambarkan pentadbiran Najib was-was dengan beberapa pembaharuan yang disyorkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan (NEAC).

“Misalnya, bagaimana dengan kedudukan ekuiti Bumiputera? Adakah ia ada atau tiada? Dan, berapa lama?” soal beliau.

Navaratnam berkata kerajaan - yang menolak laporan Asli menyatakan yang 30 peratus sasaran ekuiti Bumiputera telah pun dicapai malah mengatasinya - masih belum mentauliahkan satu kajian bebas berhubung syor badan pemikir itu.

“Isu 30 peratus ini, terdapat keraguan sama ada ia dicapai atau tidak,” katanya.

“Pegangan Bumiputera sudah melebihi 30 peratus dan ia bukan lagi satu isu, melainkan mereka membawa satu dasar baru dan mahukan lebih daripada 30 peratus,” katanya.

Aliran keluar pelaburan dan modal asing dan tempatan akan berterusan sehingga kerajaan dapat meyakinkan pelabur-pelabur bahawa terdapatnya ketentuan politik yang memadai di Malaysia, tambah Navaratnam.

Beliau menegaskan sekarang adalah tempoh kritikal untuk pelabur-pelabur, yang ramai daripada mereka bersedia ke Indonesia, China, India, atau di mana sahaja di dunia di mana terdapat satu aras keyakinan yang lebih tinggi.

Katanya, harapan dan doa beliau ialah dilaksanakan pendekatan khusus untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan lalu dengan secepat yang mungkin secara komprehensif.

(TheMalaysianInsider)


P/S: Ulasan seorang Pakar Ekonomi...patutlah kita kehilangan ahli ekonomi tersohor seperti Hassan Merican (Bekas CEO Petronas) dan Prof.Dr.Jomo Sundram (Pensyarah Ekonomi Universiti Malaya)...akibat alpa dan tidak perihatin kerajaan BN terhadap "Brain Drain".